Thursday, October 1, 2020

Bab 14

 

Hazriq menjadi pemandu sepanjang perjalanan pulang setelah beberapa kali bergaduh dengan aku. Katanya dia lebih percaya yang teknik pemanduannya lebih hebat dariku.

“Kalau kita kemalangan pun, saya percaya ia disebabkan oleh masalah yang tak dapat dielakkan, bukan sebab- sebab lain,” kata Hazriq.

“Sebab yang macam mana?” tanyaku.

“Teknik pemanduan yang dahsyat!” balas Hazriq, mengerling aku.

Kurang ajar betul! Mengata akukah? Sedahsyat mana sangat teknik pemanduan aku? Sehebat manakah dia? Malah aku telah memandu sampai ke Kedah seorang diri hari itu! Tetapi kerana sikap keras kepalanya, aku terpaksa biarkan dia yang memandu.

Aku masih belum membuat keputusan sama ada akan terus pulang atau menetap di tempat lain buat sementara waktu. Perjalanan yang panjang memberi aku banyak masa untuk berfikir.

Kalau boleh aku memang ingin pulang ke rumah, tapi bagaimana jika dua orang itu terus berada di rumah untuk tempoh yang lebih lama? Macam mana kalau kami terserempak? Tapi tak mungkinlah! Lelaki itu bekerja di Klang. Selama ini dia menetap di Shah Alam supaya lebih dekat dengan aku. Sekarang kami sudah tidak ada kaitan lagi. Buat apa dia terus di sana, kan?

Ouch, tiba- tiba rasa sakit hati lagi!

Aku boleh cuba untuk tinggal di rumah seorang kenalan untuk beberapa hari. Walaupun aku dan dia memang tidak berapa rapat kerana kami cuma rakan sepejabat tetapi aku pasti dia akan mengizinkan aku menumpang untuk seketika. Tapi dia pasti akan bertanya kerana dia ialah salah seorang yang telah berjanji untuk hadir ke resepsiku. Lagipun aku terasa segan untuk meminta izinnya kerana hubungan kami yang tidak rapat itu.

 

“Kita berhenti di R&R Seberang Perak untuk makan tengah hari dan solat dulu?” cadang Hazriq.

“Bagus juga tu, saya pun dah rasa lapar,” balasku.

“Kalau dah lapar kenapa tak cakap, saya boleh berhenti di R&R Gurun tadi.”

“Tadi tak lapar lagi.”

“Hmm…okey! Nanti kita berhenti berehat sekejap.”

Aku kembali merenung ke luar tingkap, cuba mencari solusi untuk masalahku. Akhirnya aku membuat keputusan untuk tinggal di rumah temanku itu. Jika temanku itu tidak bersetuju, aku boleh tinggal di hotel bajet untuk beberapa hari.

Sekarang bagaimana harus aku maklumkan kepada ayah dan ibu tentang hal ini. Tapi ibu dan ayah belum tahu aku sedang dalam perjalanan pulang. Aku cuma perlu beritahu mereka yang aku masih perlu mengambil masa untuk pulang. Betul, aku boleh buat begitu!

Setibanya di R&R Seberang Perak, aku mengambil peluang untuk menelefon ibu sementara Hazriq pergi bersolat. Selepas tiga dering ibu menjawab.

“Assalamualaikum.” Lembut suara ibu di hujung talian, membuatkan rinduku padanya membuak- buak.

“Waalaikumsalam. Ibu dan ayah apa khabar?” tanyaku.

“Alhamdulillah, kami sihat. Kamu bagaimana?”

Ibu ingin tahu keadaanku atau perasaanku?

“Alhamdulillah ibu, saya tak apa- apa.” Jawapanku mewakili kedua- duanya.

“Baguslah, ibu dan ayah risaukan keadaan kamu. Baliklah Rania!”

Terasa ingin pulang sekarang apabila ibu merayu begini tapi aku tahankan hati.

“Insya Allah ibu, saya akan pulang nanti.”

“Nanti itu bila? Sudah seminggu kamu bawa diri. Cukuplah tu!”

“Maaf ibu, saya akan pulang juga nanti.”

Ibu menarik nafas panjang. “Ibu tahu kamu masih marahkan mereka berdua tapi yang lepas itu biarlah lepas. Mereka sudah diijabkabul pun. Dyana pun sudah mengikut suaminya tinggal di Klang. Ibu harap mereka boleh bahagia biarpun dengan apa yang telah berlaku. Ibu juga harap kamu pun sama.”

Jadi mereka tidak ada di rumah? Aku boleh pulang?

“Sebenarnya ibu…saya memang dalam perjalanan pulang.”

“Yakah? Alhamdulillah, ayah kamu pasti gembira nanti. Bila kamu akan sampai?” Nada ibu yang ceria membuatkan aku sendiri merasa sangat gembira.

“Mungkin dalam beberapa jam lagi. Nanti saya maklumkan kepada ibu lagi.”

“Baiklah. Ibu pun nak maklumkan pada ayah tentang hal ni. Telefon ibu nanti, ya?”

“Baik, ibu!”

Aku memutuskan talian dengan hati yang sangat senang dan lapang. Hilang masalahku tadi. Hazriq yang baru selesai dengan urusannya menghampiri aku dengan menjungkit kening, aneh dengan senyum lebar di bibirku.

“Kenapa?” tanyanya.

“Tak ada apa- apa, saya cuma teruja untuk balik,” jawabku.

Hazriq mengukir senyum. “Jom, makan dulu! Kita boleh sambung perjalanan selepas ini.”

Aku mengangguk, bangun dan berjalan beriringan dengannya ke medan selera. Tidak sabar rasanya untuk sampai ke rumah.

 

 

Hazriq memandu sehinggalah ke kawasan perumahan tempat aku tinggal.  

“Biar saya hantar awak dulu. Macam mana awak nak balik nanti?” tawarku.

Aku tidak tahu rumahnya di mana tapi dia masih perlu pulang ke rumahnya nanti. Ini kereta aku, jadi bagaimana dia harus pulang apabila aku sampai di rumah?

“Saya dah telefon Azzwa, dia yang datang jemput saya,” kata Hazriq.

“Azzwa?”

“Buah hati sayalah, Nurrul Azzwa!” balas Hazriq sambil tersengih macam kerang busuk.

Sukalah tu, nak jumpa kekasih hati. Aku hanya tersenyum lucu melihat gelagatnya. Hazriq menghentikan kereta di stesen bas berdepan dengan jalan masuk ke taman. Aku turun dari kereta untuk menghantar dia.

“Sampaikan salam saya pada Azzwa,” kataku.

“Baiklah. Bawa kereta baik- baik balik tau!” pesannya dengan senyum herot.

“Saya memang pemandu yang baiklah!” balasku, geram.

Hazriq tergelak- gelak. “Jumpa lagi! Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam,” jawabku.

Aku memandu pulang dengan hati yang berdebar- debar. Aku telah menelefon ibu ketika hampir sampai tadi, memaklumkan yang aku sudah berada di Selangor. Aku maklum yang ibu teruja aku akhirnya pulang tapi bagaimana dengan ayah? Marahkah dia kerana aku larikan diri begitu?

Selepas meletakkan kereta dan mengunci pagar kembali, aku menarik bagasi ke pintu. Sebelum sempat aku membuka pintu, pintu dibuka terlebih dahulu. Wajah ibu terpacul di pintu. Tanpa sebarang kata, dia terus memeluk aku. Mujur dia tidak menangis kerana aku tahu aku juga akan menangis jika dia berbuat begitu.

Selang beberapa saat selepas ibu memelukku, ayah pula muncul di pintu. Ayah cuma memandang kami berdua dengan senyum di bibir. Dia seperti ibu, nampak sangat gembira aku akhirnya pulang ke rumah.

“Saya minta maaf, ibu, ayah,” kataku.

“Tak ada apa untuk di maafkan. Syukurlah kamu dah balik. Ibu kamu risau kamu akan terus merajuk dan tidak akan pulang lagi,” kata ayah.

Memang aku ada merancang begitu pada asalnya tapi di sini ada ibu dan ayah. Marah sekalipun, aku tidak boleh meninggalkan mereka begitu saja. Mereka tidak berdosa dan tidak patut dipersalahkan.

“Masuklah ke dalam dulu. Kita boleh berbual di dalam,” kata ibu sambil menarik tanganku.

Ayah membantu membawa bagasi masuk. Kami duduk di ruang tamu. Aku tahu ibu dan ayah ada banyak soalan yang mereka ingin tanyakan tetapi masing- masing menahan diri. Mereka cuma bertanya tentang keadaanku.

“Saya ke Pulau Langkawi,” kataku, menjawab soalan yang belum mereka tanyakan walaupun mereka ingin tahu.

“Jauh kamu sampai,” komen ibu.

“Saya memang ada rancangan untuk ke sana selepas kenduri untuk berbulan madu. Tapi keadaan dah jadi macam ni. Pakej pun saya dah bayar, jadi saya teruskan percutian seorang diri. Tapi bagus juga saya ke sana. Saya banyak berfikir dan bertenang,” jelasku.

“Alhamdulillah, baguslah. Kita memang banyak merancang dalam hidup kita tapi tidak semuanya kesampaian. Ayah harap kamu banyakkanlah bersabar. Setiap apa yang berlaku ada hikmahnya.”

Memang aku juga fikir begitu, cuma aku tidak nampak di mana hikmahnya sekarang. Apa yang aku tahu, Allah tidak akan menduga seseorang itu melebihi kemampuannya. Sebab itulah aku masih dapat bertahan kerana dugaan ini pasti tidak akan melebihi kemampuanku.

“Apa rancangan kamu selepas ini?” tanya ibu.

Aku menghela nafas. “Saya nak teruskan hidup macam biasa dan belajar untuk lupakan semua ini.”

Ibu dan ayah saling bertukar pandang.

“Dyana tahu kamu akan pulang hari ini. Dia minta untuk cakap dengan kamu bila kamu bersedia,” kata ibu.

Aku ingin ketawa mendengar ayat itu. Aku rasa sampai bila- bila pun aku tidak akan bersedia.

“Belajarlah untuk maafkan mereka, Rania. Ayah tahu lebih senang untuk bercakap dari melakukannya tapi ayah juga tak ingin kamu putus hubungan dengan satu- satunya adik kamu hanya kerana seorang lelaki.”

Maaf ibu, ayah tapi hal itulah paling sukar untuk aku lakukan! Ini bukan setakat merebut seorang lelaki tetapi berkaitan dengan kepercayaanku yang telah hilang terhadap mereka berdua. Mungkin lebih mudah untuk aku maafkan jika mereka bukan orang yang rapat seperti ini.

Pun begitu aku patuh menjawab. “Baik ibu, ayah. Saya akan cuba.”

“Ibu tahu memang sukar tapi ibu harap sangat satu hari nanti, kamu adik beradik akan berbaik- baik semula.”

Aku cuma mengangguk.

“Pergilah naik ke bilik kamu dulu. Nanti turun untuk makan sama- sama,” kata ayah.

“Baik, ayah.”

Aku bangun dan menarik bagasi beratku ke bilik. Tetapi perasaan gembira sejak pulang terus mati sebaik sahaja aku masuk ke dalam bilik. Di dalam bilikku penuh dengan anak patung beruang, gambar dan hiasan yang menjadi kenangan aku dan dia. Semua kenangan cinta dia dan aku masih ada di dalam bilik ini. Bagaimana aku boleh lupa tentang hal ini?

Aku mendengus, mengeluarkan sebuah kotak. Semuanya berkaitan dengan dia, aku lempar ke dalam kotak itu dengan kasar. Aku tidak peduli sama ada ia rosak, pecah atau apa sekalipun. Yang penting bagi aku sekarang ialah ‘membersihkan’ bilikku. Bunyi beberapa hiasan yang pecah memenuhi bilik.

Baru aku perasan pipiku sebenarnya basah. Bila aku mula menangis? Aku mengesat pipi tetapi lebih banyak air mata mengalir. Air mata yang mula mengalir susah hendak dihentikan. Terdengar pintu bilik diketuk.

“Rania, ibu dengar bunyi benda pecah. Apa dah jadi?” Terdengar suara ibu.

Aku segera menarik nafas untuk menenangkan diri. Buru- buru aku menjawab dengan suara yang masih serak. “Tak ada apa ibu. Ada bekas kaca jatuh.”

“Betulkah?” tanya ibu lagi.

“Ya! Saya dah bersihkan pun.”

“Hmm…baiklah kalau macam tu. Dah siap nanti turunlah, kita makan sama- sama.”

“Baik, ibu!”

Terdengar bunyi tapak kaki ibu berlalu. Aku mengesat air mata, cuba untuk tidak lagi menangis tapi agak susah. Aku bangun, mencapai tuala dan terus ke bilik air. Mudah- mudahan selepas wuduk dan solat, hatiku akan menjadi lebih tenang.

Wednesday, September 30, 2020

Bab 13

 

‘When you’re dreaming with a broken heart,

The giving up is the hardest part.’

-          John Mayer, Dreaming With a Broken Heart

 

Bayu laut yang mendamaikan sedikit sebanyak membuatkan jiwaku semakin tenang. Sudah dua hari aku di sini. Dua hari itu jugalah aku habiskan dengan mengurung diri di dalam bilik. Di mana aku? Aku di Pulau Langkawi.

Macam mana aku boleh sampai ke mari?

Masih ingat dengan pakej bulan madu yang aku beli untuk beri kejutan kepada Furqan? Memandangkan aku sudah membelanjakan wang yang banyak untuknya, lebih baik aku nikmatinya saja.

Mulanya aku bercadang untuk membatalkan saja tempahan aku. Tetapi apabila difikirkan balik, aku perlu berada di satu tempat sekarang. Biarpun aku datang seorang diri, aku masih boleh cuba untuk bergembira dan cuba melupakan apa yang sudah berlaku. Sekurang- kurangnya aku mencuba biarpun sukar. Dan jika ada sesiapa bertanya kenapa aku tidak berikan pakej ini kepada pasangan yang baru berkahwin itu, jawapannya ialah tidak mungkin! Sudahlah aku terpaksa akur dan mengalah. Majlis perkahwinan aku pun menjadi majlis pernikahan mereka. Kenapa aku mesti berikan pakej ini pula? Tak mungkin!!!

Tapi kelakar juga. Semasa aku sampai dua hari yang lepas, aku terkejut melihat bilik yang dihiasi dengan belon- belon helium berwarna merah jambu. Lantai ditaburi dengan kelopak ros merah tiruan untuk menimbulkan suasana romantik. Pihak hotel turut menyediakan sejambak besar bunga, sebakul buah- buahan dan sebiji kek coklat yang besar untuk menyambut pengantin baru yang sepatutnya tiba.

 

Selamat pengantin baru Encik Furqan & Puan Rania.

Semoga berkekalan hingga ke jannah.

 

Hah, itulah yang tertulis di atas kek! Maaf, itu ialah permintaan yang tidak akan kesampaian! Dia dan aku langsung tidak bersatu, macam mana hendak kekal? Bunga aku taburkan di dalam tab mandi yang besar bagaikan jakuzi itu. Buah- buahan pastilah aku cuba habiskan. Sama juga dengan kek yang besar itu. Belon- belon itu aku biarkan saja. Nampak cantik pula bila ia bergantungan begitu.

Pihak hotel ada menghubungi aku, memaklumkan tentang acara lawatan dan makan malam yang terdapat di dalam pakej ini. Maaflah, aku tidak berminat untuk keluar langsung! Kalau boleh aku tidak ingin jumpa sesiapapun. Aku banyak habiskan masa di hotel. Sama ada aku duduk termenung di balkoni atau aku membaca al-quran di dalam bilik. Jika tiada tempat hendak mengadu, adulah pada Allah. Itulah yang aku cuba untuk lakukan. Aku langsung tidak tinggalkan bilik walaupun untuk makan. Semua makanan aku tempah ke bilik. Kemungkinan besar tidak ada orang yang kenal aku di sini. Tapi aku tidak dapat yakinkan diri dengan hal itu.

Beberapa hari ini aku terus- terusan berfikir tentang beberapa perkara. Bolehkah aku terus tinggal di sini? Bolehkah aku mulakan hidup di tempat yang tidak ada orang mengenali aku? Tapi kenapa pula aku perlu lari? Aku tidak fikir aku bersalah sehingga aku perlu mengundurkan diri dan membawa hati yang lara ke tempat asing. Tapi untuk kembali juga sukar. Aku masih belum kuat untuk pulang.

Aku sudah menelefon ibu semalam untuk memberitahu di mana aku. Tidak kira apa sekalipun, ibu dan ayah tidak bersalah. Cukuplah dengan apa yang mereka perlu hadapi sekarang. Aku tidak perlu tambah masalah mereka dengan merasa risau dengan keadaan aku. Aunty Sofea pun aku telefon juga.

“Aunty minta maaf banyak- banyak! Aunty tak pandai didik anak, sebab tu jadi macam ni!” kata Aunty Sofea dengan sebak.

“Benda dah jadi aunty, tak perlulah minta maaf. Lagipun bukan salah aunty pun.”

Kalau hendak dikira tidak pandai mendidik anak, ibu dan ayah juga terlibat kerana Dyana anak mereka. Aku langsung tidak salahkan mereka, jadi bagaimana aku hendak salahkan Aunty Sofea dan Uncle Hadi. Bagi aku semua ini salah mereka berdua, langsung tidak ada kena- mengena dengan orang lain. Masing- masing bukannya anak kecil yang tidak tahu berfikir. Tapi mungkin juga bila berhadapan dengan nafsu, ramai yang tertewas. Mungkin mereka langsung tidak dapat berfikir lagi bila tibanya saat itu.

Dyana yang nampaknya berada bersama Aunty Sofea pada saat aku menelefon merayu untuk bercakap dengan aku. Tanpa berfikir aku terus menolak. Mendengar namanya aku sudah benci, bagaimana hendak bercakap dengan dia?

Sebut tentang minta maaf, ada seorang yang aku perlu minta maaf. Dia telah cuba memberi amaran tetapi aku bukan setakat tidak peduli, aku betul- betul marahkan dia. Cintaku yang terlalu mendalam pada lelaki yang tidak berguna itu telah membuta dan memekakkan aku. Berat hati untuk menelefon dia tetapi aku masih perlu memohon maaf. Akhirnya aku kumpulkan kekuatan untuk menelefon dia juga.

“Awak di mana?” Itu soalan pertama dia. Langsung tidak memberi salam apabila menjawab panggilan.

“Adalah,” jawabku sepatah.

“Saya pergi ke majlis kenduri awak tapi awak tak ada. Malah, tak ada pengantin langsung pun! Apa yang dah jadi?”

Aku menghela nafas, menahan air mata dari gugur. Mendengar suaranya membuatkan aku ingin menangis.

“Saya minta maaf,” kataku.

“Bukan itu yang saya tanya. Apa dah jadi? Awak tak apa- apakah?” tanya Hazriq lagi.

“Saya tak apa- apa. Saya cuma nak minta maaf pada awak. Awak dah cuba nak tolong saya tapi saya yang degil. Saya marah- marah awak. Sekali lagi saya minta maaf. Assalamualaikum.”

Terus aku putuskan talian. Belum sempat aku matikan telefon, telefonku mula bergetar dengan nama Hazriq terpamer di skrin. Cepat- cepat aku menekan butang dan mematikan telefon.

Aku menghela nafas, merenung ke laut. Terasa kurang sedikit beban di dada selepas berbual dengan Hazriq. Anehnya bagaimana perbualan yang singkat boleh membuatkan diriku menjadi lebih tenang. Mungkin beberapa hari ini perasaan bersalah kepada Hazriq menambah bebanku. Insya Allah, sedikit demi sedikit aku pasti akan pulih kembali. Aku tidak boleh mengalah.

 

 

Akhirnya aku tinggalkan bilik juga. Walaupun aku cuma ke pantai yang berada di dalam kawasan hotel, bagiku ini ialah pencapaian terbaik sepanjang aku datang ke pulau ini. Aku akan cuba kumpulkan kekuatan untuk pergi jauh dari sini.

Aku pasti boleh, aku perlu kuat! Insya Allah, Allah pasti akan membantu aku!  

Aku menghela nafas. Bayu yang bertiup di petang begini membuatkan aku terasa mengantuk. Tudung yang aku pakai meliuk- liuk ditiup angin. Aku membetulkan duduk, lenguh sedikit setelah lama duduk berlunjur di atas pasir.

Tiba- tiba terasa ada seseorang sedang menghampiri aku. Aku segera mengangkat kepala, terperanjat melihat wajah yang aku tidak sangka akan ketemu di sini. Bagaimana dia ada di sini juga?

“Awak?” soalku tidak percaya.

Lelaki itu cuma tersengih.

“Macam mana? Nanti…kenapa awak di sini? Bila…” Aku tergagap cuba menyoalnya.

Hazriq tergelak kuat. “Sebenarnya apa yang awak nak tanya saya?”

“Apa awak buat di sini?” soalku.

“Saya pun bercuti!”

“Mengarut!” balasku, merenung dia tajam.

Hazriq menghela nafas, duduk di dahan pokok berdekatan denganku.

“Saya risaukan awak, sebab tu saya cari awak sampai ke sini,” jawabnya terus- terang.

“Tapi macam mana awak boleh tahu saya di sini?” tanyaku, masih tidak dapat percaya.

“Saya siasat macam Sherlock Holmes tu!” jawabnya.

“Awak buat macam mana?”  tanyaku, kali ini benar- benar ingin tahu.

“Tak susah pun, saya kan bijak! Mula- mula saya telefon keluarga awak tapi mereka tak tahu, malah tak mahu cakap dengan saya pun. Mungkin sebab mereka tak kenal saya. Lepas tu, saya pergi tempat kerja awak, cuba cari kawan sekerja awak yang tahu. Lepas tanya lebih kurang sepuluh orang termasuk bos awak. Ada ramai yang cakap mereka tahu awak ke mana tapi bila saya tanya lebih lanjut mereka tak tahu pun. Akhirnya saya jumpa kawan sekerja awak yang beritahu awak ada beli pakej bulan madu untuk buat kejutan. Saya tak pasti awak ke sini tapi satu petunjuk lebih baik dari tak ada langsung! Saya beli tiket kapal terbang ke Pulau Langkawi dan terus ke hotel ni. Saya cuba dapatkan maklumat dari kaunter tapi pekerja hotel tak mahu beritahu. Saya tunggu di lobi dan di pantai, mana tahu jumpa awak. Tak sangka memang jumpa awak! Kan dah cakap, saya memang bijak! Senang saja saya jumpa awak!”

Melopong aku mendengar penerangan panjang lebar dari Hazriq. Di mana yang bijaknya? Apa yang senangnya? Dia cuma bernasib baik sebab terjumpa aku di sini!

“Awak renung saya macam tu kenapa? Kagum dengan saya?” soal Hazriq dengan tersenyum lebar.

Aku hanya mendengus, menahan diri dari ketawa. Perasan betul!

Haziel menghela nafas. “Saya dah rasa tenang apabila nampak wajah awak. Bila awak senyum macam ni, saya rasa awak tak akan apa- apa. Macam- macam yang saya fikir sepanjang saya dalam perjalanan ke sini.”

“Apa yang awak fikir? Saya akan menangis tak berhenti- henti atau termangu macam zombi?”

“Itu pun ada juga. Tapi saya lebih takut kalau awak dah terlalu kecewa sampai saya tak dapat bantu awak lagi.”

Aku tersenyum pahit. “Saya memang kecewa tapi saya tak boleh biarkan ia menguasai saya. Tipulah kalau cakap saya tak rasa apa- apa.”

“Saya terfikir juga kalau awak dah terjun laut!”

Terus aku menjegil. “Awak gila? Awak ingat saya nak bunuh diri? Berdosa besarlah! Tak mungkin saya akan buat macam tu!”

Hazriq tergelak kecil. “Baguslah awak boleh fikir lagi. Takut juga saya. Manalah tahu, kan?”

“Hesy!”

Mengarut betul! Macam aku tidak ada agama pula. Kecewa setakat mana sekalipun, aku tak akan mengambil keputusan sedrastik itu!

“Berapa hari lagi awak akan tinggal di sini?” tanya Hazriq, mengubah topik.

“Mungkin saya akan tinggal sehari lagi sebelum fikir apa yang saya nak buat selepas ini,” jawabku.

“Lamanya pakej bulan madu awak,” komen Hazriq.

“Saya tambah sendiri. Pakej tu cuma tiga hari dan dua malam.”

Hazriq tidak memberi komen. Aku rasa dia tahu kenapa aku tinggal di sini lebih lama.

“Awak pula, berapa lama di sini?” tanyaku.

Hazriq berfikir seketika. “Saya balik bila awak baliklah!”

“Kenapa pula?” tanyaku terkejut.

“Saya dah sampai ke sini, apa salahnya saya bercuti sekali. Maklumlah, saya pun dah lama tak bercuti. Awak juga cakap yang saya kena menikmati pemandangan. Tapi jalan- jalan seorang tak lah seronok sangat. Awak boleh ikut saya nanti!”

Amboi, senang dia bercakap! Nanti tak pasal- pasal aku dikerjakan oleh teman wanitanya!

“Girlfriend awak bunuh saya nanti,” balasku.

“Saya dah beritahu dia.”

Aku mengerut dahi. “Dia benarkan awak? Dia tak cemburu?”

“Mestilah dia cemburu! Pelik kalau dia tak cemburu!” balas Hazriq, merenungku macam aku mengucapkan sesuatu yang pelik.

“Habis kenapa awak ajak saya juga?” tanyaku dengan geram.

“Sebab saya dah tanya dia. Saya pun dah beritahu kenapa saya nak ajak awak. Mula- mula memanglah dia marah tapi saya ajak dia ke sini pula untuk join kita. Dia tolak! Last- last dia setuju asalkan kita pergi tempat yang pelik.”

“Tempat pelik macam mana pula?”

“Disko, pub, hotel…alah, awak tahulah. Paling penting, kita tak boleh berdua- duaan di tempat yang sunyi.”

“Tak kan saya nak pergi tempat- tempat macam tu,” balasku. “Dan saya pun tak mahu kena tangkap khalwat dengan awak.”

“Itulah yang saya cakap pada dia. Lagipun saya cuma nak naik kereta kabel, pergi underwater world, island hopping dan tempat lain yang macam tu. Itulah sebabnya dia akhirnya setuju. Macam mana? Awak nak ikut tak? Tak kan awak nak biarkan saya berjalan seorang diri di sini?”

Aku diam, tidak memberi komen. Aku tidak suruh pun dia datang pun tapi dia ada di sini. Sekarang paksa aku ikut dia pula. Perlukah aku pergi dengan dia?

 

 

Akhirnya aku keluar merayau juga dengan Hazriq. Semasa dia pulang semalam, aku sebenarnya sudah ambil keputusan untuk tidak pergi. Tapi hari ini aku beritahu dia yang aku terus setuju. Aku mahu ini jadi langkahku yang seterusnya untuk pulih.

Seperti yang dirancang olehnya, kami ke semua tempat yang dia ingin lawati. Bermula dari menyusuri kawasan paya geopark yang berdekatan dengan hotel tempat aku menginap, kami pergi ke satu demi satu tempat mengikut agenda yang dirancang oleh Hazriq. Aku tidak tahu berapa banyak tempat yang dia senaraikan tapi, dari pagi hingga menginjak senja, kami terus berjalan- jalan mengelilingi pulau yang terkenal dengan lagenda Mahsuri ini. Penat aku dibuatnya!

Setelah habis melawat semua tempat yang ada dalam senarainya, Hazriq akhirnya mengajakku singgah di pekan Kuah untuk membeli coklat. Katanya untuk dijadikan buah tangan kepada buah hatinya.

“Saya betul- betul rasa gembira tengok awak sekarang,” kata Hazriq tiba- tiba.

Aku yang sedang melihat- lihat coklat untuk dibeli terus merenungnya. “Bukan sebelum ni awak dah cakap ayat tu?”

Hazriq mengukir senyuman. “Tapi kali ni saya dapat rasakan yang awak betul- betul dah rasa tenang.”

“Betulkah?”

Entahlah, aku tidak perasan pula. Tapi sekurang- kurangnya, aku tidak lagi terasa ingin termenung atau bersedih.

“Lepas ni tak kira apa- apa pun, awak boleh ingat, masih ada orang yang ambil berat pasal awak. Sekurang- kurangnya kalau tak ada orang lain, saya ada!” kata Hazriq dengan serius.

Kata- kata itu membuatkan aku terasa tersentuh. Aku selalu terfikir yang aku sudah kehilangan seorang teman baik apabila dikhianati Dyana. Nampaknya aku masih ada lagi teman yang boleh aku harapkan.

“Terima kasih,” kataku perlahan.

“Itulah gunanya kawan, kan?” balas Hazriq.

Aku tidak membalas, cuma tersenyum.

“Coklat apa yang dia suka, ya?” omel Hazriq sendiri.

“Tak kan awak tak tahu apa yang girlfriend awak suka?” tanyaku. “Kalau saya, saya suka Ferrero Rocher. Kebanyakkan perempuan suka coklat macam tu. Tak pun awak boleh beli mana- mana coklat. Asal nama coklat, memang boleh menggembirakan kami!”

Hazriq hanya tersenyum, tidak menjawab. Dia mencapai dua kotak besar Ferrero Rocher dan coklat lain dengan kuantiti yang banyak. Seronoklah teman wanita dia nanti. Hazriq menghantarku hingga ke hotel.

“Terima kasih untuk hari ini!” kataku.

“Terima kasih pula,” Hazriq tergelak. “Jadi saya ucapkan sama- sama!”

“Awak pergilah dulu. Nanti saya masuk.”

Hazriq tersengih, menghulurkan plastik yang dipegangnya sejak tadi.

“Apa ni?” tanyaku, melihat isi kandungannya. Eh, ini Ferrero Rocher yang dia beli tadi. Aku memandang Hazriq dengan hairan.

“Saya tahu apa yang dia suka. Saya cuma tak tahu apa yang awak suka. Ini hadiah dari saya untuk awak. Makanlah banyak- banyak, lupakan apa yang sudah berlaku dan mulakan hidup awak balik mulai sekarang. Esok kita balik sama- sama. Tak kira apa pun yang berlaku selepas ni, awak boleh ingat yang saya akan sentiasa menyokong awak.”

Aku hanya tersenyum, menahan air mata dari mengalir. Rasanya ucapan terima kasih saja tidak cukup untuk apa yang dia telah buat untuk membantu aku. Akhirnya aku mengangguk.

“Masuklah, saya akan balik ke hotel saya lepas tu,” kata Hazriq.

Sekali lagi aku mengangguk. Aku melambai, kemudian berjalan masuk ke dalam hotel. Di sebalik semua yang berlaku, nampaknya aku menemui seseorang yang begitu menyokong aku.

Sunday, September 27, 2020

Bab 12

 

Aku terus memerhatikan mereka yang kini sibuk menyiapkan agar pernikahan Dyana dan Furqan dapat dilangsungkan dengan segera. Imam Hisham juga telah dipanggil ayah. Sejak tadi, aku duduk berdekatan tangga, tidak tahu apa yang patut aku lakukan. Segala yang berlaku bagaikan mimpi ngeri.

Ibu memeluk bahuku. “Rania, jom ke bilik kamu. Ibu tolong kamu tukarkan pakaian.”

Aku merenung pakaianku. Aku masih lagi berbaju pengantin, lengkap dengan tiara. Kena tukarkah? Aku langsung tidak terasa untuk bangun dan pergi ke mana- mana. Tetapi pasti aneh nanti. Bukan aku yang menjadi pengantin hari ini, tetapi Dyana. Kenapa aku yang bukan pengantin berpakaian sebegini?

“Tak apa ibu. Saya boleh tukar sendiri.” Perlahan aku menjawab.

Aku bangun perlahan- lahan dan masuk ke kamarku. Hiasan sebagai kamar pengantin membuatkan hatiku sekali lagi terasa sakit. Pun begitu aku gagahkan diri untuk menukar pakaian. Pakaian pengantin dan tiara aku campak ke atas katil. Selesai bersiap ala kadar, aku keluar ke ruang tamu.

Imam Hisham yang tadinya datang untuk menyempurnakan akad nikahku, kini masih berada di sini untuk tujuan yang sama. Cuma pengantinnya saja bertukar. Dia dan ayah sedang berbual dan telah dimaklumkan tentang apa yang telah berlaku. Sewaktu aku masuk, matanya sekilas memandang aku. Dia kelihatan simpati.

Bukan dia seorang. Beberapa orang saudara terdekat yang masih ada juga memandang aku sekilas. Masing- masing menunjukkan reaksi yang sama.

Tidak pernah aku terfikir raut wajah simpati akan menyebabkan hatiku akan lebih sakit begini.

Aku mengambil tempat di penjuru. Furqan duduk di hadapan Imam Hisham, bersedia untuk mengangkat akad sekali lagi untuk kali kedua hari ini.

“Aku terima nikahnya Nur Dyana Asyiekin binti Haji Luqman dengan mas kahwinnya RM80 tunai!”

Sekali lafaz sahaja, Furqan sah menjadi suami kepada Dyana. Dyana terus menangis, entah kerana bahagia atau bersalah. Ibu sendiri mula menangis.

Aku?

Entahlah. Aku tidak mampu menangis. Kalau tadi aku menahan diri dari menangis, sekarang air mataku bagaikan kering. Kalau tadi hatiku remuk, sekarang aku tidak pasti jika masih ada cebisannya. Aku merenung Furqan yang melakukan acara membatalkan air sembahyang.

Sakitnya.

Ya Allah.

Bantulah aku, ya Allah.

Bertambah sakit apabila aku perasan mereka- mereka yang mengerlingku dengan rasa simpati. Sakit hati tadi bertukar menjadi marah. Kenapa aku masih di sini? Segalanya terlalu menyakitkan! Jika hari ini sahaja begini, bagaimana dengan esok ketika kenduri berlangsung? Bagaimana hendak jelaskan kepada tetamu yang pengantin perempuan telah bertukar? Ramai orang yang aku kenali akan datang esok. Apa yang aku hendak katakan pada mereka?

Aku malu.

Aku bingkas bangun, ingin masuk ke bilik. Aku tidak ingin berada lebih lama di situ. Kalau boleh aku tidak ingin keluar dari bilik lagi. Terdengar suara Dyana memanggil namaku tetapi aku tidak menghiraukan dia. Dia mengejar aku hingga ke depan bilik.

“Kakak, nanti! Maafkan adik, kakak!” Dyana cuba meraih tanganku tetapi aku cepat- cepat menepis.

“Jangan sentuh aku!” Aku menjawab dengan kasar.

Aku merenung dia dan Furqan yang entah bila mengekori kami dengan rasa marah yang meluap- luap. Lebih marah apabila Furqan berdiri di hadapan Dyana, seolah- olah melindungi Dyana daripada aku. Ibu, ayah, Aunty Sofea dan Uncle Hadi mengekori dari belakang.

“Kakak, adik minta maaf. Adik tak fikir semua ni akan berlaku.” Dyana menangis teresak- esok.

“Tak, jangan salah Dyana! Ini semua salah saya. Awak boleh marah, pukul atau buat apa saja tapi jangan marahkan dia!” kata Furqan.

“Bukan salah abang Furqan, adik yang jatuh cinta dengan dia dulu! Kakak marahlah adik, jangan marah abang Furqan!” teriak Dyana, masih tersedu- sedu tetapi tidak berganjak dari belakang Furqan.

“Bukan salah dia!”

“Bukan, memang salah saya! Dyana tak minta abang jatuh cinta dengan Dyana!”

“Tapi abang yang jatuh cinta pada Dyana dulu sebenarnya!”

“Kamu berdua diam!!!” jeritku.

Hampir saja aku tergelak sinis dengan semua ini. Mendengar luahan hati mereka bagaikan menonton sinetron. Furqan ialah hero, Dyana ialah heroin dan aku ialah watak jahat yang sering mengganggu dan memisahkan mereka. Sudah jelas mereka cintakan satu sama lain. Hati Furqan tidak lagi untukku. Tetapi mendengar luahan hati mereka begini di hadapan semua orang membuatkan aku rasa ingin termuntah! Tidak cukupkah mereka menyakiti aku?

“Kamu berdua dengar sini baik- baik. Memang aku benarkan kamu berdua berkahwin tapi jangan ingat aku dah maafkan kamu berdua! Sampai mati pun belum tentu aku maafkan kamu berdua! Semoga Allah turunkan balasan atas apa yang kamu berdua dah buat pada aku!”

“Kakak!”

Aku terus masuk ke bilik, terasa lebih puas apabila menghempas pintu di depan mukanya. Itu cuma perkara yang kecil berbanding apa yang telah dia dan Furqan lakukan. Mereka berdua memang tidak dapat dimaafkan!

Selepas itu, aku terus duduk di dalam bilik. Aku tidak lagi peduli dengan apa yang berlaku, biar mereka uruskan saja apa saja masalah yang timbul.

 

 

Jam di dinding menunjukkan pukul dua pagi tetapi aku masih termenung di atas katil. Aku telah cuba untuk tidur tetapi mata langsung tidak dapat aku lelapkan. Otakku terlalu ligat berfikir tentang apa yang berlaku.

Memang aku telah izinkan mereka bersama, tetapi itu atas permintaan ibu. Hatiku masih sukar memaafkan mereka. Perasaan marah, kecewa dan sedih berbaur. Semua itu tidak dapat aku padam dengan mudah.

Ya Allah, kau bantulah aku mengharungi dugaan ini.

Aku teringat babak dalam filem Kuch Kuch Hota Hai. Selepas bakal pengantin menyerahkan bakal isterinya kepada lelaki yang dicintainya, dia menari- nari meraikan pasangan yang baru itu bersama yang lain dengan rasa gembira. Maaf, ini bukan cerita Hindustan itu. Ini realiti hidup aku. Jika aku menari, aku pasti sudah hilang akal pada masa itu! 

Aku tidak mungkin akan rasa gembira pada ketika ini kerana lelaki yang aku cintai mencintai adik aku sendiri. Malah mereka pernah terlanjur dan Dyana sedang mengandung. Bagaimana aku dapat meraikan perkahwinan ini dan seronok macam tidak ada apa yang pernah berlaku? 

Aku bingkas bangun, menghampiri jendela. Kanopi- kanopi yang ditegakkan petang tadi kelihatan dengan jelas dari jendela bilikku. Esok tetamu yang tidak tahu tentang drama yang telah berlaku akan berpusu- pusu datang. Mereka pasti ingin mengucapkan tahniah kepadaku. Lebih pasti, mereka akan mengharapkan adanya sepasang pengantin yang meraikan hari bahagia mereka. Bagimana boleh aku jelaskan kepada mereka yang pasangan pengantin itu tidak wujud lagi? Apa yang mereka akan fikir nanti? Apa yang mereka akan katakan nanti?

Ya Allah, aku malu.

Aku memegang bucu meja. Tiba- tiba aku terasa hendak pitam. Segalanya terasa menyesakkan menyebabkan aku terasa sukar untuk bernafas. Sudah cukup! Aku tidak mahu berada di sini walau sesaat pun lagi! Aku perlu pergi!

Aku tergesa- gesa mengeluarkan bagasi paling besar. Pintu almari aku buka dengan kasar dan aku mencapai pakaian dan keperluan harianku. Aku masukkan semuanya ke dalam bagasi itu. Aku mengeluarkan sehelai kertas dan sebatang pen.

 

Maaf ibu dan ayah, biarkanlah saya pergi. Jangan risau, saya tidak akan lakukan sesuatu yang bodoh. Bila fikiran saya tenang nanti, saya akan hubungi ibu dan ayah. Sekali lagi, saya minta maaf.

 

Aku tinggalkan nota itu di atas meja. Perlahan- lahan aku menarik bagasi, berjalan keluar dari rumah yang sunyi. Semua orang pasti tidur. Baguslah, lebih baik begini. Kalau tidak pasti ada yang cuba menahanku dari pergi.

Keretaku telah aku letakkan agak jauh dari rumah untuk memberi laluan kepada kanopi. Jadi tidak ada sesiapa pun yang sedar apabila aku menghidupkan enjin. Selesai memasukkan bagasi kebahagian belakang, aku merenung rumahku sekilas sebelum masuk ke dalam kereta.

Aku tidak tahu berapa lama aku memandu atau ke mana arah tujuku. Sedar- sedar aku sedang melalui Lebuhraya Utara-Selatan ke arah utara. Hendak ke mana? Aku belum membuat keputusan.

Aku melihat papan tanda yang menunjukkan aku menghampiri sempadan antara Selangor dan Perak. Aku masih belum tahu hendak ke mana. Jadi aku terus memandu.