Tuesday, October 20, 2020

Bab 31

 

Hujung minggu, lelaki yang paling comel dalam hidup aku datang ke rumah untuk melawat. Siapa lagi kalau bukan Danish. Hai, makin comel dia!

“Dah besar Danish sekarang. Makin comel!” Aku mencuit hidungnya. Danish tergelak- gelak mengelak jariku.

Aunty Sofea yang memandang kami tersenyum sayu. Entah apa yang dia fikirkan. Adakah dia terkenangkan Dyana sekarang?

“Furqan apa khabar?” tanya ibu.

“Macam tu lah. Dah enam bulan Dyana meninggal tapi dia masih termenung. Dia tak tunjuk tapi sesiapa pun boleh perasan yang dia masih bersedih,” jawab Aunty Sofea.

“Semua orang pun rasa sedih dengan kematian Dyana. Dia anak saya, mestilah saya pun rasa sedih juga. Tapi kita tak boleh terus bersedih. Arwah pun tak mahu kita terus macam tu. Furqan mesti belajar untuk teruskan hidup,” nasihat ibu.

“Saya tahu. Saya pun harap macam tu,” kata Aunty Sofea.

Uncle Hadi dan ayah yang muncul dari laman mengambil tempat di depan kami. Mereka pasti ke laman belakang untuk melawat kebun sayur ayah. Selepas dia bersara, ayah menumpukan lebih banyak masa untuk kebun sayur itu. Sekarang hasilnya memang menggalakkan. Malah kami tidak perlu membeli banyak sayur untuk di makan seperti dulu.

“Kamu apa khabar Rania?” tanya Aunty Sofea.

“Khabar baik aunty,” jawabku.

Danish merengek meminta perhatian apabila kami bercakap. Aku menyuap sedikit kek yang kami sedang makan. Setiap suapan dibalasnya dengan terima kasih, membuatkan aku tersenyum kepadaku.

“Rania dah ada teman istimewa?” tanya Aunty Sofea.

Eh, kenapa tiba- tiba tanya soalan macam ni? Bukan aku saja, semua orang lain kecuali Danish merenung Aunty Sofea. Mereka juga pasti fikirkan perkara yang sama.

“Kenapa aunty?” tanyaku.

Aunty Sofea memandangku dengan pandangan sukar dimengertikan.

“Aunty ada permintaan untuk Rania.”

“Permintaan apa?” tanyaku, mula rasa tidak senang hati.

“Aunty nak minta kamu kahwin dengan Furqan!”

Terkejut besar aku! Malah rasanya bukan aku saja yang terkejut. Semua orang lain menunjukkan reaksi yang sama. Suasana sunyi. Yang kedengaran hanya gelak ketawa Danish Danish yang berlari di laman apabila bosan tidak dipedulikan kami.

“Kenapa tiba- tiba aunty cakap macam tu?” tanyaku.

“Bukan tiba- tiba tapi dah lama aunty fikirkan hal ni. Kamu pun tahu, Danish perlukan seorang ibu. Tak bolehkah kamu jadi ibu kepada dia? Bukan itu yang Dyana minta dari kamu?” tanya Aunty Sofea.

Memang itu yang Dyana mahu tapi untuk mengahwini Furqan, aku tidak fikir aku boleh lakukannya. Macam mana hendak berkahwin dengan dia jika hatiku milik orang lain? Lagipun Dyana tak minta aku kahwin dengan Furqan pun.

“Tapi apa kata Furqan nanti?” tanya ibu yang memerhatikan kami dengan dahi berkerut.

“Tapi ini untuk kebaikkan dia juga, apa salahnya? Mereka pun pernah bercinta. Mungkin lepas ni, perasaan lama tu akan berputik balik,” jawab Aunty Sofea.

Oh, mudahnya dia berkata- kata! Tapi bagi aku yang perlu laluinya nanti, semua ini tidak masuk akal!

“Tak eloklah kita buat semua ni tanpa berbincang dengan Furqan. Ini soal hidup dia juga,” kata Uncle Hadi.

“Saya nak yang terbaik untuk dia,  salahkah kalau saya buat macam ni? Saya tak nak tengok dia terus murung macam sekarang!” kata Aunty Sofea.

“Tapi bukan macam ni caranya! Saya pun nak yang terbaik untuk anak kita tapi kita kena fikirkan apa yang dia nak juga. Awak pun kena fikirkan pasal Rania juga!”

Aunty Sofea terdiam mendengar kata- kata Uncle Hadi. Suasana yang ceria tadi kini bertukar menjadi kekok. Bagaimana tiba- tiba boleh bertukar begini?

“Kamu tak nak kahwin dengan dia, Rania?” tanya Aunty Sofea.

“Bukan macam tu aunty tapi saya tak cintakan dia macam dulu lagi aunty. Perasaan saya dah berubah,” jawabku dengan jujur.

“Tapi cinta boleh dipupuk balik, kan?” pujuk Aunty Sofea.

“Tapi aunty-”

Aunty Sofea segera memotong kata- kataku. “Kamu ada orang yang kamu suka? Sebab tu kamu tak mahu kahwin dengan Furqan?”

Aku tidak menjawab. Serba- salah aku jadinya. Aku memang tidak mahu berkahwin dengan Furqan, kenapa Aunty Sofea tidak faham- faham? Kalau bukan kerana aku cintakan Hazriq pun, belum tentu aku hendak mengahwini dia.

“Ada baiknya kita bincang dengan Furqan juga sebelum buat keputusan macam ni. Dan biarkan dia dan Rania saja yang tentukan sama ada mereka nak berkahwin atau tidak. Tidak kira apa alasan kita, ini hidup mereka. Kita tak boleh nak ambil keputusan sesuka hati,” kata ayah.

“Betul tu! Saya pun tak mahu paksa Rania. Biar dia sendiri tentukan untuk terima atau tidak,” kata ibu.

Tidak perlu fikir, aku memang enggan terima! Aunty Sofea kelihatan sugul selepas itu. Entah berapa lama dia berfikir tentang hal ini. Sebelum pulang, dia menggenggam erat tanganku.

“Aunty harap Rania dapat fikirkan hal ni baik- baik. Fikirlah demi Danish juga. Dia perlukan seorang ibu,” pujuk Aunty Sofea.

Aku tidak memberi jawapan kepada kata- katanya. Aku memang kasihankan Danish yang tidak beribu tapi aku tidak fikir menjadi isteri kepada Furqan ialah penyelesaiannya. Habis apa patut aku buat?

 

 

Beberapa hari berlalu selepas itu. Aku tahu ibu dan ayah tertanya- tanya jawapanku tetapi mereka tidak bertanya. Barangkali mereka fikir aku perlukan masa untuk berfikir. Akhirnya ibu yang membuka mulut pada makan malam. Pasti dia penat menunggu.

“Rania, kamu ada fikir tentang permintaan Aunty Sofea kamu tu?” tanya ibu.

Ayah yang sedang makan juga berhenti, memberi tumpuan pada jawapanku.

“Ada ibu,” jawabku perlahan. “Tapi saya tak fikir saya boleh terima.”

Biarpun dengan bersolat istikarah dan berdoa, dia masih lagi tidak dapat aku bayangkan sebagai teman hidupku. Jawapan aku lagi yang aku perlu cari?

“Ibu dan ayah tak akan paksa kamu. Kalau kamu rasakan itu yang terbaik untuk kamu, kami akan setuju. Lagipun ini tentang hidup kamu,” nasihat ayah dengan panjang lebar.

“Betul tu, secara jujur ibu tidak kisah dengan siapa kamu kahwin. Ibu cuma harap kamu akan bahagia. Nanti kamu beritahulah kepada mereka. Jelaskan baik- baik, mereka akan faham,” nasihat ibu pula.

Aku mengangguk. Sekurang- kurangnya ayah dan ibu memahami dan menerima apa yang aku mahu. Nanti biarlah aku berjumpa dengan Aunty Sofea untuk menolak dengan baik. Aku tidak mahu dia terus berharap yang aku akan terima permintaannya itu.

 

 

Tapi niatku untuk berjumpa Aunty Sofea secara berdepan tidak dapat dilakukan sepanjang dua minggu ini. Dia dan Uncle Hadi telah pergi ke Johor untuk melawat Furqan. Mungkin juga mereka hendak berbual perkara ini secara berdepan dengan Furqan. Harap- haraplah Furqan tidak akan terima.

Tidak senang duduk juga aku memikirkan yang masalah ini belum selesai. Aku terfikir juga untuk memberitahu melalui telefon tapi Aunty Sofea kerap menukar topik apabila dia tahu aku akan menyatakan yang aku hendak menolak. Kadang- kadang panggilanku pun tidak berjawab.

Hujung minggu aku bertemu dengan Hazriq. Berkali- kali lelaki itu mendesak agar kami bertemu tetapi aku tolak atas alasan sibuk dengan kerja. Selepas sebulan, aku kehabisan alasan.

“Jauhnya, dah sampai ke mana?” tanya Hazriq dengan tersenyum. “Tak puaskah renung saya?”

“Huh?” Aku terpinga- pinga.

Rupa- rupanya aku termenung sambil memandang dia sejak tadi. Badan saja di sini tapi mindaku melayang entah ke mana. Malunya!

“Kenapa dengan awak ni?” tanya Hazriq, mengerut dahi.

Aku memandang wajahnya sekali lagi. Kalau aku tanya pendapat dia, apa agaknya yang dia akan cakap? Tolakkah? Terimakah? Tapi macam mana kalau dia minta untuk aku terima saja permintaan Aunty Sofea.

Aku akan simbah dia dengan jus oren ni!

Dia bukannya tidak tahu tentang perasaan aku pada Furqan selama ini. Lagipun dia kan pernah cakap dia penyokong kuat aku. Kalau dia nasihatkan aku untuk terima, dia memang nak kena! Tapi pendapat seseorang boleh berubah. Apa yang Hazriq fikir tentang Furqan sekarang? Hmm, betul- betul hendak tahu pendapat dia!

“Awak nak tahu sesuatu?” tanyaku.

Hazriq hanya memandang aku, tidak menjawab. Mungkin nadaku itu membuatkan dia tertanya- tanya tentang apa yang ingin aku ceritakan.

“Apa dia?” tanya Hazriq apabila aku masih membisu.

“Beberapa minggu yang lepas, Aunty Sofea dan Uncle Hadi datang ke rumah. Mereka bawa Danish datang melawat,” kataku.

“Pelik sangatkah kalau mereka datang? Bukan mereka selalu datang melawat?” Hazriq mengerut dahi.

“Bukan itu yang peliknya.”

“Habis tu?” tanya Hazriq, kali ini nampak tidak berminat apabila ceritaku tidak menarik perhatiannya. Dia mencapai gelasnya lalu minum.

“Aunty Sofea nak saya kahwin dengan Furqan,” jawabku.

Wah, aku suka respon automatik Hazriq! Terbeliak mata dia memandang aku. Hampir tersembur air yang diminumnya. Dengan selamba aku mencapai tisu lalu dihulurkan kepadanya. Cepat- cepat lelaki itu mengambil tisu yang aku hulurkan itu.

“Awak terima?” tanya Hazriq sambil mengesat mulutnya.

“Tak!” jawabku. “Tapi mungkin saya patut terima.”

“Kenapa?” tanya Hazriq. “Awak cintakan dia lagi?”

“Entahlah.”

Hazriq menjungkit kening. “Habis tu? Jangan terima! Dia pernah curang dengan awak, awak dah lupakah?”

“Tapi manusia boleh berubah,” kataku.

“Dia tak kan berubah!” bantah Hazriq.

“Macam mana awak boleh cakap macam tu? Awak bukannya kenal sangat dengan dia pun,” komenku.

Aku tidak berhasrat untuk menangkan Furqan tapi respon Hazriq memang mencuit hati sekarang. Aku menahan diri dari tergelak.

“Sebagai seorang lelaki, saya boleh tahu tentang lelaki yang lain. Jangan kahwin dengan dia! Kahwin dengan lelaki yang boleh hargai dan cintakan awak sepenuhnya,” kata Hazriq dengan penuh yakin.

Macam siapa? Awakkah? Tapi aku tidak mampu untuk ungkapkan soalan itu. Cukuplah sekadar bermain di mindaku. Hai, beruntungnya Nurrul Azzwa!

“Tak ada lelaki yang macam tu untuk saya,” kataku, menghela nafas. Aku segera menambah sebelum Hazriq membalas. “Tak perlulah risau, saya tak terfikir untuk terima pun sebenarnya.”

“Betulkah?” Hazriq nampak lega.

“Ya, saya berguraulah tadi!”

“Bagus! Tepat keputusan awak!” Hazriq tersengih lebar.

“Kenapa awak gembira saya tak mahu kahwin dengan dia?” tanyaku, mengerut dahi.

“O-oh, sebab saya tak mahu awak buat keputusan yang salah.”

Tergagap- gagap pula dia. Tapi aku tidak memberi komen. Aku hanya memandang ke luar tingkap, melihat orang ramai yang lalu- lalang di luar kafe.

“Saya tak terfikir untuk jadi isteri dia lagi. Antara saya dan dia, dah tak boleh kembali seperti dulu,” kataku.

“Tapi itu pendapat awak, bagaimana dengan dia?” tanya Hazriq.

Aku menjungkit bahu. “Kami dah lama tak berbual. Saya tak tahu apa yang dia fikir.”

“Awak rasa dia akan terima permintaan ibu dia?”

“Entahlah, saya tak pasti. Tapi mungkin tidak. Lagipun saya yakin dia masih tak dapat lupakan Dyana. Belum sampai setahun pun dia pergi,” jawabku.

Betul tu, cintanya pada Dyana tidak mungkin luput dengan mudah. Aku tahu betapa mendalamnya cinta lelaki itu kepada adikku.

 

 

Telefonku berdering sejak tadi tapi aku cuma merenung skrin dengan lama. Nombor Furqan yang terpamer di situ. Baru beberapa hari lepas kami berbual tentang dia. Sudah lama dia tidak menelefon, jadi aku terasa bagaikan aku bermimpi. Kali terakhir kami berbual di telefon ialah beberapa tahun yang lepas. Kenapa pula dia menelefon aku? Peliknya. Akhirnya aku larikkan tangan ke skrin untuk menjawab.

“Assalamualaikum,” kataku.

“Waalaikumsalam,” jawab Furqan. “Sibukkah?”

“Tak adalah sangat. Ada apa awak telefon saya ni?”

“Boleh kita jumpa hari ni. Saya ada hal penting nak bincangkan dengan awak. Berkenaan dengan pinangan dari mama tu,” kata Furqan.

Masalah tidak akan selesai jika melarikan diri. Lebih baik aku selesaikan semua ini dengan segera.

Aku menghela nafas. “Kita jumpa di mana?”

Monday, October 19, 2020

Bab 30

 

Selepas sebulan berlalu, hidup aku cuba diteruskan seperti biasa. Tapi sekali- sekala aku pasti teringatkan dia. Kadangkala aku akan mimpikan dia. Apabila terjaga aku sedar yang itu ialah mustahil. Dia tidak akan kembali lagi.

Tapi bukan aku seorang yang begitu. Kadang- kadang aku perasan ibu akan termenung seorang diri. Entah apa yang dia fikirkan. Kemungkinan besar sama seperti aku. Ayah yang paling nampak kuat di antara kami. Dia lebih banyak tersenyum dan bergurau. Aku tahu dia memang bersedih tapi dia cuba sedaya- upaya untuk sembunyikannya.

Kepada ibu dan ayah, aku ceritakan tentang permintaan terakhir Dyana supaya aku menjaga Danish bagaikan anakku sendiri. Permintaan itu tidak susah untuk ditunaikan. Lagipun aku mula rasa sayang pada anak kecil itu.

“Furqan hendak berpindah ke Johor,” kata ibu semasa kami makan malam seminggu sebelum itu.

“Dia berhenti kerja?” tanyaku, terkejut mendengar kata- kata ibu.

“Tak adalah, dia masih kerja di syarikat yang sama. Dia minta untuk ditukarkan ke cawangan syarikatnya di Senai,” jawab ibu.

“Siapa yang beritahu?” tanya ayah.

“Sofea,” jawab ibu. “Dia datang melawat semasa kamu berdua tak ada tadi.”

“Aunty Sofea macam mana?” tanyaku.

Ibu mengeluh. “Macam kitalah.”

Aku mengangguk, mengerti kata- kata ibu. Sama seperti kami, dia juga pasti berusaha untuk teruskan hidup seperti biasa.

 Aku tidak lagi bertemu dengan Furqan selepas dia berpindah. Dia terus sibukkan diri dengan kerja dan menjaga Danish. Mungkin itu cara terbaik untuk dia mengubat kesedihan di hatinya.

Satu perkara yang berubah ialah hubungan aku dengan Danish. Kami sudah menjadi semakin rapat sekarang. Kerap dia menelefonku dari Johor. Sekali- sekala dia akan pulang untuk berjumpa dengan Aunty Sofea dan Uncle Hadi. Setiap kali itulah dia meminta untuk berjumpa dengan aku. Terasa teruja mendengar dia memanggilku Mak Yong. Comel betul dia!

Rutin kerjaku juga diteruskan seperti biasa. Memandangkan aku kini di tahun akhir pengajian, aku cuba mengimbangkan pelajaran dan kerja sebaik mungkin. Bukan mudah untuk lakukannya tetapi aku harus cuba sebaik mungkin.

Sudah hampir sebulan juga aku tidak bertemu Hazriq. Beberapa hari selepas majlis pengebumian Dyana, dia sekali lagi di tugaskan ke luar kawasan. Kali ini keluar negara pula. Tapi hampir setiap hari dia menghubungi aku.

“Supaya awak tak rindukan saya!” katanya.

Nasib baik dia cakap melalui telefon, kalau tidak dia boleh tahu betapa merahnya wajahku.

“Mengarut!” Itu saja jawapanku.

Lelaki itu cuma ketawa. Tapi biarpun dengar suaranya setiap hari, aku masih teringatkan dia. Malu juga bila teringat macam mana aku menangis di depan dia tempoh hari. Nasib baik dia tidak pernah mengungkit hal itu. Beberapa hari yang lepas dia menghantar pesanan WhatsApp.

 

Saya akan sampai hujung minggu nanti. Kita jumpa untuk makan tengah hari, boleh tak?

 

Aku sudah menghantar jawapan membalas. Hatiku teruja untuk berjumpa dengan dia. Hai, dah parah aku ni!

Tapi aku terfikir juga, bagaimana kalau tiba- tiba hubungan kami dah tidak boleh begini lagi? Dia bukan milik aku, kan? Serabut setiap kali aku terfikirkan hal ini. Bersediakah aku untuk hidup tanpa kewujudan dia seperti sekarang?

 

 

Kerja di pejabat agak kucar- kacir hari ini. Fail laporan yang sedang aku siapkan tiba- tiba tidak boleh dibuka. Berkali- kali aku mencuba tapi aku mendapat mesej yang fail itu sudah rosak. Laporan ini memang aku perlu siapkan dengan segera dan serahkan hari ini juga. Sudahlah aku tidak buat fail sokongan. Habislah aku macam ni!

“Tolong hantar laporan tu, saya nak semak,” kata Encik Anas yang tiba- tiba muncul di hadapan mejaku. Bila dia pun aku tidak sedar.

“Maafkan saya encik. Saya memang patut siapakan hari ni. Malah saya dah hampir habis pun. Tapi fail tu rosak, saya tak dapat buka!” jelasku dengan hati yang kecut.

Berterus- terang memanglah membuatkan aku takut, tapi menipu pun tidak berguna juga. Daripada terkial- kial mencari alasan lain, lebih baik aku jelaskan saja perkara sebenar. Tepat ramalanku, wajah Encik Anas berubah.

“Tak boleh buka langsung?” soalnya.

“Saya tengah cuba file recovery. Walaupun tak dapat pulihkan semua, saya boleh sambung dari apa yang saya dapat nanti,” jawabku.

Encik Anas mengeluh dengan kuat. “Macam mana awak buat kerja sampai macam ni? Kalau tahu fail tu penting, buat fail sokongan! Habis sekarang macam mana? Saya juga yang susah!”

“Saya betul- betul minta maaf Encik Anas. Saya janji saya akan usaha untuk siapkan secepat mungkin. Insya Allah saya akan hantar hari ini juga.”

“Buatlah macam mana sekalipun, saya nak fail tu siap cetak dan letak atas meja saya hari ini juga!” arah Encik Anas sebelum kembali ke biliknya.

Jadi bertungkus- lumus aku sepanjang pagi untuk menyiapkan laporan. Data yang aku perolehi dari file recovery pun tidak banyak membantu. Hampir separuh dari apa yang telah aku siapkan hilang. Tapi itu lebih baik dari semuanya hilang. Aku juga masih ingat apa yang aku telah siapkan. Nampaknya aku akan makan mee segera di meja lagi untuk rehat hari ini.

Kak Diba dan Zura berbual- bual sambil sekali- sekala mengerling aku. Gosip apa pula kali ini? Setahu aku, aku tidak terlibat dengan apa- apa skandal sejak akhir- akhir ini. Lagipun keluargaku dan keluarga Furqan masih bersedih dengan kehilangan Dyana. Aku tidak ada masa untuk terlibat dengan perkara- perkara yang mengarut. Hesy, kalau tak ada kerja, lebih baik tolong aku! Tak nampakkah aku tengah sibuk ni?

Tiba- tiba Zura bangun menghampiri meja aku. Secara jujur aku memang terkejut. Dia dengarkah kata- kata aku tadi? Tapi aku cuma ucapkan di dalam hati. Aku perasan dia sempat mengerling Kak Diba dan wanita itu cuma tersenyum seraya menjungkit kening.

“Rania,” sapanya. “Dengar cerita tak?”

Aku cuma merenung gadis di depanku ini. Dia hendak ajak aku bergosipkah? Ini kali pertama dia menegur aku setelah sekian lama, dia hendak mengajak aku berbuat dosa?

Tapi Zura tidak menunggu aku menjawab. “Ada orang cakap dia dah bertunang!”

“Siapa?” soalku secara spontan.

“Boyfriend kaulah!” jawab Kak Diba dari mejanya.

“Siapa boyfriend saya?” soalku lagi. Hatiku mula rasa syak tapi aku segera nafikan.

“Hazriq!” jawab Zura dengan ceria.

Aku terus merenung Zura dengan terkejut. “Siapa cakap?”

“Staf dari syarikat dia datang tadi, mereka yang beritahu,” jawab Zura.

Kerana terkejut aku membisu. Nampaknya benar apa yang aku fikirkan tadi. Aku sepatutnya menafikan dia teman lelaki aku tetapi buat masa sekarang lidahku kelu.

“Kau tak tahukah?” tanya Kak Diba, tergelak- gelak.

Aku tidak menjawab. Semakin seronok mereka berdua dengan reaksi aku. Tak boleh begini. Aku menghela nafas, cuba kelihatan setenang mungkin.

“Dia baru balik dari Sydney, jadi kami tak jumpa lagi. Nanti dia beritahu agaknya,” kataku.

“Boyfriend kau bertunang pun, kau tak kisah? Bukan dengan kau, kan?” tanya Kak Diba.

“Dia bukan boyfriend saya!” kataku dengan suara agak keras.

“Hai, selalu berkepit ke sana sini, bukan lagi?” sindir Zura.

Terasa hendak tampar saja perempuan ini, tapi aku masih dapat menahan diri.

“Dia kawan baik saya!” kataku.

“Yalah tu!” sindir Zura lagi.

Kak Diba yang mendengar turut senyum sinis. Mereka berdua betul- betul buat aku meradang.

“Kalau dia bertunang pun kenapa? Apa kena- mengena dengan kamu berdua?” soalku.

Zura tergelak. “Memang tak ada kaitan dengan kami, tapi ada kaitan dengan kau!”

“Maksud kau?”

“Buah hati dah dirampas orang!” jawab Zura.

Kurang ajar! Terasa hendak lempar kertas di tangan aku ke wajahnya. Bukan dia saja, Kak Diba pun sama.

“Ada masa nak berbual lagi? Laporan kamu dah siap Rania?” tengking Encik Anas. Entah bila dia keluar dari biliknya dan bercekak pinggang berdekatan meja kami.

Zura segera kembali ke mejanya, pura- pura menaip di komputer. Kak Diba pula tiba- tiba membuka fail yang berada di atas mejanya sambil segera menaip. Pandai betul mereka berdua berlakon!

“Saya tengah siapkan,” jawabku.

“Kalau nak kerja, buat cara nak kerja! Jangan asyik nak berbual!” kata Encik Anas sebelum masuk kembali ke biliknya.

Aku cuba memberi tumpuan untuk menyiapkan kerja tapi kata- kata Zura terus bermain di mindaku. Benarkah dia sudah bertunang? Kenapa dia tak cakap apa- apa kepadaku? Walhal boleh dikatakan hampir setiap hari kami berbual melalui telefon. Kenapa pula dia hendak rahsiakan?

Tapi…mungkin juga kerana dia anggap aku bukan seseorang yang penting untuk diberitahu berita begini. Entah kenapa, berbanding semasa dikhianati Furqan, kali ini hatiku terasa lebih sakit. Adakah kerana Hazriq lebih istimewa dihatiku?

Aku sedar sejak dulu yang dia dan aku memang tidak boleh terlalu rapat, tapi aku yang degil. Sekarang dia dan jadi tunangan orang, aku patut berusaha dengan lebih kuat untuk menjauhkan diri. Tapi lebih senang bercakap dari melakukannya. Ah, apa patut aku buat sekarang?

Aku menggigit bibir, merenung laporan yang masih perlu disiapkan dan dihantar. Macam mana aku hendak fokus dengan kerja sekarang?

 

 

Tapi berjaya juga aku siapkan laporan biarpun aku terpaksa pulang lebih lewat dari biasa. Tapi secara jujur, aku tidak fikir ia sebagus hasil kerjaku sebelum ini. Memandangkan aku tidak dapat fokus lagi, aku hantar juga ke meja Encik Anas.

Setibanya di rumah, aku terus ke bilik. Aku beritahu ibu dan ayah yang aku ingin berehat kerana penat. Hendak makan pun terasa tidak berselera. Jadi lebih baik aku berehat di bilik.

Betulkah dia sudah bertunang? Tidak habis- habis aku fikirkan tentang hal itu. Apa kata aku telefon saja dia untuk bertanya. Tapi hendak cakap apa?

‘Awak dah bertunangkah? Kenapa tak cakap pun?’

Macam tukang sibuk pula. Tapi kami kawan, kan? Apa salahnya aku tanya begitu? Tapi kalau aku seorang kawan yang penting, mesti dia sudah beritahu aku. Ah, sakit hati pula bila difikirkan!

Telefonku bergetar, membuatkan aku berpaling. Macam tahu- tahu pula aku fikirkan dia. Aku menghela nafas, mencapai telefon.

“Saya akan pulang esok,” kata Hazriq.

“Saya tahu,” kataku dengan suara mendatar.

Dia diam seketika. “Kenapa awak macam tak bersemangat? Apa yang dah jadi?”

“Tak ada apalah.”

“Maksudnya ada apa- apalah tu.”

Aku membisu. Patutkah aku bertanya. Tapi aku memang hendak tahu. Hesy, tanya sajalah!

“Saya nak tanya sesuatu, boleh tak?” tanyaku.

“Tanyalah.”

“Saya dengar awak dah bertunang, betulkah?” tanyaku.

Dia diam seketika. “Siapa yang beritahu awak?”

Jadi dia tak nafikan.

“Kawan sepejabat,” jawabku. “Maksudnya, betullah?”

Sekali lagi dia membisu seketika. “Macam tu lah.”

Jadi benarlah khabar angin itu. Walaupun aku memang sudah bersedia, kenapa aku masih rasa kecewa?

“Tahniah!” ucapku, walau hatiku terasa pedih. “Bila majlis perkahwinan awak?”

“Tak tahu! Mereka tak bincang dengan saya pun!” jawabnya dengan dingin.

“Ya kah?”

“Rania.”

“Ya?”

“Saya bertunang pun atas kehendak keluarga. Mereka buat kejutan semasa saya sampai balik semalam,” jelasnya.

Habis apa bezanya? Ia tetap tidak mengubah apa- apa. Aku membisu. Hendak bercakap dengan dia lagi pun terasa berat hati sekarang.

“Awak dengar tak saya cakap tadi?” tanya Hazriq.

“Dengar,” jawabku, menghela nafas.

“Saya…kita…” Dia pula mengeluh. “Boleh kita jumpa esok? Kita dah janji untuk makan tengah hari, kan?”

“Pasal tu…saya nak minta maaf. Saya…sibuk sikit minggu ni. Minggu peperiksaan dah dekat. Jadi saya kena banyak mengulangkaji.”

“Macam tu.”

Kami sama- sama membisu. Hatiku benar- benar sakit sekarang.

“Saya nak tidur sekarang. Assalamualaikum,” kataku.

“Baiklah, waalaikumsalam.”

Aku menggigit bibir, meraup muka dengan kedua tangan. Semua ini salah aku! Aku yang tidak sedar diri, terus biarkan perasaan tu wujud antara kami. Sekarang siapa yang merana? Aku juga, kan?

 

 

Esoknya hampir separuh pagi aku dileter oleh Encik Anas. Seperti yang aku duga laporan yang aku telah siapkan semalam memang tidak memuaskan hatinya langsung. Tapi aku langsung tidak dapat berikan tumpuan kepada apa yang dia katakan. Di dalam kepalaku tidak habis- habis memikirkan satu perkara saja.

Dia dah bertunang.

Dia dah bertunang.

DIA DAH BERTUNANG!

Hai, sakitnya hati!

“Faham tak?” tanya Encik Anas.

Laju saja aku mengangguk. Entah apa yang dia leterkan tadi.

“Saya nak awak baiki dan hantar balik!” Encik Anas menghempas laporan itu di depanku. “Setakat laporan macam ni, budak sekolah pun boleh buat lebih baik dari awak!”

Tanpa banyak soal, aku meminta diri lalu kembali ke mejaku. Zura dan Kak Diba seperti biasa berbisik- bisik, kemudian tergelak- gelak apabila nampak aku. Ada lagi gosip tentang akukah? Lebih baik aku cuba tumpukan pada kerja. Tidak ada benda yang baik pun yang keluar dari mulut mereka berdua tu!

Tapi Zura bangun mendekati aku, sama seperti semalam. Kak Diba pula memberi sokongan dari jauh kepadanya, juga sama seperti semalam.

“Rania, kau nak tengok tak gambar tunang Hazriq?” tanya Zura dengan penuh konspirasi. Bibirnya mengukir senyum penuh makna. Dia menunjuk ke telefon yang berada di tangannya.

Okay, secara jujur aku memang hendak tengok! Tapi aku masih dapat menahan diri dari merampas telefon itu. Mestilah aku teringin benar untuk melihat siapa orang yang sangat istimewa di hati Hazriq itu.

Tapi aku mesti bersabar. Jangan tunjukkan yang aku sangat berminat. Kalau tidak mereka berdua akan menang.

“Tak berminat!” jawabku dengan nada acuh tak acuh. Wah, aku bangga dengan diri sendiri!

Zura nampak keliru. “Kau tak mahu tengok wajah orang yang dah berjaya kalahkan kau tu?”

Wahai hati, bersabarlah! Jadi terpengaruh dengan pujukan syaitan yang menggoda aku supaya menampar perempuan ini!

“Tak ada kalah atau menang dalam hal ni. Kami bukannya bertanding acara sukan!” tempelakku.

Zura dan Kak Diba bertukar senyuman.

“Dia memang cantik, sesuai dengan Hazriq!” kata Zura, membuatkan hati aku terbakar.

“Habis, kenapa?” soalku dengan nada dingin.

Jangan kalah, Rania! Jangan kalah dengan mereka!

“Kamu berdua tak ada kerjakah?” soalku dengan suara keras. Aku menumpukan perhatian kepada monitor komputer di hadapanku.

Mereka berdua sama- sama tergelak, membuatkan rasa marahku makin membuak- buak.

“Tak ada kerjakah?”

Sekali lagi Encik Anas jadi penyelamat. Tepat masanya dia datang. Aku memang sudah tidak dapat bersabar lebih dari ini. Mereka berdua, sama seperti semalam, tiba- tiba sibuk menaip entah apa. Memang pelakon terbaik!

Tapi malang bagi mereka, kali ini lama juga Encik Anas berdiri sambil bercekak pinggang merenung kami bertiga. Aku tidak pasti apa yang mereka sibuk taipkan tanpa henti. Hampir lima belas minit barulah Encik Anas masuk kembali ke dalam biliknya. Mereka berdua serta- merta berhenti menaip dan kelihatan termengah- mengah.

Secara jujur, hatiku memang mendesak supaya aku melihat wajah gadis bertuah itu. Tapi bila difikirkan semula, untuk apa? Yang pentingnya orang itu bukan aku. Jadi tak ada gunanya, kan?

 

 

Beberapa hari selepas itu, dia menelefon lagi.

“Boleh kita jumpa minggu ni?” tanya Hazriq.

“Maaf, saya sibuk! Ada assigment yang saya kena hantar pada kelas akan datang,” jawabku.

Aku tidak ada sebarang tugasan yang perlu dihantar sebenarnya. Peperiksaan pun sudah dekat.

“Ya kah? Lain kali sajalah,” katanya dengan nada kecewa.

Tapi tak ada lain kali itu. Pelbagai alasan aku berikan kepada dia. Ada kelas. Ada kerja berkumpulan. Ada sesi ulangkaji dengan teman sekuliah. Ada hal keluarga. Ada mesyuarat. Lama- kelamaan, aku semakin kehabisan idea. Aku pasti dia sendiri sedar yang semua ini tidak masuk akal. Sebelum ini aku memang sibuk tapi tidaklah sesibuk begini. Lambat- laun aku terpaksa berdepan dengan dia juga.

Paling tidak tahan aku masih rindukan dia. Terasa ingin menatap wajah dia. terasa ingin berbual dengan dia.

Tapi aku sudah buat keputusan, jadi aku mesti tetapkan hati. Memang kami masih boleh berkawan tapi bukan buat masa sekarang. Tunggulah hatiku menjadi lebih kuat, jadi aku tidak akan goyah.

Masalahnya bila? Hati, kenapa lebih senang untuk goyah tapi susah bila hendak menjadi kuat?

 

 

Usahaku mengelak dari bertemu dia berentetan dari beberapa hari hingga ke beberapa minggu. Wah, aku sendiri kagum dengan kekuatan aku! Tak sangka aku mampu bertahan selama ini.

Caranya mudah saja. Jika kehabisan alasan, jangan angkat panggilan dia. Jangan balas mesej dia. Jangan teringatkan dia. Tapi yang terakhir itu susah sikit. Tapi asalkan terus mencuba pasti ada jalannya, insya Allah. Kadang- kala dia datang ke pejabat untuk mencariku tapi aku bersembunyi hingga dia pergi.

Tapi setakat itu sajalah aku dapat bertahan dari bertembung. Nasib baikku itu nampaknya tidak berlarutan. Menjelang hampir lebih sebulan aku berusaha, dia sendiri mencari aku dengan lebih drastik.

Petang itu aku pulang lebih lewat dari biasa. Apabila sampai ke tempat meletak kenderaan, aku nampak Hazriq menungguku di kereta. Dari cara dia bersandar sambil merenung kejauhan, nampaknya dia memang sudah lama menunggu di situ. Macam mana aku hendak elakkan dari bertemu dia sekarang? Tak kan aku tidak balik ke rumah?

Aku menghela nafas. Sudahlah, baik selesaikan saja hal ni hari ini. Mengelak pun tidak ada gunanya. Sampai bila aku hendak buat begitu?

Dia yang bersandar di keretaku segera meluruskan badan apabila nampak aku sampai.

“Kenapa awak ada di sini?” tanyaku.

“Saya nak jumpa awak!” jawabnya.

“Jadi awak tunggu saya di kereta?” soalku, menjungkit kening.

“Kalau saya tak buat begitu, entah apa lagi alasan yang awak akan bagi.”

Aku tidak membalas. Tanganku meraba- raba mencari kunci.

“Kenapa saya rasa awak mengelak dari jumpa saya?” tanya Hazriq apabila terlalu lama aku membisu.

“Saya rasa kita tak sepatutnya kerap jumpa macam ni,” jawabku.

“Kenapa?”

“Sebab awak dah jadi tunang orang!” jelasku separuh meninggi.

“Habis tu kenapa?” soal Hazriq.

Dia tidak faham apa pura- pura tidak mengerti? Perlukah aku jelaskan dengan panjang lebar kenapa dan mengapa?

“Secara jujur saya tidak berhasrat untuk bertunang pun. Tapi tiba- tiba saya ditunangkan. Lepas tu, awak pula tak mahu jumpa saya lagi. Apa patut saya buat sekarang?” Dia kelihatan marah.

“Kenapa pula awak tak mahu bertunang?” soalku hairan.

“Sebab bukan itu yang saya mahu sekarang!”

Aku benar- benar keliru sekarang.

“Saya minta sangat- sangat pada awak, jangan berubah! Saya tak mahu keadaan kita jadi macam ni,” rayu Hazriq.

“Tapi tak eloklah saya selalu jumpa awak. Azzwa tak akan suka saya rapat dengan tunang dia,” nasihatku, walaupun hatiku ingin benar mengiyakan kata- katanya.

Hati janganlah goyah!

“Saya tak peduli apa yang dia fikir!” Hazriq benar- benar marah.

Wah, kenapa pula? Pelik benar reaksinya.

“Kenapa dengan awak ni?” soalku.

“Saya tak mahu kehilangan awak! Sebab kes bertunang ni, nak jumpa awak pun dah tak boleh!”

Hah, makin keliru aku! Macam mana kalau Nurrul Azzwa dengar semua ni? Pasti dia fikir aku sudah sihirkan tunang dia sampai dia bercakap macam ni!

“Awak jangan macam ni. Nanti apa orang fikir?”

Hazriq merenung aku. “Sebab tu sajakah awak tak mahu jumpa saya?”

“Perlu sebab lainkah?” soalku kembali.

“Jadi kalau saya berkahwin, awak tak mahu jumpa saya langsung lepas ni?” soal Hazriq kembali.

“Tak adalah sampai macam tu,” jawabku.

“Tapi itu yang awak buat sekarang!” tempelak Hazriq dengan marah.

Aku menghela nafas. Bagaimana aku hendak jelaskan kepada dia? Dia langsung tidak mahu dengar kata- kata aku.

“Awak…seseorang yang penting dalam hidup saya,” kata Hazriq.

“Maksud awak?” soalku dengan dada berdebar- debar.

“Saya…kita…” Dia nampak gugup.

Aku rasa jantungku bagai hendak tercabut menunggu dia menyambung kata- katanya.

“Kitakan kawan baik!” katanya.

Terasa hendak marah pula.

“Jadi?” soalku.

“Kawan jumpa kawan tak kan salah?” soal Hazriq.

“Tapi saya risau tunang awak-”

Hazriq terus memotong. “Jangan risaukan dia! Saya akan cakap dengan dia nanti!”

Aku merenung Hazriq, tidak membalas.

“Saya tak mahu kehilangan awak…sahabat baik saya,” katanya.

Ya, sahabat baiknya! Asyik- asyik ulang ayat itu! Tapi apa yang aku mahu dengar? Lebih dari itu? Berhentilah bermimpi dan hadapi realiti ini, Rania Aisyah! Aku harus sedar siapa dia dan siapa aku.

Aku merenung wajah Hazriq, seraya menghela nafas. “Okay.”

“Okay?”

“Saya pun tak mahu kehilangan kawan baik saya ni,” jawabku.

Hazriq menghela nafas. Dia mengukir senyum lebar di bibir.

“Tapi kita dah tak boleh jumpa kerap sangat macam dulu. Tak kira apa pun, awak tu tunang orang. Saya tak mahu cari pasal dengan Azzwa,” kataku.

Hazriq mengangguk, laju. “Saya faham.”

“Kita jumpa untuk lunch,” kataku lagi.

“Esok?”

“Ya, esok! Saya nak balik, dah lewat ni.”

Dia segera menjarakkan diri jauh dari pintu kereta. Tapi sempat pula dia bukakan pintu kereta apabila aku menekan kunci.

“Jumpa esok!” katanya.

“Ya, baiklah!” balasku.

“Janji?”

“Janji!”

“Betul awak janji?” tanya Hazriq lagi.

“Ya, saya janjilah!” jawabku.

“Betul? Tak tipu?” tanyanya lagi.

“Betul!”

“Betul?”

Okay, aku mula rasa marah. “Tak jadilah!”

“Eh, kenapa?” Hazriq nampak terkejut.

“Sakit hati dengan awak!” jawabku.

“Sorry, sorry!” Cepat dia membalas. “Okay, esok!”

 “Saya balik dulu, assalamualaikum,” kataku.

“Waalaikumsalam,” jawab Hazriq.

Dia menunggu hingga aku benar- benar pergi. Betulkah keputusan aku ini? Tapi mungkin ini yang terbaik. Tiba- tiba menjauhkan diri, hatiku juga yang parah. Dia juga nampaknya sama dan tidak faham. Biarlah kami belajar secara perlahan- lahan untuk menjarakkan hubungan kami. Dia mungkin tidak rasa apa- apa tapi aku yang terasa kesannya. Tiba- tiba aku rasa sunyi.