Wednesday, October 28, 2020

Bab 39

 

Aku tidak sedar sampai bila aku menangis hingga tertidur. Aku cuma terjaga apabila jam loceng berbunyi untuk solat Subuh. Usai solat aku merenung telefon. Aku memang ingin mencuba untuk menelefon lagi, tapi jika benar...

Memandangkan aku tidak memohon untuk bercuti hari ini, aku masih perlu pergi bekerja seperti biasa. Lagipun tidak ada sesiapa pun yang tahu aku hendak berkahwin semalam. Hidup ini masih perlu untuk diteruskan. Tapi dengan keadaanku sekarang, aku tidak fikir aku boleh pergi bekerja seperti biasa.

Lama termenung, terdengar pintu di ketuk. Ibu membuka pintu perlahan- lahan.

“Kenapa masih bertelekung? Tak pergi kerjakah?” tanya ibu.

“Dah pukul berapa ibu?” tanyaku, tanpa menjawab pertanyaan ibu.

“Dekat tujuh setengah pun,” jawab ibu, mengerut dahi. “Kamu tak sihatkah?”

“Tak adalah ibu.”

“Muka kamu nampak pucat,” komen ibu.

“Saya tidur lewat semalam. Hari ni saya tak pergi kerja,” jawabku.

“Hmm, ya kah? Turunlah sarapan dengan kami,” kata ibu sebelum menutup pintu.

Aku menghela nafas, merenung skrin telefon. Sampai bila aku hendak terus merenung skrin telefon ini? Perlahan- lahan aku menanggalkan telekung, menyangkut di ampaian. Biarpun tidak terasa lapar, tetapi lebih baik aku turun bersarapan bersama ibu dan ayah. Tidak ada gunanya terus termenung.

 

 

Seharian aku dalam keadaan termenung dan tidak bermaya. Semangatku hilang entah ke mana. Usai sarapan, aku masih cuba untuk menelefon Hazriq tetapi panggilanku tetap tidak disambung. Jadi selepas berkahwin dia mahu putuskan hubungan terus dengan aku? Jadi inilah akhirnya hubungan kami berdua? Jadi begini perasaan ditinggalkan sepenuhnya?

Apa patut aku buat sekarang?

Secara jujur, aku tidak mahu berada di sini lagi. Memang ibu dan ayah masih ada tetapi terasa untuk pergi ke tempat lain. Teringat semasa aku larikan diri ke Pulau Langkawi dulu. Perasaan untuk bermula semula di suatu tempat yang asing itu kembali membuak- buak di dalam dadaku.

Mungkin itu yang terbaik. Terus di sini, kemungkinan kami akan bertembung. Tak apa jika kami bertembung beberapa tahun lagi. Mungkin ketika itu, perasaanku padanya sudah pudar sedikit. Sekarang lukanya terlalu dalam.

Tempat baru. Pengalaman baru. Aku sudah ambil keputusan.

 

 

Pada masa makan malam, aku suarakan hasratku itu kepada ibu dan ayah. Mereka yang terkejut dengan permintaanku saling berpandangan.

“Kenapa?” tanya ibu. “Perlukah sampai begitu sekali?”

“Saya cuma nak mulakan hidup saya semula di tempat yang baru,” jawabku secara terus- terang.

“Tapi kenapa sampai perlu berpindah?” tanya ibu, masih tidak berpuas hati.

“Biarlah dia pergi. Dia pun masih muda. Biar dia tengok dunia luar. Sampai bila dia hendak tinggal dengan kita,” kata ayah.

Ibu diam seketika, memproses kata- kata ayah.

“Di mana? Kamu hendak ke Johor? Furqan ada di sana. Kalau ada apa- apa hal, kamu boleh minta tolong dia,” usul ibu.

“Saya tak mahu ke Johor!” tegasku.

Lebih baik aku tidak ke Johor. Aku tidak mahu hubungan aku dan Furqan menjadi kekok.

“Habis kamu hendak ke mana? Nanti risau pula ibu bila fikirkan kamu tinggal di tempat yang tidak ada orang untuk tolong kamu.”

“Anak kita bukannya nak ke planet lain. Tak kira di mana pun, masih akan ada orang untuk tolong dia,” sindir ayah.

“Awak ni buat- buat tak faham pula!” bentak ibu. “Tak kira apa pun, saya tak mahu dia ke tempat yang ada orang yang kita kenal. Saya tak mahu dia terkontang- kanting seorang diri.”

“Janganlah difikirkan sangat. Di mana- mana pun dalam Malaysia ni, kita memang ada kenalan. Dia tak akan seorang diri macam yang awak takutkan tu,” kata ayah.

“Bila kamu nak pindah?” tanya ibu.

“Secepat mungkin,” jawabku.

“Kamu lari dari hutangkah? Tiba- tiba hendak pindah cepat- cepat!” soal ayah.

“Ayah ni, ke situ pula! Bukan macam tu lah. Saya memang nak mulakan hidup baru,” jawabku.

“Hmm, ikut kamulah. Tinggal di tempat orang nanti, pandai- pandai jaga diri,” pesan ayah.

“Ya, ayah!”

Malam itu juga ayah berjaya mendapatkan maklumat tentang kekosongan jawatan di utara tanah air. Memang jauh dari rumah tapi aku rasa ianya sesuai. Jadi aku bersetuju untuk hadir temuduga. Moga- moga ada rezekiku di sana.

Seminggu selepas menghadiri temuduga, salah satu syarikat yang aku pohon menghantar jawapan yang mereka menawarkan kerja kepadaku. Syukur Alhamdulillah.

 

 

“Ini surat perletakkan jawatan saya,” kataku, meletakkan surat itu ke atas meja Encik Anas. Bulat matanya merenung aku.

“Kenapa? Awak dapat tawaran kerja lainkah?” tanya Encik Anas sambil membaca suratku itu.

“Ya, lebih kurang begitulah. Sebenarnya saya ambil keputusan untuk berhijrah ke Kedah,” jawabku.

“Kenapa Kedah?”

“Tempat baru, pengalaman baru. Itu saja.”

Encik Anas mengangguk. “Saya tak boleh halang awak kejar masa depan awak. Terima kasih atas perkhidmatan awak selama ini. Saya harap awak akan lebih berjaya di tempat baru awak nanti. Lagipun awak memang ada potensi yang besar.”

“Saya juga ucapkan terima kasih atas tunjuk ajar yang Encik berikan selama ini. Saya masih ada masa satu bulan untuk terus berkhidmat di sini. Jadi sehingga tamat tempoh tu, saya harap Encik dapat rahsiakan dari semua orang yang saya akan letak jawatan.”

“Kenapa pula awak nak buat macam tu?” tanya Encik Anas dengan hairan.

“Tak ada sebab,” jawabku, tersenyum nipis. “Saya cuma nak buat kejutan!”

 

 

Sebulan lebih selepas hari itu, tidak ada langsung khabar berita dari Hazriq. Lebih tepat lagi, aku langsung tidak ambil peduli. Aku tidak pasti sama ada dia cuba untuk hubungi aku. Kalau dia cuba pun, pasti tidak ada berjaya. Perkara pertama yang aku lakukan selepas kembali bekerja ialah menukar nombor telefon. Cuma beberapa orang yang penting mengetahui nombor baruku itu. Nombor telefon baru ini ialah salah satu langkah untuk mulakan hidup baru.

Aku juga pergi kerja dan pulang menaiki bas. Ini cara terbaik untuk mengelak dari bertemu dengan Hazriq. Aku tidak mahu dia akan menunggu di kereta seperti dulu. Ibu dan ayah pelik dengan perangaiku.

“Kamu kecewakah tidak jadi kahwin dengan Furqan?” tanya ibu pada suatu hari.

“Kenapa pula ibu cakap macam tu?” soalku, hairan dengan soalannya.

“Habis lain benar ibu tengok perangai kamu.”

Aku tergelak. “Kenapa pula saya yang kecewa? Kan saya yang batalkan perkahwinan kami?”

“Habis kenapa perangai jadi macam ni?”

“Saja ibu, nak tukar angin.”

Ibu cuma menggeleng dengan kelakuanku.

 

 

Hari terakhir bekerja akhirnya tiba. Selama satu bulan ini, selain Encik Anas, aku langsung tidak beritahu sesiapa pun yang aku bakal meletakkan jawatan. Jadi apabila aku mula mengemas meja pada hari terakhir, mereka melihat- lihat dengan penuh tanda tanya.

“Kenapa kemas meja ni? Kamu nak ke mana?” tanya Kak Diba.

“Saya dah berhenti!” jawabku, tersenyum lebar.

“Kenapa tiba- tiba?” tanya Zura, yang nampak terperanjat.

“Bukan tiba- tiba, dah bagi notis satu bulan pun,” jawabku.

Mereka berdua saling berpandangan.

“Dapat kerja barukah?” tanya Zura.

“Ya.”

“Di mana?” tanya Kak Diba pula.

“Utara.”

“Utara?” ulang mereka berdua serentak.

Aku yang selesai mengemas, memandang mereka. “Saya nak minta maaf untuk salah dan silap. Halalkan yang termakan atau terminum. Dan saya maafkan kalian berdua, walaupun banyak kali sakitkan hati saya secara berdepan atau tikam di belakang. Jangan terus berperangai begitu lagi, ya? Berubahlah, jadi lebih baik! Harap kita dapat jumpa lagi!”

Terus aku berjalan keluar, meninggalkan mereka berdua yang terlopong dengan kata- kataku.

Tuesday, October 27, 2020

Bab 38

 

Akhirnya majlis yang awalnya untuk meraikan perkahwinan aku dan Furqan akhirnya bertukar menjadi jamuan kecil keluarga kami. Aunty Sofea yang masih sugul meminta diri untuk pulang lebih awal. Aku tahu dia masih bersedih. Memandangkan banyak hal yang perlu diselesaikan, Uncle Hadi duduk menunggu untuk berbincang tindakan yang dapat diambil selepas ini. Furqan menawarkan diri untuk menghantar Aunty Sofea dan Danish pulang. Katanya dia akan datang kembali selepas itu.

Mereka yang lain yang datang tidak bertanya walaupun masing- masing bagaikan dapat menduga apa yang telah berlaku. Tetapi memandangkan mereka sanak saudara yang selama ini memang boleh dipercayai, ayah yakin mereka akan tutup mulut. Seterusnya cuma perlu mencari jalan untuk menyelesaikan masalah lain seperti kad jemputan yang telah diedar dan tempahan- tempahan yang telah dibuat.

Nampaknya aku memang timbulkan banyak masalah kepada semua orang. Disebabkan itulah aku duduk di kerusi di balkoni, malu untuk bersemuka dengan semua orang lain.

“Minumlah.”

Segelas air oren yang sejuk diletakkan dihadapanku. Ibu mengambil tempat disebelahku. Sambil mengucapkan terima kasih, aku mencapai gelas itu, menikmati minuman sejuk. Cepat saja aku habiskan. Tidak sedar pula aku rasa dahaga begini.

“Janganlah difikirkan lagi, kami boleh selesaikan masalah ni,” kata ibu, bagaikan mengerti apa yang aku fikirkan sejak tadi.

“Maafkan saya, saya dah timbulkan banyak masalah untuk semua orang,” kataku.

Ibu mengukir senyuman kecil. “Kalau ucapan maaf kamu tu senilai dengan emas, kita dah kaya agaknya! Entah berapa kali kamu ucapkan maaf tu.”

“Tapi saya memang rasa bersalah pun,” kataku dengan suara kecil.

“Ibu tahu tapi ibu rasa ibu pun patut minta maaf kepada kamu juga,” kata ibu.

“Kenapa?” Aku memandang ibu dengan hairan.

“Ibu sebenarnya perasan yang kamu bukannya hendak kahwin dengan Furqan pun. Tapi ibu abaikan. Kalau ibu lebih perihatin dengan perasaan kamu, ibu sepatutnya dah halang kamu sejak dulu lagi.”

Aku cuma menggeleng. Bukan salah ibu atau sesiapa pun, aku yang terlalu berdegil. Untuk lari dari masalahku, aku lukakan banyak pihak yang lain. Ibu memeluk bahuku.

“Anak ibu, jangan terus salahkan diri sendiri. Macam yang ibu cakap tadi, ibu nak kamu bahagia. Selepas ni, jangan ulangi hal ni lagi. Boleh kamu janji dengan ibu?”

Suara ibu yang lembut itu hampir membuatkan aku sekali lagi menangis. Aku cuma mengangguk. Ibu mencium pipiku, kemudian kembali masuk ke dalam. Entah berapa lama aku terus termenung di situ.

“Assalamualaikum.”

Aku berpaling, melihat Furqan berjalan ke arahku. “Waalaikumsalam.”

“Kenapa termenung lagi? Kan dah selesai pun,” tegur Furqan, mengambil tempat di depanku.

“Banyak yang saya fikirkan,” jawabku.

“Tak sangka awak batalkan betul- betul sebelum lafaz akad,” kritik Furqan, biarpun bibirnya menguntum senyum lebar.

“Awak juga yang cakap tak apa,” balasku, mengerlingnya.

Furqan tergelak mendengar jawapanku. Aku tidak tahu hendak katakan apa kepada Furqan sebenarnya. Tidak kira apa pun, perasaan bersalah itu tetap ada.

“Ya, dan seperti mana yang pernah saya cakap, saya akan tetap sokong keputusan awak.”

Ah, makin kuat perasaan bersalah aku! Lebih mudah jika Furqan ialah seseorang yang aku benci, aku tidak perlu rasa begini.

“Saya minta maaf,” kataku.

“Sebab batalkan majlis perkahwinan kita? Kali kedua pula tu!” kata Furqan.

“Ya.”

“Hmm, tak apa. Lagipun awak bukannya cantik sangat pun!” komen Furqan, seraya mengerling aku.

“Hei!” desisku, menjeling lelaki itu.

Memanglah aku rasa bersalah tapi itu tidak bermakna dia boleh mengutuk aku pula!

Dia cuma tergelak. “Saya berguraulah!”

Kejam betul gurauan dia!

“Dari tadi awak asyik minta maaf saja. Sudah- sudahlah, semuanya dah selesai dengan baik,” kata Furqan.

“Tapi saya memang rasa bersalah. Tak kira berapa kali saya minta maaf pun, masih rasa tak cukup.”

Furqan menghela nafas. “Dah cukup, dah banyak kali awak ulang pun. Tak perlulah ulang lagi. Semua orang dah tahu awak rasa bersalah dan kami pun tak salahkan awak pun. Jadi tak perlulah cakap lagi.”

Aku cuma mengangguk. “Tapi saya nak ucapkan terima kasih pada awak juga.”

“Untuk apa?”

“Untuk sokongan awak tadi,” jawabku.

Furqan tersenyum. “Saya pernah cakap, kan? Saya akan sokong apa pun keputusan awak.”

“Kenapa tak beritahu semua orang hal yang sebenar kenapa saya nak kahwin dengan awak?” soalku, cuba menduga.

Furqan mendengus. “Nak kena marahkah? Awak mungkin kena marah, saya mungkin kena tumbuk lagi!”

“Awak ingat ayah saya suka menumbuk orangkah?” soalku dengan jengkel.

“Saya tak mahu cuba, nanti saya juga yang kena.”

“Awak tak buat salah, buat apa dia nak tumbuk awak.”

“Manalah tahu. Lagi satu, awak tak beritahu lelaki tu yang awak tak jadi berkahwin dengan saya?” tanya Furqan, tersenyum penuh makna.

“Untuk apa? Biarpun saya tak jadi kahwin dengan awak, dia masih akan kahwin dengan tunangnya,” jawabku dengan rasa jengkel.

Tiba- tiba pula dia bangkitkan hal ini. Hampir sepanjang hari aku lupakan hal ini, sekarang aku teringat balik. 

“Dia tak akan kahwin dengan tunangnya,” kata Furqan dengan yakin.

“Kenapa awak boleh cakap macam tu?” soalku, hairan dengan kata- katanya.

Furqan tersenyum. “Sebab saya tahu dia memang betul- betul cintakan awak.”

Terkejut aku mendengar. “Macam mana-”

“Saya jumpa dengan dia sebelum majlis akad nikah kita,” jawab Furqan.

“Bila?”

Seingat aku, baru semalam aku berbual dengan Hazriq. Tapi tidak ada langsung tanda- tanda dia berjumpa dengan Furqan.

“Pagi tadi, dalam pukul sepuluh pagi. Saya rasa saya dan dia ada perkara penting yang perlu kami selesaikan. Jadi saya telefon dia, minta untuk berjumpa. Dia pun setuju.”

Melopong aku mendengar. Jadi dalam beberapa jam tadi, mereka berdua berjumpa dan berbual?

“Tapi…macam mana…?”

Furqan memandang aku dengan raut wajah berlagak. “Awak ingat susah sangatkah saya nak cari dia? Biarpun awak beria- ia tak mahu saya tahu nombor telefon dia, saya masih ada cara untuk cari. Kan saya dah cakap, kami mesti berbual. Man to man!”

“Jadi awak pergi jumpa dia? Buat apa?”

Jangan cakap mereka bertumbuk pagi tadi! Tapi tidak ada kesan lebam atau luka pada Furqan, jadi aku boleh berharap yang ia tidak berlaku.

“Bercakap,” jawab Furqan, kemudian menghela nafas. “Secara jujur, saya tunggu peluang untuk tumbuk dia. Salah cakap sikit pun cukuplah. Tapi selepas dia jelaskan semuanya, saya pun boleh faham apa yang sudah berlaku.”

Ada apa dengan lelaki dan tumbuk menumbuk? Tak boleh bercakap dengan mulut? Kenapa hendak gunakan tangan?

“Saya dah cakap, kan? Awak cari dia lagi kenapa?” tanyaku dengan jengkel.

“Sebagai adik ipar awak, saya bertanggungjawab untuk jaga awak. Tambahan lagi, kalau kita jadi bernikah, saya jadi suami awak. Maka lebih besar tanggungjawab saya ke atas awak. Jadi tak salah apa yang saya buat,” jelas Furqan.

“Habis macam mana awak boleh berubah fikiran?”

“Saya boleh tahu yang dia benar- benar cintakan awak. Dia minta saya jaga awak sebaik mungkin. Siap beri amaran pada saya.” Furqan tergelak sinis. “Macam saya ni tak boleh diharap pula!”

Apa yang telah mereka berdua bualkan?

Furqan menghela nafas. “Walaupun saya tetap tak sukakan dia, tapi saya faham perasaan dia. Kalau dia begitu kecewa awak akan kahwin dengan saya, bayangkan perasaan dia nanti kalau dia tahu yang kita dah batalkan majlis kita. Entah- entah melompat sampai ke bintang!”

Ah, kenapa pula aku rasa malu!

“Kenapa wajah awak merah?” soal Furqan.

“Tak ada apa- apa,” gerutuku.

“Awak tak nak telefon dia?”

“Nantilah,” jawabku.

Furqan tersengih. “Betulkah?”

“Jangan sibuklah!” bentakku.

Furqan cuma tergelak dengan reaksiku.

“Tapi saya nak tanya lagi satu perkara. Sampai bila awak nak pakai macam ni?” tegur Furqan, menunjuk dari atas ke bawah.

Oh, aku lupa salin pakaian. Sekurang- kurangnya Furqan tidak lagi bersampin, tapi aku masih lengkap berbaju pengantin.

“Biarlah, bukannya selalu saya boleh pakai macam ni,” balasku dengan nada acuh tak acuh.

“Siapa kata tak boleh. Pakailah, siapa kisah. Pakai pergi kerja pun tak apa.”

“Awak ingat saya hilang akal?” tempelakku.

“Agaknya, memandangkan dah dua kali awak tak jadi kahwin!” balas Furqan tergelak- gelak.

“Hei!”

Makin kuat dia tergelak.

 

 

Jadi bagaimana sekarang? Patutkah aku beritahu Hazriq yang aku dan Furqan tidak jadi berkahwin? Apa agaknya reaksi dia nanti? Tapi apa yang hendak aku katakan nanti? Hampir lebih satu jam aku merenung telefon yang aku letakkan di hadapanku.

Hendak telefon. Jangan telefon! Telefonlah. Tak, jangan! Hesy, telefon sajalah! Tapi…

Ah, telefonlah!

Aku melarik skrin telefon untuk menelefonnya. Selepas tiga deringan, ada jawapan.

“Assalamualaikum.”

Suara seorang wanita.

“Waalaikumsalam,” jawabku. “Boleh saya cakap dengan Hazriq?”

“Rania?”

“Ya.”

“Ini Nurrul Azzwa.”

“Oh, kenapa awak ada telefon dia?” tanyaku, mula terasa tidak sedap hati.

“Saya dan dia sudah berkahwin. Jadi jangan telefon suami saya lagi. Saya tak akan maafkan awak kalau awak rosakkan rumah tangga kami,” kata wanita itu dengan nada yang tenang sebelum memutuskan talian.

Suami? Mereka sudah berkahwin?

“B-bila awak berdua berkahwin?” tanyaku.

“Petang tadi!”

“Nanti! Biar saya cakap dengan Hazriq dulu!” pintaku.

“Awak dah gila! Bahagian mana dalam kata- kata saya tadi yang awak tak faham? Jangan ganggu suami saya!” tengking Nurrul Azzwa.

Selepas itu dia terus memutuskan talian. Aku tidak bermimpikah tadi? Benarkah mereka berdua sudah berkahwin? Jadi pada hari aku sepatutnya disatukan dengan Furqan, Hazriq bernikah dengan Nurrul Azzwa.

Furqan cakap Hazriq tidak akan kahwin dengan tunangnya. Hazriq juga beritahu aku perkara yang sama. Habis yang mana satu yang betul?

Dengan tangan yang terketar- ketar, aku cuba menelefon beberapa kali tetapi panggilanku gagal disambung. Aku merenung skrin telefon yang gelap. Ternampak bayangku sendiri dengan air mata mengalir membasahi pipi. Aku segera mengesat air mata tetapi masih tidak berhenti mengalir. Malah semakin lama, semakin lebat air mataku. Akhirnya aku tidak dapat tahan lagi.

Monday, October 26, 2020

Bab 37

 

Aku mengelamun, menunggu tibanya saat berlangsungnya majlis akad nikah aku dan Furqan. Fikiranku serabut memikirkan banyak perkara. Tentang Hazriq. Tentang perkahwinan aku. Tentang perkahwinan dia. Tentang kenapa aku tidak boleh memiliki orang yang aku cintai. Pintu dibuka secara tiba- tiba, mematikan lamunanku. Ibu terpacul di pintu.

“Rania, kami semua dah bersedia. Mari turun ke bawah,” kata ibu.

Aku menghela nafas, bingkas bangun. Untuk apa aku berfikir lagi? Mungkin keputusan yang aku ambil ini ialah yang terbaik untuk semua orang. Ah, jangan terus berfikir!

Aku bingkas bangun, membetulkan pakaian dengan bantuan ibu. Aku merenung refleksiku di cermin. Pengantin apa yang tidak tersenyum begini? Aku menarik nafas, cuba mengukir senyuman. Tapi bayang aku di cermin terus nampak muram.

“Kenapa?” tanya ibu.

“Tak ada apa- apalah. Mari kita turun ke bawah,” ajakku.

Ibu mengangguk, memimpin tanganku. Hatiku terasa tidak keruan tetapi aku tetap teruskan langkah.

 

 

Berbanding kali pertama, majlis kali ini agak sunyi kerana tidak ramai yang ada. Kalau diikutkan aku, tidak perlu ada majlis langsung. Cukuplah kalau cuma akad nikah dilakukan di pejabat agama saja. Tapi keluarga kami pasti akan berkeras menentang. Jadi terpaksa aku ikut kehendak mereka untuk adakan majlis kecil dan tertutup begini.

Furqan mendengar penerangan dari Imam Hisham semasa aku sampai di ruang tamu. Ini kali kedua baginya. Juga kali kedua aku cuba menjadi isteri dia. Sebaik saja nampak aku turun, dia merenung aku, bagaikan cuba bertanya sekali lagi tentang keputusanku. Aku terus duduk di kusyen yang disediakan di pelamin tanpa memperdulikan renungannya. Lelaki itu akhirnya menghela nafas lalu memberi tumpuan kepada Imam Hisham.

Aunty Sofea yang meriba Danish berbual dengan ibu. Selepas tamatnya majlis ini, aku akan menjadi ibu kepada anak kecil ini. Ini permintaan terakhir Dyana yang ingin aku penuhi. Walaupun bukan begini yang aku bayangkan semasa berfikir untuk mengabulkan permintaan terakhir Dyana, tetapi mungkin ini yang terbaik.

Danish yang nampak aku terus tersenyum. “Mak Yong cantik!”

Aku tidak menjawab, cuma tersenyum pahit.

“Danish kena belajar panggil Mak Yong ‘Mama’,” kata Aunty Sofea kepada Danish.

“Kenapa?” Anak kecil itu nampak keliru.

“Biarlah dia belajar perlahan- lahan,” kata ibu. “Lagipun bukan senang dia nak tukar panggilan ‘Mak Yong’ kepada ‘Mama’ tu.”

Aku tidak menjawab, cuma mengusap pipi anak kecil itu. Aku kembali mengalih tumpuan kepada lelaki yang bakal menjadi suamiku itu.

Memandang dia membuatkan aku sekali lagi sedar satu perkara paling penting, aku benar- benar tidak ada perasaan lagi pada dia. Dia memang seorang yang istimewa bagiku kerana dia pernah bertakhta di hati. Tapi cuma setakat itu.

 

Perlukah kita berkahwin kerana cinta?

 

Hah, sekarang kata- kata itu memakan diriku sendiri!

Ah, perasaan boleh dipupuk! Lama- lama pasti aku boleh jatuh cinta pada dia kembali. Betul tu!

Tapi…

Imam Hisham yang selesai memberi penerangan, mengangkat tangan untuk membaca doa. Nampaknya majlis akan bermula. Rasa tidak keruan tadi mula bertukar menjadi panik. Aku tidak tahu apa yang patut aku fikirkan sekarang. Beberapa kali menarik nafas pun aku masih tidak dapat bertenang.

Apabila aku nampak Imam Hisham menghulurkan tangan kepada Furqan dan dia menyambut, nafasku semakin sesak.  Dengan tenang, Imam Hisham memulakan lafaz akad.

“Aku nikahkan dikau-”

 

Jangan terus berdiam dan larikan diri bila ada masalah. Suarakan apa yang ada di hati awak. Tak akan ada orang yang faham apa yang awak fikirkan melainkan awak suarakan secara jelas.

 

Suarakan apa? Beritahu apa? Dadaku semakin sesak apabila mendengar Imam Hisham menyebut namaku. Aku tak boleh teruskan!

“NANTI!”

Semua orang berpaling melihat aku. Furqan yang mulanya terperanjat, mengukir senyum apabila sedar aku yang menghentikan majlis.

“Kenapa pula Rania?” tanya ayah.

“Saya…”

Bagaimana hendak beritahu mereka yang aku tidak boleh teruskan majlis ini?

“Kenapa kamu menangis ni?” tanya ibu.

Baru aku perasan pipiku basah. Bila masa pula aku mula menangis? Cepat- cepat aku mengesat air mata. Aku cuba menjawab tapi sukar. Air mataku juga tidak dapat dihentikan. Ayah merenungku, kemudian mengeluh.

“Maafkan saya, saya rasa baik kita tangguhkan dulu majlis ni,” kata ayah kepada Imam Hisham sebelum berpaling kepada kami. “Kita semua perlu bercakap!”

Imam Hisham memandang aku, kemudian memandang ayah kembali. “Lagi sekalikah?”

Ayah mengukir senyuman pahit. “Biar kami berbincang dulu.”

 

 

Kami semua berkumpul di ruang tengah. Aku diam membisu. Aku tahu kali ini memang salah aku. Jadi aku menunggu apa yang akan mereka semua katakan.

“Kamu nak cakap apa- apa tak?” tanya ayah.

“Saya minta maaf,” kataku dengan suara perlahan.

“Kenapa pula kamu hentikan majlis tadi? Tak kan kamu nak cakap yang kamu tak mahu kahwin dengan Furqan?” tanya Aunty Sofea.

Aku tidak menjawab, cuma mengangguk.

Menyingga wajah Aunty Sofea. “Apa kena dengan kamu ni? Kamu yang setuju untuk kahwin dengan Furqan, sekarang kamu tak mahu pula. Kamu nak malukan keluarga kami?”

“Mama!” kata Furqan. “Ini keputusan dia!”

“Eh, kamu ni! Dia dah malukan kamu pun kamu nak pertahankan dia!” tengking Aunty Sofea. “Kalau dulu ada sebabnya, kali ini sebab apa?”

“Sebab saya dan dia tak ada apa- apa perasaan pun!” jawab Furqan.

Terus aku mengangkat wajah, merenungnya. 

Furqan menghela nafas. “Secara jujur, saya memang nak dia batalkan majlis ni. Berkali- kali saya minta dia batalkan. Tapi dia masih hendak teruskan. Elok juga dia batalkan tadi. Kalau tidak, mesti saya dah sah jadi suami dia!”

Aunty Sofea terhenyak duduk di kerusi. Tangannya mengurut dada.

“Furqan, macam mana kamu boleh cakap macam tu? Kamu ingat benda ni semuanya main- mainkah?” kata Uncle Hadi.

“Bukan salah dia, salah saya. Saya minta maaf!” kataku.

“Maaf kamu tu tak akan selesaikan masalah! Sekarang semua orang dah tahu yang majlis ni tak jadi. Kad jemputan pun kami dah edarkan. Mana kami nak letak muka kami?” marah Aunty Sofea.

Aku tunduk mendengar.

Furqan menghela nafas. “Sebab itulah saya minta majlis yang kecil. Saya tak nak ramai orang yang tahu pun. Tak apalah mama, jangan risau dengan mereka. Biar saya telefon setiap seorang dan jelaskan yang majlis kami tidak jadi diadakan.”

“Senangnya kamu cakap!” tempelak Aunty Sofea.

“Tak kira apa sekalipun, saya terima keputusan Rania. Malah saya rasa bersyukur. Sekurang- kurangnya Rania masih ada peluang untuk bersama dengan orang yang memang dia cintai. Kalau saya yang sepatutnya jadi suami dia pun boleh terima, apatah lagi orang lain. Jadi saya harap semua orang lain boleh faham,” kata Furqan.

Aunty Sofea bagaikan ingin menangis mendengar kata- kata Furqan. Uncle Hadi diam, memicit kepalanya.

“Saya minta maaf sebab dah kecewakan semua orang,” ulangku untuk kesekian kalinya pada hari ini.

Bagiku, biarpun berapa kali aku ungkapkan maafku itu, ia tetap tidak akan memadai dengan masalah yang telah aku timbulkan.

“Tak perlulah terus minta maaf begini. Hal ini pun dah jadi begini. Furqan pun dapat terima. Apa lagi yang uncle boleh cakap,” kata Uncle Hadi.

“Abang nak biarkan saja?” tanya Aunty Sofea, mata membulat merenung Uncle Hadi.

“Kita paksa pun tak guna. Mereka memang tak mahu berkahwin pun. Furqan yang sepatutnya lebih malu dari kita semua, tapi dia yang langsung tak rasa apa- apa pun sekarang. Malah saya rasa dia rasa gembira,” kata Uncle Hadi.

“Tapi-” Aunty Sofea masih berkeras.

“Terima sajalah keputusan mereka. Biarlah kita selesaikan hal yang lain tu. Lagipun difikirkan balik, saya rasa kita ada ‘hutang’ dengan Rania. Bila dia tak jadi kahwin dengan Furqan dulu, dia yang tanggung malu seorang diri. Sampai sekarang setiap kali teringatkan hal tu, saya rasa bersalah sangat pada dia. Sekarang anggaplah kita bayar balik hutang dia tu,” kata Uncle Hadi.

Akhirnya Aunty Sofea tunduk membisu. Biarpun dia masih tidak berpuas hati, aku rasa dia sudah dapat menerima keputusan yang aku ambil.

“Tapi kenapa kamu bersetuju untuk kahwin dengan Furqan dulu?  Tidak ada siapa pun yang paksa kamu,” soal ayah yang tadinya membisu mendengar.

Bagaimana hendak beritahu mereka yang aku hendak larikan diri dari perasaanku pada Hazriq?

“Sebab dia nak buat semua orang rasa gembira.” Sekali lagi Furqan menjawab untuk pihakku.

Aku mengerling Furqan tetapi raut wajahnya kelihatan bersahaja. Dia sendiri tahu itu bukan jawapan sebenarnya tapi kenapa dia menipu?

“Tapi kenapa? Kami boleh faham kalau kamu tak setuju,” kata ibu. “Sebab kamu hendak jadi ibu kepada Danishkah? Ataupun sebab kami yang mahu kamu berdua berkahwin?”

Ayah menghela nafas. “Menjadi seorang ibu bukan bererti kamu perlu paksa diri kamu untuk berkahwin dengan Furqan. Kamu masih boleh anggap dan jaga dia seperti anak kamu tanpa menjadi isteri kepada ayahnya.”

“Betul tu. Ibu dan ayah tak akan paksa kamu berdua berkahwin. Ibu nak kamu bahagia!”

“Jangan asyik hendak gembirakan hati orang lain. Carilah kebahagiaan kamu. Ayah dan ibu tak akan ada selamanya dengan kamu. Sebab tu kami harap kamu akan jumpa seseorang yang dapat pimpin tangan kamu hingga ke syurga,” kata ayah.

Semua orang mahu aku cari kebahagiaan aku. Adakah aku saja yang cuma mengelak selama ini? Aku tunduk mendengar. Sekali lagi air mataku perlahan- lahan menitis.