Monday, October 26, 2020

Bab 37

 

Aku mengelamun, menunggu tibanya saat berlangsungnya majlis akad nikah aku dan Furqan. Fikiranku serabut memikirkan banyak perkara. Tentang Hazriq. Tentang perkahwinan aku. Tentang perkahwinan dia. Tentang kenapa aku tidak boleh memiliki orang yang aku cintai. Pintu dibuka secara tiba- tiba, mematikan lamunanku. Ibu terpacul di pintu.

“Rania, kami semua dah bersedia. Mari turun ke bawah,” kata ibu.

Aku menghela nafas, bingkas bangun. Untuk apa aku berfikir lagi? Mungkin keputusan yang aku ambil ini ialah yang terbaik untuk semua orang. Ah, jangan terus berfikir!

Aku bingkas bangun, membetulkan pakaian dengan bantuan ibu. Aku merenung refleksiku di cermin. Pengantin apa yang tidak tersenyum begini? Aku menarik nafas, cuba mengukir senyuman. Tapi bayang aku di cermin terus nampak muram.

“Kenapa?” tanya ibu.

“Tak ada apa- apalah. Mari kita turun ke bawah,” ajakku.

Ibu mengangguk, memimpin tanganku. Hatiku terasa tidak keruan tetapi aku tetap teruskan langkah.

 

 

Berbanding kali pertama, majlis kali ini agak sunyi kerana tidak ramai yang ada. Kalau diikutkan aku, tidak perlu ada majlis langsung. Cukuplah kalau cuma akad nikah dilakukan di pejabat agama saja. Tapi keluarga kami pasti akan berkeras menentang. Jadi terpaksa aku ikut kehendak mereka untuk adakan majlis kecil dan tertutup begini.

Furqan mendengar penerangan dari Imam Hisham semasa aku sampai di ruang tamu. Ini kali kedua baginya. Juga kali kedua aku cuba menjadi isteri dia. Sebaik saja nampak aku turun, dia merenung aku, bagaikan cuba bertanya sekali lagi tentang keputusanku. Aku terus duduk di kusyen yang disediakan di pelamin tanpa memperdulikan renungannya. Lelaki itu akhirnya menghela nafas lalu memberi tumpuan kepada Imam Hisham.

Aunty Sofea yang meriba Danish berbual dengan ibu. Selepas tamatnya majlis ini, aku akan menjadi ibu kepada anak kecil ini. Ini permintaan terakhir Dyana yang ingin aku penuhi. Walaupun bukan begini yang aku bayangkan semasa berfikir untuk mengabulkan permintaan terakhir Dyana, tetapi mungkin ini yang terbaik.

Danish yang nampak aku terus tersenyum. “Mak Yong cantik!”

Aku tidak menjawab, cuma tersenyum pahit.

“Danish kena belajar panggil Mak Yong ‘Mama’,” kata Aunty Sofea kepada Danish.

“Kenapa?” Anak kecil itu nampak keliru.

“Biarlah dia belajar perlahan- lahan,” kata ibu. “Lagipun bukan senang dia nak tukar panggilan ‘Mak Yong’ kepada ‘Mama’ tu.”

Aku tidak menjawab, cuma mengusap pipi anak kecil itu. Aku kembali mengalih tumpuan kepada lelaki yang bakal menjadi suamiku itu.

Memandang dia membuatkan aku sekali lagi sedar satu perkara paling penting, aku benar- benar tidak ada perasaan lagi pada dia. Dia memang seorang yang istimewa bagiku kerana dia pernah bertakhta di hati. Tapi cuma setakat itu.

 

Perlukah kita berkahwin kerana cinta?

 

Hah, sekarang kata- kata itu memakan diriku sendiri!

Ah, perasaan boleh dipupuk! Lama- lama pasti aku boleh jatuh cinta pada dia kembali. Betul tu!

Tapi…

Imam Hisham yang selesai memberi penerangan, mengangkat tangan untuk membaca doa. Nampaknya majlis akan bermula. Rasa tidak keruan tadi mula bertukar menjadi panik. Aku tidak tahu apa yang patut aku fikirkan sekarang. Beberapa kali menarik nafas pun aku masih tidak dapat bertenang.

Apabila aku nampak Imam Hisham menghulurkan tangan kepada Furqan dan dia menyambut, nafasku semakin sesak.  Dengan tenang, Imam Hisham memulakan lafaz akad.

“Aku nikahkan dikau-”

 

Jangan terus berdiam dan larikan diri bila ada masalah. Suarakan apa yang ada di hati awak. Tak akan ada orang yang faham apa yang awak fikirkan melainkan awak suarakan secara jelas.

 

Suarakan apa? Beritahu apa? Dadaku semakin sesak apabila mendengar Imam Hisham menyebut namaku. Aku tak boleh teruskan!

“NANTI!”

Semua orang berpaling melihat aku. Furqan yang mulanya terperanjat, mengukir senyum apabila sedar aku yang menghentikan majlis.

“Kenapa pula Rania?” tanya ayah.

“Saya…”

Bagaimana hendak beritahu mereka yang aku tidak boleh teruskan majlis ini?

“Kenapa kamu menangis ni?” tanya ibu.

Baru aku perasan pipiku basah. Bila masa pula aku mula menangis? Cepat- cepat aku mengesat air mata. Aku cuba menjawab tapi sukar. Air mataku juga tidak dapat dihentikan. Ayah merenungku, kemudian mengeluh.

“Maafkan saya, saya rasa baik kita tangguhkan dulu majlis ni,” kata ayah kepada Imam Hisham sebelum berpaling kepada kami. “Kita semua perlu bercakap!”

Imam Hisham memandang aku, kemudian memandang ayah kembali. “Lagi sekalikah?”

Ayah mengukir senyuman pahit. “Biar kami berbincang dulu.”

 

 

Kami semua berkumpul di ruang tengah. Aku diam membisu. Aku tahu kali ini memang salah aku. Jadi aku menunggu apa yang akan mereka semua katakan.

“Kamu nak cakap apa- apa tak?” tanya ayah.

“Saya minta maaf,” kataku dengan suara perlahan.

“Kenapa pula kamu hentikan majlis tadi? Tak kan kamu nak cakap yang kamu tak mahu kahwin dengan Furqan?” tanya Aunty Sofea.

Aku tidak menjawab, cuma mengangguk.

Menyingga wajah Aunty Sofea. “Apa kena dengan kamu ni? Kamu yang setuju untuk kahwin dengan Furqan, sekarang kamu tak mahu pula. Kamu nak malukan keluarga kami?”

“Mama!” kata Furqan. “Ini keputusan dia!”

“Eh, kamu ni! Dia dah malukan kamu pun kamu nak pertahankan dia!” tengking Aunty Sofea. “Kalau dulu ada sebabnya, kali ini sebab apa?”

“Sebab saya dan dia tak ada apa- apa perasaan pun!” jawab Furqan.

Terus aku mengangkat wajah, merenungnya. 

Furqan menghela nafas. “Secara jujur, saya memang nak dia batalkan majlis ni. Berkali- kali saya minta dia batalkan. Tapi dia masih hendak teruskan. Elok juga dia batalkan tadi. Kalau tidak, mesti saya dah sah jadi suami dia!”

Aunty Sofea terhenyak duduk di kerusi. Tangannya mengurut dada.

“Furqan, macam mana kamu boleh cakap macam tu? Kamu ingat benda ni semuanya main- mainkah?” kata Uncle Hadi.

“Bukan salah dia, salah saya. Saya minta maaf!” kataku.

“Maaf kamu tu tak akan selesaikan masalah! Sekarang semua orang dah tahu yang majlis ni tak jadi. Kad jemputan pun kami dah edarkan. Mana kami nak letak muka kami?” marah Aunty Sofea.

Aku tunduk mendengar.

Furqan menghela nafas. “Sebab itulah saya minta majlis yang kecil. Saya tak nak ramai orang yang tahu pun. Tak apalah mama, jangan risau dengan mereka. Biar saya telefon setiap seorang dan jelaskan yang majlis kami tidak jadi diadakan.”

“Senangnya kamu cakap!” tempelak Aunty Sofea.

“Tak kira apa sekalipun, saya terima keputusan Rania. Malah saya rasa bersyukur. Sekurang- kurangnya Rania masih ada peluang untuk bersama dengan orang yang memang dia cintai. Kalau saya yang sepatutnya jadi suami dia pun boleh terima, apatah lagi orang lain. Jadi saya harap semua orang lain boleh faham,” kata Furqan.

Aunty Sofea bagaikan ingin menangis mendengar kata- kata Furqan. Uncle Hadi diam, memicit kepalanya.

“Saya minta maaf sebab dah kecewakan semua orang,” ulangku untuk kesekian kalinya pada hari ini.

Bagiku, biarpun berapa kali aku ungkapkan maafku itu, ia tetap tidak akan memadai dengan masalah yang telah aku timbulkan.

“Tak perlulah terus minta maaf begini. Hal ini pun dah jadi begini. Furqan pun dapat terima. Apa lagi yang uncle boleh cakap,” kata Uncle Hadi.

“Abang nak biarkan saja?” tanya Aunty Sofea, mata membulat merenung Uncle Hadi.

“Kita paksa pun tak guna. Mereka memang tak mahu berkahwin pun. Furqan yang sepatutnya lebih malu dari kita semua, tapi dia yang langsung tak rasa apa- apa pun sekarang. Malah saya rasa dia rasa gembira,” kata Uncle Hadi.

“Tapi-” Aunty Sofea masih berkeras.

“Terima sajalah keputusan mereka. Biarlah kita selesaikan hal yang lain tu. Lagipun difikirkan balik, saya rasa kita ada ‘hutang’ dengan Rania. Bila dia tak jadi kahwin dengan Furqan dulu, dia yang tanggung malu seorang diri. Sampai sekarang setiap kali teringatkan hal tu, saya rasa bersalah sangat pada dia. Sekarang anggaplah kita bayar balik hutang dia tu,” kata Uncle Hadi.

Akhirnya Aunty Sofea tunduk membisu. Biarpun dia masih tidak berpuas hati, aku rasa dia sudah dapat menerima keputusan yang aku ambil.

“Tapi kenapa kamu bersetuju untuk kahwin dengan Furqan dulu?  Tidak ada siapa pun yang paksa kamu,” soal ayah yang tadinya membisu mendengar.

Bagaimana hendak beritahu mereka yang aku hendak larikan diri dari perasaanku pada Hazriq?

“Sebab dia nak buat semua orang rasa gembira.” Sekali lagi Furqan menjawab untuk pihakku.

Aku mengerling Furqan tetapi raut wajahnya kelihatan bersahaja. Dia sendiri tahu itu bukan jawapan sebenarnya tapi kenapa dia menipu?

“Tapi kenapa? Kami boleh faham kalau kamu tak setuju,” kata ibu. “Sebab kamu hendak jadi ibu kepada Danishkah? Ataupun sebab kami yang mahu kamu berdua berkahwin?”

Ayah menghela nafas. “Menjadi seorang ibu bukan bererti kamu perlu paksa diri kamu untuk berkahwin dengan Furqan. Kamu masih boleh anggap dan jaga dia seperti anak kamu tanpa menjadi isteri kepada ayahnya.”

“Betul tu. Ibu dan ayah tak akan paksa kamu berdua berkahwin. Ibu nak kamu bahagia!”

“Jangan asyik hendak gembirakan hati orang lain. Carilah kebahagiaan kamu. Ayah dan ibu tak akan ada selamanya dengan kamu. Sebab tu kami harap kamu akan jumpa seseorang yang dapat pimpin tangan kamu hingga ke syurga,” kata ayah.

Semua orang mahu aku cari kebahagiaan aku. Adakah aku saja yang cuma mengelak selama ini? Aku tunduk mendengar. Sekali lagi air mataku perlahan- lahan menitis.

Sunday, October 25, 2020

Bab 36

 

Sejak dari hari itu, aku terus- terusan mengelak dari bertembung dengan Hazriq. Syukurlah dia tidak menungguku di kereta. Dia juga tidak ada apa- apa urusan untuk datang ke pejabatku. Tapi kadang- kadang, aku terserempak juga dengan dia. Kuala lumpur ini luas juga tapi aku masih boleh bertembung dengan dia. Jadi aku mengelak dari memandang atau bercakap dengan dia apabila kami berjumpa.

Tapi itu bukannya sukar dilakukan kerana dia tidak lagi memandang atau memperdulikan aku apabila berjumpa. Kami seolah- olah menjadi orang asing. Memang ini yang aku harapkan, tapi hatiku tetap rasa sakit.

Persiapan untuk perkahwinan aku dan Furqan terus berjalan lancar tanpa campur tangan aku. Semuanya diuruskan oleh ibu dan Aunty Sofea. Furqan terlalu sibuk untuk terlibat, manakala aku pula memberi alasan yang aku juga sibuk dengan kerja. Aku tahu aku tidak dapat mengelak tapi aku masih tidak dapat libatkan diri.

Sesuai dengan permintaanku, majlis akad nikah kami cuma akan dihadiri oleh keluarga kami dan beberapa saudara terdekat. Ia juga diadakan di rumahku. Aku tidak mahukan majlis yang besar dan hadirin yang banyak. Cukuplah sekadar kami.

Aku juga masih belum beritahu sesiapa yang aku bakal menikah. Tak perlulah diheboh- hebohkan. Selepas kad kahwin siap dicetak nanti, aku jemput saja mereka. Jadi buat masa sekarang, biarlah semua ini masih lagi rahsia. 

“Bagus juga kamu dah tamat belajar. Bolehlah kamu ikut Furqan ke Johor dengan senang hati. Nanti senang juga kamu nak dapatkan kerja baru dengan ijazah dan pengalaman kerja kamu tu,” kata ibu semasa makan malam.

“Ibu ni macam tak sabar- sabar nak halau saya. Nanti ibu mesti rindukan saya bila saya tak tinggal di sini lagi,” kataku.

“Tak adalah nak halau. Tapi anak perempuan bila dah kahwin, mestilah nak ikut suami dia,” balas ibu, kemudian mengeluh. “Sunyilah rumah ni nanti.”

“Habis saya ada lagi, tak cukupkah?” tanya ayah yang tadinya diam mendengar.

“Cuma awak dan saya berdua, mestilah sunyi juga,” jawab ibu, masih sugul.

“Habis nak saya tambah seorang dua isteri supaya awak tak rasa sunyi?” soal ayah dengan selamba.

Terus ibu memandang ayah. “Hai, dah berumur macam ni pun masih fikir macam tu? Tak malu anak awak dengar? Gatal juga awak ni!”

Ayah cuma tersenyum. “Mana ada saya gatal? Awak juga cakap kalau kita berdua rasa sunyi. Sebab saya ambil berat perasaan awaklah saya nak kahwin lagi. Saya pun ada tiga ruang kosong lagi.”

“Jangan nak cakap yang bukan- bukan malam- malam macam ni!” bentak ibu.

Ayah tidak menjawab, cuma tergelak kecil. Dia tahu kalau dia cakap lagi pasti ibu akan lebih marah nanti. Aku sendiri segera menyuap makanan, menahan diri dari tergelak. Aku tersenyum kecil apabila ayah dengan selamba menceduk lauk lalu dimasukkan ke pinggan ibu. Ibu yang masih marah cuma menjeling.

Aku dan Furqan akan beginikah bila kami tua nanti? Tapi kenapa aku langsung tidak dapat bayangkan masa depan kami berdua bersama?

Hmm, tak boleh fikir macam ni! Mungkin sebab kami belum berkahwinlah aku tak dapat bayangkan lagi. Bila kami mula hidup bersama nanti mungkin keadaan akan berubah.

 

 

Orang selalu cakap yang masa berlalu dengan pantas apabila kita gembira kerana ia bagaikan mencemburui kita. Tapi aku tidak rasa gembira pun ia tetap berlalu pantas. Sedar tidak sedar, tinggal seminggu lagi aku akan berkahwin dengan Furqan.

Semakin dekat hari itu, semakin gelisah aku jadinya. Aku sendiri yang setuju untuk berkahwin, kenapa aku sendiri yang tidak keruan? Semakin difikirkan, semakin sesak dadaku.

Aku tidak memohon cuti untuk majlis akad nikah nanti. Lagipun majlis diadakan pada hari Ahad dan aku memang bercuti pada ketika itu. Jadi tidak ada masalah untuk diteruskan seperti biasa.

Jadi minggu terakhir sebagai seorang gadis aku habiskan dengan bekerja. Tetapi jasadku saja yang ada di sini. Mindaku melayang entah ke mana. Tanpa sedar juga, entah berapa kali aku mengeluh sejak pagi.

“Sah ada yang dah mati!”

Terdengar Zura berbisik dengan Kak Diba dibelakangku. Aku pura- pura tidak mendengar, cuba fokus dengan kerja. Kalau sehari mereka tidak bergosip tentang aku, tidak lengkap aktiviti harian mereka berdua.

“Sebut pasal hal ni, kak dengar yang lari tu nak kahwin hujung bulan ni!” kata Kak Diba.

“Apa yang lari?” soal Zura.

“Bukan apa, tapi siapa! Yang itu! Itulah!”

Dari cermin hiasan yang bertentangan dengan mejaku, dengan jelas aku dapat lihat Kak Diba menunjuk ke arahku. Aku cuma mengerling, sebelum kembali merenung skrin komputer.

“Betulkah?” tanya Zura, kelihatan benar- benar terkejut.

“Ya, betul! Kakak pun mula- mula macam tak percaya. Tapi kawan kakak yang sama syarikat beritahu yang tunang dia sendiri mengaku. Tunang dia datang dan beritahu kawan sekerja yang mereka akan berkahwin. Lepas tu, dia cakap majlis kenduri pula dalam dua minggu kemudian. Dia cakap….Eh, bunyi apa tu?”

Aku tidak sedar bila aku menaip dengan kuat. Sudahlah begitu, entah apa yang aku taip sejak tadi pun aku tidak tahu. Terdengar mereka berdua tergelak- gelak di belakang. Aku mendengus, segera membetulkan kesilapan yang aku taip.

Jadi majlis perkahwinan dia pun nampaknya diteruskan? Jadi tentang perasaan bukan macam suis, bekas tunang dan segala yang dia cakapkan tempoh hari cuma tipu? Sekali lagi aku menaip dengan kuat.

“Rosaklah keyboard tu nanti,” perli Kak Diba manakala Zura tergelak- gelak.

Sibuklah! Nanti aku lempar ke kepala mereka baru tahu!

 

Awak ingat saya akan terima dia semula hanya sebab awak akan kahwin dengan orang lain?

 

Hmm, dia sudah terima pun! Tapi aku sendiri yang berkeras menolak dia. Aku sendiri yang beria- ia agar dia kembali kepada Nurrul Azzwa. Sekarang padan muka aku! Sekali lagi, untuk kesekian kalinya pada hari ini, aku mengeluh.

 

 

Minggu yang penuh penyeksaan ini akhirnya berakhir. Tapi selepas tamatnya masa bekerja, aku masih termangu di pejabat. Entah kenapa aku tidak terasa untuk bergegas pulang. Lama juga aku duduk termenung di meja. Apabila aku sedar, cuma tinggal aku yang masih berada di pejabat. Cepat- cepat aku berkemas dan melangkah keluar.

Semasa menunggu lif, tiba- tiba telefonku berdering. Keadaan yang sangat sunyi membuatkan aku terkejut apabila tiba- tiba ada bunyi yang kuat. Nama Furqan terpamer di skrin. Berkerut aku merenung, cuba berfikir tujuan dia menelefon aku. Akhirnya aku melarik skrin untuk menjawab.

“Assalamualaikum,” sapaku.

“Waaalaikumsalam. Ada di mana?” tanya Furqan.

“Di pejabat,” jawabku dengan ringkas.

“Eh, belum balik lagi? Banyak kerjakah?”

“Tak adalah, ada hal sikit tadi. Sekarang dah nak balik pun.”

Hal termenung sampai terlupa masa.

“Macam tu. Boleh kita jumpa sekejap?”

Aku menggigit bibir. “Untuk apa?”

“Saya ada hal sikit nak bercakap dengan awak. Boleh tak?”

“Tak boleh cakap di telefon saja?”

“Lebih baik kalau kita berdepan,” tegas Furqan.

“Saya…”

“Sekejap saja,” katanya lagi. “Kita pilih kawasan yang dekat dengan rumah awak. Jadi cepat awak sampai rumah selepas itu.”

Aku menghela nafas. “Baiklah. Di mana?”

Selepas Furqan memberitahu masa dan tempatnya, aku memutuskan talian. Dia hendak bercakap tentang majlis perkahwinan kami lagikah? Ataupun tentang masalah yang aku tidak tahu? Pergilah, kenapa fikir banyak.

 

 

Setibanya di restauran itu, Furqan sudah duduk menunggu. Dia cuma datang seorang diri.

“Mana Danish?” tanyaku.

“Ada di rumah. Dia dah tidur masa saya keluar tadi,” jawab Furqan.

“Awalnya dia tidur.”

“Sepanjang hari dia tak tidur. Seronok bermain- main dengan atok dan nenek dia. Jadi malam ini awal lagi dia dah tidur.”

Aku cuma mengangguk.

“Awak nak makan?” tanya Furqan.

Sekali lagi aku mengangguk. Aku memang lapar selepas seharian bekerja. Lagipun aku sudah maklumkan pada ibu yang aku hendak berjumpa dengan Furqan sebentar untuk makan malam. Jadi apabila pelayan sampai, aku pesan banyak makanan.

“Dah berapa hari awak tak makan?” sindir Furqan apabila aku menyerahkan menu kembali kepada pelayan.

“Saya memang kuat makan. Dah lupakah?” soalku.

Furqan tersenyum. “Ah, lupa pula tentang hal tu. Nampaknya perangai awak yang ini memang tak pernah berubah sejak dulu. Nasib baik badan awak tak gemuk- gemuk.”

“Kalau saya gemuk pun kenapa?”

Furqan mengangkat kedua tangan, memilih untuk tidak menjawab. Aku merenung dia tajam, kemudian mengeluarkan telefon untuk memaklumkan kepada ibu yang aku sudah berada di restauran bersama Furqan. Apabila makanan sampai, cuma aku yang makan. Furqan cuma melihat sambil tersenyum lucu.

“Tak makankah?” tanya, hairan.

“Makanlah dulu,” jawab Furqan.

“Banyak lauk yang saya pesan ni.”

“Ya, saya tahu! Makanlah, nanti saya makan juga.”

Aku menjungkit bahu, terus makan seperti biasa.

“Kenapa awak nak jumpa saya?” tanyaku.

Furqan menghela nafas. “Ada dua hari lagi.”

Aku diam, berhenti makan. Tiba- tiba aku tidak rasa lapar lagi.

“Satu hari,” kataku dengan perlahan.

“Betulkah awak nak kahwin dengan saya ni?” tanya Furqan.

“Kenapa asyik tanya soalan tu?” soalku, jengkel.

“Saya bukan buta, saya boleh nampak yang awak sebenarnya memang tidak berminat pun nak jadi isteri saya.”

Aku tidak menjawab.

“Jangan anggap perkahwinan sesuatu yang mudah. Gelaran seorang isteri bukan setakat bertukar status dari anak dara kepada isteri. Bukan setakat jasad awak yang kahwini saya, tapi seluruh jiwa raga awak. Awak ni…sanggupkah nak duduk sebumbung dan tidur sekatil dengan saya ni?”

Merona merah wajahku dengan soalannya. Sebenarnya aku terfikir juga hal itu beberapa kali selepas bersetuju untuk mengahwini Furqan. Tapi apabila dia sendiri yang ajukan soalan itu, kesannya lebih besar.

“Itu…”

Ah, macam mana aku hendak jawab?

“Masih ada masa untuk awak batalkan. Jadi fikirkanlah hal ni baik- baik!” nasihat Furqan.

Aku tidak menjawab, cuma menggeleng. Aku nekad untuk teruskan juga. Furqan mengeluh dengan jawapanku.

“Sebenarnya awak yang tak nak berkahwin dengan sayakah?” tanyaku.

Ini bukan kali pertama dia bertanya soalan sebegini. Terasa seperti aku yang memaksa supaya dia mengahwini aku.

“Tak ada masalah di pihak saya. Kahwin atau tidak itu sama saja. Dengan siapa pun sama saja. Awak sendiri pun tahu apa perasaan dan pandangan saya tentang hal ni,” jawab Furqan.

“Habis kenapa kerap bertanya?”soalku.

“Sebab percaya atau tidak, awak ialah seseorang yang penting dalam hidup saya. Pernah satu ketika, awaklah orang yang paling saya cinta. Sekarang, awak tetap istimewa biarpun perasaan saya pada awak dah tak sama seperti dulu. Jadi saya nak awak dapat kebahagiaan yang awak nak. Tidak kira dengan saya atau dengan orang yang sepatutnya,” jawab Furqan.

Aku tergelak kecil dengan jawapan Furqan. “Siapalah orang yang sepatutnya tu? Sampai sekarang saya tak jumpa.”

Furqan mengukir senyuman nipis. “Betulkah? Bukan dia?”

“Bukan dia!” jawabku dengan nada yang keras.

“Kenapa? Dia tak pernah luahkan perasaan pada awak?” soal Furqan, separuh mengusik.

“Dia akan kahwin tak lama lagi.”

Furqan terus merenung aku dengan wajah yang serius. “Dengan siapa?”

“Dengan tunang dialah,” jawabku selamba.

“Dia dah bertunang? Sejak bila?” soal Furqan.

“Dah lama pun.”

“Jadi selama ni awak asyik keluar dengan tunang orang?”

“Dia cuma kawan saya, tak lebih dari tu!” bentakku dengan suara yang agak meninggi.

Aku segera tunduk dan menyuap makanan apabila pandangan beberapa orang yang berdekatan kami beralih ke arah kami. Furqan sendiri mengalih pandangan ke arah lain. Buat seketika kami tidak berbual.

“Saya tahu dia memang ada perasaan pada awak,” kata Furqan. “Tapi pada masa tu dia dah bertunang?”

Aku tidak menjawab.

Furqan tergelak kecil. “Macam mana boleh jadi macam ni? Sekarang awaklah Dyana. Lelaki yang patut berkahwin dengan orang lain, jatuh cinta pada awak.”

“Bezanya saya tak terima dia,” sindir aku.

Furqan menghela nafas. “Ya, betul juga. Jadi sebab itulah awak nak kahwin dengan saya? Sebab nak larikan diri dari perasaan awak pada dia.”

Aku pernah cakap, kan? Susahnya jika lelaki itu mengenali kita!

Furqan menghela nafas. “Baiklah, saya dah faham sekarang. Kalau itu yang awak nak lakukan, saya akan tolong awak.”

“Baguslah kalau awak dah fikir macam tu,” kataku, tidak lagi rasa berselera untuk terus makan.

Furqan diam seketika, berfikir sesuatu dengan raut wajah yang tidak berpuas hati.

“Bagi saya nombor telefon dia,” kata Furqan tiba- tiba.

“Untuk apa?” soalku, terkejut dengan permintaannya.

“Kami patut berbual. Man to man.”

Aku merenungnya, kemudian menggeleng. Bila dua lelaki yang keras kepala macam mereka berjumpa, tidak ada istilah berbual dalam kamus mereka.

“Kami memang akan berbual!” tegas Furqan apabila aku terus merenungnya.

“Ya, dan saya boleh terbang sampai ke bulan!” sindirku.

“Habis nak saya biarkan saja?” soal Furqan dengan raut wajah tidak puas hati. “Awak dah lupa yang masa saya curang dengan awak dulu, saya kena tumbuk dengan ayah awak?”

Wah, ingat pula dia tentang hal tu? Tapi kenapa dia hendak bandingkan dirinya dengan Hazriq?

“Itu sebab awak dah mengandungkan Dyana!” tempelakku.

“Samalah!”

“Tak sama! Saya tak pernah sentuh dia pun, mengandung mestilah jauh sekali!” balasku. “Lagipun dia tak pernah berahsia pun tentang tunang dia. Dia tak pernah tipu saya!”

Furqan mendengus. Sebab inilah aku tidak akan bagi nombor telefon Hazriq kenapa dia. Aku tidak fikir pertemuan mereka akan berakhir dengan baik.

“Saya rasa tak puas hati!” omel Furqan.

“Itu masalah awak. Jangan nak samakan Hazriq dengan awak. Cukuplah cerita tentang saya dan dia. Kita akan tutup buku tentang hal ni. Saya pun tak mahu cakap tentang dia lagi,” kataku.

“Tapi-”

Aku merenung dia, membuatkan dia sekali lagi mendengus. Akhirnya dia tidak lagi bercakap tentang Hazriq, sebaliknya mula bercerita tentang majlis kami dan Danish. Makan malam kami juga berakhir dengan aman.

 

 

Aku berteleku berdekatan jendela, merenung ke kegelapan malam. Perasaanku resah sejak akhir- akhir ini. Lebih teruk apabila memikirkan tentang esok.

Tiba- tiba telefonku bergetar. Terkesima aku merenung skrin. Nama Hazriq terpamer dengan jelas di situ. Betulkah dia yang menelefon? Bukankah dia tidak pedulikan aku sejak hari itu? Lama aku merenung skrin, cuba memastikan yang memang dia cuba menelefon.

Akhirnya aku mencapai, melarik skrin dan meletakkan ke telinga. Tapi aku tidak bersuara.

Akhirnya Hazriq yang menyapaku dengan perlahan. “Assalamualaikum.”

Mendengar suaranya setelah sekian lama membuatkan aku rasa rindu kepada dia. Tetapi terasa berdosa dengan Furqan. Esok kami akan dinikahkan, hari ini aku berbual dengan lelaki lain. Aku mengambil masa sebelum menjawab sapaannya.

“Waalaikumsalam,” jawabku.

“Esokkah?” tanya Hazriq.

Aku tidak perlu bertanya dengan lebih lanjut tentang soalannya itu.

“Ya,” jawabku.

Dia menghela nafas. “Saya cintakan awak, awak tahu tak?”

Aku menghela nafas. “Saya tahu.”

“Tapi awak tetap hendak memilih dia?”

“Ya.”

“Walaupun awak sebenarnya cintakan saya?” tanya Hazriq.

Sekali lagi aku menghela nafas. “Ya.”

Kami sama- sama membisu. Entah berapa lama masa berlalu. Terfikir juga sama ada dia sudah putuskan talian memandangkan terlalu lama kami tidak bercakap apa- apa.

“Awak?” panggilku perlahan.

“Ya?” jawab Hazriq.

“Awak dan Azzwa bagaimana?” tanyaku. “Bukankah awak sepatutnya kahwin dengan dia hujung bulan ini juga?”

Hazriq tergelak. “Saya tak akan kahwin dengan dia!”

“Tapi saya dengar keluarga kamu berdua dah buat persiapan pun. Heboh di pejabat saya yang tunang awak sendiri yang beritahu semua orang tentang hal ni,” kataku.

“Betulkah?”

Eh, dia pula yang bertanya kepada aku!

“Awak tak tahu?” soalku.

“Saya tak ambil tahu. Awak dah lupa apa yang saya pernah beritahu awak? Saya maksudkan kesemua kata- kata saya itu,” jawab Hazriq. “Jawapan saya pada dia tetap sama. Kalau dia tetap berdegil, saya tak boleh buat apa- apa.”

“Macam mana awak boleh cakap macam tu? Kalau mereka dah buat persiapan, tak kan awak nak batalkan?”

“Jangan risau, itu masalah saya. Sekarang saya terlalu kecewa, saya tak mahu peduli tentang hal remeh macam tu.”

Macam mana dia boleh cakap perkahwinan sesuatu yang remeh? Ah, macam mengutuk diri sendiri!

“Tapi majlis itu bila?” tanyaku.

“Entah, saya tak ambil kisah pun!” jawabnya dengan selamba. “Orang yang saya cintai bakal jadi isteri lelaki lain, itu yang saya kisahkan sekarang.”

Apa yang aku patut katakan pada lelaki ini?

“Awak tak boleh terus macam ni,” kataku dengan perlahan.

“Habis awak nak saya macam mana?” tanya Hazriq. “Maaf saya tak sama macam awak! Saya tak berminat untuk berkahwin dengan orang yang saya tak cinta. Tak kira apa pun alasan awak, saya tak dapat terima.”

“Saya minta maaf,” kataku.

“Untuk apa?”

“Untuk semuanya,” jawabku. “Saya betul- betul minta maaf.”

“Dengan minta maaf, awak rasa semuanya akan selesai?”

“Tak, tapi saya tak ada apa yang boleh saya katakan lagi.”

Dia tergelak sinis. “Awak memang kelakar. Tak sangka awak orang yang begini.”

Aku cuma membisu mendengar.

Akhirnya dia menghela nafas. “Tak guna apa pun yang saya cakapkan sekarang, awak tetap dengan keputusan awak. Kadang- kadang saya lupa betapa degilnya awak dalam sesetengah perkara. Dan saya pun tak mahu terus bergaduh dengan awak macam ni.”

“Jadi apa yang awak nak buat?”

“Tak ada apa- apa. Pahit macam mana sekalipun, saya terpaksa terima.”

Tidak ada kata- kata yang boleh aku ucapkan lagi. “Saya minta maaf.”

“Tak perlulah terus minta maaf pada saya.”

“Baiklah, saya minta maaf.”

“Minta maaf lagi,” keluh Hazriq.

“Saya-”

Terus Hazriq memotong kata- kataku. “Jangan minta maaf lagi!”

“Umm…”

Hazriq menghela nafas. “Baiklah, tak perlu terusan minta maaf pada saya. Bukan itu yang saya nak. Saya nak cakap sesuatu, boleh awak dengar?”

“Ya.”

”Saya harap awak jangan kahwin dengan dia untuk larikan diri dari masalah awak. Jangan terus berdiam dan larikan diri bila ada masalah. Suarakan apa yang ada di hati awak. Tak akan ada orang yang faham apa yang awak fikirkan melainkan awak suarakan secara jelas. Saya harap awak akan ada kekuatan untuk suarakan apa yang sebenarnya ada dihati awak, macam yang awak pernah buat semasa kali pertama awak dan Furqan hendak berkahwin. Tak apa kalau awak tak bersama dengan saya, tapi saya harap awak dapat bahagia dengan sesiapa pun yang awak pilih,” kata Hazriq.

Furqan pernah beritahu ayat yang hampir sama dengan Hazriq. Keduanya minta agar aku akhirnya bahagia tidak kira dengan siapa pun.

Aku mengambil masa yang lama untuk menjawab. “Ya, saya faham.”

Untuk sekian kali Hazriq mengeluh, menghela nafas panjang. “Tidurlah, dah lewat malam pun.”

“Ya, Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam.”

Biarpun selepas lama aku putuskan talian, aku masih berteleku di jendela. Malam kian larut, tapi aku masih di sini.

Saturday, October 24, 2020

Bab 35

 

Hampir seminggu berlalu, aku langsung tidak terlupa. Malah makin kuat perasaanku untuk mencari dia. Apa yang sudah terjadi dengan aku ni?

Dia sudah sihirkan akukah?

Ah, tak mungkin! Hazriq bukanlah orang yang begitu. Jangan fikir yang bukan- bukan. Tapi ke mana dia menghilang? Selama seminggu ini langsung tidak ada khabar berita. Dia sudah putus asakah?

Hari ini hari minggu, aku keluar ke kafe yang agak jauh dari rumah. Di rumah, Aunty Sofea datang berkunjung untuk berbincang tentang persiapan majlis akad nikah. Mereka terlalu gembira berbual. Entah kenapa, aku rasa rimas mendengar setiap patah perbualan mereka. Jadi di sinilah aku sejak beberapa jam yang lalu.

Tanganku mengusap skrin telefon sambil merenung ke luar kafe. Bila aku kembali merenung skrin, nombor telefon Hazriq terpamer di skrin. Bila masa pula aku cari nombornya? Cepat- cepat aku letakkan telefon ke atas meja. Kalau aku terus pegang, entah- entah aku akan buat lebih dari itu.

Kenapa aku mencari dia? Mungkin aku perlukan seseorang untuk bercakap. Semasa aku ada masalah dengan Dyana, dia ada untuk mendengar. Sekarang apabila aku ada masalah dengan dia, tidak mungkin aku boleh mencari dia.

Serabutnya kepala aku!

Sedang aku termenung, aku perasan seseorang mendekati aku. Aku berpaling, terkejut memandang wajah yang aku fikirkan sepanjang minggu ini berjalan mendekat. Secara refleks, aku cuba untuk bangun dan berlalu. Tapi dia segera menahan.

“Jangan pergi dulu!” kata Hazriq. “Awak duduk di sini seorang diri, kan? Boleh saya duduk dengan awak?”

Hairan mendengar kata- katanya, aku berdiri mematung. Tak kan dia hilang ingatan selepas seminggu kami tidak berjumpa? Apa yang dia cuba buat? Tindakannya seolah- olah dia langsung tidak mengenali aku.

“Saya tak ada niat jahat. Cuma saya terasa nak minum dengan seseorang. Memandangkan awak minum seorang diri, boleh tak minum dengan saya? Lagipun saya terasa nak berbual dengan seseorang sekarang,” jelasnya dengan panjang- lebar.

Aku masih tidak menjawab, merenungnya sambil cuba mentafsir apa yang dia cuba lakukan.

Hazriq mengukir senyum. “Memang saya tak ada maksud jahat. Memandangkan kita pun saling tak kenal, lepas ni boleh kita teruskan dengan hal masing- masing macam kita tak pernah jumpa. Jadi boleh tak awak temankan saya minum sekarang?”

Akhirnya aku mengangguk dan duduk kembali. Hazriq mengambil tempat di depanku sambil meletakkan minumannya. Untuk seketika kami tidak berbual.

“Awak dalam masalah?” tanya Hazriq tiba- tiba.

Masih hendak bertanya? Masalahku ada kaitan dengan dia! Tapi sekarang kami berlakon yang kami ialah orang asing, kan? Bolehkah aku ceritakan?

“Ya,” jawabku.

“Awak boleh ceritakan pada saya,” katanya.

“Tapi awak orang asing,” tempelakku, menyindirnya.

Tapi lelaki itu cuma tersenyum. “Sebab tu lah awak boleh ceritakan kepada saya. Saya akan mendengar apa saja masalah awak dan lupakan bila saya pulang nanti.”

Semudah itukah? Jadi, biar aku mulakan.

“Saya bakal berkahwin hujung bulan ni!” kataku. “Majlis kenduri dalam sebulan kemudian!”

Dia kelu, memandang aku dengan mata membulat. Aku menunggu dia naik angin atau meninggi suara. Sebaliknya lelaki itu memejam mata, menarik nafas panjang.

“Kenapa?” tanya Hazriq akhirnya.

“Sebab itu yang terbaik yang saya dapat fikirkan sekarang.”

Sekali lagi dia mendiamkan diri, menarik nafas panjang beberapa kali. Dia cuba untuk minum minuman yang dibawanya tetapi tangannya kelihatan terketar- ketar. Akhirnya dia letakkan minumannya ke meja, kemudian mengalihkan pandangannya ke luar tingkap.

“Kenapa awak tiba- tiba nak kahwin? Awak macam larikan diri dari sesuatu!” komen Hazriq.

Giliran aku pula menarik nafas panjang.

“Ada beberapa sebab. Salah satunya sebab saya dan…kawan saya. Hubungan kami baik. Sangat baik. Dia dah bertunang dengan kekasih dia. Tiba- tiba tunang dia beritahu saya yang dia nak batalkan pertunangan dia. Tunang…um…kawan saya tu salahkan saya. Alasannya ialah sebab wujud perasaan yang tidak sepatutnya antara saya dan…umm….”

“Panggil saja dia En. A,” saran Hazriq.

“Okay, dia cakap En. A cintakan saya!”

“Dan bagaimana dengan awak? Apa perasaan awak pada En. A?” tanya Hazriq, memandang aku tepat pada wajahku.

“Kami kawan,” jawabku ringkas.

“Itu bukan jawapan untuk soalan saya. Apa perasaan awak pada dia?”

Untuk seorang yang asing kepadaku, dia terlalu penyibuk sekarang!

“Pentingkah untuk tahu perasaan saya pada dia?” soalku kembali.

“Perasaan awak pada dia pun memainkan peranan yang penting,” balasnya.

Aku mendengus, membalas renungannya. Hazriq tidak mengalihkan pandangan, sebaliknya memandangku, menunggu jawapanku.

“Perasaan saya pada dia tidak penting sama sekali. Dia tunangan orang, jadi saya tidak patut rasa apa- apa yang tidak sepatutnya pada dia. Saya dan dia cuma boleh menjadi kawan baik.”

Dia tergelak kecil. “Jangan jadikan itu sebagai alasan. Kalau suka, cakap suka. Kalau benci, cakap benci.”

Memandangkan dia terus mendesak, aku terasa seperti menjawab yang aku bencikan dia sekarang!

“Saya tak bencikan dia!” jawabku.

“Jadi awak sukakan dia?” balasnya.

“Tak semudah itu.”

“Tak ada hubungan yang sukar.”

“Ada, contoh yang baik ada di depan awak sekarang,” kataku.

“Awak yang jadikannya sukar,” balasnya.

Aku menghela nafas. “Mungkin.”

Hazriq membisu, akhirnya mencapai minumannya.

“Saya pun ada masalah,” katanya.

“Ya?” tanyaku, walaupun aku sudah maklum masalahnya.

Hazriq menghela nafas. “Saya namakan dia Cik R. Dia pun kawan baik saya. Saya cintakan dia.”

Aku tidak membalas.

“Saya pernah bertunang tapi Cik R masih tak mahu terima saya biarpun saya sudah putus tunang.”

“Sebab dia puncanya! Dia tak mahu jadi orang ketiga!” tingkahku.

“Dia bukan orang ketiga!” kata Hazriq dengan nada yang keras.

“Habis orang yang ke berapa?”

“Satu- satunya orang di hati saya sekarang ialah dia,” jawab Hazriq dengan bersungguh- sungguh.

Terasa pipiku panas dengan pengakuannya tetapi aku segera berdehem. Jangan terpengaruh!

“Tapi awak tinggalkan tunang awak untuk dia, kan? Bagaimana dia bukan orang ketiga?”

“Jadi patutkah saya curang dengan bekas tunang saya bila saya tidak lagi cintakan dia? Bolehkah dia terima bekas tunangnya tidak cintakan dia tapi menaruh perasaan pada orang lain?”

“Awak kecewakan hati dia dengan putuskan pertunangan awak.”

 “Tidak ada perpisahan yang tidak ada orang yang terluka. Apatah lagi dalam hal macam ni. Saya jelas dengan perasaaan saya pada Cik R. Biarpun dia tidak dapat terima cinta saya pada dia, saya tidak boleh terus menipu diri dengan berpura- pura setia. Bukankah begitu akan menyebabkan bekas tunang saya lebih terluka bila dia tahu kelak?”

Aku tidak ada jawapan untuk hal itu. Kata- katanya memang benar tapi aku masih tidak mahu terima. Entah kenapa, ada yang tidak kena.

“Dengan siapa awak hendak berkahwin?” tanya Hazriq.

“Bekas tunang saya,” jawabku.

Mendengar jawapan itu, Hazriq merenungku dengan pandangan sukar dimengertikan.

“Awak masih lagi cintakan bekas tunang awak?” tanya Hazriq lagi.

“Bukan urusan awak!” jawabku.

“Tapi saya, maksud saya, En. A pasti hendak tahu perasaan awak pada tunang awak.”

“En. A terlalu fokus dengan perasaan saya! Perasaan saya pada dia! Perasaan saya pada bekas tunang saya!” tempelakku.

“Salahkah untuk tahu?” Hazriq menjungkit kening.

“Dia tahu perasaan saya!”

“Perasaan manusia boleh berubah.”

“Perasaan saya masih lagi sama!” desisku, makin jengkel dengan soalannya.

“Jadi awak tak lagi cintakan tunang awak?” kata Hazriq.

Aku tidak menjawab, merenung meja sambil menghirup minumanku.

“Jangan kahwin dengan dia hanya sebab awak nak jauhkan En. A dari awak,” kata Hazriq.

“Habis atas sebab apa saya perlu kahwin dengan dia?” soalku.

 “Sebab awak memang cintakan dia.”

“Jadi saya akan belajar cintakan dia! Saya pernah cintakan dia. Jatuh cinta saja sekali lagi. Orang yang tak pernah bercinta pun boleh berkahwin, apatah lagi pasangan yang pernah bercinta macam kami!”

Dia tergelak. “You’re too naïve!”

“Apa maksud awak?”

“Perasaan bukan macam suis lampu. Boleh ditekan untuk dibuka atau ditutup. Ia tak semudah itu.”

“Perasaan boleh dipupuk,” balasku.

“Semudah itu?” soalnya, merenungku.

“Semudah itu!” balasku, tidak melarikan diri dari pandangannya.

“Kalau perasaan boleh dipupuk kenapa tak belajar menyintai En. A?” soalnya lagi.

“Sebab dia tunang orang.”

“Bekas tunang.”

Aku membisu, merenung keluar. Terasa seperti perbualan kami berpusing di tempat yang sama. Dia asyik yakinkan aku untuk terima dia, dia asyik cakap dia dah lama putuskan pertunangan dengan Nurrul Azzwa dan aku tidak sepatutnya berkahwin dengan Furqan. Hal ini tidak akan selesai nampaknya.

“Boleh saya cakap sesuatu?” tanya Hazriq.

“Apa dia?”

“Saya dapat rasakan awak pun cintakan En. A.”

Terus aku memandang dia.

“Mengarut!” desisku.

“Betulkah?” Dia menjungkit kening.

“Ya!”

“Ya kah? Cuba cakap begitu sekali lagi sambil pandang mata saya.” cabarnya, kali ini merenungku tajam.

“Saya…”

Aku kembali merenung keluar. Hazriq tergelak kecil. Entah kenapa, aku rasa meradang. Hmm, perkara ini tidak akan selesai dengan terus berbual begini!

“Saya nak balik!” kataku dengan nada yang keras.

Tiba- tiba aku terus bangun, mencapai beg dan melangkah keluar dengan laju.

“Nanti, Rania!”

Dan, pastinya dia mengejar dari belakang. Tidak memperdulikan dia, aku terus ke kereta. Sebelum sempat aku buka pintu, dia terus menahan pintu kereta dari dibuka.

“Tak bolehkah kita bercakap tanpa awak asyik melarikan diri?” tanya Hazriq.

“Tak ada apa yang kita nak cakapkan lagi. Saya dah cakapkan semuanya tadi,” jawabku dengan geram.

“Awak dah cakap semuanya kecuali perasaan awak pada saya.”

“Kenapa awak asyik mendesak? Saya dah nak kahwinlah!” bantahku.

“Dengan lelaki yang awak tak cinta tu!”

“Ya dan itu bukan masalah awak!” tempelakku.

“Masalah saya bila saya cintakan awak dan awak pun cintakan saya!” balasnya.

“Saya tak perlu kahwin atas dasar cinta.”

“Jadi awak cintakan saya?”

Itu yang dia fokuskan dari tadi?

“Ya!” jawabku.

Hazriq merenung wajahku dengan raut wajah tidak percaya.

“Jadi awak memang cintakan saya?” tanya Hazriq, bagaikan tidak percaya dengan pengakuanku.

“Ya, memang saya cintakan awak!” jawabku, tidak lagi berselindung. “Tapi saya tetap akan kahwin dengan Furqan!”

“Kenapa?” tanya Hazriq.

Dia tanya kenapa aku cintakan dia atau kenapa aku hendak berkahwin dengan Furqan?

 “Semua ni tak masuk akal.” Dia tergelak walaupun dia bagaikan ingin menangis.

Betul, aku juga fikirkan hal yang sama. Tapi dunia tidak berputar mengelilingi kita. Ada perkara yang memang tidak dapat kita miliki biarpun berapa kuat kita berusaha. Setiap perkara sudah ditetapkan ketentuannya. Aku memejam mata, menarik nafas panjang. Semua yang berlaku membuatkan aku rasa terlalu letih sekarang.

Hazriq menghela nafas. “Saya merayu, batalkan perkahwinan awak. Tak apa kalau awak tak terima saya sekarang tapi jangan libatkan orang lain dalam hal kita. Awak akan lukakan hati banyak pihak nanti.”

“Maaf, saya tak boleh buat macam tu. Tarikh perkahwinan kami pun dah ditetapkan. Saya hanya menunggu hari saja lagi untuk menjadi isteri dia,” jawabku dengan perlahan.

“Please don’t make a mistake! Awak akan menyesal nanti!”

“Mungkin.”

“Habis tu?”

Aku hanya menggeleng. Hazriq bagaikan ingin hilang akal dengan jawapanku.

“Ini yang sepatutnya. Awak dan Nurrul Azzwa, saya dan Furqan,” kataku.

 “Awak ingat saya akan terima dia semula hanya sebab awak akan kahwin dengan orang lain?” Dia tergelak sinis. “Maaf, saya tak semudah itu!”

“Itu terpulang pada awak.”

“Awak ni memang kejam!” katanya.

Aku tahu tindakanku memang kejam. Tapi aku memang tidak dapat fikirkan cara yang lain selain ini. Jadi benci saja aku! Mungkin itu yang terbaik!

Memandangkan dia tidak lagi memegang pintu kereta, aku membuka pintu lalu masuk. Aku merenung dia yang berdiri berdekatan dengan wajah yang sugul.

“Maafkan saya,” kataku dengan perlahan. “Saya tak harap awak maafkan saya, sebab apa yang saya lakukan memang kejam. Sekali lagi saya minta maaf.”

Aku pasti dia tidak dapat dengar. Aku terus hidupkan enjin kereta, kemudian pulang. Aku tidak pasti sama ada dia melihat aku pergi kerana aku langsung tidak menoleh ke belakang lagi.