Friday, September 5, 2014

Cerpen : Saya Suka Awak Bahagian III

Menjelang masa makan tengahari, jantung Hanis bagaikan hendak tercabut dari dadanya. Dia masih belum percaya yang King mengajaknya makan tengahari bersama. Langkahnya ke kafeteria juga bagaikan berduri. Hampir sepuluh minit, barulah dia sampai. Matanya terus mencari King.

King duduk di meja yang paling tengah, dikerumuni gadis dan jejaka yang biasa ada. Malah, rasanya sudah bertambah beberapa orang.

Hanis bagaikan ingin menangis. King pasti cuba mahu main- mainkan dia.

King yang nampak bosan tiba- tiba terpandang Hanis yang masih berdiri di pintu masuk. Lelaki itu terus bangun dan mendekatinya. Kumpulan peminatnya terpinga- pinga.

“Lambatnya! Dah lama saya tunggu,” King tersengih lebar.

Sekarang, bukan peminat King ternganga, malah satu kafeteria termasuk pekerja yang menghidang makanan terdiam, melopong memandang mereka berdua. Wajah Hanis merona merah.

“Kenapa?” tanya King, hairan.

“Awak betul- betul nak makan dengan saya?” Hanis bertanya sekali lagi.

“Betullah, berapa kali nak ulang? Nak kena tulis memo atau rakam supaya awak percaya?”

Hanis mencebik. Bergurau pula King ni!

“Siapa perempuan ni?”

Hanis berpaling melihat peminat- peminat tegar King sudah mengerumuninya. Mereka memandangnya dengan jelik.

“Hanis Affira, kelas aku.” Hanis mengenali gadis ini, Juwita.

“Kenapa King cakap dengan dia?” seorang pelajar lelaki yang tidak kenali bertanya.

“Dia pun sukakan King?” gadis yang berdiri paling dekat dengan King bertanya.

“Jangan pedulikan dia, marilah kita pergi makan,” manja sahaja suara gadis lain bersuara.

Hanis menggigit bibir. Mungkin King dah berubah fikiran tapi Hanis malu untuk bertanya. Biarlah dia pergi.

“Awak nak ke mana?” King menarik tangannya. Kedengaran suara- suara mereka yang terkejut di seluruh kafeteria.

Tanpa berkata apa- apa, King menarik tangannya keluar. Dia langsung tidak menghiraukan teriakan peminat- peminatnya. Hanis pula terlalu tergamam untuk berkata apa- apa. Mereka tiba di mesin makanan layan diri berdekatan Dewan Utama.

“Maaf, saya rasa susah kita nak balik ke kafeteria dengan perangai mereka macam tu. Kita beli makanan dalam mesin ni, boleh tak?” tanya King.

Hanis mengangguk laju.

King membelanjanya dengan roti, makanan ringan dan air dan membeli banyak makanan untuk dirinya sendiri. Mereka duduk untuk makan di bangku berdekatan padang.

Hanis dapat rasakan perbezaan King bila berbual dengannya. Dia bukan lelaki cool, serius dan pendiam seperti yang dibayangkan. King tidak banyak bercakap tetapi kelakar dan baik. Dia seperti tidak mempedulikan statusnya sebagai pelajar paling popular.

“Esok saya jumpa awak lagi untuk makan tengahari?” tanya King apabila dia menghantar Hanis balik ke kelas. Hanis tersenyum dan mengangguk.

Hanis duduk di meja, tunduk mengeluarkan buku. Tiba- tiba, sepasang tangan menepuk meja dan bertanya dengan kuat;

“Kenapa King tarik kau tadi?”

1 comment:

  1. Ok best cita ni hope jd full mss.. hehe sehangat matahari best ku suka rasa mcm xcukup je dgn watak adam

    ReplyDelete