Sunday, October 18, 2020

Bab 29

 

‘Tiap- tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan’

-          Al-‘Ankabut, ayat 57

 

Aku tidak pasti bagaimana aku berjalan keluar dari bilik itu. Aku juga tidak pasti bagaimana aku boleh beritahu mereka yang Dyana sudah tidak ada lagi. Segalanya bagaikan mimpi buatku.

Apa yang berlaku seterusnya juga samar- samar bagiku. Yang aku ingat hanyalah aku duduk di kerusi di luar Unit Rawatan Rapi. Ibu dan Aunty Sofea sama- sama menangis sambil berpelukkan. Danish yang sedang didukung oleh Aunty Sofea juga mula menangis walaupun dia mungkin tidak mengerti apa yang berlaku. Ayah sendiri nampak mengalirkan air mata. Uncle Hadi nampak sedih tetapi dia saja tidak menangis.

Furqan pula, menunjukkan reaksi yang paling teruk di antara kami. Lelaki itu terduduk di lantai, menangis semahu- mahunya. Dia memanggil- manggil nama Dyana. Biarpun cuba ditenteramkan oleh ayah dan Uncle Hadi, dia masih lagi tidak berhenti menangis.

Aku tidak tahu sama ada aku menangis atau tidak. Sejak keluar dari bilik itu, aku terus duduk dan tidak berganjak dari kerusi itu. Hendak ke mana, hendak buat apa seterusnya, aku tidak tahu. Aku bagaikan masih belum dapat menerima kenyataan ini.

“Ini semua salah kau!” tengking Furqan secara tiba- tiba.

Aku merenung Furqan, tidak membalas kerana terkejut dengan kata- katanya. Kenapa pula dia kata begitu? Bukan saja aku, mereka yang lain juga sama. Dia yang tadinya menangis semahu- mahunya, tiba- tiba menengking bagaikan singa.

“Apa yang kau dah cakap pada dia? Macam mana dia boleh tiba- tiba mati? Mesti kau dah cakap sesuatu yang sakitkan hati dia, betul tak?” soal Furqan bertalu- talu.

“Aku tak cakap apa- apa pun. Kenapa dengan kau ni?” tanyaku pada Furqan.

“Semua ni salah kau! Sekarang kau dah puas hati?”

“Astaghfirullah, aku tak buat apa- apa pun! Susah sangatkah nak fikir semua tu?” soalku.

“Mana aku tahu! Dia jumpa kau sebelum dia mati. Mesti kau dah cakap apa- apa pada dia. Kalau tak dia tak akan meninggal, kan?”

Dia pasti sudah hilang akal jika sampai begitu sekali dia berfikir.

“Aku tak cakap benda yang bukan- bukan pada dia. Sudahlah, dia dah tak ada. Jangan jadi macam ni!” jelasku walaupun sedar dia tidak akan terima.

Furqan tergelak sinis. Matanya nampak liar. Dia membuatkan aku rasa takut.

“Eh, aku tak rasa ada istilah macam tu dalam hidup kau! Hati kau ni hitam! Entah apa kau dah cakap pada dia. Kalau dia jumpa aku masa tu, mungkin dia masih hidup sekarang!”

PANG! Hampir terjatuh Furqan ditampar sekuat itu. Aku berpaling, melihat tangan ibu yang masih diangkat dekat dengan wajah Furqan. Wajah ibu kelihatan benar- benar marah.

 “Mengucap Furqan! Ingat kepada Allah! Ibu tahu kamu sedih tapi Dyana bukan hanya isteri kamu. Dia anak ibu dan ayah, adik Rania, ahli keluarga kami juga! Kami pun sedih, sama macam kamu. Kematian Dyana langsung tidak ada kaitan dengan Rania,” kata ibu. “Kamu dah lupa pada Qada’ dan Qadar Allah? Kenapa nak letakkan salah pada orang lain?”

Furqan tidak menjawab. Dia duduk bersandar di dinding. Wajahnya benar- benar pucat.Seketika kemudian, beberapa titis air mata menitis di pipi Furqan. Dia mula menangis kembali, walaupun tidak seteruk tadi. Keadaan itu menyebabkan marah ibu reda. Ibu duduk bertentangan dengannya. 

“Ibu pun sedih atas kematian dia, dia anak ibu. Ibu mana yang tak sedih bila anaknya meninggal lebih dahulu darinya. Tapi jangan terus- terusan begini. Dia dah tak ada Furqan. Biarkan dia pergi dengan tenang,” nasihat ibu dengan sebak.

“Kenapa dia tinggalkan saya?” tanya lelaki itu, masih menangis.

“Ini ketentuan Allah, bukannya Dyana minta untuk jadi begini. Kita hanya makhluknya. Sampai masa, kita akan pergi juga. Kita kena terima Qada’ dan Qadar yang ditetapkannya,” nasihat ibu.

Furqan meraup wajahnya dengan kedua tangannya. Tangisannya bagai tidak dapat dihentikan lagi.

Aku sendiri ingin menangis melihat dia. Memang aku sedih dengan pemergian Dyana. tapi bagi Furqan, dia bagaikan kehilangan separuh nyawanya.

“Janganlah menangis lagi. Kuatkan hati kamu. Kamu masih ada Danish. Dia perlukan seorang ayah,” kata ibu.

Furqan tidak membalas. Dia hanya mengangguk, cuba menenangkan diri. Tapi dia masih lagi menangis. Ibu mengesat air mata, bingkas bangun untuk duduk di sebelahku. Dia terus memeluk bahuku.

Ya Allah, berikanlah kami kekuatan untuk menempuh dugaan ini. Kuatkanlah hati kami. Kami hanyalah hamba Mu yang lemah.

 

 

Memandangkan Furqan masih lagi belum bertenang, Uncle Hadi dan ayahlah yang menguruskan untuk membawa pulang jenazah Dyana. Jenazahnya akan dihantar ke rumah kami untuk diurus dan dikebumikan. Uncle Hadi dan Aunty Sofea bersetuju supaya jenazah Dyana dikebumikan di tanah perkuburan berdekatan tempat tinggal kami.

Semasa menunggu proses itu selesai, Danish berlari- lari di koridor. Anak kecil itu nampaknya bosan menunggu. Memandangkan semua orang berada berdekatan kaunter untuk menguruskan hal ini, tinggallah aku dan Furqan untuk menjaga anak itu. Tetapi walaupun Furqan juga ada di situ, dia masih duduk mematung. Tapi sekurang- kurangnya dia tidak lagi menangis. Selepas seketika berlari- lari, Danish tiba- tiba menghampiri aku.

“Mama mana?” tanya anak kecil itu. “Tak bangun lagi?”

Ya Allah, bagaimana aku hendak terangkan kepada dia? Soalan Danish membuatkan aku terasa ingin menangis. Aku menarik nafas, mencari kekuatan. Aku perlu tabah untuk anak ini. Aku sempat mengerling Furqan tapi lelaki itu nampaknya tidak mampu berbuat apa- apa sekarang. Dia masih lagi kelihatan terlalu sedih.

Aku mengangkat Danish, mendudukkan dia di kerusi. Aku cuba tersenyum, walaupun dalam hati aku benar- benar menangis sekarang.

“Mama tidur sayang. Mama tak akan bangun lagi,” jelasku dengan sebak.

“Kejutkanlah, nanti mama bangunlah,” kata Danish Danish.

“Dia tak akan bangun lagi. Mama Danish dah pergi jumpa Allah.”

“Tapi kenapa dia tak bawa Danish? Dia tak sayangkan Danish?” tanya anak itu.

“Dia sayangkan Danish tapi dia tak boleh bawa Danish. Danish kena duduk sini dulu. Sampai masa Danish akan jumpa mama juga,” kataku.

Danish mula menangis. “Tapi bila? Danish nak jumpa mama sekarang!”

Aku kelu, tidak tahu apa yang boleh aku katakan lagi. Tiba- tiba Danish yang diriba aku diangkat oleh sepasang tangan yang kuat. Aku mendongak, melihat Furqan mendukung Danish. Walaupun dia masih kelihatan bersedih, dia nampaknya menguatkan diri. Mungkin dia sudah menerima nasihat ibu. Biarpun Dyana sudah tiada, dia masih ada seorang anak yang memerlukan seorang ayah di sisinya.

 

 

Orang ramai mula memenuhi rumah untuk menziarahi jenazah. Bacaan Surah Yaasin kedengaran dari beberapa kawasan di dalam rumah. Jenazah akan dikebumikan selewat- lewat jam sebelas esok untuk memberi kesempatan kepada sesiapa yang ingin menziarah dan membuat persiapan untuk pengebumian.

Aku merenung Furqan yang duduk berdekatan jenazah Dyana. Sejak pulang dari hospital, di situlah dia berada, tidak henti- henti membacakan Surah Yaasin buat arwah isterinya. Perasaan lelaki itu pasti masih berkecamuk. 

Telefonku tiba- tiba bergetar dengan nama Hazriq terpamer di skrin. Aku segera bingkas bangun untuk menjawab.

“Saya dah sampai di Selangor. Awak ada di hospital mana?” tanya Hazriq.

“Astaghfirullah, saya minta maaf. Saya terlupa nak beritahu awak. Sebenarnya...Dyana dah tak ada. Jenazah dia pun kami dah bawa balik.”

“Innalillahhiwainnailahirajiun.”

Kami berdua sama- sama membisu. Aku berpaling melihat beberapa wanita membaca Surah Yaasin hampir dengan jenazah Dyana. Melihat dia yang kini kaku begitu, mataku berkaca- kaca. Mendengar suaranya membuatkan aku terasa ingin menangis.

“Saya dah hilang dia. Dia dah tak ada,” kataku dengan rasa sebak.

“Sabarlah, Allah lebih sayangkan dia,” kata Hazriq. “Bila dia akan dikebumikan?”

“Esok dalam pukul sebelas.”

“Macam tu. Saya faham awak rasa sedih sekarang tapi saya harap awak banyak- banyakkanlah bersabar.”

“Saya tahu, saya akan cuba.”

“Saya akan cuba datang untuk majlis pengebumian esok.”

“Baiklah.”

Aku menghela nafas, merenung mereka yang masih mengaji. Bagaikan tidak percaya dia telah pergi buat selamanya. Perlahan- lahan aku masuk, duduk berdekatan jenazahnya. Untungnya aku masih lagi dalam keadaan berwuduk, jadi tanganku terus mencapai Surah Yaasin. Perlahan- lahan aku mula membaca.

 

Dyana adikku,

Maafkan kakak kerana menyakiti hati kamu semasa kamu cuba untuk membetulkan kesalahanmu dengan kakak. Kakak khilaf kerana terlalu ego dan hanya berfikir tentang hati kakak yang disakiti. Kakak lupa tentang apa yang lebih penting antara kita. Persaudaraan kita. Hubungan kita. Kamu hanya satu- satunya adik kakak tapi kakak singkirkan kamu hanya kerana seorang lelaki. Sekali lagi maafkanlah kakak. Ini hadiah terakhir kakak untukmu. Damailah kamu di sana. Insya Allah, jika diizinkan, kita bertemu lagi di Padang Masyar nanti.

 

 

Suasana suram dan sayu mengiringi majlis pengkebumian jenazah Dyana. Cuaca yang pada awalnya cerah kini mendung. Aku mengikut hingga ke kawasan perkuburan kerana aku ingin melihat hingga ke akhirnya. Aku juga ingin mengiringi dia ke perjalanan terakhir di dunia ini.

Danish yang didukung Furqan kelihatan resah. Semalam, semasa kami mengaji di sisi jenazah, anak kecil itu beberapa kali menghampiri jenazah Dyana, cuba untuk mengejutkannya. Akhirnya Aunty Sofea yang menangis teresak- esak mendukung anak kecil itu pergi.

Hari ini juga sama. Dia nampaknya tahu mayat yang dikafankan itu jenazah ibunya. Sejak tadi dia asyik merengek. Bila diletakkan ke bawah, dia menerpa ke arah keranda. Akhirnya Furqan terus mendukung biarpun dia merengek berkali- kali.

“Kenapa mama tak bangun?” tanya Danish.

Furqan tersenyum pahit, mengusap kepala anak tunggalnya itu.

“Mama tak akan bangun lagi,” jawab Furqan.

“Kenapa?”

“Mama akan tidur selamanya, mama dah meninggal,” jawab Furqan.

Danish nampak terpinga- pinga. “Meninggal tu apa?”

Furqan tidak menjawab, sebaliknya memeluk erat anaknya. Air matanya tidak mengalir tetapi aku tahu yang dia menangis semahunya di dalam hati.

Aku memandang ibu yang kelihatan tenang. Walaupun wajahnya tidak menunjukkan apa- apa, tapi aku yakin yang dia sebenarnya sangat bersedih. Ibu mana yang tidak merana apabila anaknya meninggal sebelum dirinya. Tapi setenang- tenang dia, air matanya mengalir juga apabila jenazah Dyana diturunkan ke dalam liang lahat.

Aku berpaling apabila sedar seseorang berdiri terlalu dekat denganku.

“Bila awak datang?” bisikku, hairan melihat Hazriq berdiri di sebelahku.

“Tadi,” jawabnya. “Saya nak berada di sini bersama awak. Ini saja yang saya mampu lakukan untuk awak.”

Aku tersenyum tawar. “Terima kasih!”

Dia hanya mengangguk. Kami kembali memberi tumpuan kepada bacaan talkin. Semua orang diam mendengar. Sekali- sekala terdengar esak tangis Aunty Sofea yang tidak dapat menahan kesedihan, biarpun ditenangkan oleh Uncle Hadi.

 

Maha Suci Tuhan yang menjadikan lubang kubur sebesar-besar pengajaran untuk menjadi iktibar kepada orang yang lalai, dan sebesar-besar amaran kepada orang yang masih hidup.

 

Ingatlah! Bahawa sekalian mahluk Allah akan jahanam dan binasa, melainkan zat Allah Taala. Ialah Tuhan yang Maha Besar kuasa menghukum, manakala kita sekalian akan kembali menghadap hadirat Allah Taala.

 

Aku menghela nafas, secara tiba- tiba aku teringat senyumannya. Lesung pipitnya yang dalam menyerlahkan setiap kali dia tersenyum. Gelak tawanya. Senda guraunya. Aku juga teringat pergaduhan kami. Saat- saat terakhirnya. Semuanya bagaikan wayang yang bermain di mindaku.

 

Siapakah Tuhan kamu?

Siapakah Nabi kamu?

Apakah agama kamu?

Apakah kiblat kamu?

Siapakah saudara kamu?

Apakah pegangan iktikad kamu?

Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu?

 

Aku berpaling apabila terdengar Danish merengek. Furqan segera menenangkan si kecil itu.

 

Bahawasanya hari Kiamat tetap akan adanya, begitu juga Tuhan yang maha berkuasa akan membangkitkan semula orang-orang yang di dalam kubur. Di akhirnya kami ucapkan selamat berpisah dan selamat tinggal kamu disisi Allah Taala.

 

Aku tidak dapat  mendengar bacaan talkin itu hingga ke akhir. Tiba- tiba air mataku berjujuran. Buru- buru aku beredar ke ruang meletak kenderaan. Kenapa aku menangis pula? Tadi aku masih dapat menenangkan diri.

“Awak tak apa- apa?” tanya Hazriq.

Jadi dia mengikut aku hingga ke sini. Aku hanya menganggukkan kepala kepada soalannya.

“Tiba- tiba saya menangis macam ni!” kataku.

Hazriq hanya mengangguk. Bacaan talkin masih sayup- sayup kedengaran dan sudah sampai ke penghujung.

“Kalau tak mahu tak payahlah kembali ke sana,” kata Hazriq, menghulurkan tisu kepadaku.

Bila pula dia dapatkan tisu? Tapi aku ambil tanpa menyakan soalan itu kepadanya.

“Siapa kata saya tak nak balik? Saya nak baliklah! Saya memang nak balik ke sana,” kataku, masih lagi menangis. “Tapi tak bolehlah kalau macam ni!”

“Ya, saya tahu.”

“Kenapa saya tak boleh berhenti menangis ni?” soalku, terus tersedu- sedu.

“Ya, saya faham,” kata Hazriq dengan sabar. “Tenangkanlah diri awak dulu.”

Aku membisu, cuba mengawal diri, tapi air mataku terus mengalir. Akhirnya hingga tamat bacaan talkin pun aku masih menangis. Selepas itu orang ramai mula meninggalkan kawasan perkuburan. Yang tinggal cuma keluarga kami. Mereka mengambil masa yang agak lama sebelum turut berjalan keluar.

“Saya kena pergi. Ibu mesti cari saya nanti,” kataku, mengesat air mata.

“Baiklah,” kata Hazriq.

“Terima kasih sebab datang ke sini, temankan saya,” kataku lagi.

Hazriq cuma tersenyum kecil. “Awak ni… Hal kecil macam ni, tak perlulah nak ucap terima kasih!”

Aku hanya tersenyum tawar membalas.

“Pergilah, ibu awak dah cari nampaknya.”

Aku berpaling, melihat ibu yang mengeluarkan telefon sambil memandang ke sana- sini. Terus aku bingkas bangun, berjalan menghampiri mereka. Ibu tidak bertanya ke mana aku menghilang, sebaliknya memeluk bahuku. Bibirnya mengukir senyuman biarpun tidak semanis biasa. Aku sempat memandang kubur Dyana yang merah sebelum masuk ke dalam kereta.

 

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu katanya,, Rasulullah SAW telah bersabda : Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariah (wakaf), ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya.” (HR Muslim).

Saturday, October 17, 2020

Bab 28

 

Pertemuan antara aku dan Faiz ialah janji temu yang terakhir yang aku pergi. Selepas itu aku terfikir untuk ‘berehat’ sekejap. Buat apa pergi kalau aku masih memilih Hazriq. Lagipun aku perlu tumpukan perhatian pada kerja dan pelajaran. Peperiksaan pun bakal menjelang. Aku perlu mengulangkaji untuk mengelakkan daripada gagal. Hendak berjumpa dengan Hazriq seperti biasa pun tidak sempat.

Tapi nasib baik jugalah Hazriq sendiri kebetulan sibuk dengan kerja. Syarikatnya mendapat beberapa projek besar yang memerlukan dia merantau ke sana- sini. Kami hanya dapat berbual di telefon atau membuat panggilan video.

Hmm, rindu untuk menatap wajahnya!

Tapi hari itu segalanya bagai tidak kena. Dari pagi aku terasa gundah gulana. Bagaikan ada sesuatu yang akan berlaku. 

“Apa yang kamu menungkan sejak tadi? Bila kamu nak selesai cuci pinggan tu? Bukannya banyak pun!” tegur ibu.

Aku cepat- cepat meneruskan mencuci pinggan yang aku buat sejak tadi. Macam mana aku boleh termenung hingga menggosok pinggan yang sama terlalu lama. Ibu tergelak melihat tindakan aku, tetapi dia tidak memberi komen.

 “Wah!” jeritku apabila pinggan yang aku pegang jatuh pecah berderai ke lantai.

Ibu yang berada di dapur juga terkejut. “Berhati- hati sikit buat kerja tu! Cepat bersihkan. Nanti ada yang terpijak pula!”

Aku akur menurut kata- kata ibu. Dari tadi ada saja benda yang aku pegang jatuh. Sekarang pinggan pula. Rasanya baik aku balik ke bilik dan membaca al-quran. Mungkin hati aku akan lebih tenang sedikit nanti.

Selesai membersihkan pinggan yang pecah, aku segera berlalu. Separuh jalan, telefon rumah berdering. Siapa pula yang menelefon?

“Hello!” kataku.

“Assalamualaikum, Rania?” jawab suara itu. Seperti suara Aunty Sofea.

“Waalaikumsalam. Ya, saya! Aunty Sofeakah?”

“Ya!”

“Ada apa aunty?” tanyaku.

“Rania, Dyana kemalangan! Keadaannya agak parah!” kata Aunty Sofea dengan nafas tersekat- sekat.

Hampir terlepas ganggang telefon.

“Ya Allah! Dia ada di mana sekarang, aunty?” tanyaku.

Selepas bertanya tentang maklumat hospital, aku segera berlari mencari ibu.

“Ibu!” jeritku dengan kuat.

“Kenapa?” tanya ibu yang terkejut dengan jeritanku.

Bukan setakat ibu, ayah juga masuk dari pintu belakang dengan tergesa- gesa. Dia juga terkejut kerana aku jarang menjerit begitu.

“Kenapa kamu menjerit?” tanya ayah.

“Dyana kemalangan! Dia ada di Bahagian Kecemasan sekarang!” kataku.

“Astaghfirullah!” Ibu menekup mulut.

“Jom, kita ke hospital sekarang!” kata ayah.

Aku bergegas ke bilik untuk bersiap ala kadar. Aku sempat mencapai beg dan telefon sebelum berlari turun. Ibu dan ayah telah menunggu di dalam kereta ayah.

Sepanjang perjalanan masing- masing tidak bercakap sepatah pun. Aku tidak habis- habis memikirkan pelbagai kemungkinan. Tapi aku segera berisghtifar, cuba menguatkan semangat. Insya Allah, mungkin dia tak ada apa- apa!

Ketika kami sampai ke hospital, Uncle Hadi dan Furqan sedang menunggu di luar Bahagian Kecemasan. Aunty Sofea pula berada di taman yang bertentangan. Dia pasti menunggu Danish yang sedang bermain- main di taman itu.

“Macam mana? Doktor ada cakap apa- apa?” tanya ayah.

Uncle Hadi menggeleng. “Sejak kami sampai tadi, tak ada sesiapa pun beritahu apa- apa pada kami.”

Ibu nampak seperti ingin menangis. Dia memandang ke taman, sebelum pergi mendapatkan Aunty Sofea. Aunty Sofea yang nampak ibu mula menangis perlahan- lahan. Mereka berpelukkan, sama- sama cuba menenangkan diri masing- masing.

Aku pula duduk di kerusi menunggu. Aku tidak tahu berapa lama aku merenung, mengerling pintu, mengharap seseorang akan keluar untuk memberitahu sesuatu kepada kami. Aku tidak tahu berapa lama masa berlalu sehingga kami mendengar pengumuman mencari waris kepada Dyana. Semua orang kecuali aku ke kaunter.

Aku tidak pasti apa yang disampaikan tetapi nampaknya bukan berita yang baik. Ibu dan Aunty Sofea menangis berpelukkan. Danish yang tidak mengerti mula menangis apabila mereka berdua menangis. Ayah dan Uncle Hadi nampak sugul. Apa yang sudah berlaku kepada Dyana?

Furqan pula lain reaksinya. Sebelum itu dia sendiri nampak kecewa. Tetapi tiba- tiba matanya mencari aku. Kemudian dia tiba- tiba meluru ke arahku.

“Puas hati kau! Ini yang kau harapkan, kan?” soal Furqan dengan bengis.

“Apa maksud kau? Aku harapkan apa?” soalku, tidak mengerti kenapa dia terlalu marah kepada aku.

“Betul apa aku cakap, kan? Kau memang bencikan dia. Memang kau harap dia akan mati!” tengking Furqan.

Dyana dah meninggal? Soalan itu tidak terluah olehku. Aku merenung Furqan dengan mata membulat. Terasa air mata mula bergenang.

“Sekarang dia dah koma! Keadaan dia parah sekarang! Ini yang kau harapkan, betul tak?” soal Furqan.

Jadi Dyana belum meninggal. Rasa lega yang timbul itu hilang apabila sedar kenapa Furqan begitu marah. Sanggup dia fikir aku begitu!

“Kau dah hilang akal! Aku tak sejahat tu! Kenapa pula aku nak harapkan semua ni jadi pada dia?” balasku.

“Sudah!” tengking ibu. “Furqan, jaga sikit mulut kamu. Apa sekalipun, ibu tahu Rania bukan macam tu. Ibu tahu kamu sedih tapi jangan sampai berperangai macam ni! Orang tengah tengok kamu berdua ni. Malulah sikit!”

Dia terdiam. Furqan kembali berdiri berdekatan pintu masuk ke Bahagian Kecemasan itu. Dia benar- benar nampak tertekan. Aku yang sedar pandangan mata waris- waris lain yang memerhatikan kami sejak tadi, segera berjalan menjauhi kawasan itu. Aku duduk di kerusi batu yang berada di taman.

“Kamu tak apa- apakah?” tanya ibu yang mengekori aku.

Tak mungkin aku tak apa- apa. Tapi pada ibu aku hanya mengangguk. Ibu memeluk bahuku.

“Jangan ambil hati dengan kata- kata Furqan. Dia terlalu sedih sekarang,” nasihat ibu.

“Sampai hati dia fikir macam tu. Saya tak sejahat itu ibu. Buruk- buruk pun dia tetap adik saya! Saya tak akan doakan kematian dia,” kataku.

“Ibu tahu, ibu kenal anak ibu,” balas ibu.

Kami berdua diam membisu selepas itu. Aku mengerling Bahagian Kecemasan yang berada agak jauh. Kelihatan Furqan duduk di kerusi dengan tangan meraup kedua- dua wajahnya.

“Dyana tak akan apa- apakah ibu? Doktor cakap apa?” tanyaku dengan perlahan.

 “Kecederaan Dyana agak parah. Sekarang pun dia masih tak sedarkan diri. Doktor cakap dia koma, tak tahu bila akan sedarkan diri. Doktor mungkin akan pindahkan dia ke ICU nanti,” jawab ibu dengan sebak.

Aku tidak membalas, sekali lagi mengerling ke Bahagian Kecemasan. Furqan tidak lagi kelihatan. Mungkin dia masuk menunggu berdekatan pintu masuk.

“Doakan yang terbaik untuk dia, itu saja yang boleh kita lakukan buat masa sekarang,” nasihat ibu.

Aku hanya mengangguk mendengar kata- kata ibu. Apa lagi yang aku boleh lakukan dalam begini melainkan berdoa dan berharap. Moga- moga dia akan selamat.

 

 

“Kenapa suara awak macam ni? Apa yang dah jadi?”

Aku seperti ingin menangis mendengar suaranya. 

“Dyana kemalangan! Saya ada di hospital sekarang,” jelasku dengan sugul.

“Astaghfirullah, keadaan dia macam mana?” tanya Hazriq.

“Saya tak tahu lagi. Doktor cakap keadaan dia parah. Dia belum sedarkan diri lagi,” jawabku.

“Awak banyak- banyakkanlah bersabar. Insya Allah, dia tak akan apa- apa,” pujuk Hazriq.

Aku tidak menjawab. Air mataku sekali lagi bergenang. Aku benar- benar menyesal sekarang. Aku diberi banyak peluang untuk membaiki hubungan kami. Bila hampir kehilangannya begini barulah aku sedar. Bagaimana kalau aku sudah terlewat? Bagaimana kalau Dyana pergi dengan berfikir yang aku tidak pernah maafkan dia?

“Saya dah tak tahu nak buat apa. Fikiran saya buntu sekarang,” keluhku.

“Yang terbaik yang boleh awak lakukan ialah berdoa. Awak bukannya doktor, awak tak boleh nak masuk untuk merawat dia. Kalau dia sedar, awak boleh cuba untuk beri semangat kepada dia. Tapi dia masih tak sedarkan diri. Jadi berdoalah, minta bantuan kepada Allah supaya dia tidak akan apa- apa,” nasihat Hazriq.

Aku mengangguk biarpun aku tahu dia tak nampak. “Insya Allah.”

“Kalau boleh saya nak temankan awak di sana.”

“Tak perlulah, keluarga saya ada. Lagipun mesti mereka akan hairan nanti. Selain Furqan dan Dyana, semua orang lain tak kenal awak.”

Hazriq menghela nafas. “Betul juga. Tapi telefon saya kalau ada apa- apa perubahan nanti.”

“Ya, baiklah.”

“Jangan terlalu bersedih! Kuatkanlah semangat awak!”

“Baiklah. Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam.”

Aku menghela nafas, menenangkan diri sebaik mungkin. Aku memandang Bahagian Kecemasan. Furqan masih duduk berdekatan pintu masuk bersama ayah dan Uncle Hadi. Ibu dan Aunty Sofea tidak kelihatan. Mungkin mereka membawa Danish ke mana- mana kerana anak kecil itu juga tidak ada di situ.

Ya Allah, sembuhkanlah dia! Selamatkanlah dia! Itu saja pintaku sekarang.

 

 

Dua hari berlalu, keadaan Dyana masih sama. Sudah beberapa hari kami ‘berkampung’ di hospital ini. Aku sendiri memohon cuti kecemasan untuk berada di sini. Kalau aku pergi kerja sekalipun, aku tidak pasti aku dapat memberi tumpuan. Mujurlah syarikat memahami keadaanku.

Setiap hari Hazriq menelefon, menanyakan keadaanku. Aku tidak rasa dia patut risaukan aku. Dyana yang sakit, bukannya aku. Dia tidak putus- putus memberi kata semangat, meminta agar aku tabah tidak kira apa pun. Sukar untuk lakukannya sebenarnya. Tapi mendengar suaranya aku terasa lebih kuat.

“Awak masih berada di hospital?” tanya Hazriq.

“Ya,” jawabku. “Nak pulang pun rasa berat hati.”

“Saya faham situasi awak. Tapi jaga kesihatan awak juga. Jangan sampai awak jatuh sakit nanti.”

“Tak perlulah risau, bukannya saya yang terlantar di katil tu.”

“Tapi saya risau!”

Aku tersenyum sendiri. “Terima kasih. Tapi betul, janganlah risaukan saya. Insya Allah, saya tak akan apa- apa.”

Dia menghela nafas. “Ya, kita berbual lagi nanti. Saya harap ada perkembangan yang baik tentang adik awak.”

“Saya pun harap begitu juga,” kataku perlahan.

Keluar dari ruang menunggu, aku kembali ke Unit Rawatan Rapi di mana Dyana di tempatkan sekarang. Dari jauh kedengaran suara anak kecil menangis. Semakin mendekat barulah tahu yang menangis itu ialah Danish.

“Kenapa?” tanyaku, melihat ibu yang kelihatan resah.

“Danish tak berhenti- henti menangis sejak tadi. Mesti dia rindukan mamanya,” jawab ibu.

Aku memandang anak kecil itu yang menangis di pangkuan Aunty Sofea. Kasihan dia, pasti dia mencari ibunya. Dia masih terlalu kecil untuk mengerti apa yang telah berlaku.

Aunty Sofea cuba sedaya- upaya untuk memujuk tetapi masih tidak berjaya. Aku menggigit bibir, mencari cara untuk menolong. Anak kecil tidak elok terus menangis begini. Akhirnya aku menghampiri mereka. Mungkin aku boleh cuba untuk mendukung dan menenangkan dia.

Aunty Sofea sendiri nampak terkejut apabila aku hulurkan tangan untuk mendukung Danish. Sesiapa saja dalam keluarga ini tahu, aku tidak pernah sentuh Danish. Aku hanya merenung dari jauh. Malah kalau boleh aku elakkan dari bertemu mereka sekeluarga. Aunty Sofea memandang ibu yang hanya mengangguk. Akhirnya dia hulurkan Danish kepadaku.

Secara jujur, aku tidak tahu apa patut aku buat. Aku tidak ada pengalaman menjaga anak kecil begini. Tapi aku peluk dia erat dan urut belakangnya perlahan- lahan.

“Jangan menangis. Danish anak yang baik, jangan menangis.”

Berkali- kali aku ulang. Terasa seperti usaha yang sia- sia pada mulanya. Tapi perlahan- lahan anak kecil itu berhenti menangis. Eh, berkesan!

Aku memandang ibu, kemudian Aunty Sofea. Kelihatan air mata bergenang di mata mereka.

“Mama mana?” tanya Danish.

Aku mengesat air matanya, cuba untuk tersenyum. “Mama sakit.”

“Nak mama,” rengeknya.

“Danish tak boleh jumpa mama lagi. Mama sakit, mama tidur sekarang,” kataku.

“Kejutkanlah!” pinta si kecil itu lagi.

“Mama tidur nyenyak, tak boleh kejutkan. Biar mama tidur, nanti mama akan bangun. Danish nak mama sihat, kan?”

Anak kecil itu mengangguk. Dia seperti ingin menangis lagi. Tetapi dia akhirnya memelukku selepas itu. Aku memeluknya kembali dengan erat sambil mendukungnya menuju Unit Rawatan Rapi ke bersama ibu dan Aunty Sofea.

Ketiga- tiga lelaki itu ada semasa kami sampai. Aku memandang Furqan, mengharap dia mengambil Danish dari tanganku tapi lelaki itu langsung tidak memandang aku. Sejak Dyana dimasukkan ke hospital, dia bagaikan hilang arah. Setiap kali ada kesempatan, dia akan masuk untuk duduk di sisi Dyana. Dia langsung tidak pedulikan hal lain. Malah aku dapat rasakan dia langsung tidak pedulikan Danish pun. Mungkin bagi Furqan, tidak ada yang lebih penting melainkan melihat Dyana sedar sekarang.

Danish yang nampak papanya mula merengek minta dilepaskan. Sebaik saja aku letakkan dia ke bawah, dia terus berlari kepada Furqan. Dia memeluk kaki Furqan, cuba mendapatkan perhatian tetapi Furqan bagaikan masih tidak perasan dengan kehadirannya. Tangisan anak kecil itu yang tadinya sudah berhenti seperti akan bermula sekali lagi. Tapi belum sempat dia menangis, Furqan tiba- tiba memeluknya. Mata Furqan masih terarah ke arah pintu tapi tangannya memeluk erat Danish Danish.

Aku menghela nafas, mengalihkan pandangan dari mereka. Sama seperti mereka yang lain, pandangan aku terarah ke arah pintu masuk di Unit Rawatan Rapi. Sama seperti mereka juga, aku berharap pada keajaiban. 

 

 

Hampir lima hari berada di hospital, akhirnya ada perubahan pada keadaan Dyana. Semasa aku, ibu dan Aunty Sofea duduk di taman bertentangan Unit Rawatan Rapi menunggu Danish bermain, ayah dan Uncle Hadi buru- buru menghampiri kami.

“Dyana dah sedar!” beritahu ayah dengan gembira.

“Ya Allah, syukurlah,” kata ibu dengan gembira.

“Tapi doktor cakap keadaan dia belum stabil. Dia cuma beri respon pada soalan yang doktor tanyakan,” tambah ayah.

“Tapi ini berita baik, kan? Dia akan sembuh, kan?” tanya Aunty Sofea.

“Entahlah,” keluh Uncle Hadi. “Susah nak cakap. Tapi kita doakan yang terbaik untuk dia.”

Aku memandang ke sekeliling, mencari Furqan tetapi aku tidak nampak bayangnya. Dia sudah tahukah yang Dyana sudah sedarkan diri?

“Mana Furqan?” tanya ibu sebelum sempat aku membuka mulut.

“Dia dah masuk ke dalam untuk berjumpa Dyana,” jawab ayah.

“Biarlah dia. Dia mesti terlalu gembira dengar berita ni,” kata Aunty Sofea.

Siapa yang tidak gembira dengan berita ini? Selepas hampir seminggu tertekan, akhirnya ada perkembangan positif tentang keadaan Dyana. Harap- harap keadaan dia akan menjadi lebih baik selepas ini.

 

 

Tetapi apa yang kami harapkan itu tidak menjadi kenyataan. Selepas sedar dan memberi respon kepada soalan yang ditanyakan, dia tiba- tiba kembali tidak sedarkan diri keesokkan harinya. Kami yang awalnya gembira kembali menjadi sugul.

  Furqan yang paling terkesan. Kegembiraan yang jelas di wajahnya ketika Dyana sedar hilang serta- merta dengan perubahan itu. Dia kembali merenung pintu masuk Unit Rawatan Rapi bagaikan patung. Hanya berganjak seketika untuk bersolat dan menguruskan diri sebelum kembali ke sini. Aku tidak pasti sama ada dia tidur atau tidak. Biarpun berkali- kali dinasihatkan supaya pergi berehat, dia masih berdegil untuk duduk di situ.

“Rania, tak apakah kalau kamu tak pergi bekerja?” tanya ibu.

“Tak apa ibu, saya dapat cuti sehingga Isnin depan,” jelasku.

“Baguslah macam tu. Risau juga ibu bila kamu terus berada di sini,” kata ibu. “Nanti kamu baliklah ke rumah untuk berehat. Boleh kamu bawa pulang pakaian untuk di cuci juga.”

Aku hanya mengangguk. Terasa berat hati juga untuk pergi tapi seseorang masih perlu pulang untuk uruskan semua ini. Telefonku bergetar. Terpamer nama Hazriq di skrin. Dia masih lagi menelefon setiap hari. Aku segera bingkas bangun, menjauhi mereka untuk menjawab.

“Assalamualaikum,” sapaku.

“Waalaikumsalam. Apa khabar awak hari ni?” tanya Hazriq.

“Saya tak apa- apalah awak. Hari- hari awak tanya.”

“Saya risaukan awak. Menunggu orang sakit ni pun kadang- kadang buat orang yang sihat tu sakit.”

Aku menghela nafas. “Insya Allah, saya tak akan apa- apa. Lagipun saya tidur di ruang menunggu bila ada masa. Keadaan saya jauh lebih baik dari Furqan.”

“Kenapa pula dengan dia?” tanya Hazriq.

Aku berpaling, merenung lelaki itu dari jauh. Keadaan dia masih lagi sama. Dia masih merenung pintu masuk.

“Dia macam hilang arah sejak Dyana kemalangan. Dia tak mahu ke mana- mana pun. Saya tak rasa dia berehat pun,” jawabku.

“Begitu.”

Aku menggigit bibir, merenung kejauhan. “Waktu- waktu begini buat saya sedar betapa dalamnya cinta mereka. Buat saya rasa sedih juga sebenarnya.”

“Kenapa pula?”

“Baru saya tahu dia tak pernah cintakan saya sebagaimana dia cintakan Dyana.”

“Awak cemburu?” tanya Hazriq.

“Sedikit.”

Hazriq membisu seketika.“Awak masih lagi cintakan dia?”

“Tak, tak lagi macam dulu. Cuma cemburu hubungan mereka, itu saja.”

“Saya faham.”

Aku mengeluh. “Kenapalah pada waktu- waktu macam ni pun saya boleh terfikir hal begini?”

“Janganlah fikir banyak sangat,” nasihat Hazriq. “Awak cuma rasa cemburu pada mereka, itu biasa.”

Aku berpaling, melihat Furqan masuk ke dalam Unit Rawatan Rapi. Pasti dia ingin berada di sisi Dyana.

“Saya akan balik ke Selangor selewat- lewatnya esok. Boleh saya datang melawat di hospital?” tanya Hazriq.

“Boleh, apa salahnya,” jawabku. “Lagipun ramai kawan- kawan Dyana dan Furqan datang ke hospital beberapa hari ini.”

“Baguslah, saya jumpa awak nanti,” kata Hazriq.

“Um…okay.”

Selepas putuskan talian barulah aku terfikir, datang jumpa akukah atau melawat Dyana? Hesy, jangan fikir banyak! Masa- masa begini pun aku boleh fikir begitu.

 

 

Kami yang berbual di luar terkejut apabila melihat Furqan duduk di kerusi bertentangan dengan pintu masuk ke Unit Rawatan Rapi. Raut wajahnya bagaikan dia telah menangis.

“Kenapa dengan kamu? Apa yang dah jadi?” tanya ayah.

Kami semua juga mendekat, menunggu jawapan Furqan dengan dada yang berdebar- debar.

“Tiba- tiba keadaan dia jadi tenat tadi. Doktor sedang cuba untuk selamatkan dia. Tapi mereka cakap, keadaan dia tak begitu baik. Mereka nasihatkan saya supaya bersedia untuk sebarang kemungkinan,” kata Furqan dengan sebak.

Suasana yang tenang tadi bertukar menjadi cemas kembali. Masing- masing panik apabila mendengar kata- kata Furqan itu.

“Macam mana boleh jadi macam ni? Bukankah dia dah hendak sembuh?” tanya Aunty Sofea.

“Sabarlah, bawa bertenang. Doktor tengah cuba sedaya- upaya untuk selamatkan dia,” nasihat Uncle Hadi.

Ibu yang membisu sejak tadi tiba- tiba terhenyak duduk.

“Ibu!” jeritku, menerpa ke arahnya.

“Anak ibu, anak ibu,” ulang ibu, menangis perlahan- lahan.

“Ibu jangan macam ni. Kuatkan semangat ibu. Insya Allah Dyana tak akan apa- apa,” nasihatku, memeluk bahunya. Air mataku sendiri mula mengalir perlahan- lahan.

“Betul tu. Apa sekalipun Allah dah tentukan segala- galanya. Kita sebagai manusia hanya boleh merancang. Jadi apa yang akan berlaku nanti, kita kena terima dengan hati yang tabah,” kata ayah.

Ibu tidak menjawab tapi dia masih menangis. Aku yang masih memeluk bahu ibu turut menangis. Dalam hati aku tidak putus- putus berdoa agar dia selamat.

Berjam- jam kami menunggu keputusan dari doktor. Tiba- tiba pintu dikuak, seorang jururawat keluar.

“Siapa waris Nur Dyana Asyiekin?” tanya jururawat itu.

Serta- merta kami semua menghampiri jururawat itu.

“Ada apa?” tanya ayah.

“Siapa Rania?” tanya jururawat.

“Saya Rania. Kenapa?” tanyaku kembali.

“Pesakit minta untuk jumpa awak. Berkali- kali dia minta untuk jumpa awak,” jawab jururawat itu.

Aku memandang ibu dan yang lain, sebelum mengekori jururawat masuk ke dalam. Furqan seperti ingin mengikut tapi di tahan oleh Uncle Hadi. Tiba di katil Dyana, aku bagaikan ingin menangis apabila nampak keadaan dia. Kepala, tangan kanan dan kakinya berbalut. Wayar yang disambung ke pelbagai mesin diletakkan ke badannya. Aku segera menarik nafas, cuba sedaya- upaya untuk menenangkan diri.

Aku melabuhkan punggung di kerusi yang berada di sisi katil. Dyana tidak menunjukkan sebarang tanda yang dia sedar dengan kehadiranku. Aku tidak pasti apa yang patut aku lakukan. Perlahan- lahan aku hulurkan tangan, memegang tangannya. Mata Dyana terus terbuka, memandang ke atas.

“Adik,” panggilku perlahan.

Dyana berpaling, memandang aku. “Kakak?”

“Ya, kakak ni. Adik nak jumpa kakak?” tanyaku.

Dia menangis perlahan- lahan.

“Adik janganlah menangis,” pujukku. “Insya Allah, adik tak akan apa- apa.”

“Adik…rindu kakak…macam ni,” katanya.

“Kakak pun,” kataku. “Maafkan kakak. Kakak dah banyak lukakan hati adik!”

Dyana menggeleng perlahan. “Bukan salah…kakak.”

Aku tidak menjawab kerana aku takut air mataku yang aku tahan sejak tadi akan tumpah.

“Adik…minta…maaf,” kata Dyana dengan nafas tersekat- sekat.

“Kakak dah lama maafkan adik,” jawabku dengan sebak.

“Adik banyak…buat…salah.” Dyana mula menangis dengan lebih kuat.

Melihat dia menangis begitu, aku akhirnya turut menangis. Jururawat yang bertugas segera mendekati aku.

“Tak boleh macam ni. Awak sepatutnya menenangkan dia,” nasihat jururawat itu dengan lembut.

“Saya minta maaf. Biar saya keluar dulu,” kataku, segera mengesat air mata.

Belum sempat aku bangun, Dyana memaut tanganku. Dia menggeleng sambil menangis. aku segera duduk di sampingnya.

“Adik jangan macam ni, jangan menangis lagi,” pujukku.

“Jaga…Danish macam…anak kakak, boleh tak?” pinta Dyana.

Aku mengangguk, sedaya upaya untuk menenangkan diri. Dyana memandang aku, tersenyum lemah. Tanpa dibantu, dia mengucap sendiri dengan lancar. Selepas seketika, dia diam kaku. Monitor di sebelahnya juga menunjukkan garis lurus. Aku terpana.