‘You never know how
strong you are until being strong is the only choice you have’
-
Bob
Marley
Cuti
yang panjang berakhir jua. Aku akan kembali bekerja dan menghadap teman- teman
yang pasti tertanya- tanya apa yang telah berlaku kepada majlis perkahwinan aku
dan Furqan. Apa yang hendak aku ceritakan kepada mereka? Cerita sebenar?
Tapi…
Kalau
boleh aku tidak mahu pergi kerja. Aku sudah membeku hampir sepuluh minit di
dalam kereta. Sejak sampai aku belum berjaya memberanikan diri untuk turun.
Bangun tidur tadi aku bagaikan anak kecil yang tidak ingin ke sekolah. Kalau
boleh aku tidak mahu memandang mereka atau mencari alasan. Tetapi aku sendiri
sudah berjanji tidak akan lari lagi. Lambat laun aku perlu hadapi semuanya
juga.
Tapi…
Selepas
memaksa diri, akhirnya aku bangun juga untuk membersihkan diri, bersolat dan
turun bersarapan bersama ibu dan ayah. Mereka berdua tidak memberi komen dengan
wajahku yang pastinya nampak pucat. Aku pasti mereka dapat mengagak tentang apa
yang bermain di fikiranku. Masing- masing cuba memberikan kata semangat dan
dorongan kepadaku tetapi perasaan gelisah di dalam hati tidak hilang. Sepanjang
memandu datang ke sini, entah berapa kali aku fikir untuk berpatah balik tapi
aku tahankan diri.
Come
on, Rania! Jangan biarkan perkara sebegini mematahkan semangat kau! Hidup mesti
diteruskan!
Aku
menghulurkan tangan untuk membuka pintu kereta tapi membatalkan hasrat sebelum
pintu kereta disentuh.
Kenapa
susah sangat? Apa yang aku takutkan? Setakat mana kata- kata dan pandangan
orang lain boleh menambahkan luka di hati aku? Aku boleh buat! Berusaha!
Sekali
lagi tangan aku hulur untuk membuka pintu kereta tapi kecut perut juga sebelum
pintu kereta aku buka.
Bunyi
telefon membuatkan aku terperanjat. Kuat juga aku melatah. Aku mengeluarkan
telefon dari beg tangan dan membuka kunci untuk membaca pesanan WhatsApp.
Hazriq rupanya!
Assalamualaikum.
Selamat kembali bekerja! Kalau ada masalah, jangan lupa…ada saya! Adiwira khas
anda!
Ada
gambar yang dihantar bersama. Aku tergelak besar melihat gambar Hazriq memakai
topeng Power Ranger siap dengan aksi tangan macam dalam televisyen.
Hai,
lelaki ini….
Terima kasih.
Aku
menekan kekunci untuk menghantar dan menarik nafas, rasa lebih tenang
berbanding tadi. Lagi sekali dia menolong aku. Entah bagaimana aku dapat balas
budinya. Kali ini aku terus membuka pintu dan keluar dengan lebih yakin.
Zura
dan Kak Diba berbisik- bisik sambil kadangkala mengerling aku. Macamlah aku tak
tahu. Lagipun dinding bertentangan denganku dihiasi dengan cermin. Jadi aku
memang perasan pun! Tapi biarlah. Bukan mereka berdua saja yang berperangai
macam tu. Boleh dikatakan hampir kesemua staf syarikat ini menunjukkan reaksi
yang hampir sama. Bezanya mereka tidak berbual secara terang- terangan. Aku
tahu kenapa mereka berkelakuan begitu. Lagipun aku telah menjemput hampir
kesemua staf pejabat ini ke majlis perkahwinanku. Pasti ada yang hadir untuk
memenuhi jemputan dan kehairanan apabila pengantinnya tidak ada.
“Rania,
lunch sekali dengan kami berdua, nak tak?” ajak Zura apabila tiba waktu rehat.
Hai,
tak pernah ajak aku pun selama ini! Mimpi apa dia hari ini? Aku terfikir untuk
menolak. Tapi apabila difikirkan balik, kenapa hendak buat begitu? Aku perlu
berani, kan? Jadi aku tak perlu lari.
“Okay!”
jawabku. “Jom!”
Kak
Diba yang tadinya cuma berdiri mendengar turut mengikut. Aku dapat rasakan
mereka ada niat lain untuk mengajakku makan tengah hari bersama mereka. Tak
apa, tunggu dan lihat!
“Nak
makan apa?” tanya Zura tanpa merujuk kepada sesiapa pun.
“Entahlah.
Rania nak makan apa?” tanya Kak Diba.
“Saya
tak kisah,” jawabku.
“Pengantin
baru tak terasa nak makan apa- apa lagi?” tanya Zura.
Sudah
bermula sesi hendak menyibuk mereka? Aku cuma tersenyum seraya menggeleng.
“Macam
mana dengan honeymoon? Seronok tak?” tanya Zura lagi.
Aku
tidak pasti tentang bulan madu tapi percutian itu memang akhirnya
menggembirakan aku.
“Langkawi
memang best!” jawabku.
“Pergi
dengan cik abang, mestilah seronok!” usik Kak Diba.
“Tak
ada kaitan dengan dia tapi Langkawi memang seronok!”
“Ya
kah?” balas Zura.
Dia
dan Kak Diba saling berpandangan sebelum keduanya akhirnya menukar topik. Sudah
selesaikah? Aku ingat dia akan bertanya dengan lebih banyak lagi.
Selesai
makan, kami terus pulang ke pejabat. Zura dan Kak Diba berbual tentang jualan
murah di sebuah pasaraya berdekatan. Masing- masing berjanji untuk pergi
bersama- sama selepas kerja. Telefonku bergetar. Ada pesanan WhatsApp dari
Hazriq.
Assalamualaikum.
Macam mana hari ini? Perlukan bantuan superhero tak?
Aku
tersenyum, segera menaip jawapan membalas.
Waalaikumsalam. Hari ini
tak ada masalah setakat ni. Terima kasih Encik Power Ranger!
Sama-
sama! Saya memang suka berkhidmat untuk masyarakat!
Aku
tergelak kecil sebelum segera menutup mulut. Zura dan Kak Diba yang tadi
berbual kini merenung aku dengan hairan.
“Berbual
dengan cik abanglah tu,” usik Zura.
“Tak
adalah,” jawabku, masih lagi tersenyum.
“Malu
lagi. Dah kahwin pun masih malu- malu,” kata Kak Diba pula.
Aku
tergelak mendengar kata- katanya. Kami sudah berjalan masuk ke pejabat pada
masa itu. Aku berhenti berjalan, memandang mereka berdua dengan senyum lebar di
bibir.
“Dia
bukan cik abang yang kamu berdua fikirkan tu. Dan saya tak ada cik abang pun,”
kataku. “Orang tu dah mati!”
Aku
terus berjalan ke meja, meninggalkan mereka berdua yang melopong.
Aneh
bagaimana tempat itu boleh menjadi tempat di mana kebanyakkan orang menggunakan
peluang untuk mengutuk seseorang tanpa pengetahuannya. Adakah kerana mereka
fikir aku tidak akan tahu mereka sedang berbual tentang aku sedangkan ramai
orang boleh menggunakan tempat itu pada masa yang sama? Sekali lagi, aku berada
di tandas apabila terdengar perbualan sebegitu.
“Kakak
pergi majlis kahwin Rania hari tu?” soal suara yang aku rasakan milik Zura.
“Kakak
pun pergi majlis dia hari tu. Terkejut juga bila tak dapat jumpa dia. Semua
orang datang untuk makan tapi ibu dan ayah pengantin langsung nampak tak ceria.
Malah tak ada sesiapa yang dapat jumpa pengantin pun. Hairan juga!” kata suara
yang aku hampir pasti milik Kak Diba.
“Mereka
cakap, bukan Rania yang kahwin, tapi adik dia!” kata Zura lagi.
“Ya,
kakak dengar orang bercakap.”
“Apa
yang dah jadi?” tanya Zura.
“Entahlah,
tapi mesti benda yang dah memalukan dah berlaku!” jawab Kak Diba penuh
konspirasi. “Tak tahulah pada si Dyana, adik dia ataupun Rania tu sendiri!”
“Dah
jadi buburkah? Yang mana satu?” Zura tergelak- gelak.
“Tak
tahulah. Tapi mesti ada sesuatulah. Kalau tidak macam mana perkahwinan sendiri
boleh batal, kan?”
“Muka
nampak baik, kak. Susah nak percaya!”
“Entahlah,
kakak pun susah nak percaya. Tapi orang zaman sekarang ni macam- macam. Kita
tak tahu dia sebenarnya macam mana, kan?”
Rasa
geram kepada mereka berdua meluap- luap. Cakap macam tahu walhal langsung tidak
tahu apa- apa! Kenapa pula aku yang hamil? Aku yang membatalkan perkahwinan,
bukannya Furqan! Makin melampau mereka berdua ini. Sedap betul mereka mengutuk
aku!
Aku
menarik nafas panjang, kemudian membuka pintu dan keluar ke sinki. Mereka
berdua tersentak apabila nampak aku. Hah, tahu pun takut! Masa mengata aku tadi
bukan main lagi!
Aku
mencuci tangan, menunggu apa yang mereka ingin katakan. Tetapi masing- masing
cuma membisu, berpandangan sesama- sendiri. Akhirnya mereka buru- buru keluar.
Tergelak aku melihat mereka.
Sembang
saja lebih!
Menjelang
tamatnya hari pertama bekerja selepas bercuti panjang ini, satu pejabat tahu
tentang perkahwinanku yang tidak menjadi itu. Pelbagai telahan telah timbul.
Melainkan mereka ada di majlis akad nikahku hari itu, mereka belum tentu tahu
cerita sebenar. Itupun belum tentu mereka yang hadir pun tahu apa yang sudah
berlaku.
Aku
sekali lagi memilih untuk mendiamkan diri. Biarlah mereka bercerita apa pun,
aku tidak berminat untuk ambil tahu. Tidak ada gunanya menyemarakkan api. Tanpa
ditiup pun sudah kuat sekarang.
Dah
nak balikkah? Macam mana? Nak meraikan tamatnya hari pertama?
Aku
tersenyum membaca pesanan WhatsApp dari Hazriq itu.
Terima kasih. Tapi
rasanya nak baliklah. Rasa betul- betul penat!
Baiklah.
Tahniah!JJJ
Dia
tidak perlu tahu tentang pandangan, renungan, bisik- bisik, mengata di belakang
dan drama lain yang berlaku kepadaku hari ini. Yang penting untuk dia tahu
ialah aku telah berjaya harungi segalanya.
Aku
mengerling Zura dan Kak Diba yang berbisik- bisik lagi sambil sekali- sekala
memandang aku. Mereka memang tak serik langsung! Bergosiplah sepuas hati
kalian. Lebih baik aku balik!
Untuk
beberapa minggu, status perkahwinanku menjadi perbualan hangat di pejabat.
Hebat betul! Rasa macam artis pula! Tapi memandangkan aku memilih untuk lebih
banyak mendiamkan diri, lama- kelamaan mereka mula bosan mula berhenti berbual.
Aku
sendiri mula meneruskan hidup secara biasa. Biarpun perlahan- lahan, aku mula
melupakan perasaan marah. Aku masih tidak dapat maafkan mereka berdua, tapi
sekurang- kurang aku tidak lagi murung seperti hari itu. Nasib baik aku belum
mengambil keputusan untuk tidak berhenti berkerja. Kalau tidak pening kepala
aku sekarang. Sudahlah tidak jadi berkahwin, kerja pun tak ada.
Projek
kerjasama antara syarikat Hazriq, One Event dan syarikatku berlangsung
sepanjang tempoh aku bercuti. Memandangkan projek itu telah tamat dengan
jayanya, One Event dijemput untuk datang ke jamuan meraikan kejayaan itu.
Seperti biasa, apabila syarikat tempat lelaki itu bekerja akan datang, staf
wanita syarikat aku sibuk menghias diri. Aku tidak fikir dengan cara itu akan
membuatkan Hazriq akan tertarik dengan mereka. Tapi biarlah mereka berhias
sepuas hati. Kalau cakap pun nanti aku juga yang kena kutuk.
Seperti
biasa, aku memilih untuk duduk jauh dari orang lain. Jika dulu kerana aku lebih
senang menyendiri, kali ini aku memang tidak berminat untuk bercampur dengan
mereka yang lain. Lebih ramai orang yang bermuka- muka di sekeliling aku,
membuatkan aku rasa muak untuk memandang wajah mereka.
“Assalamualaikum
cik adik, boleh saya join awak yang kesepian ni?”
Aku
tergelak mendengar ayat itu. “Waalaikumsalam. Mengada- ngada betul ayat tu!
Bila masa pula saya kesepian?”
Hazriq
tergelak. “Boleh duduk ke tak ni?”
“Duduklah!
Pernah cakap tak bolehkah?”
Hazriq
tersengih, mengambil tempat di depanku. Dia langsung tidak peduli mata- mata
yang sekali- sekala menjeling kami.
“Macam
mana awak sekarang?” tanya Hazriq.
“Okay,
setakat ni masih boleh bertahan. Insya Allah, saya tak akan apa- apa!” jawabku.
“Alhamdulillah,
lega saya dengar.”
“Terima
kasih juga pada awak,” kataku.
“Saya
tak buat apa- apa pun.”
“Sebab
awak kawan yang baiklah saya berjaya bangkit semula. Awak memang kawan yang
baik,” kataku dengan terus- terang.
“Saya
cuma boleh menyokong, yang perlu bangkit semula itu ialah awak. Tapi, memang
betul. Saya memang seorang yang hebat!” kata Hazriq, dengan tersenyum herot di
ayat terakhir itu.
“Saya
kata kawan yang baik, bukan hebat!”
“Samalah!”
“Awak
ni memang perasan yang Encik Power Ranger!” kutukku.
“Terima
kasih!”
“Saya
tak memujilah.”
“Saya
tahu!” balasnya, langsung tidak terkesan.
Mati
akal aku dibuatnya. Aku cuma menggeleng kepala dengan sikapnya.
“Hai!”
Kami
sama- sama memandang Zura dan Kak Diba yang entah bila menghampiri kami berdua.
Berani betul mereka berdua menghampiri aku! Sejak hal di tandas tempoh hari,
mereka berdua memang tidak lagi berani menegur aku.
“Hai!”
balas Hazriq.
“Encik
Hazriq setiap kali datang cuma berbual dengan Rania, kami semua Encik Hazriq
tak pandang pun,” komen Zura.
“Ya
kah? Tapi saya memang kenal rapat dengan dia,” balas Hazriq.
Sejak
bila pula kami kenal rapat tu? Tapi aku diam mendengar.
“Kamu
berdua dah lama kenalkah?” tanya Kak Diba.
“Ya!”
jawab Hazriq.
“Sejak
bila?” tanya Zura.
Hazriq
berfikir seketika. “Entahlah, memang dah lama. Tak teringat bila. Kenapa?”
Zura
tergelak- gelak kecil. “Tak adalah, saja tanya. Kami pun kawan rapat dia juga!”
“Jadi
cik berdua kawan rapat Rania?” tanya Hazriq.
Mencerlung
mata aku memandang mereka berdua yang senyum dan mengangguk- angguk. Rapat
sangatkah kami? Mengarut betul!
“Baguslah
macam tu. Rania banyak masalah akhir- akhir ni. Saya tak boleh selalu di
samping dia. Jadi baguslah dia ada rakan sekerja yang rapat dan boleh
dipercayai macam cik berdua. Lega hati saya,” kata Hazriq.
Aku
menahan gelak di dalam hati apabila melihat wajah mereka berdua yang kelat
apabila mendengar kata- kata yang aku rasakan sangat ikhlas dari Hazriq.
“Umm…jangan
risau. Kamikan memang rapat. Rania memang boleh harapkan kami berdua!” kata Kak
Diba.
Zura
di sebelahnya hanya mengangguk. Mereka terus minta diri selepas itu, apatah
lagi selepas perasan dengan senyum sinisku kepada mereka.
“Kenapa?”
tanya Hazriq apabila nampak aku tersenyum- senyum sejak tadi.
“Tak
ada apa- apa. Nanti saya belanja awak makan!” jawabku.
Hazriq
semakin keliru tapi akhirnya tersenyum apabila melihat aku tersenyum.
“Janji?”
“Janji!”
“Saya
nak makanan yang mahal! Buffet di hotel lima bintang!”
“Jangan
nak memilih!”