Kosong!
Semalam
dia masih ada lagi wang di dalam dompet ini. Tak kan kena ambil lagi? Tapi ini
bukan kali pertama, kan? Tak kan dia habiskan semua duit lagi? Kalau betul
parahlah keadaan mereka nanti. Duit itulah yang tinggal untuk belanja hingga
kiriman wang yang seterusnya. Entah bila hendak dikirim pun dia tidak pasti.
Habis macam mana sekarang? Hendak pulang, sesi persekolahan belum tamat lagi.
Ah, makin fikir makin lapar dibuatnya! Minum air kosonglah! Bukan dia tidak
biasa! Balik nanti dia cari lagi duit itu. Entah-entah ada di rumah.
“Woi,
comot!”
“Dia
tak dengarlah!”
“Betulkah
dia?”
“Ya!
Memang kami panggil dia macam tu sejak sekolah rendah lagi. Kuat sikit!”
“COMOT!!!!”
Rasa-rasa
mereka panggil Ayni, sebab ini bukan kali pertama dia dipanggil begitu. Gelaran
itu melekat dengannya selepas pelajar lain melihatnya dengan baju sekolahnya
yang lusuh dan comot sedikit. Tapi dia sudah biasa, jadi langsung tidak
berpaling. Hampir bertahun- tahun dipanggil dengan pelbagai gelaran, dia sudah
lali dengan semua itu. Itu pun bukan gelaran paling teruk dia pernah kena. Tapi
setakat panggilan begitu, Ayni dah tak ambil peduli. Lebih baik dia pura-pura
tidak mendengar daripada menyahut atau menunjukkan reaksi. Panggillah apa pun,
tak matilah!
Selesai
minum air kosong dari mesin air, Ayni kembali ke kelas. Perutnya masih minta
untuk diisi dengan makanan tapi itu bukan pilihan. Nanti balik dia makanlah.
Lagipun dia sudah biasa begini. Puasa satu hari pun boleh tahan tak makan. Jadi
setakat setengah hari tak makan, tak matilah!
Untuk
menghilangkan rasa lapar, dia ambil keputusan untuk mengulangkaji. Tapi belajar
dengan perut kosong, satu benda pun tidak akan melekat di otak! Asyik fikir
nasi, nasi, nasi. Pun begitu, Ayni paksa diri juga. Tahun ini tahun akhir dia
di sekolah menengah. Selepas ini dia boleh cari kerja dan sambung belajar secara
perlahan-lahan. Hendak belajar sepenuh masa itu mustahil! Belajar sambil
bekerja, dia boleh buatlah! Tak matilah!
Semasa
meraba mencari buku di dalam laci, tangannya tersentuh benda yang lembut. Apa
ni? Ayni segera menjenguk, kemudian mengeluarkan sebungkus roti. Siapa punya?
Kenapa ada dalam laci mejanya? Salah letakkah? Tapi kebelakangan ini dia memang
selalu jumpa makanan di dalam laci mejanya. Aneh betul!
Dia
memang lapar tapi itu tidak bermaksud dia akan makan apa saja yang ada di depan
mata. Lagipun ini entah roti siapa? Ayni memandang ke kiri, ke kanan, ke
sekeliling, tapi dia masih belum dapat menduga tuan empunya roti ini. Akhirnya
dia letakkan roti itu ke atas meja. Harap-harap nanti tuannya akan ambil
sendiri. Bukan kali pertama perkara ini berlaku, jadi dia malas untuk bertanya.
Kemudian dia keluarkan buku dan terus membaca.
“Lepas
SPM aku ingat nak ajak keluarga aku pergi bercuti. Boleh hilangkan stress lepas
penat belajar!”
“Nak
ke mana?”
“Mana-
mana pun tak apa! Janji pergi berjalan- jalan!”
“Ajaklah
keluarga kau pergi Korea. Mak ayah kau mampu, kan? Bila lagi nak pergi?”
“Betul
tu! Aku pun teringin nak pergi jugak! Mana tahu jumpa EXO ataupun BTS!”
Tak
mungkin EXO, BTS atau mana-mana artis kpop itu merayau di kawasan awam secara
tiba- tiba. Tak pernah Ayni jumpa mana- mana artis pun secara kebetulan semasa
dia pergi ke sana dulu. Malah bukan sekali dia pernah ke sana. Entah berapa
kali pun dia sudah tidak ingat! Mengarut betul mereka ni! Tapi mungkin juga
semasa dia pergi, dia langsung tidak berminat dengan mana-mana artis korea. Dia
terlalu muda pada ketika itu untuk peduli. Jadi mungkin juga sebab itu dia
tidak pernah perasan sesiapa pun.
Ayni
cuba menumpu perhatian kepada buku di depan. Rakan sekelasnya masih lagi rancak
berbual di sebelah. Walaupun tidak mahu mendengar, perbualan mereka tetap jelas
di telinganya. Kenapa dia ambil kisah? Dia rasa cemburukah? Cemburukan apa
sebenarnya? Hidup mereka lebih baik dari dia?
Hmm,
sudahlah!
Ayni
menutup buku, menopang dagu memandang ke luar tingkap. Jujurnya dia pernah
hidup lebih baik dari mereka. Segalanya ada dan segalanya dimiliki. Sebut saja
dia pasti akan dapat. Tapi semua itu masa lalu. Tak guna rasa apa-apa lagi.
Yang penting sekarang dia perlu hidup sebaik mungkin.
Dia
akan cuba sedaya upaya untuk ubah hidupnya. Lagipun kalau bukan dia, siapa lagi
yang boleh dia harapkan. Tidak ada siapa yang akan terus berada di bawah. Asal
terus hidup dan berusaha pasti ada cara.
“Belajarlah
Ayni! Jangan fikir banyak hal-hal tak penting!” bisik Ayni, cuba memberi
semangat kepada diri.
Kali
ini Ayni keluarkan buku nota Sains dari laci meja. Selak saja buku, matanya
terus bulat. Kerja siapa???
Ayni
menyelak- nyelak helaian buku nota yang diconteng dengan pelbagai kata- kata
dan lukisan ke anak- anakkan. Apa ini? Benda apa yang kotak berwarna kuning ini?
Budak lelaki berambut nanas? Ninjakah? Gelak- gelak di belakang membuatkan Ayni
berpaling. Tiga orang pelajar lelaki paling nakal di dalam kelas tergelak-gelak
melihat ke arahnya. Kerja merekakah?
“Kenapa
comot? Ada benda tak puas hati?” soal Razmi, salah seorang dari mereka.
Suara
dia yang kuat membuatkan semua pelajar lain terdiam dan memandang antara Ayni
dan kumpulan pelajar itu. Ini bukan kali pertama Razmi dan Ayni bergaduh, jadi
semua orang hanya melihat.
“Kau
yang buatkah?” soal Ayni.
“Buat
apa?” soal Razmi kembali.
Ayni
mengangkat buku, menunjuk ke arah mereka bertiga. Terus mereka bertiga ketawa
berdekah- dekah. Kenapa? Kelakar sangatkah?
“Cakap!
Kaukah? Tak pun kawan-kawan kau yang sama macam kau ni?” soal Ayni lagi.
“Eh,
kau ada nampak kami yang buatkah?” Soal seorang lagi.
“Korang
ingat ni kelakarkah?” tanya Ayni.
“Kami
tak cakap apa-apa pun,” balas lagi seorang. Lagi berdua tersengih dan
mengangguk-angguk, macam burung.
“Aku
tak ada masa nak bergurau macam ni. Korang ingat murah harga buku ni? Senang-
senang nak conteng macam ni!” tengking Ayni.
Terus
diam mereka bertiga. Tapi Razmi yang bagaikan tidak puas hati ditengking
seorang gadis terus bangun menghampiri Ayni.
“Hah,
memang aku yang buat! Habis tu kenapa? Kau tak puas hati? Kau cakap buku ni
mahal? Kelakar betul!” Razmi keluarkan beberapa keping wang sepuluh ringgit
dari dompetnya, melontar ke arah Ayni. “Ambik duit ni, pergi beli buku yang
baru! Setakat duit dua tiga ringgit pun nak bising!”
Merah
padam wajah Ayni. Tanpa menghiraukan duit itu, dia terus bangun menghampiri
Razmi.
“Kau
ingat ini kelakarkah?” tanya Ayni dengan nada dingin.
“Ada
dengar aku buat lawakkah?” balas Razmi.
“Kau
ni memang kurang ajar, kan? Tak ada ubat perangai kau ni!”
“Eh,
cakap tu baik-baik sikit! Siapa yang mula dulu? Kau atau aku? Jangan ingat kau
tu perempuan aku tak berani pukul kau!”
“Pukullah!
Pukul! Jangan ingat aku tak melawan!”
“AYNI
NASMEEN!”
Terus
berhenti mereka berdua. Guru kelas, Cikgu Haniza mereka berdiri di pintu dengan
mencekak pinggang. Tapi mereka berdua bergaduh, kenapa cuma nama Ayni yang
dipanggil?
“Apa
kena dengan kamu berdua? Kamu berdua bergaduh apa? Yang perempuan perangai tak
macam perempuan!”
Tengok,
Ayni juga yang disebut terlebih dahulu!
“Razmi?”
tanya Cikgu Haniza.
Razmi
cuma menjungkit bahu. Ayni mencerlung ke arahnya. Kenapa tak mengaku? Takutkah?
“Ayni?”
“Dia
hina saya cikgu!” jawab Ayni.
“Betulkah
Razmi?”
“Kami
bergurau sajalah cikgu. Dia yang naik angin macam kena rasuk!” jawab Razmi.
“Aku
tak marah kalau kau tak kurang ajar! Bergurau apa macam tu?” desis Ayni.
“Sudah!
Nak bergaduh lagi?” tengking Cikgu Haniza. “Sekarang kamu berdua pergi jumpa
Cikgu Ayub!”
Cikgu
Ayub itu cikgu disiplin, cikgu yang paling digeruni disekolah. Setakat ini
entah berapa kali Ayni perlu berjumpa dengan cikgu itu. Ayni rasa Aynilah orang
yang paling kerap berjumpa dengan Cikgu Ayub berbanding pelajar lain. Ayni
mengaku, yang lain tu, setengahnya mungkin salah Ayni. Tapi kali ini Ayni rasa
langsung tidak puas hati. Bukan salah Ayni pun!
“Tunggu
apa lagi?” soal Cikgu Haniza.
“Tapi
cikgu…”
“Tak
ada tapi-tapi! Pergi sekarang!”
“Cikgu-”
“Kamu
nak pergi atau saya tarik tangan kamu pergi?” soal Cikgu Haniza.
Razmi
menggaru kepala, kemudian berjalan keluar perlahan-lahan. Ayni mendengus. Dia
langsung tidak berpuas hati dengan hal ni. Cikgu Haniza pun langsung tidak mahu
dengar penjelasan dia. Tapi dia berjalan ke mejanya, memasukkan buku ke dalam
beg, kemudian berjalan keluar.
“Kamu
nak ke mana bawak beg tu?” soal Cikgu Haniza.
“Cari
Cikgu Ayublah!” balas Ayni dengan nada dingin.
Malas
untuk mempertikai, dia membiarkan saja Ayni membawa begnya keluar. Lagipun ini
bukan kali pertama Ayni berperangai begini. Tapi separuh jalan ke bilik
disiplin, Ayni berhenti.
Kenapa
dia mesti pergi? Dia tak salah! Siapa yang tak marah kalau berada dalam situasi
tadi?
Makin
fikir, makin marah Ayni dibuatnya. Akhirnya dia teruskan berjalan juga, tapi
tidak ke bilik disiplin. Sebaliknya terus ke pintu pagar besar untuk keluar.
Lebih baik dia balik dari terus berada di sini! Tapi separuh jalan dia berhenti
lagi. Matanya memandang ke arah tempat meletak kenderaan pelajar. Dia
memikirkan sesuatu, kemudian berjalan lagi. Kali ini dia teruskan perjalanan
hingga ke tempat parking.
Melilau
dia mencari sesuatu, akhirnya dia berhenti di hadapan sebuah motorsikal
berwarna hijau. Lama juga dia merenung kenderaan itu. Ayni menggigit bibir,
membuat keputusan. Dia menyelongkar beg sandangnya, mencari sesuatu. Ayni
kemudiannya mengeluarkan sebilah pisau kecil.
Memandangkan
kau tak faham macam mana hidup orang susah, apa kata hari ini kau belajar!
Kedua-
dua tayar motor ditoreh Ayni. Dia tersenyum puas melihat tayar motor yang kini
pancit. Mungkin Razmi akan pulang dengan dua orang badut itu ataupun dia boleh
berjalan kaki hingga ke rumah. Ayni tak peduli! Puas hati, akhirnya Ayni terus pulang
ke rumah.
Sunyi saja. Mana papa?
Ayni
mencari hingga ke bilik papa. Barangkali keluar lagi. Ayni mendengus. Bukan
kali pertama begini tapi Ayni masih rasa marah setiap kali.
Di
rumah ini cuma tinggal Ayni dan papa Ayni, Arman. Dulu semasa mamanya masih
ada, sekurang- kurangnya mereka tidak rasa sunyi seperti ini. Malah perangai Arman
tidak seperti sekarang. Arman masih cuba mencari kerja, cuba menyara keluarga.
Tapi selepas mama Ayni pergi, sikap Arman berubah sepenuhnya. Bukan setakat
tidak bekerja, Arman mula berjudi. Entah apa yang Arman fikir pun Ayni tak
faham. Habis barang digadai atau dijual. Keadaan mereka dari yang miskin
bertambah papa kedana. Nak makan pun susah! Tapi Arman masih tak serik- serik. Barangkali
duit yang Ayni cuba jimatkan pun hari ini diambil Arman.
Ah,
sebut tentang hal tu! Cepat-cepat Ayni bergegas ke bilik. Ke sana sini dia
menyelongkar, cuba mencari ke mana hilangnya wang itu. Dalam almari. Bawah
katil. Dalam apa saja beg yang ada. Sah, tak ada! Bukannya nak menuduh tetapi
memang Ayni yakin papanya yang ambil. Lagipun ini bukan kali pertama papa buat
macam ni.
Tapi...kenapa???
Perutnya
berkeroncong minta diisi tapi Ayni terlalu sedih untuk peduli. Duit itulah baki
wang terakhir yang dikirim Ayman beberapa bulan yang lepas. Entah bila pula
hendak dikirim pun dia tidak pasti. Ayni pun tak mahu memaksa abangnya itu.
Entah kerja apa yang Ayman buat di sana semata- mata untuk menyara mereka
berdua. Hampir setiap sen dihantar kepada mereka. Sebab itu Ayni berusaha untuk
jimatkan duit itu. Ia terlalu berharga. Arman pula langsung tidak boleh diharap
dalam hal ini.
“Kenapa
mesti abang yang hantar duit? Abang teruk-teruk kerja, papa langsung tak buat
apa-apa,” rungut Ayni semasa kali terakhir mereka bercakap di telefon. “Yang
dia tahu cuma habiskan duit!”
Ayman
menghela nafas. “Janganlah marah pada papa. Papa mesti tertekan. Dia dah biasa
hidup senang seumur hidupnya. Tiba-tiba jadi macam ni, macam mana dia nak
biasakan diri?”
Tapi
kita berdua pun sudah biasa hidup senang seumur hidup kita? Jadi macam mana
kita boleh belajar biasakan diri?
Tapi
Ayni tidak mahu tanyakan pada Ayman soalan itu.
“Abang
jangan kerja teruk teruk sangat. Jadi diri abang baik-baik ya,” pesan Ayni.
Ayman
tergelak. “Sayang jugak adik abang dengan abang ni ya?”
Ayni
mendengus. “Tak adalah! Salah cakap!”
Kali
ini Ayman tergelak lebih kuat. “Jangan risau, abang akan jaga diri. Adik pun
sama. Jangan marah sangat dengan papa. Nanti dia biasalah dengan keadaan kita
sekarang. Beri dia masa, ya?”
Selepas
itu langsung tidak ada khabar berita dari Ayman. Entah apa yang sudah berlaku.
Papanya pula langsung masih tidak berubah. Tengoklah, dia ambil lagi duit yang
Ayni berusaha untuk jimatkan!
Habis
macam mana sekarang? Wang entah masih ada atau tidak. Banyak benda yang perlu
dibeli dan dibayar tapi hendak guna apa? Bil elektrik dan air pun entah berapa
bulan tertunggak. Tunggu masa dipotong saja. Nasib baik rumah ini rumah peninggalan
mak toknya, Hajah Azizah. Kalau tidak pasti sudah lama mereka diusir kerana
tidak mampu membayar sewa.
Ayni
mati akal. Akhirnya dia duduk termenung di dinding, menghala ke pintu. Lama dia
duduk berteleku, tidak tahu hendak membuat apa. Petang akhirnya menginjak
senja. Akhirnya pintu rumah dibuka perlahan-lahan. Arman, papa Ayni melangkah
masuk. Dia tidak perasan Ayni yang duduk disitu, Ayni juga tidak bersuara.
"Wah!!!"
Arman menjerit, akhirnya nampak kelibat Ayni. "Kenapa duduk tempat gelap
macam hantu?"
Wajah
Ayni pun macam hantu sekarang!
“Papa
dari mana?” tegur Ayni.
Arman
langsung tidak pedulikan Ayni. Perlahan-lahan dia berjalan ke tangga, menuju ke
biliknya.
“Duit
dalam dompet Ayni, papa ada ambikkah?” tanya Ayni lagi.
Arman
tetap membisu. Ayni tidak puas hati, terus bangun mengikut papanya itu.
“Papa
ambilkah? Bagi balik pa, duit tu saja yang kita ada!” desak Ayni.
Arman
terus masuk ke biliknya, kemudian mengunci pintu.
Ayni
terkedu, kemudian mengetuk-ngetuk pintu bilik. “Pa, tolonglah! Bagi balik duit
tu! Nanti kita nak makan apa papa? Ayni ada benda nak bayar lagi? Nak guna duit
tu jugak!"
“Bisinglah!
Mintalah lagi dari Ayman! Susah sangatkah?” Terdengar papa menengking dari
dalam bilik.
“Dia
dah lama tak hantar duit! Kita dah tak ada duit!” jerit Ayni.
“Kalau
dia tak hantar duit, kau pergi buat duit!”
Terus
Ayni diam selepas itu. Senangnya papa cakap! Sepatutnya dia yang bekerja, bukan
Ayni, bukan Ayman! Ayni memang rasa sedih. Tapi lama-kelamaan, dia mula rasa
marah. Selepas beberapa kali diketuk pun tiada balasan dari Arman, gadis itu
terus hilang sabar. Dia menyepak pintu bilik itu sekuat hatinya!
"Papa,
kenapa papa macam ni? Papa dah hilang akal? Papa guna duit tu untuk judi lagi?
JAWAB PA!"
Mungkin
jiran sekeliling pun boleh dengar suara Ayni tetapi dia tidak peduli. Pintu
bilik itu ditendang beberapa kali. Memang tidak cukup kuat untuk membuka pintu
dan kakinya sakit setiap kali, tapi hatinya rasa puas.
"Tak
kan papa guna semua duit tu? BAGI BALIK!"
"DAH
TAK ADA!" Kali ini ada jawapan dari Arman.
"Apa
maksud papa dah tak ada? Tak kan papa habiskan semuanya? Bukan sikit. Ada lima
ratus lagi!" soal Ayni, walaupun dalam hati dia sudah dapat mengagak
jawapannya.
Arman
kembali membisu. Ayni terasa ingin menangis tetapi dia menahan diri. Tangisan
itu bukti kelemahan diri. Tangisan tidak akan dapat selesaikan apa-apa masalah
pun. Pintu bilik yang tidak bersalah itu ditendang berkali- kali, tapi masih
tidak dapat hilangkan rasa marahnya. Akhirnya Ayni berdiri membatu, merenung
pintu. Kemudian dia masuk ke biliknya.
Apa
patut dia buat sekarang? Hendak minta duit lagi dari Ayman, dia tak tahu
bagaimana untuk hubungi dia selepas terputus hubungan. Kalau tahu pun dia
terasa berat hati. Ayni tahu betapa susahnya hidup Ayman di sana. Dia tidak
mahu membuatkan Ayman terasa tertekan. Pada siapa dia hendak mengadu? Ayni
terasa betul-betul buntu sekarang.
'Allah
sentiasa ada!'
Bagai
terdengar suara mak tok. Tapi bila susah baru hendak ingatkan Allah! Ayni jadi
malu. Tapi itu saja jalan yang Ayni nampak sekarang. Ayni tahu dia bukan hamba
Allah yang sempurna. Solat tidak menentu. Aurat pun tidak dijaga dengan baik.
Tapi...Allah Maha Pengampun, kan? Allah Maha Mendengar. Allah sentiasa
mendengar. Jadi... bolehkah Ayni berdoa hari ini? Adakah Allah akan mendengar
doa seseorang seperti Ayni?
Malam
itu Ayni berdoa sepenuh hatinya. Dia pinta agar dibuka pintu untuk
menyelesaikan masalahnya. Moga- moga Allah masih mahu mendengar doa manusia
seperti Ayni. Moga-moga masih ada jalan untuk Ayni.