Tuesday, October 27, 2020

Bab 38

 

Akhirnya majlis yang awalnya untuk meraikan perkahwinan aku dan Furqan akhirnya bertukar menjadi jamuan kecil keluarga kami. Aunty Sofea yang masih sugul meminta diri untuk pulang lebih awal. Aku tahu dia masih bersedih. Memandangkan banyak hal yang perlu diselesaikan, Uncle Hadi duduk menunggu untuk berbincang tindakan yang dapat diambil selepas ini. Furqan menawarkan diri untuk menghantar Aunty Sofea dan Danish pulang. Katanya dia akan datang kembali selepas itu.

Mereka yang lain yang datang tidak bertanya walaupun masing- masing bagaikan dapat menduga apa yang telah berlaku. Tetapi memandangkan mereka sanak saudara yang selama ini memang boleh dipercayai, ayah yakin mereka akan tutup mulut. Seterusnya cuma perlu mencari jalan untuk menyelesaikan masalah lain seperti kad jemputan yang telah diedar dan tempahan- tempahan yang telah dibuat.

Nampaknya aku memang timbulkan banyak masalah kepada semua orang. Disebabkan itulah aku duduk di kerusi di balkoni, malu untuk bersemuka dengan semua orang lain.

“Minumlah.”

Segelas air oren yang sejuk diletakkan dihadapanku. Ibu mengambil tempat disebelahku. Sambil mengucapkan terima kasih, aku mencapai gelas itu, menikmati minuman sejuk. Cepat saja aku habiskan. Tidak sedar pula aku rasa dahaga begini.

“Janganlah difikirkan lagi, kami boleh selesaikan masalah ni,” kata ibu, bagaikan mengerti apa yang aku fikirkan sejak tadi.

“Maafkan saya, saya dah timbulkan banyak masalah untuk semua orang,” kataku.

Ibu mengukir senyuman kecil. “Kalau ucapan maaf kamu tu senilai dengan emas, kita dah kaya agaknya! Entah berapa kali kamu ucapkan maaf tu.”

“Tapi saya memang rasa bersalah pun,” kataku dengan suara kecil.

“Ibu tahu tapi ibu rasa ibu pun patut minta maaf kepada kamu juga,” kata ibu.

“Kenapa?” Aku memandang ibu dengan hairan.

“Ibu sebenarnya perasan yang kamu bukannya hendak kahwin dengan Furqan pun. Tapi ibu abaikan. Kalau ibu lebih perihatin dengan perasaan kamu, ibu sepatutnya dah halang kamu sejak dulu lagi.”

Aku cuma menggeleng. Bukan salah ibu atau sesiapa pun, aku yang terlalu berdegil. Untuk lari dari masalahku, aku lukakan banyak pihak yang lain. Ibu memeluk bahuku.

“Anak ibu, jangan terus salahkan diri sendiri. Macam yang ibu cakap tadi, ibu nak kamu bahagia. Selepas ni, jangan ulangi hal ni lagi. Boleh kamu janji dengan ibu?”

Suara ibu yang lembut itu hampir membuatkan aku sekali lagi menangis. Aku cuma mengangguk. Ibu mencium pipiku, kemudian kembali masuk ke dalam. Entah berapa lama aku terus termenung di situ.

“Assalamualaikum.”

Aku berpaling, melihat Furqan berjalan ke arahku. “Waalaikumsalam.”

“Kenapa termenung lagi? Kan dah selesai pun,” tegur Furqan, mengambil tempat di depanku.

“Banyak yang saya fikirkan,” jawabku.

“Tak sangka awak batalkan betul- betul sebelum lafaz akad,” kritik Furqan, biarpun bibirnya menguntum senyum lebar.

“Awak juga yang cakap tak apa,” balasku, mengerlingnya.

Furqan tergelak mendengar jawapanku. Aku tidak tahu hendak katakan apa kepada Furqan sebenarnya. Tidak kira apa pun, perasaan bersalah itu tetap ada.

“Ya, dan seperti mana yang pernah saya cakap, saya akan tetap sokong keputusan awak.”

Ah, makin kuat perasaan bersalah aku! Lebih mudah jika Furqan ialah seseorang yang aku benci, aku tidak perlu rasa begini.

“Saya minta maaf,” kataku.

“Sebab batalkan majlis perkahwinan kita? Kali kedua pula tu!” kata Furqan.

“Ya.”

“Hmm, tak apa. Lagipun awak bukannya cantik sangat pun!” komen Furqan, seraya mengerling aku.

“Hei!” desisku, menjeling lelaki itu.

Memanglah aku rasa bersalah tapi itu tidak bermakna dia boleh mengutuk aku pula!

Dia cuma tergelak. “Saya berguraulah!”

Kejam betul gurauan dia!

“Dari tadi awak asyik minta maaf saja. Sudah- sudahlah, semuanya dah selesai dengan baik,” kata Furqan.

“Tapi saya memang rasa bersalah. Tak kira berapa kali saya minta maaf pun, masih rasa tak cukup.”

Furqan menghela nafas. “Dah cukup, dah banyak kali awak ulang pun. Tak perlulah ulang lagi. Semua orang dah tahu awak rasa bersalah dan kami pun tak salahkan awak pun. Jadi tak perlulah cakap lagi.”

Aku cuma mengangguk. “Tapi saya nak ucapkan terima kasih pada awak juga.”

“Untuk apa?”

“Untuk sokongan awak tadi,” jawabku.

Furqan tersenyum. “Saya pernah cakap, kan? Saya akan sokong apa pun keputusan awak.”

“Kenapa tak beritahu semua orang hal yang sebenar kenapa saya nak kahwin dengan awak?” soalku, cuba menduga.

Furqan mendengus. “Nak kena marahkah? Awak mungkin kena marah, saya mungkin kena tumbuk lagi!”

“Awak ingat ayah saya suka menumbuk orangkah?” soalku dengan jengkel.

“Saya tak mahu cuba, nanti saya juga yang kena.”

“Awak tak buat salah, buat apa dia nak tumbuk awak.”

“Manalah tahu. Lagi satu, awak tak beritahu lelaki tu yang awak tak jadi berkahwin dengan saya?” tanya Furqan, tersenyum penuh makna.

“Untuk apa? Biarpun saya tak jadi kahwin dengan awak, dia masih akan kahwin dengan tunangnya,” jawabku dengan rasa jengkel.

Tiba- tiba pula dia bangkitkan hal ini. Hampir sepanjang hari aku lupakan hal ini, sekarang aku teringat balik. 

“Dia tak akan kahwin dengan tunangnya,” kata Furqan dengan yakin.

“Kenapa awak boleh cakap macam tu?” soalku, hairan dengan kata- katanya.

Furqan tersenyum. “Sebab saya tahu dia memang betul- betul cintakan awak.”

Terkejut aku mendengar. “Macam mana-”

“Saya jumpa dengan dia sebelum majlis akad nikah kita,” jawab Furqan.

“Bila?”

Seingat aku, baru semalam aku berbual dengan Hazriq. Tapi tidak ada langsung tanda- tanda dia berjumpa dengan Furqan.

“Pagi tadi, dalam pukul sepuluh pagi. Saya rasa saya dan dia ada perkara penting yang perlu kami selesaikan. Jadi saya telefon dia, minta untuk berjumpa. Dia pun setuju.”

Melopong aku mendengar. Jadi dalam beberapa jam tadi, mereka berdua berjumpa dan berbual?

“Tapi…macam mana…?”

Furqan memandang aku dengan raut wajah berlagak. “Awak ingat susah sangatkah saya nak cari dia? Biarpun awak beria- ia tak mahu saya tahu nombor telefon dia, saya masih ada cara untuk cari. Kan saya dah cakap, kami mesti berbual. Man to man!”

“Jadi awak pergi jumpa dia? Buat apa?”

Jangan cakap mereka bertumbuk pagi tadi! Tapi tidak ada kesan lebam atau luka pada Furqan, jadi aku boleh berharap yang ia tidak berlaku.

“Bercakap,” jawab Furqan, kemudian menghela nafas. “Secara jujur, saya tunggu peluang untuk tumbuk dia. Salah cakap sikit pun cukuplah. Tapi selepas dia jelaskan semuanya, saya pun boleh faham apa yang sudah berlaku.”

Ada apa dengan lelaki dan tumbuk menumbuk? Tak boleh bercakap dengan mulut? Kenapa hendak gunakan tangan?

“Saya dah cakap, kan? Awak cari dia lagi kenapa?” tanyaku dengan jengkel.

“Sebagai adik ipar awak, saya bertanggungjawab untuk jaga awak. Tambahan lagi, kalau kita jadi bernikah, saya jadi suami awak. Maka lebih besar tanggungjawab saya ke atas awak. Jadi tak salah apa yang saya buat,” jelas Furqan.

“Habis macam mana awak boleh berubah fikiran?”

“Saya boleh tahu yang dia benar- benar cintakan awak. Dia minta saya jaga awak sebaik mungkin. Siap beri amaran pada saya.” Furqan tergelak sinis. “Macam saya ni tak boleh diharap pula!”

Apa yang telah mereka berdua bualkan?

Furqan menghela nafas. “Walaupun saya tetap tak sukakan dia, tapi saya faham perasaan dia. Kalau dia begitu kecewa awak akan kahwin dengan saya, bayangkan perasaan dia nanti kalau dia tahu yang kita dah batalkan majlis kita. Entah- entah melompat sampai ke bintang!”

Ah, kenapa pula aku rasa malu!

“Kenapa wajah awak merah?” soal Furqan.

“Tak ada apa- apa,” gerutuku.

“Awak tak nak telefon dia?”

“Nantilah,” jawabku.

Furqan tersengih. “Betulkah?”

“Jangan sibuklah!” bentakku.

Furqan cuma tergelak dengan reaksiku.

“Tapi saya nak tanya lagi satu perkara. Sampai bila awak nak pakai macam ni?” tegur Furqan, menunjuk dari atas ke bawah.

Oh, aku lupa salin pakaian. Sekurang- kurangnya Furqan tidak lagi bersampin, tapi aku masih lengkap berbaju pengantin.

“Biarlah, bukannya selalu saya boleh pakai macam ni,” balasku dengan nada acuh tak acuh.

“Siapa kata tak boleh. Pakailah, siapa kisah. Pakai pergi kerja pun tak apa.”

“Awak ingat saya hilang akal?” tempelakku.

“Agaknya, memandangkan dah dua kali awak tak jadi kahwin!” balas Furqan tergelak- gelak.

“Hei!”

Makin kuat dia tergelak.

 

 

Jadi bagaimana sekarang? Patutkah aku beritahu Hazriq yang aku dan Furqan tidak jadi berkahwin? Apa agaknya reaksi dia nanti? Tapi apa yang hendak aku katakan nanti? Hampir lebih satu jam aku merenung telefon yang aku letakkan di hadapanku.

Hendak telefon. Jangan telefon! Telefonlah. Tak, jangan! Hesy, telefon sajalah! Tapi…

Ah, telefonlah!

Aku melarik skrin telefon untuk menelefonnya. Selepas tiga deringan, ada jawapan.

“Assalamualaikum.”

Suara seorang wanita.

“Waalaikumsalam,” jawabku. “Boleh saya cakap dengan Hazriq?”

“Rania?”

“Ya.”

“Ini Nurrul Azzwa.”

“Oh, kenapa awak ada telefon dia?” tanyaku, mula terasa tidak sedap hati.

“Saya dan dia sudah berkahwin. Jadi jangan telefon suami saya lagi. Saya tak akan maafkan awak kalau awak rosakkan rumah tangga kami,” kata wanita itu dengan nada yang tenang sebelum memutuskan talian.

Suami? Mereka sudah berkahwin?

“B-bila awak berdua berkahwin?” tanyaku.

“Petang tadi!”

“Nanti! Biar saya cakap dengan Hazriq dulu!” pintaku.

“Awak dah gila! Bahagian mana dalam kata- kata saya tadi yang awak tak faham? Jangan ganggu suami saya!” tengking Nurrul Azzwa.

Selepas itu dia terus memutuskan talian. Aku tidak bermimpikah tadi? Benarkah mereka berdua sudah berkahwin? Jadi pada hari aku sepatutnya disatukan dengan Furqan, Hazriq bernikah dengan Nurrul Azzwa.

Furqan cakap Hazriq tidak akan kahwin dengan tunangnya. Hazriq juga beritahu aku perkara yang sama. Habis yang mana satu yang betul?

Dengan tangan yang terketar- ketar, aku cuba menelefon beberapa kali tetapi panggilanku gagal disambung. Aku merenung skrin telefon yang gelap. Ternampak bayangku sendiri dengan air mata mengalir membasahi pipi. Aku segera mengesat air mata tetapi masih tidak berhenti mengalir. Malah semakin lama, semakin lebat air mataku. Akhirnya aku tidak dapat tahan lagi.

Monday, October 26, 2020

Bab 37

 

Aku mengelamun, menunggu tibanya saat berlangsungnya majlis akad nikah aku dan Furqan. Fikiranku serabut memikirkan banyak perkara. Tentang Hazriq. Tentang perkahwinan aku. Tentang perkahwinan dia. Tentang kenapa aku tidak boleh memiliki orang yang aku cintai. Pintu dibuka secara tiba- tiba, mematikan lamunanku. Ibu terpacul di pintu.

“Rania, kami semua dah bersedia. Mari turun ke bawah,” kata ibu.

Aku menghela nafas, bingkas bangun. Untuk apa aku berfikir lagi? Mungkin keputusan yang aku ambil ini ialah yang terbaik untuk semua orang. Ah, jangan terus berfikir!

Aku bingkas bangun, membetulkan pakaian dengan bantuan ibu. Aku merenung refleksiku di cermin. Pengantin apa yang tidak tersenyum begini? Aku menarik nafas, cuba mengukir senyuman. Tapi bayang aku di cermin terus nampak muram.

“Kenapa?” tanya ibu.

“Tak ada apa- apalah. Mari kita turun ke bawah,” ajakku.

Ibu mengangguk, memimpin tanganku. Hatiku terasa tidak keruan tetapi aku tetap teruskan langkah.

 

 

Berbanding kali pertama, majlis kali ini agak sunyi kerana tidak ramai yang ada. Kalau diikutkan aku, tidak perlu ada majlis langsung. Cukuplah kalau cuma akad nikah dilakukan di pejabat agama saja. Tapi keluarga kami pasti akan berkeras menentang. Jadi terpaksa aku ikut kehendak mereka untuk adakan majlis kecil dan tertutup begini.

Furqan mendengar penerangan dari Imam Hisham semasa aku sampai di ruang tamu. Ini kali kedua baginya. Juga kali kedua aku cuba menjadi isteri dia. Sebaik saja nampak aku turun, dia merenung aku, bagaikan cuba bertanya sekali lagi tentang keputusanku. Aku terus duduk di kusyen yang disediakan di pelamin tanpa memperdulikan renungannya. Lelaki itu akhirnya menghela nafas lalu memberi tumpuan kepada Imam Hisham.

Aunty Sofea yang meriba Danish berbual dengan ibu. Selepas tamatnya majlis ini, aku akan menjadi ibu kepada anak kecil ini. Ini permintaan terakhir Dyana yang ingin aku penuhi. Walaupun bukan begini yang aku bayangkan semasa berfikir untuk mengabulkan permintaan terakhir Dyana, tetapi mungkin ini yang terbaik.

Danish yang nampak aku terus tersenyum. “Mak Yong cantik!”

Aku tidak menjawab, cuma tersenyum pahit.

“Danish kena belajar panggil Mak Yong ‘Mama’,” kata Aunty Sofea kepada Danish.

“Kenapa?” Anak kecil itu nampak keliru.

“Biarlah dia belajar perlahan- lahan,” kata ibu. “Lagipun bukan senang dia nak tukar panggilan ‘Mak Yong’ kepada ‘Mama’ tu.”

Aku tidak menjawab, cuma mengusap pipi anak kecil itu. Aku kembali mengalih tumpuan kepada lelaki yang bakal menjadi suamiku itu.

Memandang dia membuatkan aku sekali lagi sedar satu perkara paling penting, aku benar- benar tidak ada perasaan lagi pada dia. Dia memang seorang yang istimewa bagiku kerana dia pernah bertakhta di hati. Tapi cuma setakat itu.

 

Perlukah kita berkahwin kerana cinta?

 

Hah, sekarang kata- kata itu memakan diriku sendiri!

Ah, perasaan boleh dipupuk! Lama- lama pasti aku boleh jatuh cinta pada dia kembali. Betul tu!

Tapi…

Imam Hisham yang selesai memberi penerangan, mengangkat tangan untuk membaca doa. Nampaknya majlis akan bermula. Rasa tidak keruan tadi mula bertukar menjadi panik. Aku tidak tahu apa yang patut aku fikirkan sekarang. Beberapa kali menarik nafas pun aku masih tidak dapat bertenang.

Apabila aku nampak Imam Hisham menghulurkan tangan kepada Furqan dan dia menyambut, nafasku semakin sesak.  Dengan tenang, Imam Hisham memulakan lafaz akad.

“Aku nikahkan dikau-”

 

Jangan terus berdiam dan larikan diri bila ada masalah. Suarakan apa yang ada di hati awak. Tak akan ada orang yang faham apa yang awak fikirkan melainkan awak suarakan secara jelas.

 

Suarakan apa? Beritahu apa? Dadaku semakin sesak apabila mendengar Imam Hisham menyebut namaku. Aku tak boleh teruskan!

“NANTI!”

Semua orang berpaling melihat aku. Furqan yang mulanya terperanjat, mengukir senyum apabila sedar aku yang menghentikan majlis.

“Kenapa pula Rania?” tanya ayah.

“Saya…”

Bagaimana hendak beritahu mereka yang aku tidak boleh teruskan majlis ini?

“Kenapa kamu menangis ni?” tanya ibu.

Baru aku perasan pipiku basah. Bila masa pula aku mula menangis? Cepat- cepat aku mengesat air mata. Aku cuba menjawab tapi sukar. Air mataku juga tidak dapat dihentikan. Ayah merenungku, kemudian mengeluh.

“Maafkan saya, saya rasa baik kita tangguhkan dulu majlis ni,” kata ayah kepada Imam Hisham sebelum berpaling kepada kami. “Kita semua perlu bercakap!”

Imam Hisham memandang aku, kemudian memandang ayah kembali. “Lagi sekalikah?”

Ayah mengukir senyuman pahit. “Biar kami berbincang dulu.”

 

 

Kami semua berkumpul di ruang tengah. Aku diam membisu. Aku tahu kali ini memang salah aku. Jadi aku menunggu apa yang akan mereka semua katakan.

“Kamu nak cakap apa- apa tak?” tanya ayah.

“Saya minta maaf,” kataku dengan suara perlahan.

“Kenapa pula kamu hentikan majlis tadi? Tak kan kamu nak cakap yang kamu tak mahu kahwin dengan Furqan?” tanya Aunty Sofea.

Aku tidak menjawab, cuma mengangguk.

Menyingga wajah Aunty Sofea. “Apa kena dengan kamu ni? Kamu yang setuju untuk kahwin dengan Furqan, sekarang kamu tak mahu pula. Kamu nak malukan keluarga kami?”

“Mama!” kata Furqan. “Ini keputusan dia!”

“Eh, kamu ni! Dia dah malukan kamu pun kamu nak pertahankan dia!” tengking Aunty Sofea. “Kalau dulu ada sebabnya, kali ini sebab apa?”

“Sebab saya dan dia tak ada apa- apa perasaan pun!” jawab Furqan.

Terus aku mengangkat wajah, merenungnya. 

Furqan menghela nafas. “Secara jujur, saya memang nak dia batalkan majlis ni. Berkali- kali saya minta dia batalkan. Tapi dia masih hendak teruskan. Elok juga dia batalkan tadi. Kalau tidak, mesti saya dah sah jadi suami dia!”

Aunty Sofea terhenyak duduk di kerusi. Tangannya mengurut dada.

“Furqan, macam mana kamu boleh cakap macam tu? Kamu ingat benda ni semuanya main- mainkah?” kata Uncle Hadi.

“Bukan salah dia, salah saya. Saya minta maaf!” kataku.

“Maaf kamu tu tak akan selesaikan masalah! Sekarang semua orang dah tahu yang majlis ni tak jadi. Kad jemputan pun kami dah edarkan. Mana kami nak letak muka kami?” marah Aunty Sofea.

Aku tunduk mendengar.

Furqan menghela nafas. “Sebab itulah saya minta majlis yang kecil. Saya tak nak ramai orang yang tahu pun. Tak apalah mama, jangan risau dengan mereka. Biar saya telefon setiap seorang dan jelaskan yang majlis kami tidak jadi diadakan.”

“Senangnya kamu cakap!” tempelak Aunty Sofea.

“Tak kira apa sekalipun, saya terima keputusan Rania. Malah saya rasa bersyukur. Sekurang- kurangnya Rania masih ada peluang untuk bersama dengan orang yang memang dia cintai. Kalau saya yang sepatutnya jadi suami dia pun boleh terima, apatah lagi orang lain. Jadi saya harap semua orang lain boleh faham,” kata Furqan.

Aunty Sofea bagaikan ingin menangis mendengar kata- kata Furqan. Uncle Hadi diam, memicit kepalanya.

“Saya minta maaf sebab dah kecewakan semua orang,” ulangku untuk kesekian kalinya pada hari ini.

Bagiku, biarpun berapa kali aku ungkapkan maafku itu, ia tetap tidak akan memadai dengan masalah yang telah aku timbulkan.

“Tak perlulah terus minta maaf begini. Hal ini pun dah jadi begini. Furqan pun dapat terima. Apa lagi yang uncle boleh cakap,” kata Uncle Hadi.

“Abang nak biarkan saja?” tanya Aunty Sofea, mata membulat merenung Uncle Hadi.

“Kita paksa pun tak guna. Mereka memang tak mahu berkahwin pun. Furqan yang sepatutnya lebih malu dari kita semua, tapi dia yang langsung tak rasa apa- apa pun sekarang. Malah saya rasa dia rasa gembira,” kata Uncle Hadi.

“Tapi-” Aunty Sofea masih berkeras.

“Terima sajalah keputusan mereka. Biarlah kita selesaikan hal yang lain tu. Lagipun difikirkan balik, saya rasa kita ada ‘hutang’ dengan Rania. Bila dia tak jadi kahwin dengan Furqan dulu, dia yang tanggung malu seorang diri. Sampai sekarang setiap kali teringatkan hal tu, saya rasa bersalah sangat pada dia. Sekarang anggaplah kita bayar balik hutang dia tu,” kata Uncle Hadi.

Akhirnya Aunty Sofea tunduk membisu. Biarpun dia masih tidak berpuas hati, aku rasa dia sudah dapat menerima keputusan yang aku ambil.

“Tapi kenapa kamu bersetuju untuk kahwin dengan Furqan dulu?  Tidak ada siapa pun yang paksa kamu,” soal ayah yang tadinya membisu mendengar.

Bagaimana hendak beritahu mereka yang aku hendak larikan diri dari perasaanku pada Hazriq?

“Sebab dia nak buat semua orang rasa gembira.” Sekali lagi Furqan menjawab untuk pihakku.

Aku mengerling Furqan tetapi raut wajahnya kelihatan bersahaja. Dia sendiri tahu itu bukan jawapan sebenarnya tapi kenapa dia menipu?

“Tapi kenapa? Kami boleh faham kalau kamu tak setuju,” kata ibu. “Sebab kamu hendak jadi ibu kepada Danishkah? Ataupun sebab kami yang mahu kamu berdua berkahwin?”

Ayah menghela nafas. “Menjadi seorang ibu bukan bererti kamu perlu paksa diri kamu untuk berkahwin dengan Furqan. Kamu masih boleh anggap dan jaga dia seperti anak kamu tanpa menjadi isteri kepada ayahnya.”

“Betul tu. Ibu dan ayah tak akan paksa kamu berdua berkahwin. Ibu nak kamu bahagia!”

“Jangan asyik hendak gembirakan hati orang lain. Carilah kebahagiaan kamu. Ayah dan ibu tak akan ada selamanya dengan kamu. Sebab tu kami harap kamu akan jumpa seseorang yang dapat pimpin tangan kamu hingga ke syurga,” kata ayah.

Semua orang mahu aku cari kebahagiaan aku. Adakah aku saja yang cuma mengelak selama ini? Aku tunduk mendengar. Sekali lagi air mataku perlahan- lahan menitis.

Sunday, October 25, 2020

Bab 36

 

Sejak dari hari itu, aku terus- terusan mengelak dari bertembung dengan Hazriq. Syukurlah dia tidak menungguku di kereta. Dia juga tidak ada apa- apa urusan untuk datang ke pejabatku. Tapi kadang- kadang, aku terserempak juga dengan dia. Kuala lumpur ini luas juga tapi aku masih boleh bertembung dengan dia. Jadi aku mengelak dari memandang atau bercakap dengan dia apabila kami berjumpa.

Tapi itu bukannya sukar dilakukan kerana dia tidak lagi memandang atau memperdulikan aku apabila berjumpa. Kami seolah- olah menjadi orang asing. Memang ini yang aku harapkan, tapi hatiku tetap rasa sakit.

Persiapan untuk perkahwinan aku dan Furqan terus berjalan lancar tanpa campur tangan aku. Semuanya diuruskan oleh ibu dan Aunty Sofea. Furqan terlalu sibuk untuk terlibat, manakala aku pula memberi alasan yang aku juga sibuk dengan kerja. Aku tahu aku tidak dapat mengelak tapi aku masih tidak dapat libatkan diri.

Sesuai dengan permintaanku, majlis akad nikah kami cuma akan dihadiri oleh keluarga kami dan beberapa saudara terdekat. Ia juga diadakan di rumahku. Aku tidak mahukan majlis yang besar dan hadirin yang banyak. Cukuplah sekadar kami.

Aku juga masih belum beritahu sesiapa yang aku bakal menikah. Tak perlulah diheboh- hebohkan. Selepas kad kahwin siap dicetak nanti, aku jemput saja mereka. Jadi buat masa sekarang, biarlah semua ini masih lagi rahsia. 

“Bagus juga kamu dah tamat belajar. Bolehlah kamu ikut Furqan ke Johor dengan senang hati. Nanti senang juga kamu nak dapatkan kerja baru dengan ijazah dan pengalaman kerja kamu tu,” kata ibu semasa makan malam.

“Ibu ni macam tak sabar- sabar nak halau saya. Nanti ibu mesti rindukan saya bila saya tak tinggal di sini lagi,” kataku.

“Tak adalah nak halau. Tapi anak perempuan bila dah kahwin, mestilah nak ikut suami dia,” balas ibu, kemudian mengeluh. “Sunyilah rumah ni nanti.”

“Habis saya ada lagi, tak cukupkah?” tanya ayah yang tadinya diam mendengar.

“Cuma awak dan saya berdua, mestilah sunyi juga,” jawab ibu, masih sugul.

“Habis nak saya tambah seorang dua isteri supaya awak tak rasa sunyi?” soal ayah dengan selamba.

Terus ibu memandang ayah. “Hai, dah berumur macam ni pun masih fikir macam tu? Tak malu anak awak dengar? Gatal juga awak ni!”

Ayah cuma tersenyum. “Mana ada saya gatal? Awak juga cakap kalau kita berdua rasa sunyi. Sebab saya ambil berat perasaan awaklah saya nak kahwin lagi. Saya pun ada tiga ruang kosong lagi.”

“Jangan nak cakap yang bukan- bukan malam- malam macam ni!” bentak ibu.

Ayah tidak menjawab, cuma tergelak kecil. Dia tahu kalau dia cakap lagi pasti ibu akan lebih marah nanti. Aku sendiri segera menyuap makanan, menahan diri dari tergelak. Aku tersenyum kecil apabila ayah dengan selamba menceduk lauk lalu dimasukkan ke pinggan ibu. Ibu yang masih marah cuma menjeling.

Aku dan Furqan akan beginikah bila kami tua nanti? Tapi kenapa aku langsung tidak dapat bayangkan masa depan kami berdua bersama?

Hmm, tak boleh fikir macam ni! Mungkin sebab kami belum berkahwinlah aku tak dapat bayangkan lagi. Bila kami mula hidup bersama nanti mungkin keadaan akan berubah.

 

 

Orang selalu cakap yang masa berlalu dengan pantas apabila kita gembira kerana ia bagaikan mencemburui kita. Tapi aku tidak rasa gembira pun ia tetap berlalu pantas. Sedar tidak sedar, tinggal seminggu lagi aku akan berkahwin dengan Furqan.

Semakin dekat hari itu, semakin gelisah aku jadinya. Aku sendiri yang setuju untuk berkahwin, kenapa aku sendiri yang tidak keruan? Semakin difikirkan, semakin sesak dadaku.

Aku tidak memohon cuti untuk majlis akad nikah nanti. Lagipun majlis diadakan pada hari Ahad dan aku memang bercuti pada ketika itu. Jadi tidak ada masalah untuk diteruskan seperti biasa.

Jadi minggu terakhir sebagai seorang gadis aku habiskan dengan bekerja. Tetapi jasadku saja yang ada di sini. Mindaku melayang entah ke mana. Tanpa sedar juga, entah berapa kali aku mengeluh sejak pagi.

“Sah ada yang dah mati!”

Terdengar Zura berbisik dengan Kak Diba dibelakangku. Aku pura- pura tidak mendengar, cuba fokus dengan kerja. Kalau sehari mereka tidak bergosip tentang aku, tidak lengkap aktiviti harian mereka berdua.

“Sebut pasal hal ni, kak dengar yang lari tu nak kahwin hujung bulan ni!” kata Kak Diba.

“Apa yang lari?” soal Zura.

“Bukan apa, tapi siapa! Yang itu! Itulah!”

Dari cermin hiasan yang bertentangan dengan mejaku, dengan jelas aku dapat lihat Kak Diba menunjuk ke arahku. Aku cuma mengerling, sebelum kembali merenung skrin komputer.

“Betulkah?” tanya Zura, kelihatan benar- benar terkejut.

“Ya, betul! Kakak pun mula- mula macam tak percaya. Tapi kawan kakak yang sama syarikat beritahu yang tunang dia sendiri mengaku. Tunang dia datang dan beritahu kawan sekerja yang mereka akan berkahwin. Lepas tu, dia cakap majlis kenduri pula dalam dua minggu kemudian. Dia cakap….Eh, bunyi apa tu?”

Aku tidak sedar bila aku menaip dengan kuat. Sudahlah begitu, entah apa yang aku taip sejak tadi pun aku tidak tahu. Terdengar mereka berdua tergelak- gelak di belakang. Aku mendengus, segera membetulkan kesilapan yang aku taip.

Jadi majlis perkahwinan dia pun nampaknya diteruskan? Jadi tentang perasaan bukan macam suis, bekas tunang dan segala yang dia cakapkan tempoh hari cuma tipu? Sekali lagi aku menaip dengan kuat.

“Rosaklah keyboard tu nanti,” perli Kak Diba manakala Zura tergelak- gelak.

Sibuklah! Nanti aku lempar ke kepala mereka baru tahu!

 

Awak ingat saya akan terima dia semula hanya sebab awak akan kahwin dengan orang lain?

 

Hmm, dia sudah terima pun! Tapi aku sendiri yang berkeras menolak dia. Aku sendiri yang beria- ia agar dia kembali kepada Nurrul Azzwa. Sekarang padan muka aku! Sekali lagi, untuk kesekian kalinya pada hari ini, aku mengeluh.

 

 

Minggu yang penuh penyeksaan ini akhirnya berakhir. Tapi selepas tamatnya masa bekerja, aku masih termangu di pejabat. Entah kenapa aku tidak terasa untuk bergegas pulang. Lama juga aku duduk termenung di meja. Apabila aku sedar, cuma tinggal aku yang masih berada di pejabat. Cepat- cepat aku berkemas dan melangkah keluar.

Semasa menunggu lif, tiba- tiba telefonku berdering. Keadaan yang sangat sunyi membuatkan aku terkejut apabila tiba- tiba ada bunyi yang kuat. Nama Furqan terpamer di skrin. Berkerut aku merenung, cuba berfikir tujuan dia menelefon aku. Akhirnya aku melarik skrin untuk menjawab.

“Assalamualaikum,” sapaku.

“Waaalaikumsalam. Ada di mana?” tanya Furqan.

“Di pejabat,” jawabku dengan ringkas.

“Eh, belum balik lagi? Banyak kerjakah?”

“Tak adalah, ada hal sikit tadi. Sekarang dah nak balik pun.”

Hal termenung sampai terlupa masa.

“Macam tu. Boleh kita jumpa sekejap?”

Aku menggigit bibir. “Untuk apa?”

“Saya ada hal sikit nak bercakap dengan awak. Boleh tak?”

“Tak boleh cakap di telefon saja?”

“Lebih baik kalau kita berdepan,” tegas Furqan.

“Saya…”

“Sekejap saja,” katanya lagi. “Kita pilih kawasan yang dekat dengan rumah awak. Jadi cepat awak sampai rumah selepas itu.”

Aku menghela nafas. “Baiklah. Di mana?”

Selepas Furqan memberitahu masa dan tempatnya, aku memutuskan talian. Dia hendak bercakap tentang majlis perkahwinan kami lagikah? Ataupun tentang masalah yang aku tidak tahu? Pergilah, kenapa fikir banyak.

 

 

Setibanya di restauran itu, Furqan sudah duduk menunggu. Dia cuma datang seorang diri.

“Mana Danish?” tanyaku.

“Ada di rumah. Dia dah tidur masa saya keluar tadi,” jawab Furqan.

“Awalnya dia tidur.”

“Sepanjang hari dia tak tidur. Seronok bermain- main dengan atok dan nenek dia. Jadi malam ini awal lagi dia dah tidur.”

Aku cuma mengangguk.

“Awak nak makan?” tanya Furqan.

Sekali lagi aku mengangguk. Aku memang lapar selepas seharian bekerja. Lagipun aku sudah maklumkan pada ibu yang aku hendak berjumpa dengan Furqan sebentar untuk makan malam. Jadi apabila pelayan sampai, aku pesan banyak makanan.

“Dah berapa hari awak tak makan?” sindir Furqan apabila aku menyerahkan menu kembali kepada pelayan.

“Saya memang kuat makan. Dah lupakah?” soalku.

Furqan tersenyum. “Ah, lupa pula tentang hal tu. Nampaknya perangai awak yang ini memang tak pernah berubah sejak dulu. Nasib baik badan awak tak gemuk- gemuk.”

“Kalau saya gemuk pun kenapa?”

Furqan mengangkat kedua tangan, memilih untuk tidak menjawab. Aku merenung dia tajam, kemudian mengeluarkan telefon untuk memaklumkan kepada ibu yang aku sudah berada di restauran bersama Furqan. Apabila makanan sampai, cuma aku yang makan. Furqan cuma melihat sambil tersenyum lucu.

“Tak makankah?” tanya, hairan.

“Makanlah dulu,” jawab Furqan.

“Banyak lauk yang saya pesan ni.”

“Ya, saya tahu! Makanlah, nanti saya makan juga.”

Aku menjungkit bahu, terus makan seperti biasa.

“Kenapa awak nak jumpa saya?” tanyaku.

Furqan menghela nafas. “Ada dua hari lagi.”

Aku diam, berhenti makan. Tiba- tiba aku tidak rasa lapar lagi.

“Satu hari,” kataku dengan perlahan.

“Betulkah awak nak kahwin dengan saya ni?” tanya Furqan.

“Kenapa asyik tanya soalan tu?” soalku, jengkel.

“Saya bukan buta, saya boleh nampak yang awak sebenarnya memang tidak berminat pun nak jadi isteri saya.”

Aku tidak menjawab.

“Jangan anggap perkahwinan sesuatu yang mudah. Gelaran seorang isteri bukan setakat bertukar status dari anak dara kepada isteri. Bukan setakat jasad awak yang kahwini saya, tapi seluruh jiwa raga awak. Awak ni…sanggupkah nak duduk sebumbung dan tidur sekatil dengan saya ni?”

Merona merah wajahku dengan soalannya. Sebenarnya aku terfikir juga hal itu beberapa kali selepas bersetuju untuk mengahwini Furqan. Tapi apabila dia sendiri yang ajukan soalan itu, kesannya lebih besar.

“Itu…”

Ah, macam mana aku hendak jawab?

“Masih ada masa untuk awak batalkan. Jadi fikirkanlah hal ni baik- baik!” nasihat Furqan.

Aku tidak menjawab, cuma menggeleng. Aku nekad untuk teruskan juga. Furqan mengeluh dengan jawapanku.

“Sebenarnya awak yang tak nak berkahwin dengan sayakah?” tanyaku.

Ini bukan kali pertama dia bertanya soalan sebegini. Terasa seperti aku yang memaksa supaya dia mengahwini aku.

“Tak ada masalah di pihak saya. Kahwin atau tidak itu sama saja. Dengan siapa pun sama saja. Awak sendiri pun tahu apa perasaan dan pandangan saya tentang hal ni,” jawab Furqan.

“Habis kenapa kerap bertanya?”soalku.

“Sebab percaya atau tidak, awak ialah seseorang yang penting dalam hidup saya. Pernah satu ketika, awaklah orang yang paling saya cinta. Sekarang, awak tetap istimewa biarpun perasaan saya pada awak dah tak sama seperti dulu. Jadi saya nak awak dapat kebahagiaan yang awak nak. Tidak kira dengan saya atau dengan orang yang sepatutnya,” jawab Furqan.

Aku tergelak kecil dengan jawapan Furqan. “Siapalah orang yang sepatutnya tu? Sampai sekarang saya tak jumpa.”

Furqan mengukir senyuman nipis. “Betulkah? Bukan dia?”

“Bukan dia!” jawabku dengan nada yang keras.

“Kenapa? Dia tak pernah luahkan perasaan pada awak?” soal Furqan, separuh mengusik.

“Dia akan kahwin tak lama lagi.”

Furqan terus merenung aku dengan wajah yang serius. “Dengan siapa?”

“Dengan tunang dialah,” jawabku selamba.

“Dia dah bertunang? Sejak bila?” soal Furqan.

“Dah lama pun.”

“Jadi selama ni awak asyik keluar dengan tunang orang?”

“Dia cuma kawan saya, tak lebih dari tu!” bentakku dengan suara yang agak meninggi.

Aku segera tunduk dan menyuap makanan apabila pandangan beberapa orang yang berdekatan kami beralih ke arah kami. Furqan sendiri mengalih pandangan ke arah lain. Buat seketika kami tidak berbual.

“Saya tahu dia memang ada perasaan pada awak,” kata Furqan. “Tapi pada masa tu dia dah bertunang?”

Aku tidak menjawab.

Furqan tergelak kecil. “Macam mana boleh jadi macam ni? Sekarang awaklah Dyana. Lelaki yang patut berkahwin dengan orang lain, jatuh cinta pada awak.”

“Bezanya saya tak terima dia,” sindir aku.

Furqan menghela nafas. “Ya, betul juga. Jadi sebab itulah awak nak kahwin dengan saya? Sebab nak larikan diri dari perasaan awak pada dia.”

Aku pernah cakap, kan? Susahnya jika lelaki itu mengenali kita!

Furqan menghela nafas. “Baiklah, saya dah faham sekarang. Kalau itu yang awak nak lakukan, saya akan tolong awak.”

“Baguslah kalau awak dah fikir macam tu,” kataku, tidak lagi rasa berselera untuk terus makan.

Furqan diam seketika, berfikir sesuatu dengan raut wajah yang tidak berpuas hati.

“Bagi saya nombor telefon dia,” kata Furqan tiba- tiba.

“Untuk apa?” soalku, terkejut dengan permintaannya.

“Kami patut berbual. Man to man.”

Aku merenungnya, kemudian menggeleng. Bila dua lelaki yang keras kepala macam mereka berjumpa, tidak ada istilah berbual dalam kamus mereka.

“Kami memang akan berbual!” tegas Furqan apabila aku terus merenungnya.

“Ya, dan saya boleh terbang sampai ke bulan!” sindirku.

“Habis nak saya biarkan saja?” soal Furqan dengan raut wajah tidak puas hati. “Awak dah lupa yang masa saya curang dengan awak dulu, saya kena tumbuk dengan ayah awak?”

Wah, ingat pula dia tentang hal tu? Tapi kenapa dia hendak bandingkan dirinya dengan Hazriq?

“Itu sebab awak dah mengandungkan Dyana!” tempelakku.

“Samalah!”

“Tak sama! Saya tak pernah sentuh dia pun, mengandung mestilah jauh sekali!” balasku. “Lagipun dia tak pernah berahsia pun tentang tunang dia. Dia tak pernah tipu saya!”

Furqan mendengus. Sebab inilah aku tidak akan bagi nombor telefon Hazriq kenapa dia. Aku tidak fikir pertemuan mereka akan berakhir dengan baik.

“Saya rasa tak puas hati!” omel Furqan.

“Itu masalah awak. Jangan nak samakan Hazriq dengan awak. Cukuplah cerita tentang saya dan dia. Kita akan tutup buku tentang hal ni. Saya pun tak mahu cakap tentang dia lagi,” kataku.

“Tapi-”

Aku merenung dia, membuatkan dia sekali lagi mendengus. Akhirnya dia tidak lagi bercakap tentang Hazriq, sebaliknya mula bercerita tentang majlis kami dan Danish. Makan malam kami juga berakhir dengan aman.

 

 

Aku berteleku berdekatan jendela, merenung ke kegelapan malam. Perasaanku resah sejak akhir- akhir ini. Lebih teruk apabila memikirkan tentang esok.

Tiba- tiba telefonku bergetar. Terkesima aku merenung skrin. Nama Hazriq terpamer dengan jelas di situ. Betulkah dia yang menelefon? Bukankah dia tidak pedulikan aku sejak hari itu? Lama aku merenung skrin, cuba memastikan yang memang dia cuba menelefon.

Akhirnya aku mencapai, melarik skrin dan meletakkan ke telinga. Tapi aku tidak bersuara.

Akhirnya Hazriq yang menyapaku dengan perlahan. “Assalamualaikum.”

Mendengar suaranya setelah sekian lama membuatkan aku rasa rindu kepada dia. Tetapi terasa berdosa dengan Furqan. Esok kami akan dinikahkan, hari ini aku berbual dengan lelaki lain. Aku mengambil masa sebelum menjawab sapaannya.

“Waalaikumsalam,” jawabku.

“Esokkah?” tanya Hazriq.

Aku tidak perlu bertanya dengan lebih lanjut tentang soalannya itu.

“Ya,” jawabku.

Dia menghela nafas. “Saya cintakan awak, awak tahu tak?”

Aku menghela nafas. “Saya tahu.”

“Tapi awak tetap hendak memilih dia?”

“Ya.”

“Walaupun awak sebenarnya cintakan saya?” tanya Hazriq.

Sekali lagi aku menghela nafas. “Ya.”

Kami sama- sama membisu. Entah berapa lama masa berlalu. Terfikir juga sama ada dia sudah putuskan talian memandangkan terlalu lama kami tidak bercakap apa- apa.

“Awak?” panggilku perlahan.

“Ya?” jawab Hazriq.

“Awak dan Azzwa bagaimana?” tanyaku. “Bukankah awak sepatutnya kahwin dengan dia hujung bulan ini juga?”

Hazriq tergelak. “Saya tak akan kahwin dengan dia!”

“Tapi saya dengar keluarga kamu berdua dah buat persiapan pun. Heboh di pejabat saya yang tunang awak sendiri yang beritahu semua orang tentang hal ni,” kataku.

“Betulkah?”

Eh, dia pula yang bertanya kepada aku!

“Awak tak tahu?” soalku.

“Saya tak ambil tahu. Awak dah lupa apa yang saya pernah beritahu awak? Saya maksudkan kesemua kata- kata saya itu,” jawab Hazriq. “Jawapan saya pada dia tetap sama. Kalau dia tetap berdegil, saya tak boleh buat apa- apa.”

“Macam mana awak boleh cakap macam tu? Kalau mereka dah buat persiapan, tak kan awak nak batalkan?”

“Jangan risau, itu masalah saya. Sekarang saya terlalu kecewa, saya tak mahu peduli tentang hal remeh macam tu.”

Macam mana dia boleh cakap perkahwinan sesuatu yang remeh? Ah, macam mengutuk diri sendiri!

“Tapi majlis itu bila?” tanyaku.

“Entah, saya tak ambil kisah pun!” jawabnya dengan selamba. “Orang yang saya cintai bakal jadi isteri lelaki lain, itu yang saya kisahkan sekarang.”

Apa yang aku patut katakan pada lelaki ini?

“Awak tak boleh terus macam ni,” kataku dengan perlahan.

“Habis awak nak saya macam mana?” tanya Hazriq. “Maaf saya tak sama macam awak! Saya tak berminat untuk berkahwin dengan orang yang saya tak cinta. Tak kira apa pun alasan awak, saya tak dapat terima.”

“Saya minta maaf,” kataku.

“Untuk apa?”

“Untuk semuanya,” jawabku. “Saya betul- betul minta maaf.”

“Dengan minta maaf, awak rasa semuanya akan selesai?”

“Tak, tapi saya tak ada apa yang boleh saya katakan lagi.”

Dia tergelak sinis. “Awak memang kelakar. Tak sangka awak orang yang begini.”

Aku cuma membisu mendengar.

Akhirnya dia menghela nafas. “Tak guna apa pun yang saya cakapkan sekarang, awak tetap dengan keputusan awak. Kadang- kadang saya lupa betapa degilnya awak dalam sesetengah perkara. Dan saya pun tak mahu terus bergaduh dengan awak macam ni.”

“Jadi apa yang awak nak buat?”

“Tak ada apa- apa. Pahit macam mana sekalipun, saya terpaksa terima.”

Tidak ada kata- kata yang boleh aku ucapkan lagi. “Saya minta maaf.”

“Tak perlulah terus minta maaf pada saya.”

“Baiklah, saya minta maaf.”

“Minta maaf lagi,” keluh Hazriq.

“Saya-”

Terus Hazriq memotong kata- kataku. “Jangan minta maaf lagi!”

“Umm…”

Hazriq menghela nafas. “Baiklah, tak perlu terusan minta maaf pada saya. Bukan itu yang saya nak. Saya nak cakap sesuatu, boleh awak dengar?”

“Ya.”

”Saya harap awak jangan kahwin dengan dia untuk larikan diri dari masalah awak. Jangan terus berdiam dan larikan diri bila ada masalah. Suarakan apa yang ada di hati awak. Tak akan ada orang yang faham apa yang awak fikirkan melainkan awak suarakan secara jelas. Saya harap awak akan ada kekuatan untuk suarakan apa yang sebenarnya ada dihati awak, macam yang awak pernah buat semasa kali pertama awak dan Furqan hendak berkahwin. Tak apa kalau awak tak bersama dengan saya, tapi saya harap awak dapat bahagia dengan sesiapa pun yang awak pilih,” kata Hazriq.

Furqan pernah beritahu ayat yang hampir sama dengan Hazriq. Keduanya minta agar aku akhirnya bahagia tidak kira dengan siapa pun.

Aku mengambil masa yang lama untuk menjawab. “Ya, saya faham.”

Untuk sekian kali Hazriq mengeluh, menghela nafas panjang. “Tidurlah, dah lewat malam pun.”

“Ya, Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam.”

Biarpun selepas lama aku putuskan talian, aku masih berteleku di jendela. Malam kian larut, tapi aku masih di sini.