Nampaknya
pembantu rumah itu tidak pulang, sebaliknya tinggal bersama Ayni. Katanya
arahan dari Luqman. Dia memperkenalkan diri sebagai Juli dan tidak habis-habis
menggelar Ayni sebagai ‘Cik’.
“Tak
perlulah formal sangat. Panggil saja saya Ayni,” tegur Ayni.
“Baik,
Cik Ayni!”
Sepuluh
kali ditegur pun masih sama. Akhirnya Ayni menyerah kalah. Panggillah apa pun,
asal buka mengutuk yang bukan-bukan sudah.
Tapi
itu bukan masalahnya. Masalahnya dia akan masak makanan untuk Ayni. Bukan
masalah? Tapi ia memang masalah kalau lima orang pun boleh makan makanan itu.
Banyak sangat!
“Kalau
Cik Ayni tak makan, Encik Luqman mengugut untuk pecat saya,” jelas Juli.
Apa
kaitan dengan masak begitu banyak? Ayni tak akan mampu makan semua ini!
Berkali-kali dipujuk pun, Juli masih berkeras. Biarpun Ayni berjanji untuk
merahsiakan dari Luqman, dia langsung tidak terkesan. Akhirnya Ayni minta untuk
kurangkan kuantiti. Alasan Ayni ialah dia mahu menjaga berat badan.
Selepas
itu barulah dia nampak seperti memahami.
Tapi
dia tidak berhenti setakat di situ. Katanya dia diarahkan untuk menyiapkan
semuanya untuk Ayni. Jadi ada saja soalan darinya.
“Cik
Ayni ada pakaian untuk dibasuh? Kalau boleh cik letakkan saja di dalam raga ni.
Saya akan cuci setiap kali ada pakaian di dalam.”
“Cik
Ayni, biar saya yang iron baju tu.
Memang kerja saya.”
“Cik
Ayni nak makan snek? Biar saya sediakan.”
Cik
Ayni ini dah biasa jaga diri, jadi sekarang dia rasa pelik dilayan sebegitu.
Akhirnya Ayni lari sembunyikan diri di dalam bilik. Esoknya awal lagi Ayni dah bangun.
“Cik
Ayni nak ke sekolah?” tegur Juli apabila Ayni keluar siap memakai uniform.
Ayni
mengangguk. Selepas seharian dengan Juli, dia merasa letih. Jadi pertama kali
dalam hidupnya, dia sangat tidak sabar untuk ke sekolah.
“Saya
dah sediakan sarapan,” kata Juli. “Cik Ayni duduklah.”
Membantah
pun tak guna. Jadi Ayni duduk makan dengan diam.
“Saya
pergi dulu,” kata Ayni selepas selesai, cepat-cepat mencapai beg sekolahnya.
“Kalau
macam tu, saya akan beritahu Mat yang Cik Ayni hendak ke sekolah sekarang,” kata
Juli. “Saya dah beritahu dia semasa Cik Ayni sarapan tadi. Mungkin dia dah
dalam perjalanan pun.”
Langkah
Ayni mati di pintu. “Siapa?”
“Mat,
pemandu Cik Ayni.”
Sejak
bila Ayni ada pemandu? Tapi siapa lagi yang sediakan kalau bukan dia? Ayni
hanya mampu menjerit di dalam hati. Macam mana hendak memprotes, Ayni masih
tidak tahu bagaimana hendak hubungi dia. Telefon pun tak ada!
Ayni
mengetap bibir. Sudah-sudahlah dengan semua ini! Kalau Ayni cepat mungkin dia
dapat mengelak. Terus dia lari keluar tanpa bercakap apa-apa lagi. Tapi sebaik
saja membuka pintu, seorang lelaki pula menunggu di depan pintu.
“Assalamualaikum,
cik dah sedia nak sekolah? Saya pemandu cik. Nama saya Mat.”
Kenapa
dia tunggu di depan pintu? Tanpa pedulikan lelaki itu, Ayni terus ke lif. Tapi
lelaki itu, Mat mengikut Ayni.
“Saya
tak perlu kereta! Saya boleh pergi ke sekolah sendiri!” kata Ayni apabila
lelaki itu berdiri di belakangnya.
“Saya
diarahkan oleh Encik Luqman untuk hantar cik,” balas Mat.
“Saya
tak mahu! Beritahu bos awak yang saya tak mahu!” bantah Ayni.
Turun
ke bawah, sebuah kereta diletakkan betul-betul di jalan keluar. Mat segera
membuka pintu untuk Ayni.
“Cik,
cik akan sampai dengan lebih cepat jika saya yang hantar. Lagipun Encik Luqman
memang pentingkan keselamatan dan keselesaan cik,” kata pemandu itu dengan
penuh hormat.
Ayni
tak boleh ke sekolah dengan menaiki kereta itu. Tak mahu!
“Saya
naik bas saja!” kata Ayni, selepas itu terus berlari ke stesen bas terdekat.
Pengawal-pengawal
yang menjaga di pondok keselamatan kawasan kediaman itu memerhatikan dia
berlari melepasi mereka dengan menjungkit kening, kemudian saling berpandangan.
Lambat
pula bas datang! Kereta itu pun sudah sampai kepadanya. Sekali lagi Mat turun,
membuka pintu dengan penuh hormat.
“Maaf
cik, saya diarahkan untuk hantar cik ke sekolah dengan selamat. Sila naik
kereta,” katanya, membuka pintu kepada Ayni.
“Saya
tak nak! Saya nak naik bas! Awak beritahu dia!” kata Ayni.
“Itu
bukan keputusan saya. Macam ni lah, apa kata cik sendiri cakap dengan dia. Sebentar
ya, biar saya telefon dia,” kata Mat.
Sementara
lelaki itu cuba menelefon Luqman, bas tiba. Terus Ayni meluru masuk.
“Cik,
nanti dulu!”
“Awak
cakap dengan dia yang saya tak mahu dan tak akan naik kereta!” jerit Ayni, kemudian
terus berlari mencari tempat duduk.
Penumpang
lain yang berada di dalam bas memerhatikan dia sambil berbisik-bisik tapi Ayni
tak peduli. Dia terasa lega apabila bas menutup pintu dan mula bergerak.
Ayni
tak pasti apa yang sebenarnya bermain di fikiran Luqman. Tapi dia sedar suatu
perkara, lelaki itu terlalu aneh.
Selepas seminggu tidak ke
sekolah, tempat itu bagaikan sedikit asing. Tapi Ayni tetap jadi bualan. Asal
nampak saja mukanya, mulalah mereka berbisik-bisik!
“Kau
dengar tak dia kena tangkap dengan polis?”
“Seminggu
tak datang, dah masuk lokap? Dahsyat jugak dia ni!”
“Betul!
Aku pun dengar!”
“Dengar
cakap dia belasah samseng!”
“Betulkah?”
“Ya!
Seorang!”
“Aku
dengar dua orang!”
“Aku
dengar dia belasah satu kumpulan samseng!”
“Wah,
hebatnya!”
Ah,
makin lama, mereka buatkan Ayni bagaikan seorang gadis yang kuat sehingga dapat
memukul orang lain sesuka hati! Berhentilah bergosip! Makin lama, kalian makin
mengarut! Ayni pekakkan telinga, terus berjalan ke kelas. Sampai di kelas,
Razmi pula yang menghalang.
Tak
kan selepas beberapa hari tak berjumpa dia hendak mengajak Ayni bergaduh? Ataupun
dia marah Ayni pukul kawannya tempoh hari? Tapi dia juga yang pertahankan Ayni
di kedai makan Kak Iti. Ayni langsung tidak dapat teka apa yang bermain di
fikiran Razmi. Jadi dia hanya memandang Razmi, menunggu lelaki itu bersuara.
Razmi
membuka mulut, tapi menutup kembali. Apa yang dia hendak cakap. Sekali lagi dia
buka mulut, kemudian sekali lagi menutup kembali. Apa kena dia ni?
“Kau
kenapa?” soal Ayni.
“Kau
okey?” tanya Razmi.
“Kenapa
pulak aku tak okey?” Ayni menjungkit kening.
“Aku
dah dengar tentang Zam, tentang rumah kau.”
Ayni
menghela nafas. “Oh… umm… Aku okey!”
Sejak
bila mereka berdua boleh berbual dengan baik begini? Ini memang Razmikah? Takkan
selepas beberapa hari tidak berjumpa dia berubah begini?
“Aku
cuba cari kau tapi aku tak tahu kau dah ke mana,” kata Razmi.
“Kau
cari aku? Tapi nanti! Kau tahu rumah aku di mana?” soal Ayni seraya menjungkit
kening.
“Aku
pernah lalu kawasan tu. Jadi sekarang kau tinggal di mana?”
“Kawan
aku bagi aku tumpang rumah dia buat sementara waktu.”
“Yakah?
Baguslah!”
Mereka
tidak pernah berbual secara baik selama ini, jadi bila tiba-tiba berbual
begini, masing-masing terasa janggal. Terus mereka berdua membisu selepas itu.
“Aku
nak masuk!” kata Ayni tiba-tiba.
Razmi
segera rapat ke dinding, memberi laluan tanpa sebarang kata. Sebaik saja masuk,
baru Ayni perasan yang semua orang sedang memandang mereka. Dua orang yang
selama ini bermusuhan boleh berbual tanpa bergaduh, tentulah semua orang terasa
berminat. Melihat Ayni yang masuk dan tercegat melihat kelakuan mereka, terus
masing-masing pura-pura sibuk dengan hal yang tiba-tiba ada. Pandai berlakon!
Ayni
duduk di kerusinya tanpa sepatah kata. Razmi sendiri kembali ke tempatnya,
bagaikan dia dan Ayni tidak berbual dengan sopan sebentar tadi. Kalau bukan
kerana ada segelintir pelajar yang masih mencuri pandang Ayni dan berbisik-bisik,
pasti dia ingat hal tadi ialah mimpi. Ah, peliknya!
Lebih
baik dia mengulangkaji. Dia sudah banyak ketinggalan berbanding rakan sekelas. Tapi
dia tidak tahu hendak mengulangkaji apa. Maklumlah, seminggu dia tinggalkan
sekolah. Ah, keluarkanlah buku apa pun! Baru hendak memasukkan baki buku teks
ke dalam laci meja, Ayni perasan ada sesuatu di dalam.
Ayni
menjenguk, mengerut dahi. Kemudian dia mengeluarkan sebungkus roti dan sekotak
air milo. Ada lagi? Mungkin yang lama agaknya. Tapi tarikh pada roti itu
menunjukkan roti ini masih baru. Walaupun sebelum ini Ayni tidak mahu buat
sebarang kesimpulan, tapi sekarang dia pasti yang roti dan air ini ditinggalkan
untuknya.
Tapi
siapa yang buat semua ini? Dan kenapa?
Disebabkan
tidak tahu tujuannya, roti dan air itu sekali lagi Ayni letakkan di penjuru
meja dengan rasa syak.
“Bangun!”
Terdengar suara ketua kelas.
Semua
orang berdiri, menyapa Cikgu Haniza yang masuk. Cikgu Haniza letakkan buku,
kemudian memanggil Ayni.
“Waris
awak datang untuk jumpa pengetua. Cikgu Ayub minta awak ada sekali di bilik
disiplin.”
“Waris?
Papa saya datang?” tanya Ayni dengan rasa tidak percaya.
“Ya,”
jawab Cikgu Haniza, hairan melihat raut wajah Ayni. “Pergilah sekarang.”
Ya,
Ayni memang hendak pergi biarpun tidak disuruh. Ayni segera keluar sampai
terlupa untuk ambil beg sekolah seperti kebiasaannya.
Langkah
yang awalnya cuma berjalan bertukar menjadi lari-lari anak. Dia ingin segera
sampai. Banyak yang ingin dia tanya kepada Arman. Sebaik sampai, Ayni hampir
saja terus buka pintu dan masuk. Nasib baik dia mengawal diri. Ayni mengetuk
pintu dan memberi salam.
“Masuk!”
Cepat-cepat
Ayni tanggalkan kasut, kemudian meluru masuk.
“Pa-”
Eh,
dia bukan papa! Azhar hanya memandang Ayni yang tercengang.
“Duduklah!”
kata pengetua.
Perlahan-lahan
Ayni duduk di sebelah Azhar. Lelaki ini datang sebagai warisnya?
“Macam
yang saya cakap tadi, Encik Arman mesti perhatikan dia. Tingkah laku sekarang
yang menjadi penentu hidupnya di masa hadapan,” kata pengetua.
Azhar
mengangguk dengan wajah yang serius. “Saya faham, cikgu! Jangan risau! Saya
akan pastikan yang saya akan beri lebih tumpuan pada anak saya di masa hadapan
nanti!”
Siapa
anak kau? Sebelum ini peguam, tiba-tiba kita naik taraf sebagai bapa dan anak! Tapi
Ayni membisu, menggigit bibir.
“Mungkin
encik boleh beri lebih banyak masa bersama anak encik. Pelajar seperti ini
selalunya mahu lebih perhatian dari ibu bapa mereka,” nasihat pengetua lagi.
“Ya,
betul kata cikgu!” Azhar mengangguk. “Saya akan pastikan saya habiskan lebih
banyak masa dengan anak saya!”
“Tentang
motorsikal tu, pelajar itu sendiri sudah maafkan Ayni. Ayni pun dah jalani
hukuman untuk kesalahannya. Jadi kita kira hal ini sudah selesai,” kata
pengetua lagi.
“Saya
sangat berterima kasih kepada cikgu-cikgu dan pelajar terbabit kerana sanggup
memaafkan anak saya. Sekali lagi saya minta maaf untuk kesalahan anak saya,”
kata Azhar dengan serius.
Pengetua
terdiam selepas itu. Dia tidak pasti sama ada bapa Ayni ini memang serius atau
menyindirnya. Tak kira apa yang dikata, semuanya terus dijawab dengan
bersungguh-sungguh. Mungkin juga dia benar-benar rasa bersalah atas kesalahan
anaknya. Pengetua dan Cikgu Ayub berpandangan selepas melihat bapa Ayni yang
duduk dengan serius, manakala Ayni pula nampak seperti tidak berpuas hati. Tapi
bapa Ayni langsung tidak peduli dengan anaknya itu. Melainkan ketika Ayni masuk
tadi, dia langsung tidak pandang Ayni lagi.
Melihat
mereka berdua membuatkan orang lain tertanya-tanya sama ada mereka
berkomunikasi begini di rumah. Bapanya kelihatan seperti seorang yang terlalu
dingin. Mungkin juga sebab itu Ayni jadi begini, kerana mereka tidak dapat
berkomunikasi dengan baik di rumah. Tiba-tiba mereka rasa sangat kasihan pada
Ayni.
Ayni
sekali-sekala mengerling, melihat Azhar yang masih duduk secara tegak, mendengar
kata-kata pengetua seperti sangat berminat. Mungkin juga dia betul-betul
berminat. Entahlah, Ayni sendiri tidak pasti. Dia sukar dijangka, sama seperti
majikannya. Sebaik mereka keluar, Ayni terus berpaling memandang Azhar.
“Dia
yang minta datang?” tanya Ayni.
Siapa
dia tidak perlu dijelaskan.
“Saya
hanya mendengar arahan dari bos,” jawab Azhar dengan penuh hormat. “Hal ini
tidaklah sebesar hal tempoh hari, jadi ia sangat mudah untuk diselesaikan.”
“Dia
datangkah?” tanya Ayni.
“Bos
ada di luar pagar sekolah. Cik Ayni nak jumpa Encik Luqman?”
Ayni
menghela nafas. “Mana mungkin! Saya kena balik ke kelas. Terima kasih sebab datang
sebagai waris saya.”
“Saya
hanya mengikut arahan, tak perlulah ucap terima kasih,” kata Azhar. “Ada satu
lagi pesanan dari bos.”
“Apa
dia?”
“Sila
naik kereta supaya dia dapat tahu Cik Ayni pergi dan pulang dari sekolah dengan
selamat.”
Ayni
mendengus, menahan marah. “Kalau awak tak cakap tadi, saya dah lupa! Kenapa
saya mesti naik kereta? Apa lagi yang dia nak buat? Awak tanya dia, dia dah
hilang akalkah?”
“Saya
minta agar Cik Ayni tanyakan soalan itu sendiri kepadanya. Terutamanya soalan
yang terakhir itu. Saya tidak dapat tanyakan soalan begitu kepada bos yang saya
hormati.”
Maksudnya,
saya terlalu menghormati bos saya kerana dia terlalu menakutkan untuk
ditanya sama ada dia hilang akal? Jadi sila tanya sendiri, begitu?
“Apa
sekalipun, Cik Ayni sila naik kereta saja bila balik nanti. Ia bukan saja
memudahkan cik untuk pulang tapi bos juga akan rasa tenang bila tahu cik dah
selamat sampai,” kata Azhar lagi.
“Saya
tak mahu! Cukuplah apa yang dia dah buat untuk saya! Kereta tu dah melampau
sangat! Saya tak faham kenapa dia beria-beria buat semua ni! Awak boleh
beritahu pada dia! Sekarang saya nak balik ke kelas!”
Tanpa
menunggu jawapan dari Azhar, Ayni terus berjalan ke kelasnya. Azhar bukan
Luqman, jadi dia membiarkan saja Ayni berjalan pergi. Kalau bukan kerana mereka
di sekolah, pasti dia akan tunduk hormat seperti kebiasaan yang dia lakukan.
Lelaki
itu agaknya memang dah hilang akal! Mereka bukannya kenal sangat pun. Kenapa
tiba-tiba dia buat semua ni?