Thursday, October 29, 2020

Bab 40

 

“Lunch?”

Aku tersenyum memandang lelaki itu. Rizal bersandar di mejaku dengan tersenyum lebar. Aku mengangguk, segera mengemas meja untuk keluar makan bersama dia.

“Rania, nak pergi sekali tak?” tanya seorang rakan sekerja yang lain.

“Hang np ajak dia buat apa? Hang tak nampak Rizal tengah dok tunggu tu? Tak payahlah kita kacau daun,” balas seorang rakan yang lain sebelum sempat aku menjawab.

“Betoi jugak no!” balas seorang lagi, sebelum mereka keluar sambil tergelak- gelak.

Aku cuma tersenyum, enggan membalas. Nanti panjang pula ceritanya. Rizal sendiri tersengih mendengar kata- kata mereka.

Selepas selesai, aku mencapai beg tangan. Kami jalan beriringan menuju ke lif. Sejak aku datang ke utara tanah air ini, kami berdua memang selalu bersama. Ayah sendiri telah mengamanahkan kepada Rizal supaya menjaga aku sebaik mungkin.

“Kita hendak makan di mana hari ni? Tempat selalukah? Selalu makan yang sama, dah jemulah!” sungutku.

“Kalau macam tu, nak cuba kafe baru buka dekat traffic light tu? Mungkin makanan di situ boleh tahan,” usul Razif.

“Agak- agak mahal tak?” tanyaku, risau sedikit. Maklumlah gaji pun lambat lagi.

“Manalah tahu, kan baru buka. Mana pernah pergi,” jawab Rizal. “Tapi jangan risau, it’s my treat!”

“Betulkah?”

“Betul!”

“Ini yang sayang ni,” kataku, tersenyum kepadanya.

“Sebab belanja saja sayang? Habis selama ni tak sayang?” tanya Rizal dengan wajah yang jengkel.

Aku dengan sengaja mengangguk, membuatkan lelaki itu merenungku sebelum dia sendiri mengukir senyum. Aku tahu dia bukannya boleh marah lama- lama dengan aku. Memang selalu begitu. Dia sendiri tahu aku memang bergurau.

Setahun berlalu sejak aku mengambil keputusan untuk berhijrah ke sini. Orang cakap, masa ialah ubat terbaik untuk segalanya. Tipulah! Kerana aku masih terfikir Hazriq. Sepatutnya aku memang melupakan dia sepenuhnya. Berkali- kali aku ingatkan diri yang dia pasti bahagia bersama Nurrul Azzwa sekarang. Mereka mungkin sudah dikurniakan cahaya mata yang comel seperti mereka.

Majlis konvokesyenku berlangsung tidak lama selepas aku berhijrah. Teringat janji Hazriq untuk hadiahkan aku jambangan bunga dari Ferrero Rocher. Memandangkan kami tidak lagi berhubung, mustahil untuk dia buat begitu. Entah- entah dia pun sudah lupa janjinya itu.

Hmm, sudah- sudahlah teringatkan dia!

“Rania!”

“Huh?” Aku memandang Rizal yang mengerut dahi merenungku.

“Sinilah kafe tu,” kata Rizal, menunjuk kafe yang dipenuhi pelanggan untuk makan tengah hari.

“Oh, ya kah?” 

Rizal tergelak. “Fikir apa? berkali- kali panggil pun tak ada respon. Sudah sampai ke mana tadi?”

“Balik Selangor sekejap,” balasku, menonong masuk.

Rizal mengikut sambil tersenyum gelihati.

“Nasib baik tahu jalan balik. Ingat nak kena hantar koordinat lokasi tadi.”

Mengata akulah tu! Aku terus duduk di meja yang kosong tanpa menunggu dia. Rizal yang langsung tidak terkesan dengan sikapku mengambil tempat di depan.

Mujur kami beberapa saat lebih awal. Selepas kami, tidak ada lagi meja kosong di dalam kafe itu. Memang popular agaknya. Selepas membuat pesanan, aku melayari sibuk memeriksa email manakala Rizal sibuk dengan telefonnya sendiri. Lambat betul pesanan kami sampai, mungkin sebab ramai orang.

“Hujung minggu kita keluar? Ingat nak beli pakaian yang sesuai untuk majlis jamuan hujung tahun syarikat nanti,” kata Rizal.

“Tak boleh pergi sendirikah? Tak tahu jalan? Nak kena hantar koordinat tak? Tak pun boleh guna Waze,” usikku, membuatkan Rizal mencerlung merenungku.

“Perli, ya?”

Aku mengangguk, membuatkan lelaki itu semakin geram. Tetapi cuma setakat itu. Dia memang tak boleh marahkan aku lama- lama.

“Tak bolehkah?” tanya Rizal sekali lagi.

“Boleh, mestilah boleh. Ke hujung dunia pun boleh!” jawabku.

Rizal tersengih. “Nak cari apa di hujung dunia? Ada apa di situ?”

“Tak tahu, tak pernah sampai,” jawabku, juga tersengih.

Memandangkan pesanan kami masih belum sampai, Rizal meminta diri untuk ke tandas. Lambat juga servis kafe ini. Rasanya ini kali terakhir kami berdua akan datang ke sini. Aku melihat- lihat sekeliling sementara menunggu. Semua meja masih penuh dengan pelanggan. Ada yang sudah mendapat pesanan mereka. Untunglah mereka, kami masih kebuluran. Entah bila makanan hendak sampai.

Ada beberapa pelanggan baru melangkah masuk. Memandangkan kafe masih penuh, mereka mengambil keputusan untuk ke tempat lain. Seorang dari mereka, seorang gadis berhenti melihat sekeliling sebelum memandang aku. Lama juga dia buat begitu.

Aku sendiri tidak dapat pandang ke tempat lain. Dia seperti seseorang yang aku kenal. Akhirnya dia mendekati aku.

“Cik Rania Aisyah?”

Aku terkebil- kebil. Patutlah aku kenal, rupanya dia!

Macam mana Nurrul Azzwa boleh ada di sini?

 

 

Balik ke pejabat aku asyik termenung. Patutlah orang kaya selalu lari ke luar negara. Sekurang- kurangnya kebarangkalian mereka untuk bertembung dengan orang yang mereka enggan bersua muka adalah tipis. Tapi aneh juga. Antara berbilion orang di Malaysia, aku masih boleh berjumpa dengan dia!

Nurrul Azzwa tidak pulang begitu saja. Dia berkali- kali minta nombor telefonku hingga aku akhirnya bersetuju. Sukar menolak permintaan wanita itu apabila dia mahukan sesuatu.

Tapi untuk apa dia mahukan nombor telefon aku? Tak kan dia hendak ambil tahu tentang bekas saingan cintanya ini? Sudah berkahwin dengan lelaki itu pun masih belum cukupkah? Hendak sakitkan hati aku lagikah?

“Dah balik ke Selangor lagi?” usik Rizal. Bila masa pula dia sampai ke mejaku.

“Dah ke planet Marikh pun,” balasku, masih murung.

“Macam masalah besar pula? Ada apa sebenarnya?” tanya Rizal.

Tak kan aku hendak ceritakan pada Rizal tentang cintaku yang lalu. Nanti apa pula kata dia.

“Tak ada apalah.” Aku segera mengukir senyum. “Nak apa datang ke sini?”

“Saja!” jawabnya. “Tak boleh?”

“Tak boleh!” jawabku tapi Rizal hanya tergelak.

“Jangan selalu termenung. Kalau ada masalah ceritalah.”

Aku hanya mengangguk. Rizal akhirnya pulang ke mejanya juga. Aku menghela nafas, melihat kerja yang bertimbun di mejaku. Lebih baik aku siapkan semua ini daripada termenung. Tapi telefonku bergetar. Ada pesanan WhatsApp.

 

Assalamualaikum. Ini Nurrul Azzwa. Boleh kita berjumpa? Saya ada banyak perkara yang ingin dibualkan.

 

Kenapa pula dia hendak jumpa aku? Tak mahulah jumpa dia!

 

 

Akhirnya aku berjumpa dengan dia juga. Aku sudah cakap, susah hendak menolak permintaan wanita ini. Berkali- kali dia menghantar mesej sampai akhirnya aku bersetuju.

Kami bertemu di kafe berdekatan tempat aku tinggal. Sebenarnya, aku juga hendak tahu apa yang dia ingin bualkan sampai beria- ia dia mengajak aku. Apa yang penting sangat agaknya?

“Awak masih cintakan dia?”

Wah, itu soalan pertama yang dia tanya! Bukan hendak bertanya khabar atau sebagainya. Bulat mata aku merenung wanita itu. Tapi Nurrul Azzwa dengan tenang menunggu jawapanku sambil menghirup kopinya.

“Saya rasa itu bukan masalah awak!” desisku.

Maaflah sekiranya anginku tidak baik sedikit! Aku sudah berusaha keras selama ini untuk melupakan dia dan mulakan hidup baru. Aku sanggup bawa diri hingga ke utara untuk mengelak dari berjumpa. Tapi bertemu dengan Nurrul Azzwa sudah mengingatkan aku kepada beberapa perkara. Paling penting kepada orang yang aku rindu itu.

“Mungkin urusan saya jika awak masih cintakan dia,” kata Nurrul Azzwa, masih tenang. Dia bagaikan tidak kisah dengan nadaku yang kasar tadi.

“Awak dah kahwin dengan dia, masih tidak cukupkah?” soalku.

“Saya belum kahwin dengan dia.”

Eh, aku salah dengarkah?

“Kenapa-”

Nurrul Azzwa segera memotong. “Kerana dia batalkan majlis perkahwinan kami.”

Apa yang sudah berlaku? Aku masih ingat dengan jelas yang dia beritahu aku yang mereka sudah berkahwin. Macam mana sekarang lain pula ceritanya?

Aku merenung wanita itu, mengharapkan penjelasan. Tapi Nurrul Azzwa seperti biasa, tidak tergesa- gesa untuk bercerita. Dia mengambil masa untuk menikmati minumannya sebelum mula berbicara. Hampir hilang sabar aku menunggu dia memulakan bicara.

“Awak masih ingat saya yang jawab panggilan telefon awak tu, kan?” Aku mengangguk mendengar soalannya. “Masa tu keadaan huru- hara disebabkan keengganan Hazriq untuk mengahwini saya. Majlis sepatutnya sudah diadakan tapi Hazriq dengan jelas cakap dia tidak mahu menikah. Mereka bergaduh selepas tu! Kemudian Hazriq terjatuh selepas ditolak oleh walid saya. Telefon yang ada di dalam poketnya pun jatuh. Saya yang pegang telefon tu selepas tu.”

Apabila aku tidak memberi komen, Nurrul Azzwa menyambung. “Masa awak telefon, mereka semua masih belum habis berbincang di ruang tamu. Saya pula berada di kamar sebab saya nak elakkan dari jumpa sesiapa. Masa tu lah awak telefon. Saya pun tak tahu dari mana saya dapat keberanian untuk menipu. Mungkin juga sebab saya rasa marah pada awak. Pada saya, awaklah puncanya.Tapi saya tak menyesal. Saya nak cuba selamatkan hubungan kami, tak kira apa pun caranya. Kalau buat sekali lagi lagipun, saya akan ambil keputusan yang sama.”

Pada ketika itu, terselit rasa marahku dengan Nurrul Azzwa. Kerananya aku kehilangan Hazriq. Tapi pada masa yang sama juga aku faham kenapa dia begitu. Jika aku berada di tempatnya, mungkin aku juga akan ambil keputusan yang sama.

“Sudah lama dia cuba nak putuskan hubungan tapi saya berkeras. Saya tak dapat terima yang dia tidak lagi cintakan saya. Jadi semasa dia keluar negara, saya pujuk kedua keluarga kami untuk adakan majlis pertunangan sebagai kejutan apabila dia pulang. Memang terkejut betul dia!” kata Nurrul Azzwa, tergelak kecil.

Nurrul Azzwa menyambung lagi. “Tapi dia masih tidak mahu kembali pada saya. Dia cuba untuk putuskan pertunangan kami. Dia minta saya putuskan. Katanya tak apa kalau dia malu. Tapi saya tetap berkeras. Majlis akad nikah itu pun idea saya. Saya minta adakan majlis lebih awal berbulan- bulan sebelum kenduri dengan harapan dia tak undurkan diri. Tapi Hazriq berdegil hingga ke akhirnya!”

“Selama setahun ini, saya cuba pujuk dia. Cinta saya padanya masih sama. Tapi saya patut tahu, Hazriq sukar untuk berubah. Sekali dia berpaling, dia susah untuk dia menoleh lagi. Mungkin sebab itu juga saya bencikan awak. Bagaimana awak boleh buat lelaki itu boleh berhenti menyintai saya? Kenapa dia dapat lupakan saya?” tanya Nurrul Azzwa.

“Kenapa awak tanya saya semua itu?” tanyaku.

“Bagi saya awak orang yang merosakkan hubungan saya dan Hazriq. Sekarang pun saya masih bencikan awak, awak tahu tak?” tanya Nurrul Azzwa. 

Sudah pasti aku tahu tentang hal itu.

“Saya tak rampas dia dari awak!” kataku.

“Tapi awak cintakan dia!” kata Nurrul Azzwa.

“Tapi saya pernah jelaskan yang saya tak boleh terima dia!” bantahku.

“Ia tetap tidak mengubah kenyataan yang hatinya berubah disebabkan awak!”

“Habis apa yang patut saya buat? Saya dah jauhkan diri pun!” kataku, mula rasa tidak puas hati.

“Saya tahu,” balas Nurrul Azzwa.

Nurrul Azzwa mengeluarkan sekeping brosur lalu dihulurkan kepadaku. Aku membaca brosur itu dengan penuh rasa ingin tahu. Ini berkaitan dengan syarikat Hazriq. Sekarang One Event sedang menguruskan pameran di Aman Central.

“Hazriq yang uruskan pameran ni. Sudah seminggu dia ada di sini,” kata Nurrul Azzwa.

Jadi dia ada di sini sekarang? Begitu dekat denganku!

“Tapi kenapa awak beritahu saya semua ni?” tanyaku.

“Saya nak tengok sekuat mana cinta kamu berdua. Betulkah ada jodoh di antara kamu berdua,” kata Nurrul Azzwa.

“Awak nak beri musuh awak peluang?” tanyaku dengan sinis.

“Ya, macam tak percaya, kan?”

Memang aku tak percaya. Apa pula yang dia cuba mainkan kali ini?

“Tapi setahun dah berlalu. Perasaan dia mungkin dah berubah,” kataku.

Nurrul Azzwa tergelak sinis. “Apa yang nak dikisahkan tentang masa? Kenapa? Awak takut?”

Sebelum sempat aku membalas, dia menyambung. “Kalau saya dan dia ada perasaan pada saya. Walau perasaan itu cuma secebis, saya akan berusaha untuk dapatkan dia kembali. Saya tak akan mengalah dengan mudah. Kalau awak tak berfikiran begitu, mungkin awak tak sesuai untuk dia sebenarnya.”

Kata- kata tajamnya itu membuatkan aku terdiam.

“Pergilah dan lihatlah sama ada kamu berdua boleh bersama,” kata Nurrul Azzwa. “Buktikan sekuat mana cinta kamu berdua.”

Wednesday, October 28, 2020

Bab 39

 

Aku tidak sedar sampai bila aku menangis hingga tertidur. Aku cuma terjaga apabila jam loceng berbunyi untuk solat Subuh. Usai solat aku merenung telefon. Aku memang ingin mencuba untuk menelefon lagi, tapi jika benar...

Memandangkan aku tidak memohon untuk bercuti hari ini, aku masih perlu pergi bekerja seperti biasa. Lagipun tidak ada sesiapa pun yang tahu aku hendak berkahwin semalam. Hidup ini masih perlu untuk diteruskan. Tapi dengan keadaanku sekarang, aku tidak fikir aku boleh pergi bekerja seperti biasa.

Lama termenung, terdengar pintu di ketuk. Ibu membuka pintu perlahan- lahan.

“Kenapa masih bertelekung? Tak pergi kerjakah?” tanya ibu.

“Dah pukul berapa ibu?” tanyaku, tanpa menjawab pertanyaan ibu.

“Dekat tujuh setengah pun,” jawab ibu, mengerut dahi. “Kamu tak sihatkah?”

“Tak adalah ibu.”

“Muka kamu nampak pucat,” komen ibu.

“Saya tidur lewat semalam. Hari ni saya tak pergi kerja,” jawabku.

“Hmm, ya kah? Turunlah sarapan dengan kami,” kata ibu sebelum menutup pintu.

Aku menghela nafas, merenung skrin telefon. Sampai bila aku hendak terus merenung skrin telefon ini? Perlahan- lahan aku menanggalkan telekung, menyangkut di ampaian. Biarpun tidak terasa lapar, tetapi lebih baik aku turun bersarapan bersama ibu dan ayah. Tidak ada gunanya terus termenung.

 

 

Seharian aku dalam keadaan termenung dan tidak bermaya. Semangatku hilang entah ke mana. Usai sarapan, aku masih cuba untuk menelefon Hazriq tetapi panggilanku tetap tidak disambung. Jadi selepas berkahwin dia mahu putuskan hubungan terus dengan aku? Jadi inilah akhirnya hubungan kami berdua? Jadi begini perasaan ditinggalkan sepenuhnya?

Apa patut aku buat sekarang?

Secara jujur, aku tidak mahu berada di sini lagi. Memang ibu dan ayah masih ada tetapi terasa untuk pergi ke tempat lain. Teringat semasa aku larikan diri ke Pulau Langkawi dulu. Perasaan untuk bermula semula di suatu tempat yang asing itu kembali membuak- buak di dalam dadaku.

Mungkin itu yang terbaik. Terus di sini, kemungkinan kami akan bertembung. Tak apa jika kami bertembung beberapa tahun lagi. Mungkin ketika itu, perasaanku padanya sudah pudar sedikit. Sekarang lukanya terlalu dalam.

Tempat baru. Pengalaman baru. Aku sudah ambil keputusan.

 

 

Pada masa makan malam, aku suarakan hasratku itu kepada ibu dan ayah. Mereka yang terkejut dengan permintaanku saling berpandangan.

“Kenapa?” tanya ibu. “Perlukah sampai begitu sekali?”

“Saya cuma nak mulakan hidup saya semula di tempat yang baru,” jawabku secara terus- terang.

“Tapi kenapa sampai perlu berpindah?” tanya ibu, masih tidak berpuas hati.

“Biarlah dia pergi. Dia pun masih muda. Biar dia tengok dunia luar. Sampai bila dia hendak tinggal dengan kita,” kata ayah.

Ibu diam seketika, memproses kata- kata ayah.

“Di mana? Kamu hendak ke Johor? Furqan ada di sana. Kalau ada apa- apa hal, kamu boleh minta tolong dia,” usul ibu.

“Saya tak mahu ke Johor!” tegasku.

Lebih baik aku tidak ke Johor. Aku tidak mahu hubungan aku dan Furqan menjadi kekok.

“Habis kamu hendak ke mana? Nanti risau pula ibu bila fikirkan kamu tinggal di tempat yang tidak ada orang untuk tolong kamu.”

“Anak kita bukannya nak ke planet lain. Tak kira di mana pun, masih akan ada orang untuk tolong dia,” sindir ayah.

“Awak ni buat- buat tak faham pula!” bentak ibu. “Tak kira apa pun, saya tak mahu dia ke tempat yang ada orang yang kita kenal. Saya tak mahu dia terkontang- kanting seorang diri.”

“Janganlah difikirkan sangat. Di mana- mana pun dalam Malaysia ni, kita memang ada kenalan. Dia tak akan seorang diri macam yang awak takutkan tu,” kata ayah.

“Bila kamu nak pindah?” tanya ibu.

“Secepat mungkin,” jawabku.

“Kamu lari dari hutangkah? Tiba- tiba hendak pindah cepat- cepat!” soal ayah.

“Ayah ni, ke situ pula! Bukan macam tu lah. Saya memang nak mulakan hidup baru,” jawabku.

“Hmm, ikut kamulah. Tinggal di tempat orang nanti, pandai- pandai jaga diri,” pesan ayah.

“Ya, ayah!”

Malam itu juga ayah berjaya mendapatkan maklumat tentang kekosongan jawatan di utara tanah air. Memang jauh dari rumah tapi aku rasa ianya sesuai. Jadi aku bersetuju untuk hadir temuduga. Moga- moga ada rezekiku di sana.

Seminggu selepas menghadiri temuduga, salah satu syarikat yang aku pohon menghantar jawapan yang mereka menawarkan kerja kepadaku. Syukur Alhamdulillah.

 

 

“Ini surat perletakkan jawatan saya,” kataku, meletakkan surat itu ke atas meja Encik Anas. Bulat matanya merenung aku.

“Kenapa? Awak dapat tawaran kerja lainkah?” tanya Encik Anas sambil membaca suratku itu.

“Ya, lebih kurang begitulah. Sebenarnya saya ambil keputusan untuk berhijrah ke Kedah,” jawabku.

“Kenapa Kedah?”

“Tempat baru, pengalaman baru. Itu saja.”

Encik Anas mengangguk. “Saya tak boleh halang awak kejar masa depan awak. Terima kasih atas perkhidmatan awak selama ini. Saya harap awak akan lebih berjaya di tempat baru awak nanti. Lagipun awak memang ada potensi yang besar.”

“Saya juga ucapkan terima kasih atas tunjuk ajar yang Encik berikan selama ini. Saya masih ada masa satu bulan untuk terus berkhidmat di sini. Jadi sehingga tamat tempoh tu, saya harap Encik dapat rahsiakan dari semua orang yang saya akan letak jawatan.”

“Kenapa pula awak nak buat macam tu?” tanya Encik Anas dengan hairan.

“Tak ada sebab,” jawabku, tersenyum nipis. “Saya cuma nak buat kejutan!”

 

 

Sebulan lebih selepas hari itu, tidak ada langsung khabar berita dari Hazriq. Lebih tepat lagi, aku langsung tidak ambil peduli. Aku tidak pasti sama ada dia cuba untuk hubungi aku. Kalau dia cuba pun, pasti tidak ada berjaya. Perkara pertama yang aku lakukan selepas kembali bekerja ialah menukar nombor telefon. Cuma beberapa orang yang penting mengetahui nombor baruku itu. Nombor telefon baru ini ialah salah satu langkah untuk mulakan hidup baru.

Aku juga pergi kerja dan pulang menaiki bas. Ini cara terbaik untuk mengelak dari bertemu dengan Hazriq. Aku tidak mahu dia akan menunggu di kereta seperti dulu. Ibu dan ayah pelik dengan perangaiku.

“Kamu kecewakah tidak jadi kahwin dengan Furqan?” tanya ibu pada suatu hari.

“Kenapa pula ibu cakap macam tu?” soalku, hairan dengan soalannya.

“Habis lain benar ibu tengok perangai kamu.”

Aku tergelak. “Kenapa pula saya yang kecewa? Kan saya yang batalkan perkahwinan kami?”

“Habis kenapa perangai jadi macam ni?”

“Saja ibu, nak tukar angin.”

Ibu cuma menggeleng dengan kelakuanku.

 

 

Hari terakhir bekerja akhirnya tiba. Selama satu bulan ini, selain Encik Anas, aku langsung tidak beritahu sesiapa pun yang aku bakal meletakkan jawatan. Jadi apabila aku mula mengemas meja pada hari terakhir, mereka melihat- lihat dengan penuh tanda tanya.

“Kenapa kemas meja ni? Kamu nak ke mana?” tanya Kak Diba.

“Saya dah berhenti!” jawabku, tersenyum lebar.

“Kenapa tiba- tiba?” tanya Zura, yang nampak terperanjat.

“Bukan tiba- tiba, dah bagi notis satu bulan pun,” jawabku.

Mereka berdua saling berpandangan.

“Dapat kerja barukah?” tanya Zura.

“Ya.”

“Di mana?” tanya Kak Diba pula.

“Utara.”

“Utara?” ulang mereka berdua serentak.

Aku yang selesai mengemas, memandang mereka. “Saya nak minta maaf untuk salah dan silap. Halalkan yang termakan atau terminum. Dan saya maafkan kalian berdua, walaupun banyak kali sakitkan hati saya secara berdepan atau tikam di belakang. Jangan terus berperangai begitu lagi, ya? Berubahlah, jadi lebih baik! Harap kita dapat jumpa lagi!”

Terus aku berjalan keluar, meninggalkan mereka berdua yang terlopong dengan kata- kataku.

Tuesday, October 27, 2020

Bab 38

 

Akhirnya majlis yang awalnya untuk meraikan perkahwinan aku dan Furqan akhirnya bertukar menjadi jamuan kecil keluarga kami. Aunty Sofea yang masih sugul meminta diri untuk pulang lebih awal. Aku tahu dia masih bersedih. Memandangkan banyak hal yang perlu diselesaikan, Uncle Hadi duduk menunggu untuk berbincang tindakan yang dapat diambil selepas ini. Furqan menawarkan diri untuk menghantar Aunty Sofea dan Danish pulang. Katanya dia akan datang kembali selepas itu.

Mereka yang lain yang datang tidak bertanya walaupun masing- masing bagaikan dapat menduga apa yang telah berlaku. Tetapi memandangkan mereka sanak saudara yang selama ini memang boleh dipercayai, ayah yakin mereka akan tutup mulut. Seterusnya cuma perlu mencari jalan untuk menyelesaikan masalah lain seperti kad jemputan yang telah diedar dan tempahan- tempahan yang telah dibuat.

Nampaknya aku memang timbulkan banyak masalah kepada semua orang. Disebabkan itulah aku duduk di kerusi di balkoni, malu untuk bersemuka dengan semua orang lain.

“Minumlah.”

Segelas air oren yang sejuk diletakkan dihadapanku. Ibu mengambil tempat disebelahku. Sambil mengucapkan terima kasih, aku mencapai gelas itu, menikmati minuman sejuk. Cepat saja aku habiskan. Tidak sedar pula aku rasa dahaga begini.

“Janganlah difikirkan lagi, kami boleh selesaikan masalah ni,” kata ibu, bagaikan mengerti apa yang aku fikirkan sejak tadi.

“Maafkan saya, saya dah timbulkan banyak masalah untuk semua orang,” kataku.

Ibu mengukir senyuman kecil. “Kalau ucapan maaf kamu tu senilai dengan emas, kita dah kaya agaknya! Entah berapa kali kamu ucapkan maaf tu.”

“Tapi saya memang rasa bersalah pun,” kataku dengan suara kecil.

“Ibu tahu tapi ibu rasa ibu pun patut minta maaf kepada kamu juga,” kata ibu.

“Kenapa?” Aku memandang ibu dengan hairan.

“Ibu sebenarnya perasan yang kamu bukannya hendak kahwin dengan Furqan pun. Tapi ibu abaikan. Kalau ibu lebih perihatin dengan perasaan kamu, ibu sepatutnya dah halang kamu sejak dulu lagi.”

Aku cuma menggeleng. Bukan salah ibu atau sesiapa pun, aku yang terlalu berdegil. Untuk lari dari masalahku, aku lukakan banyak pihak yang lain. Ibu memeluk bahuku.

“Anak ibu, jangan terus salahkan diri sendiri. Macam yang ibu cakap tadi, ibu nak kamu bahagia. Selepas ni, jangan ulangi hal ni lagi. Boleh kamu janji dengan ibu?”

Suara ibu yang lembut itu hampir membuatkan aku sekali lagi menangis. Aku cuma mengangguk. Ibu mencium pipiku, kemudian kembali masuk ke dalam. Entah berapa lama aku terus termenung di situ.

“Assalamualaikum.”

Aku berpaling, melihat Furqan berjalan ke arahku. “Waalaikumsalam.”

“Kenapa termenung lagi? Kan dah selesai pun,” tegur Furqan, mengambil tempat di depanku.

“Banyak yang saya fikirkan,” jawabku.

“Tak sangka awak batalkan betul- betul sebelum lafaz akad,” kritik Furqan, biarpun bibirnya menguntum senyum lebar.

“Awak juga yang cakap tak apa,” balasku, mengerlingnya.

Furqan tergelak mendengar jawapanku. Aku tidak tahu hendak katakan apa kepada Furqan sebenarnya. Tidak kira apa pun, perasaan bersalah itu tetap ada.

“Ya, dan seperti mana yang pernah saya cakap, saya akan tetap sokong keputusan awak.”

Ah, makin kuat perasaan bersalah aku! Lebih mudah jika Furqan ialah seseorang yang aku benci, aku tidak perlu rasa begini.

“Saya minta maaf,” kataku.

“Sebab batalkan majlis perkahwinan kita? Kali kedua pula tu!” kata Furqan.

“Ya.”

“Hmm, tak apa. Lagipun awak bukannya cantik sangat pun!” komen Furqan, seraya mengerling aku.

“Hei!” desisku, menjeling lelaki itu.

Memanglah aku rasa bersalah tapi itu tidak bermakna dia boleh mengutuk aku pula!

Dia cuma tergelak. “Saya berguraulah!”

Kejam betul gurauan dia!

“Dari tadi awak asyik minta maaf saja. Sudah- sudahlah, semuanya dah selesai dengan baik,” kata Furqan.

“Tapi saya memang rasa bersalah. Tak kira berapa kali saya minta maaf pun, masih rasa tak cukup.”

Furqan menghela nafas. “Dah cukup, dah banyak kali awak ulang pun. Tak perlulah ulang lagi. Semua orang dah tahu awak rasa bersalah dan kami pun tak salahkan awak pun. Jadi tak perlulah cakap lagi.”

Aku cuma mengangguk. “Tapi saya nak ucapkan terima kasih pada awak juga.”

“Untuk apa?”

“Untuk sokongan awak tadi,” jawabku.

Furqan tersenyum. “Saya pernah cakap, kan? Saya akan sokong apa pun keputusan awak.”

“Kenapa tak beritahu semua orang hal yang sebenar kenapa saya nak kahwin dengan awak?” soalku, cuba menduga.

Furqan mendengus. “Nak kena marahkah? Awak mungkin kena marah, saya mungkin kena tumbuk lagi!”

“Awak ingat ayah saya suka menumbuk orangkah?” soalku dengan jengkel.

“Saya tak mahu cuba, nanti saya juga yang kena.”

“Awak tak buat salah, buat apa dia nak tumbuk awak.”

“Manalah tahu. Lagi satu, awak tak beritahu lelaki tu yang awak tak jadi berkahwin dengan saya?” tanya Furqan, tersenyum penuh makna.

“Untuk apa? Biarpun saya tak jadi kahwin dengan awak, dia masih akan kahwin dengan tunangnya,” jawabku dengan rasa jengkel.

Tiba- tiba pula dia bangkitkan hal ini. Hampir sepanjang hari aku lupakan hal ini, sekarang aku teringat balik. 

“Dia tak akan kahwin dengan tunangnya,” kata Furqan dengan yakin.

“Kenapa awak boleh cakap macam tu?” soalku, hairan dengan kata- katanya.

Furqan tersenyum. “Sebab saya tahu dia memang betul- betul cintakan awak.”

Terkejut aku mendengar. “Macam mana-”

“Saya jumpa dengan dia sebelum majlis akad nikah kita,” jawab Furqan.

“Bila?”

Seingat aku, baru semalam aku berbual dengan Hazriq. Tapi tidak ada langsung tanda- tanda dia berjumpa dengan Furqan.

“Pagi tadi, dalam pukul sepuluh pagi. Saya rasa saya dan dia ada perkara penting yang perlu kami selesaikan. Jadi saya telefon dia, minta untuk berjumpa. Dia pun setuju.”

Melopong aku mendengar. Jadi dalam beberapa jam tadi, mereka berdua berjumpa dan berbual?

“Tapi…macam mana…?”

Furqan memandang aku dengan raut wajah berlagak. “Awak ingat susah sangatkah saya nak cari dia? Biarpun awak beria- ia tak mahu saya tahu nombor telefon dia, saya masih ada cara untuk cari. Kan saya dah cakap, kami mesti berbual. Man to man!”

“Jadi awak pergi jumpa dia? Buat apa?”

Jangan cakap mereka bertumbuk pagi tadi! Tapi tidak ada kesan lebam atau luka pada Furqan, jadi aku boleh berharap yang ia tidak berlaku.

“Bercakap,” jawab Furqan, kemudian menghela nafas. “Secara jujur, saya tunggu peluang untuk tumbuk dia. Salah cakap sikit pun cukuplah. Tapi selepas dia jelaskan semuanya, saya pun boleh faham apa yang sudah berlaku.”

Ada apa dengan lelaki dan tumbuk menumbuk? Tak boleh bercakap dengan mulut? Kenapa hendak gunakan tangan?

“Saya dah cakap, kan? Awak cari dia lagi kenapa?” tanyaku dengan jengkel.

“Sebagai adik ipar awak, saya bertanggungjawab untuk jaga awak. Tambahan lagi, kalau kita jadi bernikah, saya jadi suami awak. Maka lebih besar tanggungjawab saya ke atas awak. Jadi tak salah apa yang saya buat,” jelas Furqan.

“Habis macam mana awak boleh berubah fikiran?”

“Saya boleh tahu yang dia benar- benar cintakan awak. Dia minta saya jaga awak sebaik mungkin. Siap beri amaran pada saya.” Furqan tergelak sinis. “Macam saya ni tak boleh diharap pula!”

Apa yang telah mereka berdua bualkan?

Furqan menghela nafas. “Walaupun saya tetap tak sukakan dia, tapi saya faham perasaan dia. Kalau dia begitu kecewa awak akan kahwin dengan saya, bayangkan perasaan dia nanti kalau dia tahu yang kita dah batalkan majlis kita. Entah- entah melompat sampai ke bintang!”

Ah, kenapa pula aku rasa malu!

“Kenapa wajah awak merah?” soal Furqan.

“Tak ada apa- apa,” gerutuku.

“Awak tak nak telefon dia?”

“Nantilah,” jawabku.

Furqan tersengih. “Betulkah?”

“Jangan sibuklah!” bentakku.

Furqan cuma tergelak dengan reaksiku.

“Tapi saya nak tanya lagi satu perkara. Sampai bila awak nak pakai macam ni?” tegur Furqan, menunjuk dari atas ke bawah.

Oh, aku lupa salin pakaian. Sekurang- kurangnya Furqan tidak lagi bersampin, tapi aku masih lengkap berbaju pengantin.

“Biarlah, bukannya selalu saya boleh pakai macam ni,” balasku dengan nada acuh tak acuh.

“Siapa kata tak boleh. Pakailah, siapa kisah. Pakai pergi kerja pun tak apa.”

“Awak ingat saya hilang akal?” tempelakku.

“Agaknya, memandangkan dah dua kali awak tak jadi kahwin!” balas Furqan tergelak- gelak.

“Hei!”

Makin kuat dia tergelak.

 

 

Jadi bagaimana sekarang? Patutkah aku beritahu Hazriq yang aku dan Furqan tidak jadi berkahwin? Apa agaknya reaksi dia nanti? Tapi apa yang hendak aku katakan nanti? Hampir lebih satu jam aku merenung telefon yang aku letakkan di hadapanku.

Hendak telefon. Jangan telefon! Telefonlah. Tak, jangan! Hesy, telefon sajalah! Tapi…

Ah, telefonlah!

Aku melarik skrin telefon untuk menelefonnya. Selepas tiga deringan, ada jawapan.

“Assalamualaikum.”

Suara seorang wanita.

“Waalaikumsalam,” jawabku. “Boleh saya cakap dengan Hazriq?”

“Rania?”

“Ya.”

“Ini Nurrul Azzwa.”

“Oh, kenapa awak ada telefon dia?” tanyaku, mula terasa tidak sedap hati.

“Saya dan dia sudah berkahwin. Jadi jangan telefon suami saya lagi. Saya tak akan maafkan awak kalau awak rosakkan rumah tangga kami,” kata wanita itu dengan nada yang tenang sebelum memutuskan talian.

Suami? Mereka sudah berkahwin?

“B-bila awak berdua berkahwin?” tanyaku.

“Petang tadi!”

“Nanti! Biar saya cakap dengan Hazriq dulu!” pintaku.

“Awak dah gila! Bahagian mana dalam kata- kata saya tadi yang awak tak faham? Jangan ganggu suami saya!” tengking Nurrul Azzwa.

Selepas itu dia terus memutuskan talian. Aku tidak bermimpikah tadi? Benarkah mereka berdua sudah berkahwin? Jadi pada hari aku sepatutnya disatukan dengan Furqan, Hazriq bernikah dengan Nurrul Azzwa.

Furqan cakap Hazriq tidak akan kahwin dengan tunangnya. Hazriq juga beritahu aku perkara yang sama. Habis yang mana satu yang betul?

Dengan tangan yang terketar- ketar, aku cuba menelefon beberapa kali tetapi panggilanku gagal disambung. Aku merenung skrin telefon yang gelap. Ternampak bayangku sendiri dengan air mata mengalir membasahi pipi. Aku segera mengesat air mata tetapi masih tidak berhenti mengalir. Malah semakin lama, semakin lebat air mataku. Akhirnya aku tidak dapat tahan lagi.