Friday, August 28, 2020

Prolog

 Baru- baru ni semua orang jadi panik apabila virus yang tidak dijumpai vaksinnya lagi tersebar dengan meluas. Bilangan mangsa yang dijangkiti meningkat secara mendadak membuat kerajaan mengambil langkah untuk penyekat pergerakan semua orang. Hendak ke mana- mana pun susah. Hendak berjumpa orang pun susah. Hendak beli barang keperluan pun susah. Macam mana hendak bertahan?

Entahlah, Zana tak pernah fikir yang hal itu susah pun.

Mungkin sejak beberapa tahun ini, Zana jarang tinggalkan rumah. Ah, bukan beberapa tahun. Sejak entah berapa lama lagi.

Zana memang tak suka keluar atau jumpa orang lain. Jadi banyak yang Zana lakukan dari rumah saja. Paling Zana bersyukur ialah kewujudan e-banking dan penghantaran. Zaman sekarang, asalkan ada internet, hampir semuanya boleh dilakukan dari rumah. Zana kerja pun dari rumah!

Kerja apa dari rumah?

Zana ialah seorang Youtuber. Istilah itu merujuk kepada seseorang yang memuatnaik video ke laman Youtube. Laman Youtubenya mempunyai pengikut yang ramai. Dan mesti ramai yang pelik macam mana seseorang yang tidak keluar dari rumah mempunyai ramai pengikut. Sebenarnya Zana pun tidak pernah tahu yang ramai yang berminat dengan video- videonya. Bermula dengan video pertama yang dia hasilkan semasa di universiti sehingga video terbaru beberapa hari yang lepas, purata tontonan melebihi ratusan ribu. Walhal video itu cuma mengenai apa yang dia lakukan setiap hari tanpa keluar dari rumah. Selepas dia sedar yang dia boleh jana pendapatan dengan laman Youtubenya, Zana ambil keputusan untuk berhenti kerja dan jadi Youtuber sepenuh masa.

Mungkin minat manusia ini pelbagai. Mungkin juga mereka berminat untuk tahu apa yang seseorang boleh lakukan setiap hari tanpa keluar dari rumah. Tambahan lagi dengan situasi sekarang di mana orang ramai digesa untuk berada di rumah sepanjang masa. Sejak beberapa hari ini pengikut laman Youtube bertambah secara mendadak.

Zana duduk di balkoni, memuatnaik video terbaru apabila terdengar bunyi benda terjatuh di rumah sebelah.

“Hantukah?” bisik Zana.

Rumah sebelah bukannya ada penghuni pun!

Zana bangun, menjenguk ke balkoni sebelah. Tapi ruang penglihatan yang agak terhad membataskan penglihatannya. Selepas seketika, Zana menyerah kalah. Bukannya dia nampak apa- apa pun sejak tadi.

“Khayalan! Hantu tak wujud siang- siang ni!” kata Zana.

Dia kembali ke meja kecil yang digunakannya setiap kali bekerja di balkoni. Cuaca sudah semakin panas, lebih baik dia masuk ke dalam. Zana mengangkat laptop, terus masuk.

Tapi kalau dia menunggu beberapa saat lagi, dia pasti akan berjumpa dengan ‘hantu’ yang berada di rumah sebelah. Seorang lelaki keluar, melihat pemandangan dari balkoni rumah barunya. Kemudian dia berpaling, melihat balkoni rumah sebelah. Dia tidak nampak dengan jelas tapi kelihatan pokok- pokok di tanam sepanjang balkoni itu.

Lelaki itu mengerut dahi. “Balkoni kecil pun tanam macam- macam?”

“Ryzal, tolong sign borang ni dulu!”

Ryzal melihat balkoni itu sekali lagi, kemudian masuk ke dalam rumah. Masih ada banyak yang perlu dia lakukan memandangkan ini hari pertamanya dia masuk secara rasmi ke dalam rumah ini.

Hari itu sepatutnya jadi pertemuan pertama antara seorang gadis yang tidak sukakan dunia luar dan seorang jejaka yang memang terkenal di dunia luar. Tapi situasi begini membuatkan pertemuan itu tergendala.

Thursday, August 27, 2020

Bab 1

 ‘It was a mistake,” you said. But the cruel thing was, it felt like the mistake was mine, for trusting you.

-          David Levithan, The Lover’s Dictionary

 

Cerita aku bermula apabila aku mengambil keputusan untuk mempertemukan Dyana dengan Furqan sebelum Furqan berjumpa dengan keluarga aku. Dyana ialah adik kandung dan sahabat baikku. Kami bukanlah selalu keluar rumah dan rakan yang hampir sebaya tidak begitu rapat dengan kami berdua. Jadi kami banyak habiskan masa bersama memandangkan kami cuma ada antara satu sama lain.

Pada hari bersejarah itu, aku dan Dyana duduk menunggu kedatangan Furqan di kafe berdekatan pejabatku. Setelah sekian lama bercinta dengan Furqan, akhirnya dia akan berjumpa secara rasmi dengan seseorang dari keluargaku. Maklumlah, kami kan bercinta secara rahsia. Dyana sendiri teruja untuk bertemu Furqan. Dia yang tinggal di Banting sanggup pula untuk bermalam di Damansara untuk berjumpa Furqan. Sejak mula bertemu Furqan, dialah satu- satunya insan dalam keluargaku yang tahu kewujudan Furqan sebagai lelaki yang aku cintai sepenuh hati. Lagipun Furqan sendiri yang membuat permintaan supaya hubungan kami tidak diheboh- hebohkan.

“Tak payahlah kita heboh sana- sini, tak elok orang tengok. Biar kita ada ikatan rasmi nanti, kita hebohkan satu dunia! Biar terkejut semua orang nanti sebab tak ada sesiapa pun tahu kita bercinta.”

Aku bersetuju saja dengan kata- katanya. Baik baginya, baiklah bagiku. Ini kali pertama Furqan bersetuju sekian berkali- kali aku memujuk. Jadi aku mahu menggunakan peluang ini sebaik mungkin.

“Jadi tak dia datang?” soal Dyana sambil menyedut air minumannya dengan straw.

“Jadi! Dia dah call tadi,” jawabku.

“Kakak, itu…”

Mataku segera terarah ke pandangan Dyana. Furqan melangkah masuk dengan senyum menghiasi wajah tampannya. Aku membalas senyumannya tanpa sedar. Setiap kali memandang dia, jantungku berdegup kencang.

“Sorry, lambat sikit! Jem!” katanya apabila sampai di depan kami.

“It’s okay, tak lama pun kami tunggu. This is my lovely sister and my BFF, Dyana,” kataku, seraya memaut bahu Dyana yang tersenyum memandang Furqan.

“Nice to meet you Dyana!” ujar Furqan dengan nada formal.

Dyana seperti ingin ketawa dengan nada itu tetapi cuma tersenyum seraya menghulurkan tangan kepada Furqan, “And you! Dah lama dengar kakak cerita pasal abang Furqan, baru hari ni dapat jumpa.”

Furqan membalas senyuman dan menyambut tangannya. Agak lama mereka bersalaman sebelum masing- masing melepaskan tangan dan suasana menjadi agak kekok. Dalam hatiku terselit perasaan kurang senang tetapi cepat- cepat aku ketepikan. Tidak baik berburuk sangka, apatah lagi pada dua orang yang aku percayai sepenuh hati. Berhenti mudah rasa cemburu! Bukan kali pertama aku begini.

“Memandangkan awak dah datang, boleh kita order makanan!” kataku, cuba memecahkan suasana kekok.

Masing- masing bersetuju. Furqan mengambil tempat di sebelahku, manakala Dyana duduk bertentangan kami. Setelah seorang pelayan mengambil tempahan, kami berbual kosong.

“Jadi Dyana ni Eksekutif Kewangan?” soal Furqan dengan nada kagum.

“Ya, dah tiga tahun,” jawab Dyana.

“Nanti, berapa tahun umur Dyana masa tu?”

“24 tahun.”

“Dyana dah jadi pengurus masa umur awak 24?”

“Ya, selepas habis belajar, saya mula kerja sebagai penolong. Tidak sampai setahun, pengurus yang asal letak jawatan. Jadi syarikat ambil saya sebagai pengganti.”

“Tak ada calon lain masa tu?”

“Ada tapi saya yang dipilih akhirnya.”

“Hebat!” Furqan nampak benar- benar kagum kali ini. Perasaan kurang senang tadi kembali lagi dengan mendadak mendengar perbualan antara mereka berdua. Mereka ni sudah lupakan akukah? Hati, sudahlah! Hentikan perasaan buruk sangka ini!

“Tak adalah, saya cuma bernasib baik,” balas Dyana dengan nada merendah diri. Bibirnya menguntum senyum manis pada ketika itu.

Pada masa itu, aku bagaikan orang asing dalam perbualan mereka. Aku langsung tidak bersuara, cuma mendengar perbualan mereka tanpa menyumbang apa- apa. Hatiku terus berasa gundah sepanjang pertemuan kami bertiga.

Tetapi hasil dari pertemuan itu, akhirnya Furqan meminta ibu dan bapanya datang untuk meminangku. Dalam hatiku tidak ada perasaan lain selain syukur kepada Allah kerana Furqan dan aku akhirnya berpeluang untuk bersatu.

 

 

“Tahniah!”

Aku cuma tersenyum membalas senyuman Dyana yang memahut bahuku. Akhirnya tiba juga hari pertunangan kami. Selepas ini aku boleh menghitung hari munculnya detik bahagia di mana aku dan Furqan akhirnya disatukan sebagai pasangan suami isteri. Sudah bertahun aku menunggu hari itu tiba. Alhamdulillah, akhirnya aku nampak sinarnya.

Aku kembali merenung refleksiku di cermin sebelum tersenyum sendiri. Bayanganku di dalam cermin yang berbaju kebaya dan berselendang putih itu turut tersenyum. Bagai tidak percaya yang wanita itu ialah aku.

“Berapa lama kakak hendak tersenyum sendiri ni?” soal Dyana yang geli hati dengan telatahku.

“Biarlah! Bukan setiap hari kakak bertunang pun!” Aku cuba bernada marah tetapi senyuman di bibir merosakkan kesan yang aku mahukan. Dyana tergelak kecil.

“Rania, pihak pengantin lelaki sudah sampai. Mari keluar ke ruang tamu,” panggil ibu yang muncul di pintu. Aku menarik nafas panjang sebelum bangun. Alhamdulillah, semuanya bakal bermula.

Dyana mengiringi langkahku ke ruang tamu. Aku cuba untuk berjalan seanggun mungkin tetapi nampak agak kekok. Akhirnya aku memilih untuk jalan seperlahan mungkin. Dyana membawaku ke pelamin yang dibina di penjuru ruang tamu, khas untuk majlis pertunangan ini.

Uncle Hadi dan Aunty Sofea yang tersenyum memandangku, kembali memberi tumpuan kepada ayah dan ibu. Selepas sesi berbalas pantun yang klise setiap kali acara merisik dan meminang, Aunty Sofea menyarung cincin ke jariku dengan senyum lebar di bibir.

“Alhamdulillah,” katanya sambil memelukku.

Aku turut mengucapkan syukur di dalam hati. Selesai juga majlis hari ini. Keluarga kami telah menetapkan yang majlis perkahwinan kami akan diadakan dalam tempoh lima bulan dari sekarang. Aku merenung cincin dijariku itu. Terasa kehangatan kebahagian meresap ke seluruh badanku. Dyana yang duduk disebelahku turut tersenyum.

Selesai majlis aku menelefon Furqan.

“Jadi, sekarang kita dah bertunang,” katanya.

“Ya, insya Allah tidak lama lagi kita akan menjadi pasangan suami isteri.”

Furqan bagaikan tersenyum. “Dah lama saya tunggu awak jadi isteri saya?”

“Saya pun.”

Dia membisu seketika. “Siapa lagi yang datang?”

“Keluarga dan kawan saya saja.”

“Dyana?”

Aku mengerut dahi. “Mestilah ada. Kenapa pula dia tak ada?”

“Dia ada cakap dia ada seminar di Johor Bahru hari ni. Saya ingatkan dia tak dapat datang.”

Dyana beritahu Furqan dia ada seminar? Seminar apa? Aku sendiri pun tak tahu.

“Dia tak cakap pun. Dia beritahu awak?” soalku hairan.

Kenapa pula Dyana beritahu Furqan semua ini? Mereka ada berbual sesama sendiri tanpa pengetahuan aku?

“Dia ada dalam group Kaki Bowling saya, sebab tu lah saya boleh tahu.”

“Kaki Bowling?”

“Group WhatsApp kami. Khas untuk peminat bowling.”

“Oh, macam tu,” jawabku perlahan.

Nampaknya Furqan dan Dyana memang ada berhubungan tanpa pengetahuan aku. Terselit perasaan tidak senang hati tetapi aku cuba tenangkan diri. Zaman sekarang, agak normal berhubungan menggunakan WhatsApp atau WeChat. Asalkan kenal, akan terus ada kumpulan yang wujud untuk berbual. Lagipun aku memang sedia maklum yang mereka berdua memang suka bermain bowling.

“Awak?” panggilnya.

“Ya.”

“Termenung apa? Penat saya panggil awak,” rungutnya.

“Sorry, saya fikirkan sesuatu tadi.”

“Tentang apa?”

Tak kan aku hendak jawab aku cemburu. “Tak ada apa- apalah awak, tak penting pun.”

“Betul?”

“Betul.”

“So weekend ni jadi kita jumpa?”

“Ya! Mesti! Dah lama tak jumpa awak, rindu!”

 “Saya pun.”

“Baiklah, selamat malam. Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam.”

Aku meletak telefon dan memandang ke pintu bilik. Dyana berdiri di muka pintu dengan senyum nakal di bibir. Sudah berapa lama dia di situ? Dia dengarkah kami bercakap tadi?

“Bergayut macamlah lama sangat tak jumpa,” perlinya.

“Mestilah lama tak jumpa. Dah seminggu tau!” balasku dengan nada seselamba mungkin. Aku melangkah duduk di bibir katil.

Dyana berjalan masuk dan duduk di sebelahku. “Seminggu, bukan setahun.”

“Adik apa tahu? Bagi orang bercinta, sehari bagai setahun. Seminggu, cuba kira tengok?”

Dyana pura- pura mencongak sebelum merenungku. “Entah. Malam- malam, tak boleh kira. Otak dah blur.”

“Pandailah!” Aku mencuit bahunya.

Dyana cuma ketawa. Jikalau aku segembira ini pada hari pertunanganku, bagaimanakah perasaanku nanti apabila tibanya hari aku disatukan dengan Furqan? Tidak dapat aku bayangkan perasaanku nanti.

Prolog

 

K atakanlah: ‘Sekali- kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami, dan hanyalah kepada Allah orang- orang yang beriman harus bertawakal’

(Surah Al-Taubah, ayat 51)

 

Aku harus kuat.

Itulah tekadku sejak semalam. Aku tidak mahu terus menangis dan murung. Allah S.W.T. tidak akan menurunkan ujian melebihi kemampuan hambanya. Jadi apa yang berlaku ini mampu untuk aku harungi. Tidak kira betapa pahit atau payahnya ia, aku pasti aku akan dapat bertahan.

Insya Allah.

Cinta datang dan pergi. Dari mana aku pernah dengar kata- kata itu, aku sendiri pun tidak pasti. Yang pasti, itulah yang berlaku. Ia pernah datang, tapi ia juga pergi tanpa kerelaan aku.

Kalau benar- benar cintakan seseorang, lepaskanlah dia pergi. Itu juga entah dari mana aku dengar. Tapi aku memang cintakan dia. Tapi aku terpaksa lepaskan dia. Bukan kerana aku terlalu cinta tapi kerana dia tidak boleh bersama aku lagi.

Hanya satu saja jalan yang aku ada. Aku perlu teruskan berjalan biarpun susah. Aku perlu hadapi semuanya biarpun pahit. Aku percaya yang Allah tidak akan memberi ujian yang melebihi kemampuanku.