Friday, September 11, 2020

Bab 6

 

“Seronok apa? Tersenyum- senyum dari tadi,” perli ibu apabila aku masih lagi tersenyum lebar di dapur. “Macam kerang busuk pun ada!”

“Kakak dari tadi memang macam tu, ibu. Tak tahu kenapa,” kata Dyana.

“Seronoklah tu, buah hati nak datang,” perli ibu.

Perlilah macam mana pun, aku tak kisah sekarang. Aku terlalu bahagia untuk ambil peduli.

“Tapi abang Furqan tak boleh datang. Kakak cakap dia di Johor,” komen Dyana.

“Ya kah? Jadi cuma kita dan keluarga dia saja malam ni? Ibu dah lama tak jumpa dia. Rindu pula ibu pada bakal menantu ibu.”

“Tak apalah ibu. Apa salahnya. Bukan selalu kita dapat berjumpa dengan keluarga dia macam ni. Lain kali ada banyak masa lagi untuk makan dengan Furqan,” pujuk aku.

“Hmm, ya lah,” kata ibu, menghela nafas.

Sekali- sekala terdengar telefon Dyana bergetar. Setiap kali itu jugalah dia mencapai telefon untuk melihat dan menjawab mesej yang diterimanya.

“Siapa?” soalku.

Dyana menjeling aku. “Siapa apa pula?”

“Yang tak habis- habis hantar mesej itulah.”

“Tak ada siapalah! Sibuklah kakak ni!” marah Dyana.

Sekali lagi telefonnya bergetar.

“Siapa Roslan?” soalku, sempat mengerling nama di skrin. “Saya akan tunggu?”

“Kakak!” Wajah Dyana merona merah.

Reaksinya membuatkan aku tergelak. Oh, sedang dilamun cinta rupanya! Comel betul!

“Kenapa?” tanya ibu.

“Ada orang dah jatuh cinta,” usikku.

Dyana melempar sayur yang dipotongnya. Aku mengelak sambil tergelak terkekeh- kekeh.

“Jangan main- main di dapur!” marah ibu, menunjuk senduk yang dipegangnya ke arah kami. Terus kami berdua terdiam.

Seperti jangkaan, cuma Aunty Sofea dan Uncle Hadi yang datang. Furqan tidak muncul- muncul. Walaupun sudah dapat jangka, terselit rasa kecewa. Sibuk betul dengan kerja sampai makan malam dengan keluarga pun susah. Bukan selalu semua orang dapat berkumpul begini. Tapi, selepas ini masih ada banyak masa lagi untuk kami berkumpul. Jadi hari ini biarlah begini.

“Lepas majlis Furqan dan Rania, kita kena bersedia untuk majlis Dyana pula,” usik Aunty Sofea.

“Isy, tak adalah! Saya tak tahu bila lagi,” bantah Dyana.

“Tak kan tak ada calon? Orang cantik macam ni, petik jari pun dapat,” kata Aunty Sofea.

“Petik dah, tak ada pun yang muncul,” balas Dyana.

Habis Roslan tu macam mana? Tapi kalau aku tanya nanti, kemungkinan besar Dyana akan cucuk aku dengan garfu yang dipegangnya itu.

“Salah petik tu. Tak ada calon, beritahu aunty. Nanti aunty tolong carikan,” tawar Aunty Sofea dengan bersungguh- sungguh.

Dyana tergelak kecil. “Tak apalah, terima kasih. Nanti saya cari sendiri.”

“Uncle pun boleh tolong. Ramai pekerja uncle yang tak kahwin lagi,” tawar Uncle Hadi pula.

“Tak mahulah,” kata Dyana, tergelak- gelak.

Aku cuma mendengar dengan tersenyum kecil. Setiap kali mereka berdua berjumpa Dyana, memang mereka suka mengusik Dyana begitu. Mereka bagaikan tertarik dengan Dyana. Malah pertama kali berjumpa, Aunty Sofea tak habis- habis memuji kecantikkan Dyana. Kadang- kadang aku sebagai bakal menantunya ini terasa kecil hati kerana mereka terlalu memberi tumpuan kepada adikku itu. Tapi aku ingatkan diri yang mereka tidak ada niat jahat. Jadi lebih baik jangan berfikir yang bukan- bukan. Lagipun siapa yang tidak tertarik apabila bertemu Dyana?

Tapi nasib baiklah selepas itu kami mula berbual tentang persiapan majlis. Memandangkan hampir semua telah siap, tidak ada banyak masalah yang masih tertunda atau belum selesai. Hampir selesai makan malam, telefonku berdering. Semua yang ada di meja memandang aku.

Terpandang nama Furqan di skrin, terus aku menjawab panggilan. “Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam. Saya ada di depan pagar.”

Eh, dia jadi datang pula! Aku bingkas bangun, meminta diri untuk menekan kunci pagar.

“Siapa datang?” tanya ibu, mewakili yang lain yang kelihatan terpinga- pinga dengan tindakanku.

Aku tersenyum lebar. “Furqan.”

“Jadi pula dia datang,” komen Aunty Sofea.

“Balik awal agaknya,” balas Uncle Hadi.

Aku menuju ke pintu depan, membuka untuk menyambutnya. Furqan yang kelihatan letih, tersenyum apabila melihatku.

“Maaflah saya lambat,” katanya.

“Saya ingatkan awak tak jadi datang. Kami dah mula makan pun,” kataku.

“Saya pun ingat tak sempat juga. Tapi projek kami selesai awal. Semua orang ada?” tanya Furqan.

“Ya,” jawabku sepatah. “Jom!”

Setibanya kami di ruang makan, ibu sudah siap menyediakan tempat untuk bakal menantu kesayangannya ini. Sayang betul ibu dengan Furqan.

“Maaflah saya datang lambat,” kata Furqan.

“Tak apa, kami faham kerja kamu tu. Duduklah makan,” kata ibu.

Furqan membisu, mengambil tempat di sebelahku. Entah kenapa, aku dapat rasakan sesuatu yang kekok antara Dyana dan Furqan. Dyana membisu sejak dia tahu Furqan datang. Furqan pula langsung tidak menegurnya. Sebelum ini mereka berdua pantang berjumpa. Sekarang tengok muka pun tak mahu. Mereka bergaduhkah?

Furqan berbual dengan ayah yang duduk di sebelahnya. Dyana kembali berbual dengan Aunty Sofea tentang pakaian untuk pengapit pengantin yang akan dipakainya nanti. Aku berfikir terlalu banyak agaknya. Mereka mungkin tak ada masalah apa pun.

Selesai makan, aku membantu ibu mengemas dan mencuci pinggan. Dyana menemani Aunty Sofea berbual bersama mereka yang lain.

“Hidangkan kopi ni,” arah ibu yang selesai membancuh kopi panas.

Aku hanya mengangguk, mengangkat talam berisi minuman untuk di bawa keluar. Sampai di ruang tamu, Dyana dan Furqan tidak kelihatan. Ke mana pula mereka?

“Mereka berbual di beranda,” kata Aunty Sofea apabila perasan aku mencari- cari mereka.

Tentang apa pula? Selesai menghidangkan minuman, aku terus menyusul mereka di beranda.

“Saya minta maaf,” terdengar suara Dyana apabila aku dekat dengan pintu yang terbuka.

“Abang yang patut minta maaf,” kata Furqan pula.

Terdengar Dyana menghela nafas. “Bukan salah abang pun. Saya pun bersalah. Kita patut lupakan saja dan teruskan hidup macam tak pernah berlaku apa- apa.” 

  “Bolehkah buat macam tu? Abang tak fikir semudah tu abang dapat lupakan,” bantah Furqan.

“Tapi apa pilihan yang kita ada?”

“Ada! Kalau Dyana tak halang abang-”

“Cuba! Apa sekalipun kita perlu cuba!”

“Sudah dekat sebulan kita cuba tapi berhasilkah? Dyana dapat lupakankah?” tanya Furqan dengan suara yang keras.

Dyana tidak menjawab.

“Imani ada cakap apa- apa?” tanya Furqan.

“Tak ada.”

Apa yang mereka berdua bualkan ni? Perasaan ingin tahu yang membuak- buak membuatkan aku mendekati mereka.

“Kamu berdua berbincang apa?” tanyaku.

Dyana terperanjat melihat aku. “Tak ada apalah, kak.”

“Ya kah? Tak macam tak ada apa pun,” kataku dengan cuak.

“Pasal bowling,” jawab Furqan. “Saya ingat nak main balik.”

“Oh ya kah?” balasku. “Tak macam pasal bowling pun.”

“Memang kami cakap pasal bowling dari tadi,” kata Furqan.

Pelik betul mereka berdua. Pasal bowling pun bergaduh macam tu. Macam tak kena ayat- ayat mereka.

“Adik pergi tolong ibu dulu,” kata Dyana.

Aku hanya melihat Dyana berlalu. Furqan pula tumpukan perhatian pada kegelapan malam.

“Saya tak sangka awak minat bowling sampai macam tu,” komenku.

“Ya,” balasnya sepatah.

“Jadi Dyana tak benarkan awak main balik?” tanyaku, sedikit keliru dengan apa yang aku dengar tadi.

“Hmm…lebih kuranglah.”

“Kenapa?” tanyaku, langsung tidak faham.

“Adalah. Sebab game kami di Terengganu tu ada masalah. Dah lah, jom berbual dengan yang lain.”

Tanpa menunggu sama ada aku mengikut atau tidak, Furqan terus masuk. Aku pula masih berdiri agak lama di situ. Aneh betul perbualan mereka. Betulkah berbual tentang bowling? Sampai begitu sekalikah? Kalau mereka terlalu sukakan sukan itu, kenapa kedua- duanya berhenti bermain?

 

 

Hujung minggu adalah waktu untuk membeli keperluan. Tambahan pula hari ini hari gaji. Jadi aku keluar awal seorang diri untuk membeli barang. Selesai mengisi troli, aku terus ke kaunter untuk membayar. Aku bercadang nak berjumpa Furqan nanti.

“Tujuh puluh ringgit,” kata juruwang.

Aku meraba beg, mencari dompet. Eh, aneh! Mana dompet aku?

Tidak berpuas hati, aku letakkan beg ke kaunter dan mencari lagi. Jantungku berdegup kencang apabila sedar dompetku tidak ada di dalam beg. Aku tertinggal di rumahkah? Habis macam mana sekarang. Sudahlah ada orang di belakangku, menunggu untuk membayar. Malunya!

“Saya minta maaf, saya tertinggal purse,” kataku dengan perlahan.

Juruwang itu kelihatan tidak berpuas hati. “Jadi cik tak jadi belilah?”

“Nampaknya macam tu lah,” jawabku.

Dia mendengus perlahan, memanggil penyelianya. “Nak cancel payment. Tak jadi beli!”

“Saya minta maaf,” kataku dengan bersungguh- sungguh.

Sebelum sempat penyelianya menekan kekunci, terdengar suara di belakangku. “Tak apa, saya tolong bayarkan!”

Hazriq berdiri di belakangku.

“Eh, tak apalah! Tak payah susah- susah! Saya boleh beli lain kali,” bantahku.

“Tak ada susahnya. Nanti awak bayarkan balik pada saya,” kata Hazriq, seraya menghulurkan beberapa keping wang kertas kepada juruwang.

“Tapi-”

“Tak ada tapinya. Bukannya awak tak kenal saya. Nanti awak bayarkan balik. Tak pun lain kali awak boleh belanja saya makan lagi,” usul Hazriq.

Juruwang itu terus mengambil wang yang dihulurkan oleh Hazriq tanpa menunggu aku bersetuju atau tidak.

“Sekali lagi awak tolong saya,” kataku, bagaikan merungut.

Bukan aku tidak bersyukur tapi rasa tidak selesa asyik terhutang budi.

“Awak cakap macam saya dah selamatkan nyawa awak,” kata Hazriq.

“Lebih kuranglah,” balasku, menarik beg plastik berisi barang untuk dibawa ke kereta. “Awak buat apa di sini?”

“Saya ingat nak beli barang.”

“Mana barangnya?”

Hazriq mengangkat tangan, menunjukkan plastik kecil yang dibawanya. Dia menghantarku hingga ke kereta.

“Macam mana saya nak bayar awak balik? Saya tak ada nombor awak,” kataku.

“Tak ada?”

“Awak tak pernah bagi pun.”

Hazriq berfikir seketika. “Oh, kalau macam tu saya halalkanlah.”

“Jangan nak mengarutlah!”

Hazriq cuma tergelak. Aku menarik pintu untuk memasukkan beg tangan ke bawah tempat penumpang. Ketika itu jugalah dompetku terjatuh dari tepi pintu. Jadi aku memang ada bawa, cuma terjatuh di dalam kereta. Cepat- cepat aku mengeluarkan wang lalu dihulurkan kepadanya.

“Rupanya ada dalam kereta,” kataku pada Hazriq. “Terima kasih.”

“Sama- sama.”

Aku merenung Hazriq seketika. “Dah dua kali awak datang selamatkan saya.”

“Ya kah? Tapi semuanya hal yang kecil, tak perlulah ingat.”

“Ibu saya pesan, kita kena ingat kebaikkan orang.”

Hazriq tersenyum herot. “Kalau macam tu, anggaplah saya macam Power Ranger. Saya akan selamatkan awak lagi kalau awak ada masalah.”

Berkerut dahi aku. “Awak ni macam saya selalu ditimpa masalah pula.”

“Eh, bukan macam tu! Saya tak bermaksud macam tu pun!”

Tapi dengan nasib malangku yang lebih banyak dari nasib baik, entah- entah aku akan perlukan bantuan dia lagi. Aku menarik nafas panjang. Harap- haraplah tidak. Dua kali terhutang budi sudah banyak bagiku.

“Saya nak kena ke tempat lain, jadi saya minta diri dulu,” kata Hazriq, melihat jam di tangannya.

“Baiklah. Terima kasih sekali lagi.”

“Sama- sama sekali lagi,” balasnya, tersenyum.

Aku melihat dia memandu pergi. Hai untunglah bakal isteri dia. Sudahlah tampan, baik pula tu. Nasib baik aku dah ada Furqan. Kalau tidak, aku pun goyah!

 

 

Hari ini syarikat kami akan adakan mesyuarat dengan One Event, sebuah syarikat yang menguruskan acara untuk membuat promosi besar- besaran produk baru yang dilancarkan oleh syarikat. Pekerja bahagian ini tidaklah ramai sangat, jadi hampir semua orang terlibat dalam acara ini.

“Pukul berapa mereka nak datang?” tanyaku yang mula jemu menunggu.

“Pukul sebelas,” balas Zura yang sejak tadi membetulkan solekan di wajahnya.

Aku merenung dia dengan hairan. Aku rasa tidak ada peraturan perlu kelihatan cantik semata- mata untuk mesyuarat nanti. Apabila perasan aku sedang memerhatikan dia, Zura terus merenung aku kembali.

“Pengurus dia sangat hot, okay!” kata Zura.

“Kau dah ada boyfriend,” kataku.

Zura menjungkit kening. “Boyfriend saja pun, bukan serius pun lagi.”

Macam tak percaya pula aku dengan kata- kata dia. Aku berpaling untuk bercakap dengan Kak Diba tapi nampaknya dia juga sama. Eh, tampan sangatkah sampai semua orang terkesan ni? Patutkah aku ingatkan Kak Diba yang dia sudah bersuami?

“Tapi bila kamu semua jumpa dia?” tanyaku hairan.

Kalau ada orang sebegitu kemari, pasti aku akan ingat.

“Kelmarin, masa kau keluar lunch. Dia singgah sekejap. Masa dia nak balik, kami berkongsi lif untuk turun,” jawab Zura.

“Cair kami berdua, kan?” kata Kak Diba. Laju Zura mengangguk.

Tak terkomen aku dengan perangai mereka. Aku ke pantri untuk mendapatkan minuman. Malas aku hendak melayan karenah mereka berdua. Sedang minum, terdengar suara- suara bercakap di luar. Sudah sampai agaknya tetamu yang ditunggu. Aku segera membasuh gelas minuman dan keluar untuk menyambut tetamu. Oh, ramai juga!

“And this is one of our best, Rania!” kata Encik Anas, ketua bahagian memperkenalkan aku yang tergesa- gesa keluar dari pantri.

Perlikah? Aku tahu aku bukanlah antara pekerja terbaik. Malah prestasiku walaupun teruk, bukanlah hebat pun. Tapi aku mengukir senyum walaupun menyumpah- nyumpah dia di dalam hati.

“Eh, awak kerja di sini rupanya?”

Huh? Eh, dia!

“Hazriq!”

Lelaki itu tersengih melihat aku. Wah, kecil betul dunia ini! Tak habis- habis kami bertembung.

Wednesday, September 9, 2020

Bab 5

 

Hari ini aku betul- betul sibuk. Banyak yang perlu aku siapkan untuk dibentangkan di mesyuarat esok. Semasa aku sibuk beginilah telefonku tidak habis- habis berdering. Mula- mula butik pengantin yang menelefon.

“Furqan belum datang untuk cuba baju pengantin,” kata Resya, pemilik butik.

“Ya kah? Saya dah banyak kali beritahu dia untuk pergi. Nanti saya cakap sekali lagi.”

Pelik juga aku dengan tingkahlaku Furqan. Selepas perlawanan bowling di Terengganu tempoh hari, tiba- tiba dia tidak lagi berminat untuk menyertai aktiviti kelabnya itu. Apabila aku tanya, dia cakap dia hendak fokus pada kerja dan majlis perkahwinan kami yang tinggal dua bulan saja lagi.

Tapi setiap kali berjumpa, aku dapat lihat dia bagaikan banyak berfikir tentang sesuatu. Furqan lebih banyak mendiamkan diri dan termenung. Entah apa yang mengganggu fikirkan dia, risau aku dibuatnya. Mungkinkah dia sebenarnya berasa tertekan dengan majlis perkahwinan kami?

Jika Furqan tidak lagi berminat dengan aktiviti kelab bowlingnya, Dyana pula telah memaklumkan yang dia telah berhenti terus dari kelab itu. Eh, kenapa? Bukankah dia sangat berminat dengan sukan itu? Bukankah dia juga sangat berbakat dan merupakan pemain harapan mereka?

“Sibuk, kerja banyak sangat akhir- akhir ni.”

Itulah jawapan ringkas Dyana. Dia tidak menjawab apabila aku terus mendesak. Tambahan lagi, dia sudah lama tidak pulang ke rumah. Jadi kami juga sudah lama tidak berjumpa.

Pelik aku dengan perangai mereka berdua. Tetapi kalau bertanya pun, masing- masing tidak menjawab. Jadi tidak ada kesudahannya juga nanti.

Selang beberapa ketika, telefon itu berdering lagi. Kali ini Aunty Sofea pula. Kenapa pula ibu Furqan menelefon aku?

“Aunty dah minta dia balik untuk ambil kad undangan. Manalah tahu ada sesiapa yang dia nak jemput ke majlis nanti. Tapi sampai hari ni tak balik- balik. Aunty telefon pun dia tak angkat. Sibuk sangatkah? Kamu telefon dia jawab tak?” leter Aunty Sofea.

“Jawab aunty. Kalau saya tak dapat hubungi dia, saya akan hantar pesanan WhatsApp atau sms. Nanti dia akan telefon saya balik,” jawabku.

Aunty Sofea menghela nafas. “Ya kah? Aunty ingat dia ada masalah. Macam ni lah, nanti kamu beritahu dia yang aunty nak dia balik. Macam- macam betul perangai dia. Majlis dah dekat tapi buat hal pula.”

“Baik, aunty.”

Apa kena dengan Furqan ni? Kalau ibu dia pun kena telefon aku, sudah parah kes ni. Tak pernah pula dia buat perangai macam ni.

Aku mendail nombornya tetapi langsung tidak diangkat. Setelah beberapa kali mencuba, aku akhirnya menghantar pesanan WhatsApp.

 

Assalamualaikum. Saya nak jumpa awak. Sibuk tak?

 

Mesti dia akan membantah nanti kerana dia memang sibuk akhir- akhir ini. Aku berfikir apa yang akan aku katakan jika dia membantah nanti. Selang beberapa minit, dia membalas.

 

Baiklah. Saya ada berdekatan pejabat awak, ada urusan sikit di sini. Dah dekat masa lunch ni. Kita lunch sama- sama?

 

Terkelu aku seketika. Ingatkan dia hendak menolak tadi. Eh, rezeki jangan ditolak! Buru- buru aku mengemas meja dan mencapai tas tangan. Siapa yang tidak teruja kalau pujaan hati ingin berjumpa.

 

 

“Ada apa awak nak jumpa saya?” tanya Furqan.

Kami berjalan beriringan menyusuri laluan pejalan kaki untuk ke kafe kegemaran aku.

“Pasal baju pengantin. Butik dah telefon tadi, mereka nak ingatkan awak untuk pergi cuba. Kalau lambat nanti tak sempat nak ubahsuai,” jawabku.

“Nantilah saya pergi,” kata Furqan.

“Ibu awak pun telefon. Dia minta awak balik ambil kad kahwin kita.”

“Kenapa pula dia telefon awak?” tanya Furqan.

“Sebab dia tak dapat telefon awak,” jawabku.

Furqan diam tidak menjawab.

“Awak matikan telefonkah?” tanyaku.

“Mesti saya tak dengar masa dia telefon,” jawab Furqan.

Selepas itu dia kembali membisu. Pelik aku tengok perangai dia. Aku ingin terus bertanya tetapi aku ternampak kelibat seorang lelaki melintas di depan kami.

“Hazriq!” kataku.

Hazriq berhenti, memandang kami berdua sebelum mengukir senyuman.

“Eh, awak pun ada di sini!” kata Hazriq.

“Pejabat saya dekat dengan kawasan ni. Awak pun selalu ada juga. Dah dua kali saya jumpa awak di sini,” balasku.

“Saya ada urusan, sebab tu saya datang,” kata Hazriq. “Tunang awak?”

“Ya, ini tunang saya, Furqan.” Aku memandang Furqan. “Awak, ini Hazriq. Dialah yang tolong saya masa kereta saya rosak hari tu.”

“Oh, terima kasih untuk hari tu,” kata Furqan, menghulurkan tangannya kepada Hazriq.

“Sama- sama. Hal kecil saja tu,” balas Hazriq, menyambut huluran tangannya.

“Awak baru datang atau awak dah nak balik?” tanyaku.

“Dah selesai kerja pun, jadi nak baliklah ni,” kata Hazriq.

“Kalau macam tu, awak boleh sertai kami makan. Rania pernah cakap nak belanja makan sebagai tanda terima kasih, kan? Jomlah!” ajak Furqan.

“Eh, tak apalah! Saya ikhlas tolong dia hari tu.” Sekali lagi Hazriq cuba menolak.

“Awak ni, kecil hati saya. Saya pun ikhlas nak belanja. Besar jasa awak pada saya hari tu,” kataku.

Hazriq akhirnya akur. “Baiklah kalau macam tu.”

 

 

“Bila majlis perkahwinan kamu berdua?” tanya Hazriq.

“Dalam masa dua bulan lagi,” jawabku. “Jemputlah datang.”

Aku menghulurkan kad undangan kepadanya. Rasanya memang tidak salah kalau aku jemput dia. Hazriq membaca seraya mengangguk.

“Insya Allah. Kalau tak ada apa- apa hal saya akan datang.”

“Bawalah sekali teman wanita dan keluarga awak. Saya jemput mereka semua juga,” kataku.

“Insya Allah,” balas Hazriq.

Selepas itu Hazriq lebih banyak berbual dengan Furqan. Aku mengambil kesempatan untuk melihat- lihat sekeliling kafe yang kini sesak dengan pengunjung yang ingin makan tengah hari.

“Kereta awak rosak apa sebenarnya malam tu?” Tiba- tiba Hazriq bertanya kepadaku.

“Entahlah, saya pun tak pasti,” jawabku.

“Awak tak tanya mekanik?” tanya Furqan, tidak bepuas- hati dengan sikapku.

Aku menjungkit bahu. “Tanya tapi saya tetap tak faham.”

“Macam mana kalau dia tipu awak, awak tak tahu pun,” komen Furqan.

“Tapi saya memang tak faham, saya nak buat macam mana?” soalku.

Furqan menarik muka, ingin memprotes jawapanku. Tetapi dia tidak jadi berkata apa- apa apabila sedar Hazriq sedang melihat.

“Saya kenal selalu juga ke bengkel tu. Owner dia memang baik dan boleh dipercayai. Insya Allah, saya yakin dia tak akan tipu awak,” kata Hazriq, tiba- tiba mencelah.

“Awak kenal dia?” tanyaku.

“Ya. Saya tinggal pun dekat kawasan tu juga. Jadi saya memang pernah pergi bengkel dia beberapa kali. Uncle tu memang baik,” jelas Hazriq.

Furqan tidak memberi komen. Pasti masih ada yang tidak puas di hatinya. Aku membisu, enggan terus bergaduh. Apatah lagi Hazriq ada dengan kami sekarang. Makanan pula sampai pada masa itu, jadi masing- masing tidak lagi banyak berbual seperti tadi.

Selesai makan, Hazriq minta diri. Katanya dia perlu singgah ke pejabat untuk serahkan dokumen. Furqan pula menghantarku pulang ke pejabat.

“Awak macam dah lama kenal dia?” komen Furqan.

“Saya baru kenal dia hari tu,” balasku.

“Macam mana awak tahu dia ada girlfriend?” tanya Furqan.

Tak mungkin aku akan ceritakan bagaimana aku sebenarnya boleh tahu!

“Kami pernah berbual,” jawabku samar- samar.

“Hmm…macam tu,” kata Furqan.

Kami kemudian membisu hingga sampai di hadapan bangunan pejabatku.

“Jangan lupa pergi butik. Jangan lupa balik jumpa aunty juga. Nanti dia telefon lagi,” pesanku kepada Furqan.

Lelaki itu tidak membalas, hanya menggangguk. Dia kemudiannya berlalu tanpa berkata apa- apa. Aku termangu merenung dia pergi. Kenapa dengan dia? Apa yang tidak kena sebenarnya?

 

 

Memandangkan Furqan laksanakan juga semua pesanan aku, jadi tidak ada rungutan lagi selepas itu. Aku anggap sikap murungnya itu ialah kerana tekanan. Mungkin dia banyak berfikir tentang perkahwinan kami nanti.

Hari ini aku merayau dengan Dyana untuk mencari sesuatu yang boleh ditambah kepada hadiah untuk tetamu yang datang nanti. Jarang Dyana dapat menemani aku, jadi aku sangat teruja apabila dia bersetuju tadi. Tapi sejak datang, wajahnya murung dan banyak mendiamkan diri.

“Tak sihatkah?” tanyaku pada Dyana apabila dia tidak memberi tumpuan pada perbualan kami.

“Tak adalah,” jawab Dyana.

“Habis kenapa diam dari tadi? Pelik kakak tengok kamu,” komenku.

“Adik penat kak. Kerja banyak sekarang. Cuti pun kurang,” jawab Dyana.

“Ya kah? Dah penat kenapa datang juga? Berehatlah di rumah.”

Dyana mengukir senyuman kecil. “Tak apalah kak. Adik tak tolong kakak sangat pun untuk majlis kakak nanti.”

“Alah hal kecillah.”

“Tak apalah. Jom, kak! Lagipun kita kena balik cepat. Nanti ibu berleter pula,” kata Dyana, memaut lenganku.

Betul juga. Malam ini keluarga aku dan Furqan akan makan malam bersama. Kami perlu pulang awal untuk menolong ibu memasak nanti.

“Abang Furqan datang jugakah?” tanya Dyana tiba- tiba.

“Entahlah. Dia cakap dia ada di Johor sekarang. Tapi dia cakap dia akan cuba balik untuk makan malam dengan kita,” jelasku.

Dyana hanya bergumam membalas. Raut wajahnya nampak sedikit kecewa. Dia hendak berjumpa dengan Furqankah? Sebab itukah dia bertanya?

Tapi kenapa?

“Adik tak tanya dia sendirikah?” tanyaku.

“Kami dah lama tak bercakap. Selepas game di Terengganu hari tu, adik dah tak main bowling lagi. Jadi tak ada sebab untuk berbual macam dulu,” jelas Dyana.

Jadi mereka dah tak berhubung. Mungkin aku tak patut tunjukkan pada Dyana yang aku rasa gembira dengan berita itu. Aku akui aku memang rasa cemburu apabila mereka rapat tempoh hari. Walaupun aku tahu mereka tidak akan mengkhianati aku tapi aku tetap rasa risau. Tapi semua itu sudah berlalu.

Tapi…apa boleh buat? Aku memang tersenyum lebar sekarang.

“Kenapa kakak tersenyum macam tu?” tanya Dyana.

“Tak ada apa, kakak seronok berjalan- jalan dengan kamu macam ni,” jawabku.

“Kakak nak beli apa lagi?” tanya Dyana.

“Aiskrim.”

“Huh?” Dyana kelihatan terpinga- pinga.

“Kakak tiba- tiba rasa nak makan aiskrim. Vanilla. Coklat cair. Tabur kacang di atas.”

Dyana tergelak. “Mana nak cari tu?”

“Jom!” Aku menarik tangan Dyana. “Tak pun kita boleh cuba aiskrim Turki yang glamour tu. Mari kita lawan tarik- tarik dengan dia!”

Dyana hanya tersenyum mengikut. Persiapan untuk majlis perkahwinanku berjalan lancar. Aku akan menjadi isteri Furqan dalam tempoh tidak sampai dua bulan saja lagi. Segalanya menjadi seperti apa yang aku mahukan. Terasa bagaikan dunia ini aku yang punya. Malah rasa bahagiaku memang melimpah ruah sekarang.

Jadi bagaimana aku tidak boleh tersenyum lebar?

Sunday, September 6, 2020

Bab 4

 

Tinggal tiga bulan sebelum majlis pernikahan kami. Segala persiapan telah dilakukan. Baju juga telah dipilih. Yang tinggal hanyalah tibanya hari bersejarah itu. Tak habis- habis aku mengira hari.

Hai, terujanya aku!

Hari ini Furqan menemani aku makan tengah hari selepas dia asyik sibuk sejak kebelakangan ini. Tidak pernah dia tidak sibuk. Ada saja yang perlu dia lakukan. Aku harap dia tidak sibuk pada hari perkahwinan kami juga. Kalau tidak siap dia!

Selepas beberapa minggu tidak berjumpa, akhirnya aku dan dia sama- sama bersetuju untuk meluangkan masa sepenuhnya untuk hari ini. Furqan sanggup ambil cuti untuk bersama dengan aku. Senyumku lebar sejak tadi. Siapa yang tidak gembira dapat berjumpa kekasih hati!

“Awak nak ke mana lepas ni?” tanyaku selepas kami makan tengah hari.

“Entahlah. Saya ingat nak temankan awak hari ni.”

Dia tak tahu jawapannya itu membuatkan aku rasa berbunga- bunga. Aku tidak minta banyak benda, cuma kadang- kala, ingat dan luangkan masa dengan aku. Aku pun sedar dia sibuk dengan urusannya. Aku mencuba sebaik mungkin untuk menjadi lebih memahami.

“Jadi awak nak buat apa nanti?” tanya Furqan pula.

“Merayau saja, nak?” tanyaku.

“Tak kan satu hari cuma nak merayau?” tanya Furqan.

Laju aku mengangguk dengan bibir menguntum senyum. Akhirnya merayau juga jadinya. Sudah lama aku tidak berjalan berdua begini. Tetapi Furqan sekali- sekala merenung telefonnya yang berbunyi. Siapa pula yang tak boleh biarkan kami berdua ni.

“Kawan tempat kerja,” balas Furqan apabila aku menjeling setelah sekali lagi telefonnya berbunyi.

“'Ada apa dia asyik mesej awak? Hari ni kan awak cuti?” tanyaku.

“Saya cuti tapi kerja di pejabat tak cuti. Ada hal yang tak selesai.”

Aku terdiam walaupun jelas aku langsung tidak berpuas- hati. Tak kan satu hari pun tak boleh nak biarkan dia bersama aku tanpa diganggu? Matikah syarikat itu tanpa dia?

Ah, perlu lebih memahami! Aku dah tekad nak buat begitu, kan? Tak kan aku hendak berguling- guling di atas tanah atau membentak bagai budak- budak.

Aku menghela nafas yang sangat panjang.

“Marahkah? Saya betul- betul minta maaf,” kata Furqan perlahan. Sekurang- kurangnya dia telah masukkan telefon ke dalam poket.

Ingat, jadi lebih memahami! Lebih matang!

“Tak apa, saya faham,” jawabku setenang mungkin. Nadaku umpama seseorang yang matang dan bergaya bagiku.

Furqan mengukir senyum. “Jom! Kali ni, saya tak akan layan telefon lagi. Sepenuh masa saya hanya untuk awak!”

Aku mengangguk, tersenyum lebar. Aku tahu, susah untuk dia buat begitu sebenarnya. Tetapi jika dia berusaha, aku sudah berpuas hati. Cinta perlukan tolak ansur, kan? Itulah yang akan aku cuba lakukan.

 

 

Menjadi seorang isteri. Tinggal di rumah. Menguruskan rumah. Melahirkan anak. Melayan suami. Jadi isteri dan ibu sebaik mungkin. Itukah kehidupan aku nanti? Berdasarkan keadaan sekarang, Furqan nampaknya sentiasa sibuk. Aku tidak yakin dia akan selalu berada di sisi aku nanti. Kemungkinan besar aku akan lebih banyak ditinggalkan seorang diri apabila dia terlalu sibuk. Tapi sekurang- kurangnya, aku akan lebih selalu berada di sisinya kerana kami akan tinggal bersama nanti. Bukankah itu sesuatu yang lebih baik berbanding hubungan kami sekarang? Sekarang pun dia sibuk tapi kami tidak tinggal bersama. Lagipun kalau sunyi sangat selepas kahwin nanti, lahirkan anak seramai mungkin. Tak susah!

Terasa lebih baik berbanding tadi, aku berjalan- jalan menyusuri jalan kecil untuk kembali ke pejabat. Seperti biasa, aku memang selalu makan tengah hari seorang diri dan merayau- rayau seketika sebelum kembali ke tempat kerja. Aku bukannya tidak baik dengan kawan sekerja tapi aku lebih senang sendiri.

Furqan menelefon semasa aku makan tengah hari tadi, memaklumkan yang mereka akan ke Terengganu hari ini. Dia akan memandu ditemani oleh Dyana dan seorang lagi teman kelab bowling mereka. Dyana juga telah memberitahu hal yang sama semalam. Mereka pasti dalam perjalanan sekarang.

Tinggallah aku di sini. Ai, apa boleh buat. Kenapalah aku langsung tidak ada skil untuk bermain bowling macam orang lain? Aku teringin untuk ikut sebenarnya. Tetapi memandangkan kawan- kawan kelab bowlingnya itu sudah menyaksikan skil aku bermain tempoh hari, aku yakin ada yang mengutuk- ngutuk aku. Malulah!

Mataku mengerling ke tepi, memerhatikan kereta- kereta yang diletakkan di tempat meletak kenderaan di hadapan sebuah kedai peralatan sukan. Beberapa buah langkah, aku berhenti, kemudian berpaling. Aku macam pernah tengok kereta merah itu!

Aku merenung, cuba mengingat di mana aku pernah tengok dan kenapa aku ingat dengan kereta itu. Lama aku berfikir tetapi langsung tidak dapat ingat apa- apa. Habis kenapa tiba- tiba ia menarik perhatian aku? Pemandunya juga tidak kelihatan, jadi aku tidak tahu siapa pemiliknya. Terasa tidak puas hati kerana tidak dapat ingat apa- apa tentangnya kerana aku dapat rasakan ianya sangat penting.

Aku mendekati kereta itu, mengelilingi sekali. Ah, masih tak ingat! Kalau aku jenguk ke dalam macam mana? Aku berpaling melihat keliling. Tidak ada sesiapa yang memerhatikan sikap pelik aku setakat ini. Hmm…

Aku mengigit bibir, cuba melihat ke dalam. Ada apa- apa yang dapat mengingatkan aku pada kereta inikah? Boleh tahan gelap juga cermin dia.

“Tak ada apa- apa yang menarik untuk awak ambil dari kereta saya.”

Hampir melompat aku kerana terkejut. Terus tanganku mengurut dada, sambil badanku bersandar pada kereta itu. Serentak dengan itu, penggera kereta itu tiba- tiba berbunyi dengan kuat. Orang ramai yang berada berhampiran melihat- lihat, membuatkan wajahku merah padam kerana malu. Dengan lelaki yang menegur aku tadi mengeluarkan kunci dan menekan, membuatkan keadaan kembali menjadi sunyi.

“Ah, awak rupanya!” kata lelaki itu, tersenyum lebar.

Berkerut dahiku merenung dia. Macam pernah lihat, tapi di mana?

“Saya Hazriq, ingat lagi tak?” kata lelaki itu lagi.

Terpinga- pinga aku merenung dia.

“Ini kereta awak?” tanyaku.

“Ya, kereta saya. Kereta awak macam mana? Dah siap baiki?” tanya Hazriq.

Terpinga- pinga aku dengan soalannya. Macam mana dia tahu kereta aku pernah rosak? Tak kan dia ikut aku selama ni? Stalker?

“Awak dah tak ingat sayakah? Sampainya hati awak, cepat betul lupakan saya,” kata Hazriq dengan nada bergurau. “Saya rasa macam kita dah jadi rapat sebab lama juga saya tunggu luar kereta awak hari tu.”

Tunggu luar kereta aku?

Hmm…

Eh, patutlah macam pernah tengok!

Dia!

Bulat mataku merenung Hazriq. “Awak!”

“Ya, saya. Dah ingat?”

“Ya Allah, awak! Minta maaf awak, saya memang tak ingat! Malam itu awak dah tolong saya tapi saya tak dapat cam awak tadi. Saya minta maaf sangat- sangat!”

Hazriq tergelak kecil. “Bukannya dosa besar pun nak minta maaf sampai macam tu. Hal kecillah!”

“Ya lah tapi…” Aku mengerling keretanya sekilas dengan rasa bersalah. Patutlah nampak macam pernah tengok kereta ni.

“Awak dari mana?” tanya Hazriq.

“Lunch! Sekarang saya nak balik ke ofis,” balasku. “Saya nak ucapkan banyak- banyak terima kasih pada awak. Hari tu tak sempat cakap apa, awak dah hilang.”

“Sama- sama. Tapi terima kasih sajakah? Mungkin awak patut belanja saya makan,” kata Hazriq.

“Boleh, apa salahnya.”

“Eh, tak apa. Saya cuma bergurau.”

“Tapi saya serius. Saya memang betul- betul rasa berterima kasih. Kalau awak tak tolong saya, entah apa jadi pada saya,” kataku bersungguh- sungguh.

“Alah, benda kecil macam tu tak payahlah nak besar- besarkan.”

“Tak ada kecilnya menolong seseorang dengan ikhlas.”

Hazriq tersenyum herot. “Mana awak tahu saya ikhlas. Entah- entah saya ada niat tersirat tolong awak.”

“Ada ke?” soalku, merenungnya.

“Tak adalah! Saya pun ada ibu dan saya nak orang tolong dia dengan niat yang sama bila dia dalam kesusahan. Lagipun saya tak fikir banyak masa tu.”

“Kalau macam tu, ambil nombor telefon saya ni, tolong telefon saya bila ada masa nanti. Kita cuba aturkan masa untuk jumpa. Saya cuma boleh belanja makan tengah hari, makan malam susah sikit,” kataku, mengeluarkan sekeping kertas untuk menulis nombor telefon, kemudian menghulurkan kepada Hazriq.

“Tak payahlah, hal kecillah.” Hazriq cuba membantah.

“Tak ada kecilnya, saya nak belanja awak juga!”

Hazriq merenungku, kemudian tersenyum herot. “Beria- ia awak nak makan dengan saya.”

Lain macam saja nada dia. Eh, nanti! jangan- jangan dia ingat aku sukakan dia pula. Aku akui dia memang sangat tampan tapi aku sudah ada Furqan di hatiku. Aku mesti betulkan pandangan dia!

“Saya tak sukakan awak!” tegasku.

“Huh?” Hazriq terpinga- pinga.

“Saya dah ada tunang, jadi saya tak sukakan awak.” Aku mengangkat jari, menunjukkan cincin.

Hazriq merenung cincin di jariku, kemudian tergelak kecil.

“Saya pun dah berpunya.” Dia mengangkat jarinya, menunjuk cincin yang disarung di jari manis. “Saya pun tak sukakan awak.”

Terasa wajahku panas. Apa yang aku fikir tadi?

“Baguslah macam tu,” kataku, cuba menunjukkan yang aku memang tidak terkesan dengan apa yang berlaku.

“Ya, baguslah,” ulang Hazriq.

“Jadi awak bolehlah pergi makan dengan saya,” ujarku sebelum sempat menahan diri.

Bodohnya aku! Hai, baguslah Rania! Mesti dia ingat kau gatal.

“Tunang awak tak marahkah makan dengan lelaki lain?” tanya Hazrirl, mengerut dahi. Tengok, mesti dia fikir betapa gatalnya aku!

“Saya akan tanya dia dulu. Kalau boleh, saya akan ajak dia sekali. Kita bukan buat apa- apa pun, cuma pergi makan. Dia pun mesti nak berterima kasih sebab awak dah tolong saya hari tu.”

Hah, bangganya aku sebab dapat cakap semua tu dengan tenang! Terasa diri sendiri sangat hebat!

“Tunang awak marahkah kalau saya belanja awak makan sebagai tanda terima kasih?” tanyaku, masih mengekalkan nada yang sama.

Hazriq tersenyum kecil. “Teman wanita saya tak akan marah kalau saya beritahu dia. Ini bukan kali pertama saya cuma makan berdua dengan perempuan lain selain dia. Saya selalu buat begitu semasa kerja. Setiap kali tu, saya akan beritahu dia.”

Aku tidak dapat menahan diri dari merenung dia dengan cuak. Macam buaya darat pula aku tengok dia. Wajah memang tampan, perangai sama jugakah?

Hesy, jangan cepat buruk sangka! Kalau memang dia jahat, sanggupkah dia tolong malam tu tanpa minta apa- apa balasan. Jangan cepat menilai!

“Kalau macam tu, nanti awak hantar sms atau WhatsApp kepada saya. Senang kita aturkan nanti,” kataku, seraya melihat jam tangan. “Saya kena balik ke pejabat sekarang, jumpa lagi. Assalamualaikum!”

Sebelum sempat aku berlalu, Hazriq melaung memanggilku. “Cik nanti la dulu!”

“Ada apa?”

“Cik asyik nak belanja saya makan, nama cik pun saya tak tahu.” Hazriq tergelak- gelak kecil.

Aku tak pernah cakapkah? Hazriq tidak habis- habis tersenyum. Mesti dia kelakar tengok aku.

“Rania Aisyah. Panggil saja Rania,” jawabku, dengan nada seselamba mungkin.

“Baiklah, jumpa lagi nanti. Assalamualaikum,” kata Hazriq.

“Waalaikumsalam.”

Menonong aku berjalan balik ke pejabat. Laju pula tu. Malunya usah dicakap. Ah, lupa minta nombor telefon dia! Tunggu dia telefon sajalah. Mati hidup semula pun aku tidak akan berpatah balik!

 

 

“Jadi macam mana?” tanyaku.

Furqan terdiam, berfikir panjang. Aku sudah menerangkan tentang pertemuan aku dan Hazriq secara panjang lebar, serta mengapa aku ingin membelanja Hazriq makan. Furqan mendengar sejak tadi tanpa sebarang komen.

Dia akhirnya menghela nafas. “Bila?”

“Entahlah. Saya menunggu dia telefon dulu. Boleh aturkan nanti.”

“Insya Allah, tengoklah nanti macam mana.”

“Awak nak temankan saya tak?”

“Kalau tak ada hal, saya pergilah.”

“Jadi… sudah sampaikah?” tanyaku, mengubah topik.

“Petang tadi, dekat waktu maghrib. Sekarang kami di hotel.”

“Dyana?”

“Ada dalam bilik dia agaknya. Lepas makan tadi, semua buat hal masing- masing. Rasanya dia dan Imani balik ke bilik.”

“Siapa pula Imani?”

“Yang datang dengan kami. Dia sebilik dengan Dyana.”

“Macam tu.”

“Ok, nanti kita cakap lagi. Saya nak berehat dulu. Esok nak bangun awal. Esok saya telefon awak, ok?”

“Ok, selamat malam. Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam.”

Jadi tak ada masalah oleh Furqan. Bagus juga kalau dia dapat temankan, tak lah aku makan berdua dengan Hazriq. Segan pula nanti.

Bila agaknya dia hendak telefon aku? Mungkin dia pun kena minta persetujuan teman wanita dia. Teman wanita dia tak benarkan dia makan dengan aku agaknya. Buat apa nak takut, aku dah ada Furqanlah.

Hmmp, yang aku pula tertunggu- tunggu dia telefon ni kenapa pula?

 

 

Furqan tidak menelefon sepanjang hari. Sibuk dengan perlawanan agaknya. Panggilan aku pun tidak diangkat. Agaknya dia sibuk atau perlawanan belum lagi tamat.

Tapi aku tidak habis- habis mengerling telefon, mengharapkan ia berdering. Dia lupakah? Ah, tak kanlah. Mesti sebab dia sibuk, pasti!

“Nanti meletup telefon tu kena jeling dengan kamu,” kata Zura, kemudian tergelak- gelak dengan Kak Diba.

Aku menjeling mereka sebelum kembali cuba memberi tumpuan kepada kerja. Reaksiku itu membuatkan gelak tawa mereka semakin kuat.

“Bergaduhkah?” tanya Zura.

“Dah nak kenduri ni, berbaik- baiklah. Jangan bergaduh,” tegur Kak Diba.

“Kami tak bergaduhlah kak,” keluhku.

“Habis tu kenapa?” tanya Kak Diba.

“Tengah tunggu dia telefon, tapi dia tak telefon- telefon lagi,” jawabku, sekali lagi mengerling telefon.

Jawapanku itu membuatkan Zura tergelak. “Ingatkan ada masalah besar sangat tadi. Dah dia tak telefon, kau telefonlah dia.”

“Dah telefon, tak angkat.”

“Sibuk kut. Janganlah di fikirkan sangat, nanti dia telefonlah kamu tu,” nasihat Kak Diba.

Aku mengangguk, cuba kembali fokus dengan kerja. Nanti dia telefonlah juga. Tetapi sepanjang hari menunggu, Furqan langsung tiada khabar berita.

 

 

Malam itu, akhirnya Furqan menelefonku. Belum sempat aku bercakap apa- apa, dia mula mengadu nasibnya. Rupanya mereka masih belum sampai ke ibu kota.

“Kereta saya rosak. Sekarang saya tengah tunggu tow truck. Sudah dua jam kami tersadai di sini.”

“Awak di mana?” soalku.

“Atas lebuhraya Karak. Kami sudah sampai separuh jalan sebelum kereta saya buat hal,” rungut Furqan.

“Sabarlah, sekejap lagi sampailah tu. Dyana macam mana?”

“Dia ada di dalam kereta.”

“Bukankah kamu berdua bekerja esok?” tanyaku.

Dia mengeluh. “Nak buat macam mana, cutilah lagi. Bukan sengaja tak nak pergi kerja. Pukul berapa sampai balik pun tak pasti lagi, macam mana nak tercongok di pejabat satu hari esok.”

“Apa- apa telefon saya lagi nanti. Risau juga saya.”

“Tahulah.”

Aku memutuskan talian dengan hati yang tidak tenang. Entah kenapa, ada sesuatu yang mengganggu benakku. Ya Allah, tenangkanlah hatiku.

 

 

Lewat malam kemudian, Furqan menghantar pesanan WhatsApp yang keretanya kini di bengkel. Tetapi dia dan Dyana tidak dapat pulang dan perlu bermalam di sana kerana keretanya cuma akan dibaiki esok. Furqan langsung tidak menghantar khabar berita hinggalah hampir tengah hari esoknya.

 

Kereta siap dibaiki. Kami dalam perjalanan balik.

 

Alhamdulillah. Walaupun masih ada secebis perasaan tidak senang hati, aku cuba lupakan dan mengingatkan diriku untuk mempercayai mereka berdua. Aku dan Furqan bakal menempuh perjalanan yang aku harap akan berkekalan hingga ke Jannah. Aku tidak patut membiarkan bisikan syaitan meracuni pemikiranku.